Hotel di dalam hutan menanti pembeli

HOTEL Balsams Grand Resort di Dixville Notch, New Hampshire, Amerika Syarikat kini mencari pemilik baharu.

DIXVILLE NOTCH, New Hampshire – Sebuah hotel berusia hampir 150 tahun yang terletak di dalam hutan di sini kini menanti pembeli sejak ia mula berada dalam pasaran untuk dijual pada Julai tahun lalu.

Hotel Balsams Grand Resort yang ditutup pada 14 September lalu itu mempunyai padang golf dan boleh memuatkan 400 tetamu.

Ahli lembaga pengarah hotel itu kini mencari pemilik baharu yang boleh memodenkan hartanah tersebut kerana ia tidak pernah mengalami sebarang kerja-kerja pengubahsuaian besar sejak awal tahun 1900-an.

Hotel itu milik keluarga Tillotson sejak tahun 1954 yang terkenal kerana melabur dalam industri getah.

Namun, ia kini mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu.

Hotel itu menggunakan tenaga wap panas yang dijana oleh sebuah loji biojisim yang pernah digunakan untuk menjana kilang milik Tillotson yang terletak dekat dengan hotel tersebut.

“Ia adalah kos terbesar kami selain kos buruh, ia menyebabkan kami sukar bersaing sebagai sebuah hotel. Adalah sukar untuk mendapat pulangan modal apabila kos tenaga anda begitu tinggi,” kata presiden dan pengurus besar hotel tersebut, Jeff McIver.

Hotel itu mengalami kerugian selama bertahun-tahun dengan aset yayasan keluarga tersebut digunakan untuk menampung kos operasinya. – Agensi

Pulau ada istana dijual RM2.25 juta

PULAU THORN FORT terletak di luar pantai Pembrokeshire, selatan Wales.

PEMBROKESHIRE, Wales – Sebuah pulau yang mengandungi sebuah istana yang terletak di luar pantai Pembrokeshire, selatan Wales menanti pembeli dengan harga jualan £750,000 (RM2.25 juta).

Ia yang dikenali sebagai Pulau Thorn Fort mempunyai sebuah istana yang mengandungi sembilan bilik tidur selain dapur, bilik makan dan bilik permainan.

Kubu yang terdapat di pulau itu dibina pada 1850-an bagi menghalang serangan tentera Perancis.

Pulau itu mempunyai pemiliknya sejak tahun 1930-an dan kemudian dijadikan sebuah hotel.

Ia kemudian dibeli oleh kumpulan hotel Von Essen 10 tahun lalu dan pada 2001 sebuah keluarga menjadi penjaga pulau berkenaan selepas memenangi satu pertandingan. – Agensi

Harga pulau diturunkan dari RM6 juta kepada RM456,169

Harga pulau diturunkan dari RM6 juta kepada RM456,169

RUPA bentuk Pulau Sully (depan) di Cardiff, Britain yang menanti pembeli.

CARDIFF – Harga Pulau Sully yang terletak 3.21 kilometer dari sini, diturunkan dari £1.25 juta (RM6 juta) kepada hanya £95,000 (RM456,169), lapor beberapa buah akhbar semalam.

Pulau itu pernah dijadikan sebagai tempat persembunyian lanun pada abad ke-13 dan hanya 20 minit diperlukan untuk berjalan di sekelilingnya.

Ia tidak mempunyai kemudahan jalan raya dan satu-satunya akses untuk ke pulau itu adalah dengan menggunakan bot atau berjalan kaki semasa air laut surut.

Pulau itu pada mulanya mahu dijual pada Mei 2009 tetapi tiada pembeli yang berminat.

Menurut Chris Hyde yang mengendalikan jualan itu, pulau tersebut dilelong pada harga £150,000 (RM721,286) pada tahun lalu tetapi tiada pembida yang mahu membelinya. – Agensi

Kereta ‘hantu’ bakal dilelong RM1.42 juta

KERETA Pontiac Deluxe Six yang lut sinar.

MICHIGAN – Sebuah kereta Pontiac Deluxe Six yang dikeluarkan pada 1939 dijangka dilelong pada harga AS$475,000 (RM1.42 juta) pada hujung bulan ini di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta itu diberi gelaran ‘hantu’ kerana badannya yang lut sinar dan dihasilkan oleh General Motors dengan kerjasama syarikat kimia Rohm dan Haas pada harga AS$25,000 (RM75,262).

Model kereta itu dilengkapi dengan enjin enam silinder, brek hidraulik dan transmisi manual tiga kelajuan dihasilkan untuk Pameran Dunia New York pada 1939-1940.

Kereta itu diperbuat daripada kaca lut sinar Plexiglas yang pernah digunakan dalam pembuatan pesawat tentera semasa Perang Dunia II.

Pemilik Pontiac itu kini mewarisi kenderaan itu daripada bapanya yang membelinya dari pengumpul kereta klasik, Leo Gephart pada awal 1980-an. – Agensi

Nota Da Vinci dijual RM92.4 juta

Oleh Hafizahril Hamid
Codex Leicester.

BILA kita membicarakan mengenai acara lelongan, terbayang berbagai perkara di benak fikiran. Ada yang terbayang rumah atau kereta yang ditarik dari pemiliknya angkara gagal membayar hutang maka terpaksalah ia dilelong.

Ada yang membayangkan acara lelongan yang dijalankan oleh syarikat pelelong ternama seperti Christie, Sotheby’s, Bonhams, Lyon & Turnbull sekadar menyebut beberapa nama. Apabila melibatkan syarikat sebegini acara lelongan anjuran mereka selalunya melibatkan barangan mewah dan antik yang pastinya bernilai jutaan ringgit.

Kini dalam era teknologi maklumat urusan lelongan sudah menjadi semakin mudah, hanya masukkan gambar item yang mahu di jual ke dalam syarikat lelongan Internet, contoh mudahnya eBay atau mudah.com.

Bernilai

Itemnya pula dari sekecil-kecil barang yang murah harganya hinggalah kapal persiaran mewah bernilai ratusan juta dolar. Sebagai perbandingan, tiada perbezaan yang ketara antara lelongan dengan urus niaga lain.

Cuma ia melibatkan syarikat tertentu yang menjadi orang tengah dan melibatkan sekelompok manusia yang akan membida pada harga tertinggi. Namun ia menjadi lebih menarik bilamana melibatkan barangan mewah, antik dan jarang ditemui.

Walau apa pun kisahnya lelongan sebegini adalah antara sebahagian daripada aktiviti ekonomi yang mampu menjana keuntungan lumayan jika kena pada tempat dan barangannya. Melihat kembali kepada sejarah panjang acara lelongan, berdasarkan rekod ia dikatakan telah wujud sekitar 500 tahun Sebelum Masihi.

Jodoh

Berdasarkan catatan Herodotus, kerajaan Babylon lampau pernah menjalankan acara lelongan wanita untuk dijadikan jodoh. Ketika itu dikhabarkan lelongan seperti itu bukan satu kesalahan malah terdapat ibu bapa yang sanggup datang dari jauh untuk ‘menjual’ anak mereka. Malah adalah dianggap satu kesalahan bagi sesiapa yang menjual anak mereka tanpa melalui proses lelongan.

Dalam catatan lain berdasarkan sejarah empayar Rom, mereka yang ditawan dalam peperangan pula akan menerima nasib malang kerana akan dijual dalam satu lelongan untuk dijadikan hamba abdi. Lebih menarik lagi ketika zaman Rom juga sudah ada kaedah merampas rumah mahupun harta benda jika seseorang tidak mampu membayar hutang.

Malah salah seorang maharaja Rom, Marcus Aurelius pernah menjual perabot dan barangan mewahnya untuk membayar hutang sebelum beliau dipilih menjadi maharaja.

Lebih mengejutkan, kerajaan Rom pernah dilelong kepada pembida tertinggi pada tahun 193 Selepas Masihi. Ini berikutan tindakan askar elit Rom ketika itu yang digelar Pegawai Praetorian telah membunuh maharaja Pertinax berikutan rancangan beliau mahu mendisiplinkan mereka.

 Pancung

Akibatnya salah seorang golongan bangsawan, Didius Julianus berjaya membida harga tertinggi dianggarkan 6,250 drachmas untuk setiap seorang Pegawai Praetorian. Beliau hanya berjaya memerintah selama tiga bulan sebelum digulingkan dan kemudian dihukum pancung. Kejadian ini telah mengakibatkan perang saudara yang berlanjutan selama empat tahun. Berdasarkan kisah lampau adalah tidak menghairankan kenapa acara lelongan sebegini begitu mendapat sambutan sehingga kini.

Namun yang pasti golongan kaya akan terus mendapat faedah dari lelongan barangan mewah dan antik kerana hanya mereka yang mampu membelinya dan kemudian disimpan sehinggalah harganya naik berlipat kali ganda.

Jika sebuah kerajaan pun boleh dilelong apatah lagi barangan-barangan lain yang mungkin bernilai berkali ganda dari harga asal. Seterusnya dinyatakan beberapa barangan yang dilihat pelik, mahal dan mungkin juga mempunyai nostalgianya yang tersendiri.

 1. Codex Leicester

Buku ini berkisar kepada kajian saintifik yang pernah dilakukan Leornado da Vinci. Walaupun beliau banyak menulis nota kajian dalam pelbagai buku namun buku ini paling berharga berdasarkan teori dan pemerhatian beliau mengenai astronomi, jenis batu, fosil dan kajian mengenai cahaya di cakerawala. Buku setebal 72 muka surat ini pernah dimiliki oleh Thomas Coke yang juga Earl of Leicester pertama pada 1717. Pengasas Microsoft, Bill Gates telah membeli buku ini pada 1994 pada harga AS$30.8 juta (RM92.4 juta) menjadikan ia buku paling mahal di dunia. Setiap tahun Bill Gates akan menayangkan buku ini di muzium yang berbeza untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dan menilai buku ini.

2. Berlian Wittelsbach

Berlian biru seberat 35.56 karat telah dibeli pada harga AS$23.4 juta (RM70.2 juta) pada 2008 di London oleh seorang lelaki bernama Lawrence Graff. Berlian ini bukanlah paling besar di dunia tetapi tarikan utamanya adalah kejernihan dan kilauan warna birunya begitu memukau. Berlian ini dikatakan berasal dari kerajaan Golkonda di India namun berdasarkan perkembangan terbaru berlian ini telah dipotong kepada tiga bahagian menyebabkan ramai pengkaji sejarah kecewa kerana telah kehilangan keasliannya.

3. Gaun Marilyn Monroe

Gaun berwarna putih gading yang dipakai aktres Marilyn Monroe dalam filem The Seven Year Itch telah dijual pada harga AS$4.6 juta (RM13.8 juta) dalam satu acara lelongan kostum Hollywood. Gaun tersebut yang memaparkan aksi gaun terangkat ditiup angin merupakan rekaan William Travilla dan dikumpul sebelum dijual oleh Debbie Reynolds yang juga seorang pelakon veteran.

4. Painting No. 5

Lukisan bertajuk No. 5, yang dilukis pada 1948 oleh Jackson Pollock telah dinobatkan sebagai lukisan termahal dunia dalam satu acara lelongan pada 2006 dengan harga AS$140 juta (RM420 juta). Lukisan itu bersandarkan kepada teknik splattered paint dengan ukuran lapan kaki lebar dan empat kaki panjang hanya dilengkapi beberapa warna menjadikan ia kelihatan seperti sebuah sarang burung. Pemiliknya sekarang masih menjadi rahsia namun desas-desus mengatakan ia kini dimiliki David Martinez, yang memiliki syarikat Fintech Advisory Ltd.

5. The Walking Man

Arca termahal dunia yang diberi nama L’Homme qui marche I atau The Walking Man merupakan arca termahal dunia dengan harga 58 pound. Arca tersebut dicipta oleh Alberto Giacometti pada 1961. Arca bersaiz manusia ini mempunyai ukuran 183 sentimeter digelar sebagai ‘imej rendah diri manusia biasa’ telah dijual pada 2010 oleh syarikat lelongan Sotheby di London dan kini ia menjadi milik balu ahli perbankan ternama dari Lebanon, Lily Safra.

 6. Badminton Cabinet

Mungkin agak pelik namanya namun ia merupakan almari termahal di dunia. Duke of Beaufort, Henry Scudam yang hidup dari 1707 hingga 1745 telah mengarahkan pembinaan almari ini ketika berusia 19 tahun. Almari ini diperbuat dari kayu ebony dan dilengkapi puluhan batu permata bernilai dan ia diperbuat di Florence, Itali. Almari ini merupakan antara karya paling dihargai di dunia dengan ketinggian 386 sentimeter dan lebar 232.5 sentimeter. Ia kini dimiliki oleh Hans-Adam II, yang juga Putera Raja Liechtenstein pada 2004 pada harga AS$35 (RM105 juta). Ia mendapat nama dari bangunan Badminton House di Gloucestershire, England.

 7. 1936 Bugatti 57SC Atlantic

Kereta klasik keluaran 1936 telah mencatat sejarah sebagai kereta paling mahal di dunia. Kereta tersebut yang dimiliki oleh ahli keluarga mendiang Dr. Peter Williamson sebelum dijual kepada Muzium Automatif Mullin yang berpengkalan di Oxnard, California dalam satu lelongan melalui firma lelongan Gooding & Company. Sehingga kini hanya terdapat dua kereta jenis berkenaan, salah satunya dimiliki oleh pereka fesyen terkenal, Ralph Lauren. Harga sebenar penjualan kereta berkenaan tidak didedahkan. Namun menurut sumber kereta tersebut dijual pada harga antara AS$30 juta (RM96 juta) hingga AS$40 juta (RM 128 juta).

8. Eileen Gray Dragon Chair

Direka oleh seorang pereka Ireland, Eileen Gray yang turut diiktiraf sebagai antara pengasas gerakan moden dalam senibina. Kerusi ini pernah dimiliki oleh pereka terkenal Yves Saint Laurent

Namun pada 2009, dalam satu lelongan oleh rumah lelongan Christie di Paris, kerusi ini telah dilelong pada harga AS$28 juta (RM84 juta) menjadikannya kerusi termahal dunia.

9. 1794 American Silver Dollar

Duit syiling termahal dunia ini telah dijual pada harga AS$7.85 juta (RM23.5 juta). Duit syiling satu dolar ini merupakan antara yang paling sukar ditemui dan unik berbanding syiling lain kerana ia menampilkan gambar seorang lelaki berambut panjang. Duit syiling ini telah dibeli oleh The Cardinal Collection Educational Foundation of California dan ia telah dipamerkan di pelbagai muzium di seluruh dunia.

 10. Ex-Vieuxtemps Violin

Alat muzik ini merupakan yang termahal di dunia dan direka oleh Giuseppe Guarneri yang juga pereka biola termasyhur dunia sebelum dibeli komposer Belgium, Henri Vieuxtemps. Pada 2008 biola ini telah dibeli oleh seorang peguam dan pemuzik Rusia, Maxim Viktorov pada harga AS $3.9 juta (RM11.7 juta).

 11. Treskilling Yellow

Pada 1855 kerajaan Sweden telah melancarkan setem pertama yang hanya dikeluarkan sebanyak lima keping. Pada 1886 hanya satu setem ini ditemui menjadikan ia sebagai antara barang paling berharga di dunia. Setem ini telah banyak kali berpindah tangan dan pada 2010 ia telah dilelong pada harga yang tidak dinyatakan.

Pemiliknya kini hanya dinyatakan sebagai sebuah konsortium antarabangsa dan pemilik sebelumnya adalah sebuah syarikat kewangan yang berhadapan dengan masalah kewangan dan ia terpaksa dijual untuk melangsaikan hutang. Malah semua pembida dan mereka yang terlibat telah diarah untuk mengangkat sumpah bagi merahsiakan semua urusniaga yang berlaku.

p/s   Walaupun barang lama dan antik, namun barang-barang tersebut bernilai tinggi dan mahal harganya…

Tulang dinosaur dilelong RM8.25 juta

RANGKA dinosaur ‘Pasangan Bertempur’ yang dilelong kepada sebuah muzium pada harga RM8.25 juta di Dallas, Amerika Syarikat, kelmarin. – REUTERS

DALLAS 14 Jun – Sejumlah koleksi pelbagai rangka dinosaur telah dilelong, termasuk ‘pasangan bertempur’ dijual pada harga AS$2.75 juta (RM8.25 juta) kelmarin.

Koleksi pasangan bertempur tersebut yang terdiri daripada rangka dua ekor dinosaur dikenali sebagai allosaurus dan stegosaurus dibeli oleh sebuah muzium.

Kedua-dua rangka tersebut ditemui di sebuah kuari di Wyoming dengan rahang allosaurus berada di kaki stegosaurus, yang menimbulkan spekulasi kedua-dua dinosaur sedang bertempur antara mangsa dan pemangsa.

Rangka seekor triceratop pula dibeli oleh pengumpul peribadi pada harga AS$657,250 (RM1.97 juta).

Jualan oleh Heritage Auctions itu melibatkan lelongan lebih 200 bahan termasuk batu meteor, bahan mineral dan fosil lain.

Heritage Auctions enggan memaklumkan nama muzium yang membeli koleksi ‘pasangan bertempur’ itu namun menyatakan ia merupakan sebuah muzium di luar Amerika Syarikat (AS).

Pengarah sejarah alam Heritage Auctions, David Herskowitz dalam satu kenyataan berkata, beliau gembira koleksi itu menemui ‘rumah’ baru yang hebat.

”Ia merupakan spesimen ikonik era-Jurasik di mana sains tidak mengetahui kedua-dua dinosaur itu hidup pada waktu yang sama dan kini rumah baru mereka akan membolehkan orang awam menyaksikannya,” katanya.

Ahli paleontologi, Henry Galiano yang menemui rangka allosaurus dan stegosaurus pada 2007 itu berkata, ia dilelong bagi membolehkan pihaknya mengumpul dana bagi meneruskan kajian dan pencarian spesimen baru.

Beratus-ratus orang hadir ke jualan lelong di Fair Park di sini bagi melihat koleksi rangka dinosaur dan artifak lain yang jarang ditemui itu. – Reuters

p/s  Dah mati pun kena lelong…