UiTM bantu 32,485 belia miskin

80 peratus daripada mereka berjaya peroleh pekerjaan
ZABRY MOHAMAD | 27 Ogos 2015 1:36 AM
SHAH ALAM 26 Ogos – Sebanyak 32,485 pelajar daripada keluarga miskin berjaya dibantu untuk melanjutkan pengajian tinggi menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang diperkenalkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 2010.
Sahol Hamid Abu Bakar
Naib Canselor UiTM, Profesor Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 80 peratus sudah mendapat pekerjaan dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Menurutnya, kejayaan itu mungkin tidak mampu dicapai sekiranya tiada campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, Perdana Menteri banyak membantu sehingga membawa perkembangan pesat kepada UiTM.
“Sebagai penjawat awam, menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu banyak perkembangan positif yang berlaku dalam UiTM. Contohnya MDAB banyak dibantu oleh Perdana Menteri sejak dimulakan pada 2010,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Antara program yang disediakan dalam MDAB ialah kursus pradiploma bagi pelajar miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai cukup kelayakan kredit untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma.
Menerusi program tersebut, UiTM menubuhkan pelbagai bentuk tabung bagi membantu golongan berkenaan seperti tabung pelajar miskin, tabung pembangunan pelajar dan tabung zakat.
> Diperkenalkan pada 2010
> 32,485 pelajar daripada keluarga miskin dibantu
> Lepasan SPM yang tidak mempunyai cukup kelayakan kredit

PIALA MALAYSIA : JDT jumpa Perak, laluan Pahang nampak mudah

FADHILUL IZMEL ISHAK | 28 Ogos 2015 12:42 AM
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunjukkan tanda nama pasukan JDT yang dicabut sewaktu majlis undian untuk peringkat awal pertandingan Piala Malaysia di Petaling Jaya semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR – Tiga pasukan yang mempunyai ‘sejarah hitam’ antara mereka dipertemukan dalam peringkat awal pertandingan Piala Malaysia apabila juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim diundi bersama Perak dan Sarawak dalam Kumpulan B semalam.
Penyandang juara Pahang pula kelihatan mendapat laluan mudah setelah diundi dengan dua pasukan dari Liga Perdana, Pulau Pinang dan PKNS FC, selain pencabar mereka dalam Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.
Kumpulan B, yang turut diisi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dilihat sebagai ‘periuk panas’ jika melihat kepada rekod pertemuan di antara JDT, Perak dan Sarawak yang menyaksikan penyokong ketiga-tiga pasukan tersebut pernah bergaduh antara satu sama lain.
Dalam edisi Piala Malaysia tahun lalu perlawanan antara Sarawak menentang Perak di Stadium Negeri Kuching dicemari dengan insiden kekecohan yang turut menyebabkan sebuah kereta peronda polis dibakar oleh penyokong di luar stadium ber­kenaan.
Terbaru, perlawanan Liga Super antara Perak menentang JDT yang berlangsung pada 19 Ogos di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dicemari de­ngan kekecohan sehingga memaksa polis bertindak dan menahan 14 penyokong pasukan tuan rumah.
Sebanyak 16 pasukan bertanding, dibahagikan kepada empat kumpulan dalam majlis undian yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.
Kumpulan A dihuni oleh Terengganu, juara Piala FA Lions XII, juara Liga Perdana Kedah dan JDT II.
Kumpulan C dianggap sebagai kumpulan paling sukar apabila Selangor bertembung dengan dua pencabarnya dalam Liga Super iaitu Felda United, Kelantan dan pasukan Liga Perdana T-Team.
Menyentuh mengenai kemungkinan berlaku kekecohan antara penyokong semasa perlawanan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap perkara itu tidak berlaku.
“Saya berharap peminat tidak bergaduh sesama sendiri ketika me­nyaksikan perlawanan melibatkan pasukan masing-masing, sebaliknya mereka perlu menikmati sukan bola sepak itu sendiri.
“Saya sudah menyatakan perkara ini berulang kali (isu pergaduhan) dan saya berharap peminat boleh menerima setiap keputusan perlawanan dengan hati terbuka, malah selepas 90 minit perlawanan kita (penonton) boleh pulang dengan selamat, itu harapan saya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis undian.

Perhimpunan anti-Bersih ditunda

28 Ogos 2015 1:30 AM
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kumpulan anti-Bersih yang digerakkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili golongan peniaga bersetuju menunda perhimpunan 30,000 aktivis yang dirancang bagi membantah penganjuran perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara Sabtu ini.
Jamal Md. Yunos
Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, pihaknya bersetuju me­nunda perhimpunan berkenaan kepada satu tarikh lain pada bulan kemerdekaan di lokasi yang lebih sesuai seperti dinasihatkan pihak polis.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan pihaknya dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berhubung persiapan pasukan berkenaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan buruk semasa perhimpunan haram berkenaan berlangsung.
“Walaupun baju sebanyak 30,000 helai telah pun siap dan deposit untuk 200 buah bas juga sudah dibayar, kami komited menunda perhimpunan kami yang cintakan keamanan di lokasi yang lebih sesuai dengan pelbagai acara berfaedah.
“Sebagai NGO yang prokerajaan serta menghormati undang-undang, kami patuh dengan arahan polis supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang dianjurkan NGO propembangkang,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Jamal telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi dirakam percakapan berhubung siasatan polis ke atas kumpulan anti-Bersih tersebut.
Sementara itu, Jamal membe­ritahu, pihaknya telah pun memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung kes berkenaan agar siasatan lengkap dapat dilakukan.
“Kami tidak takut atau gentar untuk tampil dan bekerjasama dengan pihak polis dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.