Hakim terpengaruh tafsiran ala Barat

Mengabai peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam
SOFIAN BAHAROM | 29 Jun 2015 1:36 AM
KUALA LUMPUR 28 Jun – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meluahkan kekhuatiran beliau terhadap segelintir golongan hakim di negara ini yang sangat terpe­ngaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala Barat.
Abdul Hamid Mohamad
Kata beliau, tindakan itu menyebabkan mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.
Menurutnya, ha­kim-hakim itu mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.
Jelasnya, perkara itu telah mula dilihat dalam kes kontroversi melibatkan larangan dan hukuman terhadap tiga juru andam lelaki yang berpakaian seperti wanita di tempat awam di Negeri Sembilan sebelum ini.
Apa yang merisaukan beliau, katanya, adalah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 itu bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka juga memakai prinsip kemunasabahan (reasonableness) yang diketengahkan oleh Supreme Court (Mahkamah Agung) India yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable).
“Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung keputusan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) bahawa pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.
Dengan keputusan 5-4, mahkamah tertinggi di AS itu memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan, golongan gay dan lesbian boleh berkahwin di mana sahaja mereka tinggal di negara itu dan pihak berkuasa negeri tidak boleh melarang perkahwinan sejenis.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, alasan-alasan yang diberi oleh Mahkamah Rayuan dalam kes peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan, dilihat sangat luas implikasinya.
“Perkara itu berlaku apabila sesuatu hukum syarak boleh diisy­tiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal se­perti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara sekular itu apabila hukum syarak diukur de­ngan nilai liberal hak asasi ala Barat.
“Apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable) kepada seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah,” kata beliau.
Dengan menggunakan alasan-alasan yang sama, menurutnya, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu, undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat, kesalahan meminum minuman yang memabukkan, kesalahan zina serta liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tidak sah.
“Malah, penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis,” jelas beliau.
Advertisements

LIWAT : Mahkamah tolak semakan

SUWARNI MOKHTAR | 02 April 2015 2:17 AM
Latheefa Koya semasa hadir pada pengesahan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 1 April – Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini menolak semakan kehakiman oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sehingga 4 April ini.
Ia berikutan Anwar telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menolak petisyen rayuan yang dikemukakan kepada Ba­ginda oleh keluarga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 24 Februari lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Tuanku pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu dan berkuatkuasa serta-merta.
Hakim Datuk Asmabi Moha­mad turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM3,000 kepada semua responden di dalam semakan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh pada pendengaran semakan kehakiman tersebut dan pengesahan lanjut berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terbabit.
Amarjeet yang turut dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke memberitahu, semakan itu ditolak memandangkan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen merupakan teras kepada permohonan berkenaan.
“Beliau (Anwar) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berkuatkuasa serta-merta sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tiada asas untuk semakan kehakiman ini diteruskan,” katanya.
Dalam permohonan semakan yang difailkan pada 18 Mac lalu, Anwar menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Anwar memohon kebenaran untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 4 April ini kerana beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Hukuman yang bermula 10 Februari lalu dibuat selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.
Sementara itu, peguam Anwar, Latheefa Koya, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak pendengaran semakan tersebut.
Peguam terbabit juga dilihat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang didakwanya masih belum diterima oleh anak guamnya mahupun keluarga Anwar.
Jelasnya, tiada di dalam surat dan afidavit yang dihantar oleh Sekretariat Lembaga Pengampunan, Datuk Nursiah Arshad yang menyatakan bahawa petisyen itu ditolak.

LIWAT : Kes Anwar bukan satu konspirasi

15 Februari 2015 12:09 AM
MUKADIMAH : KES Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak 2008 telah menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang itu bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Namun, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh “orang jahat” masih dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang masih berlegar itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, AMIRUDDIN HARUN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewancara TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH yang dilantik mengetuai pendakwaan kes itu pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu. 
Menurut beliau, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tidak seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut. 
“Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah,” katanya.
MINGGUAN: Selepas 10 Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan. Bagaimana pula secara peribadi?
MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik.
Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama. Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) “Lelaki Y”. Empat-empat itu dapat “Lelaki Y”. Kalau kita bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.
Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja. Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya. Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia (Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita kata 16 tadi.
Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar. Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu keputusan tetapi kita tidak tahu siapa “Lelaki Y”. Apabila Anwar ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai tuala yang bersaiz medium.
Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA, tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia periksa, dia pun kata “Lelaki Y” tetapi tidak tahu profil DNA “Lelaki Y” yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes ini.
Dalam kenyataan Tan Sri tentang ”Anwar Ibrahim Verdict”, kenapa Tan Sri mengharapkan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara membaca fakta secara teliti dalam penghakiman sebelum membuat kesimpulan?
MUHAMMAD SHAFEE: Oleh sebab kes kita ini amat kuat. Keterangan terhadap Anwar ini terlalu kuat. Kita tidak boleh pertikai. Tak boleh hendak kata apa-apa pun berkenaan dengan fakta ini. Kalau saya jadi peguam bela dia pun, saya pening kepala sebab keterangan memang kuat. Jadi, oleh sebab keterangan itu kuat, kita berani kata sila masuk, kita tengok keterangan itu. Jangan cerita benda-benda lain. Konspirasilah, itulah dan inilah, semua itu cerita politik untuk propaganda. Kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes. Mereka tidak berani masuk fakta kes. Saya tidak pernah dengar sekalipun dalam mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan yang Anwar kata itu bukan DNA dia. Apa yang dia pertikaikan ialah cara DNA itu dikaji, cara analisis itu semua dia kata teknik salah.
Apabila dia beri keterangan dari kandang tertuduh (dock), bukan kandang saksi, jadi dia tidak boleh disoal balas. Jadi, dia penakutlah dan ada yang dia nak sembunyi. Selalunya keterangan dari dock ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi. Walhal subjek, Saiful ini tujuh hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat.
Anwar dan penyokong beliau masih anggap ini merupakan konspirasi politik dan bukan kisah aduan “serangan seksual” majikan ke atas pekerjanya. Apa komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama. Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar dibuang kerja. Kita hendak tanya Anwar, konspirasi itu apa maksudnya? Apakah konspirasi untuk kenakan dia atas perkara memang dia lakukan atau konspirasi kenakan dia atas perkara dia tak pernah lakukan. Kalau dia lakukan, kalau orang kata kita perlu siasat dan kenakan dia, itu bukan konspirasi yang salah di sisi undang-undang. Polis pun pakat kalau hendak siasat kes tetapi itu konspirasi yang tidak ada maksud membuat kesalahan undang-undang, sebab itu hak polis untuk siasat termasuk kes liwat kedua ini.
Orang tanya kenapa Saiful pergi jumpa Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum dia kena liwat pada 26 Jun 2008. Menurut Saiful, dia sudah hilang akal berkenaan kepada siapa dia hendak laporkan kerana ini Anwar, Ketua Pembangkang. Dahulu pun, Anwar menang kes itu. Apabila Saiful datang jumpa, Najib terus katakan tidak boleh dan nasihatkan Saiful jumpa Ketua Polis Negara (KPN) pada masa itu. Najib beritahu Saiful perkara ini amat sensitif dan tidak mahu orang buat tuduhan.Apabila Saiful hubungi KPN, beliau pula minta Saiful jangan telefon dia lagi kerana ingat Saiful main-main. Jadi, Saiful serba salah. Apabila perkara 26 Jun 2008 berlaku, Saiful letak jawatan kerana tidak sanggup diliwat lagi sebab sembilan kali dia kena. Saiful kata dia tidak rela tetapi terpaksa menyerah kerana dominasi Anwar terlampau kuat. Hari itu, Saiful kata tidak mahu tetapi Anwar marah dia dan minta dia masuk ke dalam bilik.
Kita hendak tanya di mana kita boleh dapat air mani Anwar? Bukan dia simpan dalam bank. Bukan hanya air mani tetapi air mani itu ada sperma. Dalam kes ini, oleh sebab antara 48 hingga 56 jam, ekor sperma sudah putus sebab proses pembusukan sudah berlaku tetapi tidak begitu ketara. Sebab itu ekor sperma itu tidak ada. Ahli kimia kata proses pembusukan itu tidak mencemarkan. Dia mendapat DNA daripada kepala sperma. Apabila dia pecahkan tiap-tiap kepala, dia ekstrak DNA. Itu yang 16 bacaan menunjukkan Anwar.
Walaupun dengan bukti-bukti kukuh ini, penyokong Anwar masih tidak percaya insiden liwat ini benar-benar berlaku tetapi masih menganggap satu konspirasi.
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam mahkamah, peguam Anwar sendiri tidak kata itu bukan dia punya DNA. Jadi, apa yang penyokong-penyokong bising. Peguam dia 14 orang, tidak pernah seorang pun kata itu bukan dia. Hanya mereka mempertikaikan proses analisis. Itu sahaja. Kalau proses analisis itu, macam mana dapat 16 daripada 16 bacaan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengatakan hukuman penjara lima tahun itu ialah pengorbanan Anwar untuk rakyat Malaysia. Tidakkah ini mengelirukan rakyat?
MUHAMMAD SHAFEE: Mana ada pengorbanan. Kalau pengorbanan, dia mengaku salahlah. Yang itu baru kita kata korban. Ini dipaksa masuk dalam penjara sebab didapati bersalah sebab dia bohong daripada awal. Awal-awal lagi dia kata pembelaan dia ialah alibi. Sebanyak 13 nama dia beri masuk tetapi seorang pun dia tak panggil sebab daripada awal lagi dia hendak tipu. Dia hendak kata dia bukan di apartment itu tetapi di apartment sebelah. Akhirnya apabila kita tunjuk kamera litar tertutup (CCTV), dia sudah terpegun. Alibi dia semua habis terbang. Saya pun hendak tengok dia panggil Wan Azizah untuk apa. Dalam keterangan dari kandang pun dia tidak kata alibi. Jadi, alibi kira lesap terus.
Anak perempuan Nurul Izzah ada bertanya kepada Anwar, “Atuk, kenapa mereka cakap pasal penjara?” Anwar cakap kepada cucunya, “Orang jahat nak sumbat atuk dalam penjara.” Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya rasa kalau dia kata orang jahat, bukan sahaja mahkamah, dia maksudkan ada konspirasi dengan kerajaan, menteri-menteri, Perdana Menteri, Pendakwa Raya dan polis pun termasuk. Kita tengok konspirasi ini. Ada satu kes di India melibatkan Sushil Sharma yang dipanggil sebagai kes pembunuhan Tandoor. Dia orang politik di Delhi, Ketua Pemuda Parti Kongres, seorang yang berpengaruh. Dia bergaduh dan menembak mati isterinya. Dia bawa mayat perempuan itu ke restorannya dan dimasukkan dalam tandoor untuk dibakar bagi hancur tetapi badan manusia bau kuat.
Polis pun tengok dan nampak ada kaki dan jari tetapi badan hampir hancur. Itu pun DNA ahli politik ini dipertikaikan. Dia kata konspirasi daripada polis, ahli kimia, kerajaan dan macam-macam lagi untuk jatuhkan karier politiknya, sama seperti Anwar tetapi semua bahan bukti ini sudah diperolehi. Dia pun buat alibi tetapi tidak pakai alibi tetapi dia lari dari tempat itu. Dia pun beri keterangan dari dock, macam Anwar 100 peratus.
Kalau konspirasi, mesti ada konspirasi daripada Saiful, kerajaan dan mungkin Kabinet, polis dan empat doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tetapi yang doktor ini menarik. Pada 28 Jun 2008, Saiful pergi ke Hospital Tawakal dahulu tetapi diberitahu hospital itu beroperasi sampai tengah hari dan tidak ada doktor.
Baru dia pergi ke Hospital Pusrawi dan jumpa dengan doktor dari Myanmar yang mahkamah kata tidak jujur. Memang dia mengaku dia buat itu semua silap. Benda yang dia tidak pernah tulis dalam rekod, selepas tiga minggu baru dia tulis untuk menyokong Anwar. Dia yang kata Saiful kena pergi HKL sebab di situ tidak ada forensik.
Apabila sampai HKL 3.30 petang, akhirnya Saiful diperiksa pukul 9.30 malam. Kamu fikirlah kalau ada konspirasi, takkan mereka tidak aturkan untuk permudahkan. Selain itu, ahli kimia pun kena masuk konspirasi. Dua ahli kimia; seorang Cina dan seorang Melayu. Doktor pun ada satu Cina dan tiga Melayu. Selepas itu pegawai penyiasat, timbalan pendakwa raya yang awal dan saya pun mesti ada dalam konspirasi dan hakim pun mesti konspirasi, tetapi hakim pertama buang kes. Mana ada konspirasi.
Kes jenayah ini, semua dikatakan konspirasi, sebaliknya apabila kes sivil yang banyak mereka menang tidak pula dikatakan konspirasi?
MUHAMMAD SHAFEE: Hakim yang dia maki hamun di Mahkamah Tinggi, hakim itu yang bebaskan dia. Apabila hakim itu bebaskan dia, dia kata keadilan ditegakkan. Cuba tengok dalam kes liwat satu, Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mereka ada baca penghakiman tentang Anwar. Dalam itu, dia kata macam-macam pasal Anwar. Seorang peguam Anwar masa itu, Christopher Fernando muncul di televisyen dan menyatakan ini hari paling istimewa bagi badan kehakiman sebab buang kes ini. Selepas itu, mereka baca keputusan dengan terperinci. Hakim kata, walaupun Anwar dilepaskan atas dasar teknikal, ada bukti-bukti menunjukkan dia homoseksual. Ada aktiviti itu berlaku di Tivoli Villa.
Pada 2014, mereka cuba buat satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk buangkan kenyataan-kenyataan berkenaan yang hakim Mahkamah Persekutuan dahulu kata, tetapi hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu kata tidak boleh kerana ini dapatan fakta daripada mahkamah. Dia kata, kita kekalkan sebab ada dasar dan sebab kukuh kenapa dapatan fakta itu dibuat. Jadi, ia jadi lebih konkrit.
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menyatakan Ketua Pembangkang sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C iaitu bagi kesalahan lebih berat yang akan mendedahkan Anwar kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. Soalnya, kenapa pasukan Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B yang tidak menetapkan tempoh penjara minimum?
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam kes 377C, kita harus tunjukkan dengan begitu jelas yang tidak ada kerelaan dia dan dibuat dengan paksaan. Jadi, Peguam Negara mungkin kata kenapa hendak pergi melalui jalan itu kerana kesalahan itu memang kesalahan, sama ada dengan kerelaan Saiful atau tidak. Hukuman maksimum penjara 20 tahun juga.
Kalau Anwar kena 377C, hukuman penjara minimum lima tahun. Kalau minimum lima tahun, dia mesti terpaksa kena penjara tujuh atau lapan tahun. Lagi satu, dia kena rotan. Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan kecuali kes 377C sebab kes itu serius. Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara.
Datuk S. Ambiga menyatakan dia kecewa kerana Tan Sri “menyerang” Anwar apabila mengeluarkan kenyataan menghina Anwar selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun bagi pertuduhan liwat. Tan Sri juga didakwa melanggar hak asasi manusia apabila “menyerang” Anwar yang tidak boleh mempertahankan diri. Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya hanya keluarkan kenyataan sebab mula-mula Christopher Leong kata ini bukan pendakwaan tetapi penganiayaan. Sebagai Presiden Majlis Peguam, dia tidak boleh bercakap macam itu. Ertinya apa? Mahkamah buat aniaya, saya buat aniaya dan polis semua buat aniaya. Takkan saya tidak ada hak asasi saya sebagai Pendakwa Raya untuk menegakkan apa yang saya buat itu betul. Saya hanya menjawab. Dia yang buka pekung dulu.
Kemudian Ambiga masuk buat cerita Barisan Nasional (BN) salah langkah untuk mempenjara Anwar. Adakah mahkamah itu sebahagian BN? Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya.
Bagaimana dengan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh? Adakah ia akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman? Tempoh itu mungkin lebih panjang sekiranya Anwar mengemukakan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
MUHAMMAD SHAFEE: Anwar ada 14 hari untuk kemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang peliknya, kalau kita hendak minta ampun, kita mesti kata kita salah dan minta ampun. Boleh kita kata kita tak salah tetapi kita hendak minta ampun. Kedua, ini bermaksud dalam 14 hari itu dia masih lagi Ahli Parlimen. Selepas 14 hari itu pun dia masih lagi ahli Parlimen. Sebab badan Parlimen kena bersidang dan membuat keputusan berdasarkan kes ini, dia harus disingkirkan, barulah keahlian hilang. Ini berdasarkan kes Ahli Parlimen daripada DAP, Fan Yew Teng pada 1975.
Sistem kehakiman dan mahkamah kita pada mata dunia sudah teruk sebab diburuk-burukkan dan dihentam. Bagaimana hendak memulihkannya?
MUHAMMAD SHAFEE: Apabila mahkamah buat keputusan setiap kes, hakim mesti tulis alasan penghakiman. Alasan penghakiman itu akan menunjukkan cara perjalanan otak hakim tersebut. Kalau tersalah tulis atau tersalah penghakiman, ia akan tertera dalam tulisan tersebut. Orang boleh baca. Jadi, standard alasan penghakiman mesti dipertingkat. Jadi, bukan sahaja kita tahu bahawa kita buat penghakiman yang baik tetapi orang juga harus tahu dengan membaca alasan yang kita buat keputusan yang baik. Jadi, penghakiman berlaku dan penyaksi penghakiman dilakukan juga mesti ada. Itu dalam bahasa Inggeris kata “not only justice must be done but justice must be seen to be done”. Sebab baru ada keyakinan.
Cara kita kendali dalam mahkamah pun mesti baik termasuk etika dan cara kita dengar. Saya percaya orang Melayu paling bagus sebagai hakim. Kita sabar dan tidak mudah hilang sabar. Bukan kita hendak jadi rasis tetapi peguam bangsa lain pun kata Melayu lebih bagus sebab kita sabar. Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya. Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah.

Perhimpunan gagal bukti rakyat hormat sistem kehakiman

16 Februari 2015 1:20 AM
SHAHIDAN KASSIM menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2015 kepada sebahagian penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan, Jejawi, Kangar, Perlis, semalam.
KANGAR 15 Feb. – Kegagalan perhimpunan haram anjuran penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur semalam, membuktikan rakyat negara ini menghormati sistem kehakiman negara yang memutuskan bahawa pemimpin pembangkang itu bersalah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, ini juga menunjukkan rakyat negara ini mencintai keamanan serta bosan dengan budaya ganas jalanan yang dianjurkan parti pembangkang.
“Kita kesal kerana dalam perhimpunan itu, peserta menggunakan bahasa-bahasa kesat dan langsung tidak menghormati budaya masyarakat negara ini. Apatah lagi kita dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya semasa menghadiri majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Seri Kenangan, Jejawi, di sini malam tadi.
Dalam majlis tersebut yang dianjurkan Wanita UMNO Bahagian Arau, Shahidan menyampaikan sumbangan termasuk buah limau kepada penghuni rumah itu.
Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
Beliau secara peribadi berpendapat, lebih baik BN menumpukan perhatian terhadap usaha pemulihan mangsa banjir di Kelantan, selain memberi fokus terhadap PRK Permatang Pauh, ekoran penyandangnya, Anwar dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan meliwat baru-baru ini.
Shahidan mengulas PRK DUN Chempaka selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam Jumaat lalu di rumahnya di Pulau Melaka.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad meminta BN berfikir panjang sekiranya mahu meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka kerana tidak akan memberikan kesan kepada struktur kerajaan Pas Kelantan.

LIWAT : Rakyat asing ulas kes Anwar jadi viral

KAMIL MASLIH | 12 Februari 2015 1:48 AM
2508 3 Google +3
ULASAN John Preston tentang Anwar Ibrahim dalam Facebook, semalam
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Ulasan seorang pengguna Facebook yang berbangsa Inggeris menjadi viral dalam media sosial kerana menyokong hujah hukuman penjara dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Bagi pengguna Facebook ber­kenaan, John Preston, Anwar telah diberi peluang untuk memberi kete­rangan bersumpah bagi membela dirinya di mahkamah namun kesempatan itu langsung tidak digunakan.
“Dia mempunyai mulut yang besar (banyak bercakap) di luar mahkamah tetapi di dalam mahkamah, dia tidak berkata apa pun.
“Ia banyak mengkritik sistem perundangan namun penjara sebenarnya penuh dengan mereka yang mendakwa mereka tidak melakukan (kesalahan),” kata pengguna Facebook itu dalam kiriman media sosial yang tersebar meluas hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar terhadap kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari dan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
Menurut Preston, banyak fakta yang menyabitkan Anwar kepada sabitan bersalah itu termasuk keengganan Anwar untuk bersum­pah dengan kitab suci al-Quran.
“Daripada apa yang saya baca, Anwar telah menarik balik saksi alibinya kerana ada bukti kamera litar tertutup (CCTV) yang akan menyangkalnya… bukti DNA (asid deoksiribonukleik) juga 100 peratus berpadanan,” katanya.
Katanya, Anwar perlu menjalani hukuman itu dan beliau berharap Anwar berhenti untuk menjatuhkan lagi kedudukan Malaysia.
AS, Australia tidak perlu tunjuk pandai
ANALISIS
ZULKIFLEE BAKAR | 12 Februari 2015 1:48 AM
SEPERTI diduga Amerika Syarikat (AS) dan Australia kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mendapati Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.
Mereka mempersoalan keputusan itu dan mengaitkannya dengan soal kebebasan kehakiman serta kedaulatan undang-undang di negara ini. Ternyata kedua-dua negara masih lagi bersikap jahil dan jumud dalam memperkatakan soal tersebut.
Ternyata sekali, kenyataan yang dibuat hanya berlandaskan kepada emosi semata-mata dan bukannya berdasarkan kepada fakta. Apakah pada pandangan mereka hanya Anwar didapati tidak bersalah sahaja sistem kehakiman negara ini dianggap bebas dan kedaulatan undang-undang ditegakkan?
Anwar bukannya dihukum secara membuta tuli tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta kes seperti mana yang tertera dalam penghakiman yang dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria. Malah kalau mahu dikaji kes Anwar boleh dianggap paling unik dalam sejarah undang-undang negara apabila kes itu berlanjutan selama 6 tahun, 5 bulan, 10 hari dengan penangguhan sebanyak 115 kali dan 18 kali rayuan permohonan.
Malah Anwar juga diberi peluang untuk membela diri dengan seluas-luasnya apabila diwakili oleh 14 peguam yang mempunyai latar belakang hebat-hebat belaka. Sepatutnya sebelum AS dan Australia membuat apa-apa hujah mereka perlu satu demi satu fakta kes tersebut. Kaji secara mendalam barulah membuat ulasan.
Tetapi sudah menjadi dasar kedua-dua negara itu, mereka mahu orang lain mengikut apa kehendak mereka apatah lagi jika seseorang itu mempunyai hubungan baik dengan mereka. Namun tindakan AS dan Australia yang seolah-olah mahu mengajar negara ini soal kebebasan kehakiman dan hak asasi manusia ibarat ‘ayam berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis’.
Oleh itu, tidak payahlah kita memeningkan kepala memikirkan keceluparan kedua-dua negara itu untuk mencampuri urusan dalaman negara ini. AS dan Australia sepatutnya belajar untuk menghormati kedaulatan negara ini.
Jangan cuba tunjuk pandai untuk mengajar negara ini bagaimana untuk menegakkan keadilan. Banyak lagi kes-kes di kedua-dua negara itu yang menunjukkan mereka tidaklah sehebat mana dalam soal hak asasi manusia. Kita tidak perlu sebut kes, semua orang tahu. Justeru tindakan mereka juga ibarat ‘tunding kain orang lain terkoyak kain sendiri sudah terlondeh.’’
Apa yang penting AS dan Australia perlu belajar lagi untuk menentukan apakah hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman hanya terpakai untuk pemimpin-pemim­pin pembangkang di negara ini sahaja sehingga nasib rakyat kecil seperti Mohd.Saiful Bukhari tidak perlu diambil kira?
Jika AS dan Australia berasa kecewa dengan keputusan mahkamah, majoriti rakyat negara ini lebih kecewa kerana kedua-dua negara itu masih belum mahu belajar erti menghormati kedaulatan undang-undang negara lain dan akibat sikap itulah banyak negara Islam porak-peranda kerana mereka!

LIWAT : Penyokong Saiful bersurai secara aman

11 Februari 2015 1:37 AM
Penyokong Mohd. Saiful Bukhari Azlan turut mengikuti keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 10 Feb. – Penyokong Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersurai dengan aman selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.
Sepanjang sesi pendengaran keputusan kes tersebut hari ini, sebanyak 500 penyokong Mohd. Saiful Bukhari berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman sejak pukul 8.30 pagi yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Suara Inspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan.
Mereka yang hadir akur mendengar arahan bersurai daripada Suhaimi selepas mahkamah membuat keputusan bagi mengelakkan sebarang provokasi daripada penyokong Anwar yang turut berkumpul seawal pukul 8 pagi.
Menurut Suhaimi, 500 penyokong itu merupakan rakyat yang prihatin dengan nasib Mohd. Saiful Bukhari selain ingin melihat keadilan ditegakkan.
“Kehadiran penyokong Mohd. Saiful Bukhari ini bukan ditaja sesiapa seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak daripada pakatan pembangkang, sebab itu juga pergerakan kita tidak teratur sebagaimana penyokong Anwar.
“Saya ingin tegaskan bahawa sokongan ini berdasarkan kepada keprihatinan rakyat dan pihak kami menerima segala keputusan mahkamah hari ini. Alhamdulillah nampaknya keputusan menyebelahi Mohd. Saiful Bukhari,” katanya ketika ditemui pemberita di di sini.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lalu terhadap sabitan meliwat Mohd. Saiful Bukhari.
Menurut Suhaimi, keputusan Mahkamah Persekutuan itu me­nunjukkan badan kehakiman negara amat adil dalam membuat sebarang keputusan walaupun didesak pelbagai pihak memandangkan kes berkenaan melibatkan individu berprofil tinggi.
“Saya minta semua pihak me­nerima keputusan ini dan keputusan yang telah dibuat ini tidak perlu dipertikaikan kerana apa yang diputuskan tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur politik,” katanya.

Penyokong Anwar cetus provokasi rempuh sekatan

11 Februari 2015 1:37 AM
PENYOKONG Anwar Ibrahim cuba merempuh masuk ke pekarangan Istana Kehakiman selepas Ketua Pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/IRWAN MAJID
PUTRAJAYA 10 Feb. – Para penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan provokasi apabila cuba merempuh penghadang besi yang diletakkan di pintu belakang Istana Kehakiman di sini hari ini.
Sebelum kejadian, kesemua penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkumpul di pintu hadapan pekarangan Istana Kehakiman tersebut sebelum bertindak bergerak ke pintu belakang bagi memberi lambaian terakhir buat Anwar.
Keadaan bertambah tegang apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua cuba melakukan provokasi me­rempuh masuk ke dalam kawasan tersebut, meskipun pihak polis tidak membenarkannya masuk.
Bagaimanapun, beliau tetap berdegil masuk ke pekarangan Istana Kehakiman meskipun polis mengawal ketat kawasan tersebut.
Tian Chua bersama beberapa pemimpin PKR seterusnya berjaya memasuki kawasan pekarangan Istana Kehakiman kira-kira pukul 1 petang.
Susulan daripada itu, penyokong-penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh sekali lagi membuat provokasi apabila mereka merempuh pagar untuk masuk di pekarangan Istana Kehakiman dan mula tidak mengendahkan arahan polis selepas melihat kenderaan yang membawa Anwar keluar dari kawasan tersebut.
Bagaimanapun, kekecohan berjaya dileraikan selepas polis berjaya menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kha Heng kira-kira pukul 3 petang kerana merempuh pagar dan menghalang kereta polis keluar dari kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika ditemui mengesahkan perkara tersebut membe­ritahu, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang mencetuskan huru-hara kerana mengganggu perjalanan prosiding mahkamah.
Katanya, meskipun pada awalnya perjalanan sepanjang proses tersebut berjalan lancar namun terdapat segelintir penyokong Anwar menimbulkan kekecohan menerusi percubaan merempuh penghadang besi.
“Kita telah maklumkan kepada mereka bahawa penyokong tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah dan mereka hanya boleh berada di luar Istana Kehakiman.
“Namun mereka tetap berdegil dan mengganggu anggota kami dalam menjalankan tugas,” katanya.
Mengenai penahanan ADUN Simpang Pulai, Abdul Razak memberitahu Kha Heng akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, hampir lebih 500 penyokong Anwar berhimpun di hadapan Istana Kehakiman sejak pukul 8.30 pagi dan menggunakan kesempatan berkenaan de­ngan menganjurkan demonstrasi di kawasan berkenaan sambil mengutuk institusi kehakiman yang didakwa berat sebelah.
Namun penyokong Anwar ber­tindak meninggalkan pekarangan Istana Kehakiman sebaik sahaja keputusan rayuan kes liwat pe­mimpin pembangkang tersebut ditolak Mahkamah Persekutuan.