CELAH GELEGAR: Putrajaya beri amaran sebar berita palsu 1MDB bole…

CELAH GELEGAR: Putrajaya beri amaran sebar berita palsu 1MDB bole…: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak didapati menyebarkan berita…

Advertisements

HASUTAN : Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan

Disiasat mengikut Akta Hasutan
MASZUREEN HADZMAN | 31 Mac 2015 1:37 AM
AHMAD Fadli Shaari (depan, dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas menunjukkan salinan laporan polis terhadap The Malaysian Insider di IPD Kota Bharu, semalam. – UTUSAN /YATIMIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 30 Mac – Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.
Ketiga-tiga mereka masing-ma­sing merupakan pengarang bahasa Inggeris portal itu, Lionel Morais, 47, Pengarang Bahasa Melayu, Amin Shah Iskandar, 35, dan Pengarang Rencana serta Analisis, Zulkifli Sulong, 53.
Mereka ditahan semasa serbuan di pejabat portal itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 5.45 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, turut dirampas ialah komputer riba dan telefon bimbit.
“Serbuan dibuat bagi mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dibuat portal propembangkang itu. Kesemua mereka ditahan di lokap Jinjang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya turut mengesahkan penahanan tiga pengarang terlibat.
“@PDRMsia sahkan bahawa tiga kakitangan The Malaysian Insider te­lah ditahan untuk siasatan. Siasatan bersama oleh PDRM dan @SKMM di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memberitahu sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat The Malaysian Insider berhubung laporan-laporan yang disiarkan dalam portal itu.
Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal tersebut.

POLITIK BANGANG : Rombak struktur organisasi SKMM

Perlu proaktif tangani fitnah, penghinaan dalam internet
KAMIL MASLIH | 02 Disember 2014 2:26 AM
KUALA LUMPUR 1 Dis. – k ementerian Komunika­si dan Multimedia dige­sa merombak semula struktur organisasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar lebih proaktif dalam menangani pelbagai bentuk fitnah dan penghinaan yang berlaku dalam internet khususnya menerusi media sosial.
Jamal Md. Yunus
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunus meminta menteri terlibat, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk membuat tindakan dras­tik meletak­kan go­longan yang mempunyai karisma serta jiwa kenegaraan dalam SKMM bagi menyelesaikan masalah tersebut yang tidak pernah selesai sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
“SKMM adalah satu badan yang juga bertanggungjawab menjaga ketenteraman negara, kita tidak mahu perkara-perkara provokasi yang membimbangkan rakyat di­lihat secara sambil lewa oleh pengerusi atau struktur organisasi SKMM.
“Sebagai contoh, pelbagai fitnah dilakukan Red Bean Army (RBA) terhadap kerajaan, gambar babi di Kaabah dalam Facebook serta perbuatan mencerca pemim­pin dan raja-raja Melayu, rakyat melihat perkara itu tidak dapat ditangani, jadi lebih baik SKMM diganti oleh orang yang jiwanya ada semangat kenegaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Jamal, tindakan proaktif SKMM itu perlu dilakukan berikutan masalah fitnah dan hasutan yang berlegar di dalam media sosial tersebut turut disentuh oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 baru-baru ini.
Katanya, maklum balas SKMM terhadap pelbagai penghinaan dan fitnah di dalam internet bukan sahaja lambat malah ada yang tiada langsung sehingga pelaku perbuatan itu terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.
“Kita hendak melihat ketegasan tanpa perlu menunggu orang ramai marah baru hendak bertindak, masalah ini bukan kerana kerajaan lemah atau undang-undang tiada tetapi tanggungjawab ini yang perlu dipikul oleh SKMM secara proaktif.
“Menteri Komunikasi dan Multimedia kena bertindak tegas, kita mahu tindakan sekarang, kita tidak mahu laungan semasa ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO hanya tinggal sebagai ucapan tanpa tindakan, jangan tunggu lama untuk bertindak,” katanya.
Katanya, laman media sosial tidak boleh dibiarkan tanpa sekatan dan pihak polis memerlukan kerjasama serta sokongan lebih padu daripada SKMM bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang begitu kurang ajar dalam menghina agama, bangsa dan negara.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rombak-struktur-organisasi-skmm-1.31679#sthash.yAR9mjLy.dpuf


Bajet 2015 diyakini mampu rancakkan industri komunikasi

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Bajet 2015 diyakini mampu memberi kesinambungan kepada usaha berterusan negara dalam merancakkan industri komunikasi dan multimedia ke arah mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berkata, bajet kali ini lebih memberi fokus kepada peningkatan kandungan digital kreatif dan jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menjana pembangunan ekonomi maya.
“Usaha ini penting bagi melonjakkan kandungan digital tempatan ke persada antarabangsa dan turut selari dengan inisiatif kita baru-baru ini dalam penganjuran ekspo dan persidangan KL Converge yang telah memaparkan potensi industri kreatif tempatan serta serantau melalui platform penyatuan idea dan pengagihan kandungan digital.
“Bajet tersebut juga membantu meneruskan inisiatif merancakkan industri kreatif melalui dana industri kandungan digital dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SKMM merangkumi industri animasi, perfileman, seni reka, warisan budaya serta kandungan dalam talian termasuk portal internet dan aplikasi mudah alih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Sharil turut berterima kasih kepada kerajaan yang terus berusaha meningkatkan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi memacu budaya serta gaya hidup digital di samping merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Bajet 2015 terus memperlihatkan komitmen kerajaan melalui peruntukan sebanyak RM2.7 bilion bagi tempoh tiga tahun untuk membangunkan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan ekonomi berimpak tinggi, meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara.
“Ia juga melibatkan pembinaan 1,000 menara pencawang telekomunikasi baharu dan pembinaan kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein berkata, Bajet 2015 dapat mengimbangi usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat terutama bagi memiliki kediaman sendiri.
“Ketika negara berhadapan dengan peningkatan harga hartanah dan rakyat terutamanya golongan muda berdepan kesukaran membuat pinjaman perumahan, sekiranya peminjam terus bergantung kepada simpanan KWSP untuk membeli rumah, pencarum bakal berdepan masalah apabila bersara kelak.
“Sehubungan itu, kami amat mengalu-alukan pewujudan Skim Perumahan Belia untuk pembeli pertama yang dibentangkan dalam Bajet 2015. Melalui skim tersebut, pencarum bukan sahaja dapat memiliki kediaman sendiri, malah mampu meluaskan pelaburan dan bersedia dengan dunia persaraan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_16/Bajet-2015-diyakini-mampu-rancakkan-industri-komunikasi#ixzz3FzhE2rL2 © Utusan Melayu (M) Bhd 



UPSR: 3 guru direman

Oleh NORLIZAH ABAS dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
ANGGOTA polis membawa tiga guru untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan UPSR di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 17 Sept. – Tiga lagi guru termasuk seorang wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka yang berumur di antara 24 dan 36 tahun bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Jumlah itu menjadikan seramai lapan individu termasuk seorang jurutera berusia 34 tahun dan seorang guru besar ditahan reman sejak Isnin lalu.
Jurutera lelaki itu yang bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak serta menetap di Kemaman, Terengganu direman selama empat hari bermula semalam.
Esok, tahanan reman empat hari bermula Isnin lalu terhadap tiga guru termasuk seorang guru besar dari Pulau Pinang dan seorang ejen insurans dari Sentul di ibu negara, selesai.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 iaitu kesalahan memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan rasmi yang dikategorikan sebagai rahsia kerajaan secara salah.
Kesemua individu terbabit ditahan di beberapa tempat sekitar Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan ibu negara.
Polis turut merampas beberapa gajet telekomunikasi milik mereka bagi membantu siasatan.
Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.
Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.
Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Sementara itu, polis menahan seorang guru wanita di Labis, Johor dan seorang guru lelaki di Nilai, Negeri Sembilan lewat petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua guru itu akan direman esok di Putrajaya.
Penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua yang ditahan bagi membantu siasatan kebocoran soalan UPSR meningkat kepada 12 orang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140918/ma_01/UPSR-3-guru-direman#ixzz3DdA8en00  © Utusan Melayu (M) Bhd


UPSR: Empat guru ditahan

Oleh AZRAI MOHAMMAD dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
Sebahagian calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah terdiri daripada murid Orang Asli berada di luar kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mas, Sungai Lembing, Kuantan, selepas peperiksaan itu dibatalkan baru-baru ini. – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Siasatan polis dalam mencari dalang yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menunjukkan perkembangan positif apabila Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur hari ini menahan empat guru termasuk seorang wanita di Pulau Pinang dan Perak.
Kesemua suspek yang berusia di antara 30 hingga 54 tahun itu masing-masing ditahan dalam serbuan yang bermula pukul 3.30 petang.
Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, tiga daripada guru terbabit ditahan di Pulau Pinang dan seorang lagi ditahan di Parit Buntar, Perak.
“Kita turut merampas beberapa gajet telekomunikasi milik keempat-empat suspek bagi membantu siasatan. Kesemua suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kong Meng, polis turut mengambil keterangan tiga lagi individu untuk membantu siasatan kes yang sama.
Katanya, jumlah itu menjadikan individu yang telah diambil keterangan setakat ini bertambah kepada 10 orang.
Ujar beliau, kesemua tiga individu terbabit bertugas sebagai guru dan tujuh lagi individu yang telah diambil keterangan sebelum ini ialah enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta seorang wartawan.
Tambahnya, polis kini giat mengumpul keterangan serta meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melihat bagaimana kebocoran tersebut boleh berlaku.
“Sehubungan itu, saya meminta kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kes ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kong Meng memberitahu, dua daripada guru yang ditahan itu telah dibebaskan dengan jaminan selepas kenyataan mereka dirakamkan malam ini.
Katanya, sekiranya siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam masa 24 jam, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap dua guru lagi esok.
Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.
Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.
Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Susulan kejadian tersebut, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM, Dr. Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.
Sementara itu, di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri, Osmain Hussain mengesahkan negeri itu terlibat dalam siasatan polis dalam kes kebocoran kertas soalan UPSR.
Namun, beliau enggan mengulas perkara itu atas nasihat pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140915/dn_03/UPSR-Empat-guru-ditahan#ixzz3DYGtysdA  © Utusan Melayu (M) Bhd 




UPSR : Hukuman maksimum wajar

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
Idris Jusoh menunjukkan plastik pembalut kertas soalan pada sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam. Turut bersama beliau Misrah Ibrahim (kiri) dan Dr. Na’ imah Ishak. – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 12 Sept. – Empat lokasi panas termasuk beberapa individu telah dikenal pasti oleh pasukan penyiasat yang terlibat dengan siasatan isu kebocoran kertas soalan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, maklumat itu diperoleh selepas pasukan penyiasat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pendidikan memulakan siasatan berhubung kes tersebut sejak semalam.
Beliau berkata, siasatan rapi dan terperinci akan terus dilakukan sehingga pengkhianat-pengkhianat itu diberkas dan kemudian dibawa ke muka pengadilan ekoran tindakan tidak amanah mereka yang menyebabkan 473,175 calon UPSR dan hampir sejuta ibu bapa terjejas.
“Kementerian memandang serius apa yang berlaku ini dan kita akan meneruskan kerjasama dengan pihak polis dan SKMM untuk menahan pengkhianat-pengkhianat ini bagi tujuan membawa mereka ke muka pengadilan atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
“Sekiranya sabit kesalahan pengkhianat-pengkhianat yang terbukti membocorkan dua kertas soalan berkenaan wajar menerima hukuman peringkat paling maksimum,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Misrah Ibrahim dan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na’imah Ishak.
Selain melibatkan jumlah pelajar sebanyak 473,175 orang, UPSR tahun ini turut membabitkan 51,438 petugas 8,299 pusat peperiksaan dan 382 bilik kebal.
Dalam perkembangan berkaitan Idris berkata, pasukan penyiasat akan terus menyenarai pendek mana-mana pihak yang disyaki terlibat di dalam kes tersebut sepanjang siasatan dijalankan.
Ketika ditanya sama ada ‘orang dalam’ terlibat di dalam kes tersebut memandangkan prosedur operasi standard (SOP) UPSR amat ketat, Idris berkata, perkara itu belum dapat dipastikan apatah lagi kes itu masih di peringkat siasatan.
“Walau apa pun kita tetap berdukacita dengan apa yang berlaku. Disebabkan terdapat satu atau dua orang mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, kepentingan 473,175 calon-calon UPSR terjejas. Hampir sejuta ibu bapa turut menerima nasib yang sama.
“Tidak kira siapa yang melakukan perbuatan ini mereka perlu menerima hukuman yang setimpal,” katanya.
Dalam pada itu Idris berkata, pihak kementerian amat bersimpati dengan kesemua calon UPSR kerana terpaksa mengambil semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini selepas kedua-dua kertas soalan asal terpaksa dibatalkan oleh Lembaga Peperiksaan.
“Saya amat berharap guru-guru kaunseling bersiap sedia sekiranya terdapat pelajar-pelajar kita ini memerlukan nasihat atau kaunseling daripada mereka.
“Sekali lagi saya bagi pihak kementerian memohon maaf kepada semua pelajar dan hampir satu juta ibu bapa ekoran kes ini yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_01/Hukuman-maksimum-wajar#ixzz3DXdYZTLc  © Utusan Melayu (M) Bhd