Kerjasama keselamatan ASEAN

NAJIB Tun Razak mengiringi Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah (tengah) melihat Pelancar Peluru Berpandu Anti Pesawat RBS70NG dalam Pameran Pertahanan dan Sekuriti 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Hishammuddin Tun Hussien (kanan). – UTUSAN/MOHD . FARIZWAN HASBULLAH
KUALA LUMPUR 14 April – Kerjasama serantau untuk memperkukuhkan ASEAN dan hubungan lebih erat dengan negara-negara lain di dunia perlu sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran kese­lamatan pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peningkatan pengaruh global di Asia termasuk Asia Tenggara datang bersama peluang dan juga risiko.
Menurut beliau, negara-negara ASEAN boleh memilih untuk beker­jasama bagi meraih manfaat hasil daripada kestabilan dan bukannya menanggung kesan akibat konflik.
“Kita mesti meneruskan usaha generasi terdahulu iaitu memperkukuhkan ASEAN, ekonomi se­rantau, kumpulan sosial dan keselamatan yang memberikan setiap negara anggota kekuatan kolektif jauh melebihi keupayaan individu.
“Sebagai salah sebuah negara pengasas, dasar luar Malaysia tanpa ASEAN adalah sukar difahami. Kami percaya kekuatan dan kejayaan ASEAN bukan sahaja perlu dari segi ekonomi, malah dari segi kepentingan strategik,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Forum berkenaan dianjurkan sem­pena pameran Perkhidmatan Per­tahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini mulai hari ini sehingga 17 April ini.
Najib seterusnya mengiringi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah melawat pameran DSA 2014 dan menyaksikan demonstrasi ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perdana Menteri memberitahu, Malaysia sedang dalam proses membuat persiapan untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan dan juga bidaan untuk menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau menjelaskan, pada masa sama Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam menangani konflik-konflik dalaman apabila diperlukan.
“Terdapat beberapa contoh positif dalam menangani situasi sedemikian. Pertikaian antara Malaysia dan Indonesia berhubung Pulau Sipadan dan Ligitan telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
“Selain itu, pertikaian antara Malaysia dan Singapura tentang Pedra Branca (Pulau Batu Putih) turut diselesaikan menerusi kaedah yang sama sekali gus membuktikan diplomasi serta pematuhan undang-undang antarabangsa mesti diutamakan,” ujarnya.
Najib menambah, ASEAN juga membuka ruang untuk penyelesaian konflik dan usaha itu berjaya mengurangkan ancaman keselamatan di rantau berkenaan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan pihak berkuasa negara itu di atas bantuan yang diberikan kepada Malaysia ketika menghadapi krisis Lahad Datu tahun lalu.
“Dengan sukacitanya saya memaklumkan kita telah membalas jasa Filipina itu dan menunjukkan komitmen kita terhadap kedamaian berkekalan di rantau ASEAN menerusi penglibatan dalam proses rundingan Perjanjian Komprehensif Bangsamoro yang memasuki fasa terakhir tahun ini,” jelasnya.
Beliau berkata, perjanjian itu merupakan contoh yang jelas tentang bagaimana kerjasama erat dan semangat persahabatan boleh mengatasi konflik serta memadamkan pergolakan di rantau ASEAN.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140415/dn_01/Kerjasama-keselamatan-ASEAN#ixzz2yulbFBx9  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Gagasan ASEAN Berteraskan Rakyat

NAJIB Tun Razak semasa menghadiri Program Kolokium Nasional yang bertemakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015: Ke arah ASEAN Berteraskan Rakyat yang turut disertai Mustapa Mohamed (dua kanan) di Hotel Double Tree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR 8 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan melaksanakan gagasan ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ apabila menduduki jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan bagi menjadikan rantau ini sebagai tempat tinggal yang selesa untuk semua lapisan penduduk.
Perdana Menteri berkata, gagasan itu akan menjadi instrumen lebih berkesan untuk merealisasikan impian penduduk di rantau ASEAN iaitu ke arah tadbir urus kerajaan yang lebih efektif dan responsif, standard kehidupan lebih baik, pengukuhan perlindungan persekitaran, pengupayaan golongan wanita dan menawarkan peluang lebih baik untuk semua masyarakat.
“Gagasan ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ adalah visi Malaysia untuk melibatkan semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti ASEAN. Rantau ini tidak lagi akan menjadi tempat untuk golongan elit dan istimewa semata-mata.
“Sebuah komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat akan benar-benar menjadikan ‘Satu ASEAN untuk Semua’,” katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Kolokium Nasional yang bertemakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015: Ke arah ASEAN Berteraskan Rakyat di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin serta duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara ke Malaysia.
Najib berkata, Malaysia yang mempunyai nisbah kebergantungan perdagangan keempat terbesar di dunia memerlukan persekitaran rantau yang stabil untuk terus berkembang maju dan dalam hal ini, penyelesaian berhubung isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan antara negara-negara ASEAN dan China adalah penting.
Di samping itu, katanya, masalah konflik dalaman negara-negara anggota terus menjadi kebimbangan yang perlu ditangani di rantau ini, di samping memenuhi harapan rakyat untuk tadbir urus kerajaan yang lebih baik dan demokratik.
“Atas alasan-alasan ini, Malaysia mengenalpasti ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ sebagai elemen asas dan tema menyeluruh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menggariskan empat cabaran yang perlu ditangani ASEAN pasca 2015 yang cabaran pertamanya ialah menangani jurang antara ‘cara ASEAN’ yang memberikan penekanan kepada hubungan peribadi dan perjanjian di belakang tabir dengan pendekatan berdasarkan peraturan bagi menjaga kepentingan pelabur dan negara-negara anggota.
Seterusnya, matlamat ASEAN perlu dinyatakan dalam terma yang lebih konkrit dan relevan yang memperlihatkan kepentingannya supaya pertubuhan itu mempunyai perbincangan yang fokus terhadap isu-isu kritikal seperti perubahan iklim serta masalah jerebu, kata Najib.
“Pencapaian dan kepentingan ASEAN juga mesti diketahui ramai. Kurangnya kesedaran mengenai ASEAN dalam kalangan rakyat merupakan halangan utama bagi memenuhi visi ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’. Kajian oleh Sekretariat ASEAN pada 2012 menunjukkan hanya 34 peratus rakyat Malaysia pernah mendengar Komuniti ASEAN berbanding 96 peratus rakyat Laos,” katanya.
Beliau berkata, cabaran keempat ialah perlunya langkah-langkah untuk mengukuhkan penyelarasan dan bersepadu bagi mewujudkan kecekapan serta mengelakkan pertindihan dalam kalangan negara-negara anggota.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau percaya institusi-institusi yang diterajui ASEAN seperti sidang Kemuncak Asia Timur boleh menerokai kaedah-kaedah baharu bagi menggalakkan kerjasama serantau dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) supaya negara-negara anggota lebih bersiap sedia apabila berlaku tragedi seperti kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.
Beliau turut menyatakan amat tersentuh dengan sokongan yang ditunjukkan negara-negara rakan antarabangsa Malaysia dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada bantuan yang dihulurkan sepanjang pencarian pesawat itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_02/Gagasan-ASEAN-Berteraskan-Rakyat#ixzz2yXJKQCRd  © Utusan Melayu (M) Bhd


Jambatan persahabatan

NAJIB Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) bermesyuarat dengan delegasi Singapura yang diketuai Lee Hsien Loong (kiri) semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-5 selama dua hari di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 7 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.
Beliau berkata, rancangan itu yang merupakan inisiatif jangka masa panjang dijangka meningkatkan hubungan jalan raya dan menambah baik keadaan alam sekitar.
“Salah satu rancangan jangka masa panjang adalah dengan membina jambatan persahabatan bagi meningkatkan hubungan jalan raya, menambah baik keadaan alam sekitar, sekali gus menjadi simbol persahabatan kedua-dua negara.
“Rancangan ini merupakan rancangan jangka masa panjang dan kedua-dua negara akan mengkaji lebih lanjut tentang inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut dibuat kerana kapasiti kenderaan yang melalui Tambak Johor untuk ke negara jiran itu semakin bertambah.
Menurut Najib, pembinaan jambatan tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif baharu yang dirancang, selain untuk mewujudkan kawalan sempadan bersama antara kedua-dua negara berjiran itu.
Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, rakyat kedua-dua negara yang hendak memasuki salah sebuah negara hanya perlu melalui sekali pemeriksaan sahaja.
Hsien Loong ketika mengulas perkara sama berkata, rancangan jambatan persahabatan itu telah dibincangkan, namun katanya, tumpuan utama Singapura pada masa ini adalah meningkatkan kemudahan laluan jalan raya antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan untuk membina jambatan yang bakal menjadi simbol ikonik kepada kedua-dua negara itu akan tetap dikaji secara mendalam sebagai salah satu kaedah mengurangkan kesesakan.
Sementara itu, ditanya tentang inisiatif yang diambil oleh Singapura bagi mengurangkan kesesakan ketika memasuki ke negara itu, Hsien Loong berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah biometrik untuk pengguna yang kerap memasuki negara itu.
“Pengguna yang kerap memasuki Singapura hanya perlu menggunakan kaedah biometrik dan hanya perlu mengimbas ibu jari dalam tempoh 10 saat dan semua data dan maklumat akan terpapar. Kita harap 90 hingga 95 peratus pengguna terbabit akan menggunakan kaedah ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_03/Jambatan-persahabatan#ixzz2yFem4w4N  © Utusan Melayu (M) Bhd

Brunei mula laksanakan hukum hudud

Sultan Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN 2 April – Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut.
Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam.
Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi.
Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa.
Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan.
Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku.
“Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan,” ujar Gil.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140403/lu_01/Brunei-mula-laksanakan-hukum-hudud#ixzz2xnNgYf3X  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Harapan baharu bagi Bangsamoro

Seorang wanita Islam (kiri) melukis bendera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pipi ibunya semasa satu perhimpunan menyokong pemeteraian perjanjian antara kumpulan pemisah itu dengan kerajaan Filipina di Cotabato City, Mindanao, selatan Filipina, semalam. – AFP
COTABATO CITY 27 Mac – Penduduk di wilayah Mindanao menaruh harapan tinggi terhadap Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang dimeterai hari ini sebagai permulaan baharu bagi kehidupan mereka di selatan negara ini.
Malah mereka berharap perjanjian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia sebagai orang tengah itu turut menjadi petanda berakhirnya keganasan sejak empat dekad lalu yang menyaksikan peluang, kehidupan dan ekonomi wilayah berkenaan jauh ketinggalan.
Portal berita Filipina, inquirer.net yang memetik kenyataan seorang petani dari Sultan Kudarat di Maguindanao, Tato Sumagka, 47, berkata, dia bersama penduduk kampung lain bersorak kegembiraan apabila mendengar berita tentang pemeteraian perjanjian bersejarah itu.
Tato berkata, dia hidup dalam suasana keganasan di Mindanao sejak usia muda ekoran perbalahan antara kumpulan pemisah dan tentera kerajaan.
“Saya telah menyaksikan pepe­rangan, kehilangan jiwa dan peluang untuk menaikkan taraf hidup kami. “Sejak kecil, saya hidup sebagai pelarian sebanyak beberapa kali dan hanya pulang ke rumah selepas keadaan kembali pulih,” kata petani itu yang mengakui enggan menyertai MILF atas sebab yang tidak dinyatakan.
Sementara itu, penjual beras, Kautin Sumalindig, 53, turut berkongsi pendapat apabila menyuarakan keletihannya terhadap perang yang berlaku di Mindanao.
Jelasnya, penduduk tempatan terutamanya etnik Bangsamoro telah lama inginkan keamanan di wilayah ini. Tambahnya, dia terpaksa menjual ladangnya di Datu Piang dan menjalankan perniagaan di Cotabato City gara-gara peperangan.
“Kami telah menyaksikan banyak perjanjian damai sebelum ini, tetapi tiada perubahan ekonomi dan pembangunan yang dapat kami kecapi. Walaupun saya gembira dengan perjanjian baharu kali ini, saya tetap bersedia dengan ke­mungkinan yang lebih teruk,” katanya.
Kenyataan Kautin turut diso­kong oleh Odin Latip yang sejak kecil menjadi pelarian akibat perang di Mindanao. Katanya, penduduk Mindanao pernah berasa gembira menyambut perjanjian damai antara Filipina-MILF pada 1996, namun keganasan masih berterusan sehingga mengorbankan banyak nyawa.
“Kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas perjanjian kali ini dimeterai,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_03/Harapan-baharu-bagi-Bangsamoro#ixzz2xDSfPueg  © Utusan Melayu (M) Bhd