Penguat kuasa MBPP dihina _ Betul kata Tajuddin LEMPANG AJE

Video dua pemuda bertindak biadab menjadi viral
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL | 09 Oktober 2015 1:02 AM
SEORANG lelaki mencampakkan wang kompaun serta mengherdik anggota penguat kuasa MBPP yang terpaksa mengutipnya ketika rakan lelaki itu cuba membuka kunci pada tayar kereta dalam rakaman video yang menjadi viral di internet.
PULAU PINANG 8 Okt. – Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa pihak berkuasa me­nyiasat segera perbuatan biadab dua pemuda Cina terhadap anggota penguat kuasa mereka yang sedang melakukan tugas dalam kejadian di Lebuh Campbell di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Sambil melahirkan rasa kesal, wakil mereka, Mohd. Yusoff Mohd. Noh berkata, tindakan kurang ajar dua pemuda berkenaan yang membaling wang kompaun serta mencaci penguat kuasa wanita MBPP itu dengan perkataan `anjing’ jelas merupakan perbuatan tidak bertamadun.
Menurutnya, perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai cubaan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dengan baik serta memalukan anggota penguat kuasa di tempat awam.
Malah, jelas beliau, tindakan pemuda berkenaan yang cuba membuka sendiri kapit roda atas ke­salahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki juga merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.
“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguat kuasa dan menghina mereka de­ngan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian tiga penguat kuasa MBPP yang diherdik dengan perkataan kesat oleh dua pemuda Cina kerana tidak berpuas hati selepas kenderaan mereka dikunci kerana kesalahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki.
Dalam rakaman kejadian itu yang tersebar di Internet hari ini, kedua-dua pemuda berkenaan dalam keadaan marah pada awalnya cuba membuka sendiri tayar yang dikunci anggota penguat kuasa MBPP berkenaan.
Bagaimanapun, mereka akhir­nya mengalah apabila salah seorang daripada mereka membayar kompaun kesalahan tersebut tetapi de­ngan mencampakkan wang ke lantai sebelum dikutip penguat kuasa MBPP wanita berkenaan.
Video berdurasi dua minit itu mengundang rasa marah dan kurang senang orang ramai yang menyifatkan tindakan pemuda berkenaan sebagai melampau dan menghina penjawat awam.
Malah, majoriti mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pemuda berkenaan sebagai pe­ngajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan penjawat awam.
Sementara itu, Mohd. Yusoff melahirkan rasa bangga dengan sikap tenang ketiga-tiga anggota pe­nguat kuasa MBPP berkenaan dalam berdepan situasi tersebut.
Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai memahami serta menghormati bidang tugas penguat kuasa MBPP yang perlu bertindak ke atas kesalahan pemandu yang jelas menyusahkan pihak lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada salah seorang penguat kuasa MBPP berkenaan semalam.
Sehubungan itu, menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

DAP perlu mohon maaf

Gerakan, MCA lihat DAP punca polarisasi sosial
SOFIAN BAHAROM | 01 Oktober 2015 1:19 AM
LIANG TECK MENG (kanan) dan Ti Lian Ker menunjukkan gambar yang berunsur perkauman semasa sidang akhbar di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AIZZUL A.MAJID
KUALA LUMPUR 30 Sept. – Polarisasi sosial dan ke­tegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini berpunca daripada angkara DAP yang berterusan bermain dengan api perkauman.
Sehubungan itu, Gerakan dan MCA hari ini mendesak DAP supaya tampil memohon maaf serta bertaubat atas tindakan mereka selama ini yang dilihat akan membawa kehancuran kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, taktik DAP untuk mengapi-apikan sentimen dalam kalangan masyarakat telah pun bermula sebelum Bersih 4.0 apabila Penasihatnya, Lim Kit Siang memijak gambar beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang.
Kata beliau, DAP seterusnya te­lah merampas perhimpunan haram Bersih 4.0 dengan matlamat buruk dan agenda politik untuk menunjukkan kuasa melalui demonstrasi jalanan yang menyaksikan kebiadaban penyokong-penyokongnya.
“Bukti ini jelas menunjukkan bahawa DAP yang memulakan budaya tidak sihat ini. Kita perlu faham kenapa tidak munculnya himpunan baju merah pada Bersih 1, 2, 3 tetapi apabila Bersih 4.0 ada perhimpunan baju merah. Ini kerana reaksi kepada kebiadaban tersebut.
“Kita kena lihat ada kain ren­tang minta hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) pada perhimpunan baju merah. Kenapa ada SKJC sahaja kenapa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT)?
“Ini kerana DAP telah pun menanam kebencian dan cuba mengapi-apikan sentimen antara kaum. Oleh itu kami mengutuk sekeras-keras­nya tindakan DAP dan mahu DAP bertaubat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Dalam pada itu, Lian Ker berkata, tindakan penyokong-penyokong DAP memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyinggung perasaan dan hati masyarakat Melayu.
Menurutnya, provokasi-provokasi politik oleh DAP tidak wajar dilakukan memandangkan negara sedang dilanda krisis ekonomi global dan kejatuhan nilai ringgit.
“Sedarlah bahawa pembinasaan negara dapat berlaku dalam sekelip mata tetapi pembinaan negara mengambil tempoh masa yang lama, begitu juga jambatan silaturahim dan hubungan baik antara kaum dalam negara ini,” katanya.