Zambry akui Sultan Nazrin murka

02 April 2015 2:16 AM
IPOH 1 April – Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengakui Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah murka terhadap sikap wakil rakyat pembangkang yang berpakaian serba hitam sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Zambry
Menurut beliau, kemurkaan itu dizahirkan kepada beliau sendiri sehingga baginda berangkat meninggalkan dewan persidangan undangan negeri sebaik sahaja mengakhiri titah perasmian.
Beliau berkata, berdasarkan jadual asal, Sultan Nazrin akan berangkat ke bilik diraja untuk santapan ringkas selepas perasmian DUN, disusuli sesi bergambar dan bersalaman dengan semua wakil rakyat.
“Memang tuanku murka. Saya faham ayat-ayat yang dizahirkan oleh tuanku, tak perlu saya sebutkan di sini. Sebagai seorang raja, sudah tentu baginda tidak mudah untuk menyebut ‘beta murka’.
“Saya sebagai Menteri Besar mengakui baginda memang murka. Ini sekali gus menjawab dakwaan wakil rakyat pembangkang dalam persidangan dewan hari ini yang mengatakan tuanku tidak murka terhadap tindakan mereka semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Zambry turut menyatakan rasa kesal dengan sikap pembangkang yang bukan sahaja tidak mengakui tindakan mereka semalam adalah salah, tetapi sebaliknya terus mempertahankannya.
Sepatutnya, tegas Zambry. apabila sudah melakukan kesalahan, wakil rakyat pembangkang perlu mengakuinya.
“Saya anggap ini menunjukkan sikap angkuh mereka. Mereka tidak menunjukkan rasa kesal dengan apa yang mereka lakukan. Mereka biadab.
“Alasan mahu menunjukkan tanda solidariti melibatkan empat perkara tidak boleh diterima kerana isu-isu seperti tanda simpati terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan isu negeri ini,” katanya.
Menurut Zambry, perbuatan pembangkang semalam melangkaui sempadan poltik kerana menghormati sultan adalah soal prinsip yang sewajarnya dipegang oleh semua ahli dewan.
Beliau berkata, alasan pembangkang bahawa perbuatan mereka semalam tidak menyalahi kod etika berpakaian adalah alasan cetek.
“Saya ingin bertanya kalau mereka benar-benar ikhas dan mahu menunjukkan tanda bantahan, mengapa tidak berpakaian hitam hari ini? Mengapa hanya semalam sedangkan persidangan ada empat hari lagi.
“Saya yakin mereka telah berbincang panjang lebar perkara ini. Bermakna mereka tidak menghormati sultan,” katanya.

Ganti semula tanah rizab Melayu

Titah Sultan Selangor kepada kerajaan negeri
FAZRINA AYU RADUIAN | 31 Mac 2015 2:14 AM
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH berkenan menerima teks titah baginda daripada Mohamed Azmin Ali sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. UTUSAN/IZHAM JAAFAR
SHAH ALAM 30 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah mahu kerajaan negeri segera menggantikan semula tanah rizab Melayu yang dibatalkan sebelum ini untuk tujuan pelaksanaan projek-projek pembangunan.
Menurut baginda, sebarang ben­tuk penggantian tanah baharu haruslah ‘serupa keadaannya’ dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.
“Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian da­lam upacara perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Se­langor, Mohamed Azmin Ali.
Berdasarkan Laporan Audit Negara 2013 Siri 2 yang dikeluarkan pada Jun tahun lalu, setakat November 2013 sehingga Februari 2014, sebanyak 38.6 peratus atau 1602.9 hektar tanah rizab yang dibatalkan status belum diganti di negeri Selangor.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini demi menjamin kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, baginda menitahkan agar perkara itu dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan ne­geri dan Persekutuan pada 12 September 2014.
Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri Selangor sentiasa bersedia dengan langkah-langkah terbaik dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan domestik dan industri.
“Beta yakin pendekatan bersemuka dan berbincang dapat menyelesaikan persoalan ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga negeri Selangor.
“Beta juga mahu memanda beta (Menteri Besar) meneruskan sikap tegas mempertahan kedaulatan negeri Selangor dan kepentingan rakyat,”
Dalam pada itu titah baginda, setiap rakyat di negeri ini mesti menikmati kehidupan yang berkualiti, rumah yang selesa dan mampu dimiliki khususnya dalam kalangan siswazah muda dan golongan pertengahan.
“Beta berkenan usaha kerajaan negeri untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh tiga tahun dan dapat dilipat-gandakan dalam usaha memenuhi permintaan sebanyak 40,000 unit,” titah baginda.

PKR sokong DAP tolak hudud

18 Mac 2015 1:46 AM
SHAH ALAM 17 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat mengambil pendirian yang sama dengan sekutunya, DAP apabila menyifatkan hukum hudud bukan perkara yang perlu diberikan keutamaan oleh mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.
Mohamed Azmin Ali
Selain menyifatkan pelaksa­naan hudud tidak sejajar dengan dasar bersama pakatan pembangkang, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut menyifatkan isu mengenai hukum Islam itu tidak perlu disegerakan buat masa ini sehingga mengatasi isu-isu ekonomi, pendidikan dan keselamatan yang dianggapnya lebih penting.
Bagaimanapun, beliau menghormati hasrat kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu menerusi pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, esok.
“Sebagai seorang Islam, kita tidak menolak hukum hudud serta hukum-hukum Allah dalam al-Quran dan kita telah menyatakan pendirian itu dalam pakatan.
“Tetapi ia (hukum hudud) bukan dasar bersama pakatan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dalam satu kenyataan terbuka sebelum ini menyatakan bahawa hukum hudud tidak perlu disegerakan kerana ia bukan dasar bersama pakatan.
“Dasar pakatan (pembangkang) ialah isu ekonomi, pendidikan dan keselamatan perlu ditangani dahulu untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Jika isu-isu ini diberikan keutamaan, saya percaya ia boleh diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengingatkan parti-parti dalam pakatan pembangkang supaya tidak membuat sesuatu perkara tanpa mendapat persetujuan daripada Majlis Pimpinan Pakatan terlebih dahulu pada masa depan.
“Pembentangan enakmen ber­kait­an hudud oleh Kerajaan Pas Kelantan adalah melibatkan pindaan, bukannya satu undang-undang baharu. Enakmen itu telah pun diluluskan pada 1993 lagi sebelum pakatan diwujudkan.
“Jadi kita hormati keputusan Kerajaan Pas Kelantan yang dibuat sebelum 1993 namun untuk masa depan, sebarang cadangan baharu yang dibuat mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Pimpinan Presiden pakatan,” ujarnya.
Pada 14 Mac lalu, pemimpin ve­teran DAP, Lim Kit Siang dilaporkan menyatakan parti itu berpendirian tegas serta konsisten bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan terkeluar daripada polisi bersama pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 16 Mac lalu memberi amaran kepada DAP supaya berhenti daripada terus menghalang usaha parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pas sedia bentang hudud hari ini

18 Mac 2015 1:45 AM
KOTA BHARU 17 Mac – kerajaan Pas Kelantan bersedia sepenuhnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok biarpun mendapat tentangan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang.
AHMAD YAKOB
Rang undang-undang tersebut adalah pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 atau lebih dikenali dengan undang-undang hudud.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju sebulat suara dengan pembentangan rang undang-undang tersebut bagi memastikan hasrat untuk melaksanakannya tercapai.
Beliau berkata, secara umumnya perkara asas dalam Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 dikekalkan dengan pindaan yang akan dibuat esok hanya melibatkan perkara-perkara teknikal.
“Kita sudah siap sedia sepenuhnya untuk membentangkan rang undang-undang ini esok. Pindaan ini tidak melibatkan banyak perkara.
“Memang kita berharap semua menyokong rang undang-undang ini namun kita tunggu perbahasan ADUN esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini hari ini.
Pelaksanaan undang-undang hudud di negeri ini mencetuskan polemik yang berpanjangan dan tidak dilaksanakan biarpun telah diluluskan kira-kira 22 tahun lalu.
Malah, Ahmad dalam Sidang DUN pada Mac tahun lalu turut menyatakan kesediannya untuk melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya gagal untuk melaksanakan undang-undang Islam itu pada tahun ini.
Pada masa yang sama, UMNO menyokong penuh pelaksanaan undang-undang tersebut malah Kerajaan Pusat turut menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi membantu perkara tersebut dapat direal­isasikan.
Bagaimanapun, Pas berhadapan tentangan hebat daripada sekutu­nya, DAP sehingga saling cabar mencabar secara terbuka di media.
Rang undang-undang sepatutnya dibentangkan pada Sidang DUN Khas pada Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda ne­geri ini dan telah ditambah baik dengan beberapa peruntukan dipinda.
Pindaan yang dilakukan ke atas rang undang-undang itu berdasarkan pandangan dan teguran pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara pindaan yang dibuat ialah enakmen berkenaan hanya terpakai kepada orang Islam berbanding sebelum ini, iaitu orang bukan Islam diberi pilihan untuk diadili mengikut enakmen berkenaan atau undang-undang sivil.
Pindaan itu juga akan turut memperkemaskan hukuman yang membabitkan kesalahan liwat dan zina manakala pindaan lain melibatkan perkara teknikal.

Sultan zahir sokongan hudud

ZAAIN ZIN | 17 Mac 2015 2:25 AM
Sultan MUHAMMAD V bersalaman dengan anggota Dewan ketika merasmikan Majlis Pembukaan Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-13 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam. – BERNAMA
KOTA BHARU 16 Mac – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan sokongan baginda terhadap hasrat kerajaan Pas Kelantan membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri ini.
Di samping mendoakan kejayaan pelaksanaan undang-undang Islam itu, baginda turut melahirkan harapan agar inisiatif yang diusahakan sejak sekian lama oleh kerajaan negeri ini mendapat sokongan semua pihak.
“Beta difahamkan bahawa kerajaan negeri berhasrat membawa rang undang-undang persendirian ahli Parlimen bagi meminda Akta 355 di bawah Peruntukan 76(A)(1) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.
“Semoga beroleh kejayaan dengan sokongan semua pihak, insya-Allah,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengiringi baginda ke istiadat tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 diluluskan DUN Kelantan lebih 20 tahun lalu, namun kembali dibentangkan berikutan terdapat beberapa pindaan melibatkan orang bukan Islam serta hukuman ke atas kesalahan zina dan liwat.
Selepas pembentangan pindaan di DUN Rabu ini, Pas merancang melanjutkan pembentangan di Dewan Rakyat menerusi rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76(A)(1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Kelantan melaksanakan hudud.
Bagaimanapun, usaha Pas ditentang keras DAP sehingga Penasihat parti itu, Lim Kit Siang menegaskan, pihaknya konsisten dengan pendirian bahawa pelaksanaan hudud tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan selain terkeluar daripada polisi bersama pakatan pembangkang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui selepas istiadat tersebut berkata, beliau yakin kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk wakil Barisan Nasional (BN) akan menyokong pindaan ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.
Beliau juga mengakui, kerajaan negeri seolah-olah mendapat suntikan moral amat bermakna apabila Sultan Muhammad V sendiri menzahirkan sokongan baginda terhadap usaha melaksanakan hudud di Kelantan.
“Alhamdulillah, kita rasa semakin bersemangat (untuk meneruskan perjuangan),” katanya.

POLITIK : PAS gesa DAP henti tuntut jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor : BAGI AJE JAWATAN MB…DAP NAK YANG TU..

SELASA, 2 DISEMBER 2014 @ 10:40 PM
SHAH ALAM: PAS Selangor mengingatkan sekutunya, DAP supaya menghentikan tuntutan mereka berhubung kerusi jawatan Timbalan Speaker II Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata buat masa ini, tiada keperluan bagi jawatan itu diwujudkan memandangkan jawatan tersebut telahpun diisi oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi dari PAS, Mohd Shafie Ngah.
“Saya tidak setuju supaya diadakan jawatan Timbalan Speaker II DUN (sebagaimana yang dituntut oleh DAP). Tidak ada keperluan jawatan itu diwujudkan.
“Ini sebab tugas Timbalan Speaker DUN hanya terhad semasa persidangan dewan sahaja,” katanya yang juga ADUN Sabak ketika ditemui pemberita di lobi DUN Selangor di sini pada Selasa.
Beliau berkata tuntutan jawatan timbalan speaker akan mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan rakyat yang akan melihat Pakatan Rakyat seolah-olah gila jawatan.
Sallehen berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim semalam bahawa DAP wajar diberikan kerusi jawatan timbalan speaker DUN memandangkan parti itu menunjukkan kesetiaan penuh kepada PKR dan Pakatan Rakyat sewaktu krisis menteri besar kira-kira lima bulan lepas.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata peruntukan bagi rumah ibadat selain Islam di Selangor akan dinaikkan sekali ganda dari RM3 juta kepada RM6 juta mulai tahun depan.
Katanya, dengan peruntukan terbaru itu, rumah ibadat Kristian akan menerima peruntukan RM1 juta, Hindu dan Sikh RM2 juta manakala tokong Cina dan Buddha RM3 juta.
“Peruntukan ini akan digunakan bagi tujuan perayaan dan kelas agama selain menaik taraf bangunan rumah ibadat masing-masing,” katanya yang menambah peruntukan itu disediakan menerusi Rang Undang-undang Perbekalan 2015. – BERNAMA
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, Sallehen Mukhyi. – Foto Intan Nur Elliana Zakaria


POLITIK BANGANG : Biasiswa Menteri Besar janji kosong

Azmin sendiri akui kemudahan itu tidak wujud
ZULKIFLI SAINUDDIN | 02 Disember 2014 2:51 AM
Azmin Ali
SHAH ALAM 1 Dis. – Manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk menawarkan Biasiswa Menteri Besar kepada rakyat negeri ini ternyata janji kosong semata-mata.
Hal itu disahkan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang mengakui cadangan untuk mewujudkan biasiswa tersebut tidak pernah dibawa kepada Jabatan Perbendaharaan negeri menyebabkan sehingga ke hari ini kemudahan itu tidak wujud.
“Perkara ini sepatutnya dibawa ke dalam perbincangan Jabatan Perbendaharaan negeri supaya apa yang kita janjikan dapat ditunaikan bergantung kepada kedudukan kewangan.
“Namun, perkara ini tidak berlaku walaupun sebahagian daripada manifesto kita, menyebabkan sehingga hari ini tiada satu pun peruntukan jelas, tatacara atau mekanisme untuk melaksanakannya,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) berhubung status Biasiswa Menteri Besar seperti yang dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum lalu.
Dalam manifesto itu, pakatan pembangkang berjanji untuk melancarkan biasiswa tersebut bagi pelajar ijazah lanjutan melalui terbitan bon dengan penubuhan sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor.
Biasiswa itu diumum akan dimasukkan ke dalam Belanjawan Selangor 2014 dengan peruntukan sebanyak RM1.1 juta sebagai permulaan.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/biasiswa-menteri-besar-janji-kosong-1.31712#sthash.t2c4yHUk.dpuf

KOMEN : APA NAK HAIRAN  Manifesto PUAK NI BUKAN JANJI…ABAIKAN...