Bersih 4.0: Polis akan panggil Tun M, Azmin

03 September 2015 12:41 AM
KHALID ABU BAKAR bersalaman dengan pasukan kadet polis sekolah sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. Turut sama, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abd. Aziz Yusof (kiri). – BERNAMA
KLANG 2 Sept. – Beberapa tokoh dan pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk diambil ketera­ngan berhubung pengli­batan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, hujung minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tum­puan diberikan kepada peng­anjur dan individu yang sudah dikenal pasti termasuk ucapan dan tuduhan yang dilemparkan semasa perhimpunan haram itu.
Menurutnya, polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan ketera­ngan dan tindakan itu dibuat bagi menyiasat beberapa kenyataan berbaur tuduhan untuk direkodkan seterusnya disiasat.
“Kita akan panggil dan beliau (Tun Mahathir) telah buat pelbagai ucapan dan tuduhan. Kita pun mahu tahu lebih lanjut apa yang beliau cakap, apa maksud, mana maklumat beliau peroleh.
“Antaranya, kenyataan bahawa ketua bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita mahu tahu lebih lanjut justeru saya harap beliau beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Khalid turut menyelar tindakan peserta perhimpunan yang sengaja meniupkan api kemarahan dengan mengeksploitasi gam­­bar pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti pembangkang.
“Inikah budaya yang hendak dibawa oleh Bersih? Ini bukan bu­­daya Malaysia. Saya dimaklumkan pihak penganjur ada pasukan yang mengawal ter­tib dan tingkah laku peserta tetapi ada pula video peserta memijak dan menonyoh gambar pemimpin.
“Inikah budaya yang akan dibawa pada masa depan dan saya menegaskan agar semua pihak jangan meniup api perkauman dalam setiap tindak-tanduk sehingga menaikkan kemarahan kaum lain.
“Jangan bawa budaya, sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seper­ti ini dibuat di jalanan kerana ia dibuat mengikut sesuka hati masing-masing,” katanya.
Khalid juga mengingatkan yang polis sedang memburu individu yang memijak gambar pe­mimpin dan penganjur Bersih bertanggungjawab ke atas peserta yang sengaja meniupkan api perkauman.
“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya perhimpunan dibuat secara tertutup dan kita boleh kawal serta memastikan perkara sebegini tidak berlaku. Semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang.
“Kita akan guna semua peruntukan undang-undang yang ada. Semua yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu, Khalid menghadiri majlis memperingati Hari Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota pasukan keselamatan laut itu.
Pada perkembangan lain, ujarnya, Polis Marin bakal memperoleh 200 bot secara berperingkat untuk memperkasakan ke­selamatan di pantai timur Sabah.

Kebebasan perlu ada had – Dr. Mahathir

20 Ogos 2015 1:36 AM
PARIT 19 Ogos – Hari ini kebebasan yang dipromosikan Barat memperlihatkan sesuatu yang ‘tidak betul’ dan perlu batasannya.
DR. MAHATHIR MOHAMAD (kiri) diiringi Abdul Rahim Hashim melancarkan buku bertajuk A gift of hope semasa syarahan perdana bertajuk Sosial Evolution Malaysia: Whats Next? di UTP, Seri Iskandar, Perak, semalam. BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan demikian kerana tidak mahu wujud situasi tidak stabil dalam kala­ngan masyarakat berikutan amalan kebebasan oleh rakyat, sebagaimana berlaku di negara-negara Barat.
Katanya, apabila rakyat berasa bebas untuk melakukan apa sahaja, mereka akan cenderung mengabaikan adat, tradisi serta budaya yang menjadi identiti selama ini sehingga apa dilakukan perlu berpandu kepada kehendak untuk kebebasan.
Menurutnya, di Barat umpa­manya, gambaran kebebasan ter­be­sar pada hari ini ialah perkahwinan sesama jantina, lelaki kah­win lelaki, perempuan kahwin perempuan dan sekiranya terla­lu mengikuti ‘istilah’ kebebasan tersebut, kemungkinan satu hari nanti berlaku di negara ini.
“Seperti kebebasan akhbar, apabila majalah di Perancis, Charlie Hebdo membuat keputusan menghina nabi umat Islam, apa yang berlaku? Mereka ditembak dan dibunuh akibat tindakan itu. Mereka (Charlie Hebdo) mendakwa bebas untuk menyatakan apa yang disukai.
“Ada sesuatu yang tidak kena dengan kebebasan hari ini. Perlu ada had pada kebebasan kerana kita tidak mahu masyarakat menjadi tidak stabil disebabkan amalan kebebasan oleh orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk Sosial Evolution Malaysia: What’s Next? di Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UTP, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mengingatkan bahawa tidak semua yang dipromosikan oleh Barat adalah baik dan berguna kepada pembangunan masyarakat di Malaysia.
Katanya, semua pihak perlu bijak menentu dan memilih ‘budaya’ yang baik dari Barat dan menolak perkara-perkara yang tidak elok.
“Sekiranya kita mahukan evolusi kemasyarakatan yang baik untuk Malaysia pada masa hadapan, kita perlu bijak memilih, apa yang baik dari Barat kita ambil, yang tidak ba­ik kita tolak,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, perhatian perlu dibe­rikan kepada negara-negara di Timur seperti Jepun, Korea dan China yang disifatkan beliau telah ‘menjangkaui’ negara-negara Barat.
“Kita tidak seharusnya melihat kepada Barat sahaja, tetapi me­man­dang juga kepada negara-negara Timur. Pilih amalan yang baik dari Barat, serta budaya yang baik dari Timur, gabung, amalkan dan saya percaya kita mampu melahirkan masyarakat yang berjaya pada masa hadapan,” ujar beliau.