Putra Merdeka: Bank Negara Berkuasa Untuk Menguatkuasa..!

Putra Merdeka: Bank Negara Berkuasa Untuk Menguatkuasa..!: Macai pemakan dedak @ penjilat dan pengampu mungkin boleh lapangkan dada untuk belajar hal ehwal yang melibatkan Bank Negara..! Ba…

Advertisements

Abu Kassim akan jumpa tiga ketua pasukan petugas khas 1MDB

13 Oktober 2015 1:09 AM
Abu Kassim Mohamed (kiri) memakaikan selempang Anugerah Tokoh Pembangunanan kepada Zakaria Jaffar (dua dari kiri) di Akademi SPRM, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan me­ngadakan pertemuan dengan tiga ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mereka ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pertemuan itu bagi mengaktifkan semula peranan pasukan petugas khas tersebut yang turut dianggotai SPRM dalam menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengan 1MDB.
“Pasukan ini penting bagi membincangkan jalan penyelesaian dan keputusan dalam isu-isu yang timbul.
“Kita tidak kisah, kalau ada pertemuan memang saya hendak berjumpa dengan ketua-ketua jawatankuasa khas itu,” katanya selepas Majlis Paluan Berundur dan Persaraan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaafar di Akademi Pencegahan Rasuah, Jalan Duta, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Zakaria dalam ucapan persaraannya agar pasukan petugas khas itu diaktifkan semula.
Abu Kassim bagaimanapun tidak menyatakan bila beliau akan me­ngadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pemimpin pasukan petugas khas berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pe­su­ruhjaya (Pengurusan dan Pro­­fesionalisme) Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar ber­kata, pasukan petugas khas yang di­pertanggungjawabkan un­tuk me­nyiasat isu membabitkan 1MDB perlu diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan.
Zakaria yang bersara wajib hari ini berkata, sebuah panel khas perlu diwujudkan bagi mengkaji hasil siasatan yang berkaitan dengan isu 1MDB agar segala keputusan diambil adalah adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Panel khas itu perlu dianggotai seorang bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakil daripada Majlis Peguam bagi menjalankan kajian terhadap keputusan siasatan yang melibatkan SRC International, dana RM2.6 bilion dan 1MDB.
“Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana pihak yang layak untuk bertindak membuat keputusan sama ada wujud kes atau tidak untuk didakwa di mahkamah. Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara disiasat oleh SPRM pada empat tahun lepas,” katanya.

BNM : Zeti kekal Gabenor sehingga April 2016

14 Ogos 2015 1:52 AM
Zeti Akhtar Aziz bersama timbalannya, Datuk Muhammad Ibrahim (kiri) dan Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus semasa sidang akhbar mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2015 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menjelaskan, beliau akan terus mengetuai institusi itu sehingga kontraknya tamat pada April 2016, sekali gus menolak spekulasi akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, khabar angin tentang dirinya yang mengalami masalah kesihatan sehingga memerlukannya meletakkan jawatan juga tidak betul.
“Saya akan memenuhi kontrak perkhidmatan yang ada sehingga April depan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2015 di sini hari ini.
Sebelum ini, laman-laman media sosial menyatakan Zeti yang juga mewakili Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat isu ber­kenaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bakal meletakkan jawatannya atas beberapa dakwaan, termasuk disebabkan ma­salah jantung.
“Dakwaan mengenai masalah kesihatan saya tidak betul. Saya kerap mengadakan ujian kesihatan dan doktor mendapati jantung saya masih kuat dan saluran darah masih lancar. Setakat ini, doktor tidak mengesan apa-apa masalah kesihatan terhadap diri saya. Cuma sebelum ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, saya hanya mengalami batuk-batuk biasa sahaja,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau masih berminat untuk terus menjadi gabenor selepas April depan, Zeti berkata, dirinya sudah 16 tahun menjadi gabenor dan berpuas hati terhadap prestasinya sepanjang memegang jawatan tersebut.
“Sudah 16 tahun saya menjadi gabenor. Malah, hampir 35 berkhidmat bersama BNM. Apa yang saya ingin lakukan apabila menjadi gabenor telah tercapai. Malah, BNM kini merupakan sebuah institusi negara yang kukuh,” katanya.
Zeti mula menjadi Gabenor BNM pada Mei 2000 dengan lanjutan kontrak setiap lima tahun. Kontrak beliau dijangka berakhir pada April 2016.
Pada 2013, beliau diletakkan dalam ranking ‘Gred A’ sebagai antara gabenor bank pusat terkemuka buat kali ke-10 oleh majalah Global Finance.
Turut sama dalam ranking itu ialah Gabenor Bank Pusat Fili­pina, Amando Tetangco, Jr. dan Gabenor Bank Pusat Taiwan Perng Fai-nan, daripada senarai gabenor bank pusat 50 negara utama.
Menurut Global Finance, ga­benor-gabenor bank pusat dinilai atas daya usaha mereka bertahan daripada campur tangan politik dan tindakan mereka mempengaruhi kerajaan masing-masing dalam isu seperti perbelanjaan dan keterbukaan ekonomi sehinggalah kepada pelaburan asing dan perkhidmatan kewangan.
Penggredan dilakukan pada skala ‘A hingga F’ dalam bidang seperti matlamat pertumbuhan ekonomi, kestabilan semasa dan pengurusan kadar faedah.