JMM lancar kempen boikot syarikat insurans sokong LGBT

13 November 2014 1:59 AM
Azwanddin Hamzah bersama ahli JMM menunjukkan risalah mengenai sebuah bank di Malaysia bekerjasama dan menyokong budaya LGBT dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Izham Jaafar
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mempertikaikan tindakan syarikat insurans antarabangsa, menjual produk takaful tetapi menyokong kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai yang terkejut selepas mendapati syarikat itu menjalankan urusniaga tersebut menerusi kerjasama dengan sebuah bank tempatan, AmBank Holdings Berhad (AmBank) sejak hujung tahun lalu.
Katanya, siasatan selama tiga bulan ke atas syarikat insurans yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mendapati ia pernah menerima Anugerah ‘Best Places To Work for LGBT 2013’ melalui Kempen Hak Asasi Kemanusiaan 2013 seperti disiarkan dalam sebuah buletin.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menunjukkan syarikat tersebut seperti mahu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini,’’ katanya dalam sidang akhbar mengenai penglibatan syarikat tersebut dalam jualan insurans takaful dan mempromosikan LGBT di Pejabat JMM di Menara Pandan Kapital, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, tindakan syarikat itu menawarkan perkhidmatan takaful tersebut jelas bertentangan dengan konsep yang berlandaskan syariah dan halal di sisi syarak malah JMM menyifatkan penjualan insurans itu sengaja untuk memperdaya umat Islam secara halus.
Katanya, kerajaan khususnya Bank Negara diminta mengambil tindakan segera menarik semula lesen berkaitan perbankan Islam atau Lesen Insurans Takaful yang ditawarkan kepada bank tempatan tersebut.
Tambah beliau, sebagai langkah awal JMM akan mengedarkan sejuta risalah bagi memboikot jualan insurans takaful bank tempatan itu di seluruh negara bermula minggu depan.
Sementara itu jurucakap AmBank ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut esok.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jmm-lancar-kempen-boikot-syarikat-insurans-sokong-lgbt-1.24037#sthash.GLIjFZQm.dpuf


Advertisements

RBA biadab, pengecut, kurang ajar

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 14 Mac – Tindakan Red Bean Army (RBA) mengeluarkan pelbagai ulasan negatif tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memperlihatkan sikap biadab, bacul dan pengecut kumpulan tentera siber propembangkang itu.
Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, ulasan negatif itu juga begitu kurang ajar yang boleh menggores hati serta mengganggu perasaan ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.
Berikut ialah kenyataan Fakhrul Azman:
* Di atas kehilangan misteri pesawat MH370 serta merujuk kenyataan media dan laporan polis yang dibuat Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mengenai RBA, kenyataan kumpulan tentera siber propembangkang itu begitu biadab, bacul, pengecut serta kurang ajar.
* Sehingga hari ini dan tarikh ini, mereka langsung tidak mengeluarkan kenyataan untuk meminta maaf kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370.
* Oleh itu, saya ingin mencabar mereka untuk tampil bagi membuat kenyataan meminta maaf. Dalam keadaan yang begitu getir ini, mereka sanggup membuat onar sedangkan mereka sepatutnya sensitif serta menjaga perasaan semua pihak.
* Kita sebagai rakyat Malaysia yang mendukung prinsip Rukun Negara, wajib memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada kerajaan yang sah, yang telah dilantik oleh rakyat bagi menangani insiden ini. Usah mempercayai berita-berita yang tiada bukti kukuh.
* Kepada umat Islam, kita wajib percaya kepada qadak dan qadar serta banyakkan berdoa agar Allah memakbulkan doa kita dan merungkaikan permasalahan ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_14/RBA-biadab-pengecut-kurang-ajar#ixzz2wBCMxeIS  © Utusan Melayu (M) Bhd