Peguam Anwar boleh ‘tutup buku’

02 April 2015 2:18 AM
KUALA LUMPUR 1 April – Keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sekali gus menutup bukan sahaja prosedur bagi bekas ketua pembangkang itu untuk ‘duduk’ dalam Parlimen, malah mengekang ‘helah’ oleh para peguamnya untuk meneruskan isu berkenaan.
Rais Yatim
Pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, dengan keputusan lembaga pengampunan itu juga Anwar tidak lagi berada dalam keadaan was-was berhubung kedudukannya sebagai ahli parlimen.
“Keputusan Lembaga Pengam­punan ini menghabiskan venue atau prosedur baginya (Anwar) untuk duduk di Parlimen dan diharap notis daripada Mahkamah Tinggi itu disebarluaskan supaya liputan berhubung isu ini tamat 100 peratus.
“Perkara-per­kara yang akan dibangkitkan oleh peguam-peguamnya (Anwar) selepas ini boleh dianggap sekadar ‘helah politik’ yang bukan beralaskan undang-undang.
“Dan kalau ada yang hendak meneruskan isu (membebaskan Anwar) ini ke hadapan, maka ia harus ditutup mulai hari ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Rais mengulas kedudukan Anwar yang telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan pada 16 Mac lalu.
Hilang kelayakan itu berkuat kuasa serta-merta dengan penolakan petisyen pengampunan tersebut, sejajar dengan peruntukan Artikel 48 (4) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang menghalang Anwar daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat turut ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Advertisements

LIWAT : Mahkamah tolak semakan

SUWARNI MOKHTAR | 02 April 2015 2:17 AM
Latheefa Koya semasa hadir pada pengesahan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 1 April – Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini menolak semakan kehakiman oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sehingga 4 April ini.
Ia berikutan Anwar telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menolak petisyen rayuan yang dikemukakan kepada Ba­ginda oleh keluarga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 24 Februari lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Tuanku pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu dan berkuatkuasa serta-merta.
Hakim Datuk Asmabi Moha­mad turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM3,000 kepada semua responden di dalam semakan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh pada pendengaran semakan kehakiman tersebut dan pengesahan lanjut berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terbabit.
Amarjeet yang turut dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke memberitahu, semakan itu ditolak memandangkan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen merupakan teras kepada permohonan berkenaan.
“Beliau (Anwar) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berkuatkuasa serta-merta sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tiada asas untuk semakan kehakiman ini diteruskan,” katanya.
Dalam permohonan semakan yang difailkan pada 18 Mac lalu, Anwar menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Anwar memohon kebenaran untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 4 April ini kerana beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Hukuman yang bermula 10 Februari lalu dibuat selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.
Sementara itu, peguam Anwar, Latheefa Koya, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak pendengaran semakan tersebut.
Peguam terbabit juga dilihat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang didakwanya masih belum diterima oleh anak guamnya mahupun keluarga Anwar.
Jelasnya, tiada di dalam surat dan afidavit yang dihantar oleh Sekretariat Lembaga Pengampunan, Datuk Nursiah Arshad yang menyatakan bahawa petisyen itu ditolak.

Perbuatan cukup memalukan Malaysia

Demonstrasi sokong Anwar di United Kingdom
MOHAMMAD YASIR JAAFAR | 10 Mac 2015 12:57 AM
Wan Toren Wan Yusoff
KUALA LUMPUR 9 Mac – tindakan sekumpulan rak­yat Malaysia mengadakan demonstrasi di United Kingdom (UK), Sabtu lalu bagi menunjukkan sokongan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara kerana meliwat adalah amat memalukan serta menjejaskan imej negara.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) UK, Wan Toren Wan Yusoff berkata, pihaknya amat kesal dengan penganjuran himpunan tersebut yang didalangi oleh pakatan pembangkang demi memburukkan nama negara sendiri atas kepentingan politik peribadi.
“Ini menunjukkan bahawa mereka langsung tiada jati diri, sifat patriotik, maruah dan harga diri, sekiranya mereka tidak setuju dengan kerajaan sekarang lebih baik tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang.
“Berkempen dengan baik dan berhemah untuk mendapat sokongan rakyat. Bukan dengan memburukkan negara sendiri di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Wan Toren, lebih memalukan, perhimpunan yang hanya disertai 40 orang itu turut membabitkan ahli Kelab Pelajar Undang-Undang Malaysia di UK.
“Kami berharap agar kerajaan mahupun pembangkang ti­dak menggunakan pelajar untuk kepentingan politik peribadi.
“Kami juga berharap agar pelajar menumpukan kepada pengajian dan kembali ke tanah air untuk mencurah bakti,” katanya.
Tegasnya, apa yang lebih penting rakyat jangan mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin serta dakwaan yang berbaur fitnah.
“Mereka sepatutnya meneliti dan menyelidik sesuatu berita terutama dari media sosial sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.

LIWAT : Jabatan Penjara 
tolak hasrat Anwar 
ke Parlimen _ BUDAK TADIKA PUN TAHU…

05 Mac 2015 1:06 AM
KUALA LUMPUR 4 Mac – Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat minggu depan tidak akan menjadi kenyataan kerana permohonannya ditolak Jabatan Penjara.
Ahmad Zahid Hamidi
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika dihu­bungi Utusan Malaysia melalui khid­mat pesanan ringkas (SMS), tetapi tiada penjelasan lanjut diberi.
Difahamkan Jabatan Penjara sudah pun menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bagi memaklumkan perkara itu dan dipercayai surat berkenaan telah diterima hari ini.
Utusan dimaklumkan tindakan tersebut diambil kerana Anwar kini tertakluk kepada akta, peraturan dan prosedur penjara selepas suami kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu didapati bersalah meliwat.
Selaras dengan penolakan oleh Jabatan Penjara itu, dipercayai Pandikar Amin akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan tetapi belum dapat dipastikan tarikh tersebut.
Isnin lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar surat kepada Pandikar Amin bagi memohon kebenaran untuk Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat atas alasan beliau masih ketua pembangkang.
Namun, Jabatan Penjara dalam kenyataan segeranya menegaskan layanan serta kemudahan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama, selaras dengan kete­tapan akta, peraturan dan prosedur.
Sebelum itu, pada 24 Februari lalu, keluarga Anwar menghantar petisyen kepada Lembaga Pengampunan bagi memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong selepas ketua pembangkang tersebut dihukum penjara lima tahun.

LIWAT : Layanan, kemudahan Anwar di penjara saksama

03 Mac 2015 1:58 AM
KUALA LUMPUR 2 Mac – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima layanan serta kemudahan yang saksama seperti banduan lain.
Zulkifli Omar
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, ketika ini kira-kira 50,000 banduan menjalani hukuman di seluruh penjara negara ini dan layanan serta kemudahan yang diberikan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama mengikut ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara.
“Anwar telah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bermula 10 Februari lalu dan sejak itu, pelbagai tuduhan dan spekulasi dilakukan oleh pihak tertentu.
“Maka berasaskan itu, pihak kami mengambil langkah untuk menjelaskan tuduhan berkenaan seperti perjumpaan dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini telah membuat permohonan dan dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, lawatan yang dinamakan Perjumpaan Khas itu dibenarkan atas urusan penting seperti mana diberikan kepada banduan lain.
“Perjumpaan itu dibenarkan atas urusan berkaitan keluarga, pembahagian harta, wasiat serta khidmat mendapatkan peguam,” jelasnya.
Katanya, selain itu, Anwar dibenarkan untuk mendapatkan penempatan dengan kemudahan bersesuaian termasuk makanan tambahan dan berbeza menerusi cadangan pegawai perubatan demi kepentingan kesihatan banduan.
“Kemudahan itu diberikan mengikut Peraturan 231 (j), Peraturan-peraturan Penjara 2000 yang perlu dipatuhi oleh pihak penjara dalam mengubahsuai kerja, diet dan hukuman yang difikirkan perlu.
“Laporan mesti dilakukan secara bertulis kepada pegawai yang menjaga banduan berkenaan, malah hasil pemeriksaan dan syor pakar perubatan Anwar adalah untuk menempatkannya di Hospital Penjara Sungai Buloh. Penempatan itu telah dilaksanakan sebelum pertemuannya dengan Mohamed Azmin pada 25 Februari lalu,” ujarnya.
Tambahnya, tentang pertukaran Pegawai Penjara yang bertanggungjawab melaksanakan kawalan keselamatan Anwar pula, ia dilakukan setiap bulan.
“Pertukaran pegawai berlaku setiap bulan yang dilakukan atas kepentingan perkhidmatan dan kebajikan pegawai terlibat, malah Pengarah Penjara tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap pertukaran tersebut,” katanya.
“Bagi kawalan semasa perhimpunan solidariti yang berlangsung setiap malam di hadapan penjara, ia bertujuan menjaga keselamatan, sekali gus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mampu menjejaskan keselamatan penjara,” katanya.

LIWAT : Rayuan perlu pendapat bertulis Peguam Negara

26 Februari 2015 1:32 AM
Perlembagaan tidak tetapkan tempoh petisyen rayuan diteliti
Shamrahayu
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong meneliti mana-mana petisyen rayuan yang dikemukakan.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Lembaga Pengampunan itu bagaimanapun perlu mempertimbangkan pendapat bertulis daripada Peguam Negara. “Dari segi jangka masa tempoh petisyen rayuan, saya tidak berani hendak ramal, kalau ikut tatacara, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada bila-bila masa atau secepat mungkin tetapi itu bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di sini hari ini.
Semalam, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mengesahkan yang keluarganya telah mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan semalam berkata status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen berkenaan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Shamrahayu, Lembaga Pengampunan terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Peguam Negara, Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong akan hanya membuat keputusan mengenai petisyen rayuan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, meneliti pendapat bertulis daripada Peguam Negara dan mendengar pandangan daripada anggota-anggota Lembaga Pengampunan.
“Perlu diingatkan, Lembaga Pengampunan boleh memberi pengampunan atau meringankan hukuman namun sabitan bersalah sebagaimana diputuskan oleh mahkamah kekal dan tidak boleh diubah, dengan kata lain, proses pengadilan telah selesai dan apa yang tinggal adalah proses belas kasihan,” katanya.

LIWAT : Petisyen pembebasan atau rayuan

Zulkifli persoal dokumen Wan Azizah kepada Istana Negara
ZULKIFLEE BAKAR | 26 Februari 2015 1:32 AM
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Apakah kandungan sebenar dokumen yang dihantar oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam, adakah ia mengandungi rayuan pengampunan atau petisyen memohon pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
AZMIN ALI
Persoalan itu ditimbulkan oleh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin kerana menurut beliau, kalau ia adalah petisyen memohon pembebasan bermakna ia tidak terikat dengan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.
Bagaimanapun tegas beliau, jika dokumen yang dihantar itu adalah rayuan pengampunan maka ia terikat dengan peruntukan perlembagaan tersebut yang perlu dibaca dengan Perkara 42 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan antaranya bergantung kepada keperluan tiga syarat iaitu perayu mengakui kesalahan yang disabit, menyesal dengan perlakuan kesalahan yang disabit dan memberi akui janji tidak mengulangi kesalahan yang disabit.
“Oleh itu apakah sebenar dokumen yang dihantar oleh Wan Azizah memandangkan atas faktor rayuan pengampunan sewajarnya dikemukakan oleh Anwar sendiri dan bukan pihak lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas desakan pembangkang supaya Anwar dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat berikutan pengesahan keluarga Anwar semalam bahawa mereka mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantu pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan .
Zulkifli berkata, antara rayuan pengampunan dan petisyen pembebasan mempunyai dua maksud berbeza.
“Jika ia sekadar petisyen pembebasan pihak Istana boleh menolak melalui cara pentadbiran tanpa perlu dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh memaklumkan kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) berlaku kekosongan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
“Bagaimanapun jika ia rayuan pengampunan baharulah kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen masih kekal dan Dewan Rakyat perlu menanti proses pengampunan selesai untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen berkenaan kosong atau tidak,” katanya.
Selain itu Zulkifli menegaskan, apa yang perlu difahami rayuan pengampunan hanya berkaitan dengan hukuman sama ada dikurangkan atau ditangguhkan, namun sabitan kesalahan tetap kekal.
“Ini bermakna walaupun proses rayuan pengampunan berjalan, Anwar masih lagi disabit kesalahan jenayah, beliau kekal sebagai banduan dan masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.
Zulkifli berkata, Wan Azizah perlu telus dengan mendedahkan isi sebenar dokumen tersebut bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan langkah penghantaran dokumen itu dikaitkan dengan strategi politik beliau bagi mengelakkan berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Selain itu, kata Zulkifli, tindakan tersebut juga mewujudkan tafsiran sesetengah pihak bahawa ia langkah Wan Azizah bagi melengah-lengahkan usaha pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP melantik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Menteri Besar sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang Parlimen bulan depan.
“Apa pun jawapan ada kepada Wan Azizah untuk menjelaskan kepada rakyat isi sebenar kandungan dokumen tersebut bagi mengelakkan pelbagai andaian dibuat,” katanya.