MH17: Misil dipercayai dilancar dari kawasan Ukraine – Duta Rusia

15 Oktober 2015 12:46 PM
RAKAMAN video animasi yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda berhubung tembakan ke atas pesawat MH17 tahun lalu.
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Pengeluar BUK, Almaz-Antey yang telah menjalankan kajiannya sendiri menunjukkan misil BUK yang dipercayai digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 tahun lalu dipercayai dilancarkan dari wilayah dikuasai pihak Ukraine.
Duta Rusia di Malaysia, Valery N Yermolov berkata, ujian menggunakan misil BUK ke atas pesawat oleh Almaz-Antey juga menunjukkan corak kerosakan yang dihasilkannya berbeza dengan kerosakan yang didapati pada serpihan MH17.
“Rusia juga menafikan mereka memiliki sistem pertahanan udara BUK kerana misil jenis itu sudah dilupuskan sejak 2011 dan tidak lagi digunakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Malaysia puas hati laporan siasatan DSB

16 Oktober 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Malaysia berpuas hati dengan pembentangan laporan siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.
Azharuddin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan yang dibentangkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada malam kelmarin, mengikut peraturan lampiran 13 Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Pembentangan oleh DSB mendedahkan mengenai apa yang berlaku dan memberi cadangan langkah-langkah keselamatan agar kemalangan yang serupa dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Seterusnya pihak Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bahagian jenayah pula akan meneruskan siasatan mereka yang mana saya percaya laporan DSB akan menjadi satu elemen penting untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azharuddin berkata, Malaysia sebagai negara milik pesawat MH17 akan turut bersama membantu DSB dalam penyiasatan nahas pesawat itu.
Selasa lalu, Pengerusi DSB, Tjibbe Joustra mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.
Katanya, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Hari ini, Duta Rusia di Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, kajian oleh negaranya mendapati peluru berpandu BUK 9M38M1 yang menjatuhkan pesawat MH17 merupakan peluru berpandu yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh tentera negara itu sejak 2011.
Menurut beliau, peluru BUK dari Rusia pada ketika ini tidak meninggalkan kesan serpihan ledakan bentuk ‘rama-rama’ sebagaimana yang ditemukan pada bangkai pesawat MH17.

MH 17 : Rusia pertikai laporan

KAMIL MASLIH | 16 Oktober 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Rusia menafikan laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang memutuskan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan negara tersebut dalam kejadian 17 Julai tahun lalu.
VALERY YORMOLOV
Duta Rusia ke Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, hasil kajian yang dilakukan oleh firma pengeluar peluru berpandu berkenaan, Almaz Antey, mendapati peluru berpandu BUK yang menembak jatuh MH17 adalah peluru berpandu versi lama iaitu BUK 9M38 yang tidak lagi digunakan oleh tentera Rusia sejak 2011.
Beliau memberitahu, kajian yang sama turut mendapati peluru berpandu berkenaan dilancarkan dari kawasan perkampungan Zaroschenskoye yang merupakan wilayah dikuasai tentera Ukraine dan bukannya sebagaimana teori DSB yang menyatakan peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan Snezhnoye yang dikuasai pemisah Ukraine.
Menurut Yermolov, Rusia telah memohon kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk membuka siasatan baharu terhadap nahas pesawat MH17 kerana mendapati masih banyak persoalan tidak terjawab daripada laporan akhir DSB.
“Rusia telah menamatkan perkhidmatan peluru berpandu BUK 9M38 pada tahun 2011 kerana kita kini menggunakan peluru berpandu BUK 9M38M1, tetapi kita tahu yang (tentera) Ukraine masih mempunyai kira-kira 500 peluru berpandu (jenis BUK 9M38) sehingga sekarang.
“Kita juga perlu sedar banyak negara bekas Soviet Union turut dilengkapi peluru berpandu jenis ini, selain beberapa negara NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) seperti Greece turut memilikinya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam sidang akhbar tersebut, wartawan yang hadir di Kedutaan Rusia di sini turut dipertontonkan dengan video dokumentari kajian yang dilakukan oleh Almaz Antey dan video berkenaan telah dimuat naik di laman web malaysia.mid.ru
Laporan akhir yang dibentangkan DSB kelmarin menyatakan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara jenis BUK dan kepala peledak peluru berpandu itu meletup di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Kata Yermolov, hasil kajian Almaz Antey mendapati corak serpihan letupan BUK 9M38 adalah serupa dengan kesan letupan yang diterima pesawat MH17 dan bukannya peluru berpandu BUK 9M38M1.
Menurut beliau, hasil analisis dan simulasi yang dilakukan turut mendapati percanggahan dengan laporan akhir DSB mengenai kawasan peluru berpandu berkenaan dilancarkan.
“Laporan daripada Almaz Antey ini adalah begitu penting untuk penyiasatan nahas MH17 tetapi telah diketepikan oleh DSB. Kami juga telah beberapa kali menjemput negara-negara anggota penyiasat MH17 termasuk Malaysia untuk datang ke Rusia bagi bekerjasama dalam siasatan nahas MH17 tetapi tiada siapa pun datang,” katanya.
Jelas Yermolov, Rusia sedia bekerjasama bukan sahaja dengan Malaysia tetapi negara terlibat yang lain untuk mencari dalang di sebalik nahas MH17 dan membawanya ke muka pengadilan.
“Seperti Malaysia, Rusia juga mahu mendapatkan kebenaran, ini pendirian kami. Bagaimanapun, kami agak terkejut dengan beberapa kenyataan daripada pemimpin Malaysia mengenai pesawat MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK buatan Rusia sedangkan semua sedia maklum, banyak negara bekas Soviet Union turut memiliki peluru berpandu BUK,” katanya.
Berhubung keputusan Rusia menggunakan kuasa veto untuk menolak usul penubuhan satu tribunal antarabangsa kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yermolov berkata, Rusia tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan tribunal tersebut tetapi terbuka kepada cadangan beberapa negara terlibat untuk menggunakan saluran perundangan negara masing-masing bagi mendapat keadilan.

Tony Abbott disingkir sebagai 
Perdana Menteri Australia

15 September 2015 1:29 AM
Tony Abbott, Malcolm Turnbull
CANBERRA 14 Sept. – Australia akan mendapat Per­dana Menteri baharu selepas Parti Liberal menyingkirkan Tony Abbott dalam undi tidak percaya dan memihak kepada jutawan dan ahli politik, Malcolm Turnbull yang bakal menerajui negara ini sebagai Perdana Menteri ke-29.
Turnbull yang juga bekas pegawai bank dan usahawan teknologi menyingkirkan Abbott dengan mendapat 54 undi berbanding Abbott yang hanya menerima 44 undi.
Menteri Komunikasi itu dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu selepas Abbott menghantar surat peletakan jawatan kepada Gabenor Jeneral, Peter Cosgrove.
Undi tidak percaya itu diusulkan Turnbull yang menyatakan, parti gabungan konservatif yang diterajui Abbott tidak akan menang pada pilihan raya dua tahun lagi sekiranya pucuk pimpinan negara tidak ditukar.
Menteri Luar, Julie Bishop pula mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Parti Liberal dengan menerima sokongan sebanyak 70 undi dan 30 yang menentang.
Parlimen menetapkan pemimpin Parti Liberal perlu menjadi Perdana Menteri sekali gus mengetuai kerajaan campuran konservatif.
Ini bukanlah kali pertama Perdana Menteri Australia disingkirkan dalam undian tidak percaya oleh parti selepas pemimpin Parti Buruh, Kevin Rudd dan Julia Gillard menerima nasib sama masing-masing pada 2010 dan 2013.
Abbott hanya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-28 kurang dua tahun sejak mengangkat sumpah pada 18 September 2013 selepas menewaskan Rudd dalam pilihan raya umum. – REUTERS

Dunia ini hanyalah sebuah pentas, siapa peduli?

CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 09 September 2015 12:50 AM
ANGGOTA separa tentera Turki memeriksa mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria, Aylan Kurdi,3, yang terdampar di pantai Bodrum, selatan Turki pada 2 September lalu setelah bot yang dinaikinya bersama keluarga karam ketika dalam perjalanan ke Greece. AP
UMAT ISLAM yang dipengaruhi oleh politik, sama ada kepartian atau ideologi sering menganggap merekalah terhebat dan paling hebat.
Orang lain tak hebat seperti mereka. Malah orang lain tak layak masuk syurga langsung, waima syurga di peringkat paling corot sekali pun.
Sehinggakan mereka sanggup menjadikan pendekatan mereka sebagai terlalu ganas dan terlalu zalim kerana mahu mempertahankan kehebatan mereka.
Mereka sanggup membakar hidup-hidup sesama agama, menyembelih hidup-hidup dan menenggelamkan mangsa sampai mati, yang dipertontonkan secara sadis kepada satu dunia perbuatan itu.
Maka itu, orang yang tidak sehaluan dengan mereka akan dicap sebagai kafir, tidak akan masuk syur­ga — walaupun di tahap syurga paling corot — dan dianggap kolot dan dihalalkan darah mereka.
Di negara kita pun ada jenis yang sebegitu, sehinggakan di sekitar tahun-tahun 70an mahu menonton TV pun haram. Set TV itu dicampak ke dalam sungai.
Tetapi kerana mereka itu Islam Melayu yang secara lahiriahnya lembut orangnya, ketaksuban mereka tidaklah sehingga menjadi seperti Taliban di Afghanistan.
Taliban menganggap merekalah yang paling dekat dengan Allah SWT. Yang lain-lain adalah kolot. Wanita tidak boleh langsung di pandang dengan mata kasar oleh orang lain. Tidak boleh ke sekolah. Hanya layak menjadi hamba kepada suami mereka.
Sehinggalah tergamak membalas dendam kepada gadis bernama Malala Yousafzai. Hanya kerana budak perempuan itu mahu ke sekolah.
Kemudian timbul pula al-Qaeda yang semua orang tahu diwujudkan oleh CIA melalui Osama Bin Laden untuk berlawan dengan komunis Soviet yang menjajah Afghanistan.
Setelah itu al-Qaeda pula kononnya dituduh melawan tuan, sehingga digelar pula sebagai syaitan yang perlu dihapuskan.
Amerika menguar-uarkan kepada dunia bahawa al-Qaedalah yang menyerang negara itu sehingga menara WTC di New York ranap menyem­bah bumi.
Mayat penyerang dalam serang­an pesawat terbang itu, hancur tanpa kesan.
Dalam Cuit beberapa minggu lalu bertajuk “UMNO dan orang Melayu hari ini” saya ada menyelit perenggan ini:
Sedarkah orang Melayu siapa yang mewujudkan IS, Islamic State atau Negara Islam dan mengapa media barat sudah tidak menyebut al-Qaeda lagi?
Siapa agaknya yang mewujudkan kedua-dua pertubuhan itu? Jika al-Qaeda diwujudkan kononnya oleh CIA bagi melawan Rusia di Afghanistan, siapa pula yang mewujudkan IS?
Adakah kerana al-Qaeda gagal memberi impak untuk merosakkan Islam, lalu ia ditiadakan? Lalu dilenyapkan Osama Bin Laden, yang tiada berkubur itu, yang ko­nonnya dibuang Amerika ke laut?
Lalu tiba-tiba muncul pula IS yang tindakannya terlalu kejam bagi memberi impak maksimum mengenai teruknya orang Islam. Diberi lagi impak namanya pula ialah Islam, lalu disebut hari-hari oleh media dunia dengan panggilan Islamic State.
Kini kekejaman itu lebih nyata lagi. Islam diburukkan seburuk-buruknya dalam sejarah dunia.
Nampak tak? Ia adalah taktik. Sama ada dalam peperangan atau dalam politik, taktik gerak saraf boleh digunakan semaksimum mungkin bagi menghancurkan sesebuah bangsa, negara, agama dan tanah air.
Begitulah yang terjadi kepada Islam dan Malaysia hari ini.
Apapun musuh kita akan gagal jika kita masih waras, bertenang. Tetapi malangnya yang marah, ke­coh, banyak bercakap, keliru, kebengongan ialah orang Mela­yu sendiri. Kaum-kaum lain se­nyap dan terus istiqamah dalam pekerjaan mereka.
*****
MEDIA barat kini memperlihatkan kepada dunia satu exodus orang Islam dari negara-negara orang Islam kerana lari daripada pemerintahan kuku besi — dan mahu mendapatkan pelindungan di negara Kristian Barat.
Mereka lari daripada pasukan militan ganas dan kejam, IS yang kononnya mahu mewujudkan Dau­lah Islamiah atau Negara Islam yang sepatutnya negara-negara itu lebih hebat daripada Britain, Jerman dan Austria.
Tetapi mengapa mereka lari? Tidak hebatkah negara-negara atau daerah-daerah yang ditawan oleh Islamic State untuk dijadikan negara Islam itu?
Setakat ini tiada negara orang Islam yang menyahut atau mahu menyapa dengan keadaan itu. Se­perti biasa, OIC, Liga Arab dan lain-lain pertubuhan Islam lain membisu.
Yang bising sehinggalah mendapat liputan live melalui CNN dan BBC adalah Perdana Menteri Britain, Jerman, Hungary dan lain-lain anggota EC.
Masing-masing membuat kenya­taan bagi memberi pengertian kepada gerombolan pelarian beramai-ramai itu.
Kaum pelarian dari Syria, Ye­men, Iraq, Iran itu diperlihatkan kepada dunia berjalan kaki secara beramai-ramai setelah mengharungi lautan, yang ada antaranya terkorban di laut.
Apabila mereka tiba di Hungary, PMnya enggan membenarkan pula mereka menjejaki negara itu kerana “terkenangkan” zaman Uthmaniah menyerang dan menawan negara itu selama kira-kira 250 tahun.
Mereka fobia dengan Islam dan orang-orangnya. Akibat pelarian itu, ada yang ditonjolkan secara rela murtad dan menukar ke agama Kristian di Jerman, manakala PM Britain semalam mengumumkan bersetuju mengambil beribu warga Syria. Keutamaan ialah anak-anak yatim.
Gambar bayi rakyat Syria yang terdampar di pantai sememangnya merentap perasaan kemanusiaan kita? Tapi siapa peduli. Adakah kita orang Islam peduli?
Adakah orang kita sendiri di negara ini peduli? Jika peduli mengapa ada orang kita yang terlalu mengagung-agungkan IS?
Apa kata jika IS juga adalah ciptaan agensi kuasa besar ekoran perkembangan Islam mutakhir ini?
Perisikan Malaysia sendiri masih samar siapa sebenarnya IS, siapa di belakangnya.
Namun jika diperhalusi, diteliti daripada trendnya tidak mustahil ia “satu lagi al-Qaeda dicipta”, kata seorang sahabat saya yang terlibat dalam perisikan militansi ini.
Jika itulah hakikatnya, dunia yang kita tinggal ini sebenarnya hanyalah satu pentas pementasan yang diarahkan oleh orang-orang politik, dan kuasa besar semata-mata kerana soal geopolitik dan ketamakan.
Manusia pula adalah pelakon-pelakon tanpa skrip yang kebi­ngungan dan bergelut untuk hidup ala filem Hollywood, The Hunger Games.
Wallahualam…
ANTARA 10-0 DAN TIM PROFESIONAL MALAYSIA?
PETANG sebelum perlawanan Malaysia menentang UAE minggu lalu, seorang sahabat saya Osman tiba-tiba sambil ketawa kecil berkata “silap-silap Malaysia kena 10-0”. Ketika itu kami sedang kena teh tarik dengan beberapa rakan lain di Shah Alam.
Pagi esok media sosial di telefon saya tak berhenti-henti berbunyi. Saya lihat di laman whatsapp perbincangan mengenai 10-0.
Kemudian baharu saya sedar pasukan bola sepak kita sudah kena 10 biji tanpa balas.
Saya pula ketawa kecil sorang-sorang, teringatkan Abang Man, panggilan saya kepada Osman.
“Masin betul mulut si Osman.”
Ketika tulisan ini ditulis, saya belum tahu nasib pasukan kita di tangan Arab Saudi untuk kelayakan ke Piala Dunia itu.
Mungkin saya perlu tanya Osman apa ramalannya?
Tapi itu tak penting. Ia sudah jadi bubur. Masak macam mana pun bubur tetap bubur dan ia tak akan mengubah 10 kosong itu.
*****
APA penyelesaiannya?
Selain membubarkan tim Malaysia yang lesu itu dan kurangkan orang politik dalam FAM dengan memasukkan orang yang pakar dalam bidang itu, pasukan kebangsaan Malaysia perlu diprofesionalkan.
Ya, profesionalkan pasukan Malaysia. Jika Piala Dunia tiga tahun lagi, bentuk pasukan yang fresh dan jadikan mereka pasukan profesional Malaysia Piala Dunia itu.
Pastikan pemainnya tidak bermain dengan mana-mana pasukan selain pasukan profesional Malaysia itu. Ia adalah satu tim yang khusus dibentuk untuk Piala Dunia atau Piala Asia.
Kita bimbang jika mereka ini pemain liga bergaji besar, ada kemungkinan mereka mahu menjaga “betis” daripada kecederaan. Jika cedera dan kena berehat, gaji di pasukan liga akan dipotong.
Bayar gaji mereka mengikut pasukan liga negeri lain, atau lebih tinggi daripada itu.
Jika boleh ambil pemain asing, neutralisasikan mereka sebagai rakyat Malaysia di masa pembentukan pasukan itu.
Fokuskan kepada Piala Dunia itu. Pilih jurulatih yang tidak mengenali pun pemain-pemainnya. Pilihlah pemain-pemain muda yang mantap dari segi fizikal dan spiritual.
Jangan layan jika ada pemain manja yang mengadu kepada pihak FAM sehinggakan coach itu disingkirkan.
Atur program latihan yang mencapai tahap dunia, setaraf dengan Piala Dunia itu sendiri.
Aturkan permainan persaha­bat­an dan dan antarabangsa yang konsisten dan sistematik.
Disiplin wajib di tahap yang paling tinggi, yang tiada kompromi.
Ambillah iktibar peristiwa bersejarah 10-kosong itu.
Jangan jadi macam kata-kata bekas jurulatih mat salih sebuah pasukan negeri dulu: “main tak pakai otak, main macam lembu…!”

MH370 tenggelam dalam ‘bentuk asal’ – Pakar

13 Ogos 2015 1:35 AM
KERATAN Utusan Malaysia 6 Ogos 2015
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Pesawat MH370 yang hilang dipercayai sebahagian besarnya masih berada dalam ‘bentuk asal’ dan terdampar di dasar kawasan selatan Lautan Hindi, menurut pakar komunikasi satelit tempatan, Zaaim Redha Abdul Rahman.
Teori beliau menyatakan kemungkinan bahawa pesawat itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam dalam kejadian malang pada hari pesawat itu jatuh.
“Saya percaya pesawat itu telah kehabisan minyak, menjunam ke lautan dengan daya tujah perlahan… dengan demikian, saya berfikiran bahawa badan pesawat kekal seperti asal,” kata Zaaim Redha yang, selepas MH370 dilaporkan hilang, segera membantu untuk membaca dan membuat kesimpulan mengenai bacaan data penerbangan tersebut yang diperoleh daripada satelit dikendalikan oleh Inmarsat, sebuah firma komunikasi satelit bumi yang berpangkalan di United Kingdom.
Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Zaaim Redha berkata, bahawa teori beliau yang menyatakan pesawat itu menjunam ke dalam laut disokong oleh penemuan flaperon sepanjang dua meter baru-baru ini, di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, disahkan sebagai bahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.
“Flaperon tersebut hanya mengalami sedikit kerosakan dan hanya diselaputi teritip. Keadaannya menunjukkan bahawa ia tidak terpisah daripada badan pesawat secara kasar… malah bekas tanggalan pada serpihan itu kelihatan seolah-olah terpisah dengan baik di bahagian tepian sayap,” jelas beliau.
Zaaim Redha, yang kini perunding utama di Zeta Resources Sdn. Bhd. – yang menyediakan, antara lain, perkhidmatan perunding komunikasi satelit dan kejuruteraan. Beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan perintis di Measat yang bertanggungjawab membangunkan dan melancarkan satelit pertama Malaysia.
Ketika berkhidmat dengan NEC Jepun, beliau mengetuai pasukan multinasional untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem komunikasi satelit Inmarsat-P ICO System (Generation 4).
Mengulas lanjut mengenai saiz serpihan bencana udara didapati konsisten dengan impak kemalangan, Zaaim Redha memberi contoh kemalangan pesawat Germanwings Flight 9525 di Alps Perancis pada Mac tahun ini, di mana tidak ada serpihan yang melebihi satu kaki (kira-kira 0.3 meter) panjang disebabkan oleh kesan terhempas yang kuat.
“Jika MH370 telah terhempas dengan kuat, kita akan mendapati banyak serpihan kecil daripada pesawat itu terapung di atas air sebaik saja selepas kemalangan itu berlaku. Tambahan pula, flaperon yang dijumpai (dari Pulau Reunion) tidak mungkin akan berada dalam bentuk kepingan besar… kita mungkin hanya menemui serpihan-serpihan kecilnya sahaja,” kata beliau.
Beliau yakin bahawa selepas menjunam ke dalam lautan, pesawat MH370 itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam ‘dalam bentuk asalnya’.
Menurut beliau, adalah tidak mus­tahil juga untuk sebuah kapal terbang terapung di permukaan air seperti dibuktikan oleh US Airways Flight 1549, yang terpaksa membuat pendaratan cemas di Sungai Hudson selepas bertembung sekumpulan be­bu­rung sehingga menyebabkan kedua-dua enjin jetnya gagal, pada Januari 2009.
“Terdapat juga kemungkinan bahawa pesawat (MH370) pesawat telah tenggelam jauh ke dasar lautan untuk beberapa lama sebelum flaperon (sebahagian daripada sayap pesawat) itu tertanggal.
Mengenai kemungkinan jika flape­ron itu telah terapung di permukaan air selama lebih 4,000 kilometer sebelum berakhir di Pulau Reunion, Zaaim Redha berkata, keadaan itu adalah munasabah berdasarkan keadaan arus semasa lautan tersebut. – bernama
“Berdasarkan corak bumi berputar, besar kemungkinan sekeping pesawat boleh terapung (lebih jauh) kerana arus lautan boleh menjadi sangat kuat.
“Kuasa arus lautan memang sukar dijangkakan… umpamanya baru-baru ini, seorang wanita Rusia yang merupakan seorang penerjun bebas terhebat sepanjang zaman, gagal untuk timbul selepas menyelam di Mediterranean dan dikhuatiri berdepan dengan arus dasar laut yang kuat ketika di dalam air.” – bernama
Baru-baru ini pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap pesawat, dirujuk sebagai flaperon, ditemui di pantai Pulau Reunion di bawah pentadbiran Perancis yang terletak di Lautan Hindi.
Pada 6 Ogos, Najib mengumumkan bahawa pakar-pakar antarabangsa mengesahkan bahawa kesan materi penyelenggaraan pada bahagian pesawat itu sepadan dengan yang ada pada pesawat MH370.
Pasukan penyiasat yang melakukan pencarian di pesisiran pantai pulau berkenaan selepas penemuan itu turut menemui beberapa serpihan lain termasuk kusyen tempat duduk, bingkai tingkap, serta sisa-sisa sebuah beg pakaian dan botol kosong.
Bagaimanapun, penemuan tinggalan berkenaan masih belum dikenal pasti sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu.- BERNAMA