Usaha tingkatkan profesionalisme

Suruhanjaya perkhidmatan berasingan diwujudkan
03 September 2015 12:59 AM
Paul Low Seng Kuan bergambar dengan (dari kiri) Akhbar Satar, Jose Ugaz, Mustafar Ali dan Akere Muna selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 2 Sept. – Kerajaan akan memper­ku­kuhkan Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mewujudkan sebuah suruhanjaya perkhidmatan berasingan dalam usaha meningkatkan keupayaan serta profesionalisme kesemua anggota dan pegawainya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk dan dalam masa sama turut memaklumkan syor itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat kerana membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Selain SPRM beliau berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Jabatan Audit Negara dengan memberikan lebih kuasa serta skop audit yang lebih luas kepada jabatan itu.
“Bukan itu sahaja, jabatan juga bertanggungjawab melaporkan ke­pada jawatankuasa khas di Parlimen yang dianggotai oleh pihak kerajaan dan pembangkang.
“Inilah antara bukti komitmen kerajaan untuk mempertahankan kebebasan institusi-institusi awam di negara ini terutama SPRM dan Jabatan Audit Negara,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Transparency International (TI), Jose Ugaz; Presiden TI Malaysia, Datuk Akhbar Satar; Pengerusi Majlis IACC, Akere Muna dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.
Persidangan selama tiga hari bertemakan ‘Mengakhiri Kesan Buruk: Rakyat, Integriti dan Tindakan’ itu dianjurkan SPRM, Majlis Penasihat IACC, TI dan TI Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Paul Low berikrar mempertahankan SPRM daripada campur tangan mana-mana pihak khususnya yang cuba mengganggu siasatan serta tugasan suruhanjaya tersebut.
“Ini adalah janji saya. Saya tidak akan benarkan mana-mana pihak mengganggu SPRM. Biarkan SPRM melakukan tugas mereka tanpa rasa takut dan memilih,” katanya.
Seperkara lagi beliau berkata, tugas mempertahankan kewibawaan serta kredibiliti SPRM bukan terletak di bahunya serta kerajaan semata-mata bahkan tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh semua rakyat negara ini.
“Jika berlaku campur tangan, rakyat juga harus bersuara dan ini semua bertujuan mempertahankan kebebasan SPRM dalam menjalankan tugas-tugas mereka,” katanya.
Dalam ucapannya itu, Paul Low turut menyentuh keperluan parti-parti politik di negara ini memaklumkan sumber dana yang diperoleh melalui satu peraturan yang akan diwujudkan kelak.
Untuk itu, katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik bagi tujuan tersebut.

RASUAH : 14 penguat kuasa empat 
agensi ditahan SPRM

Anggota kastam dan KPDNKK turut terima suapan
MASZUREEN HADZMAN | 05 Mac 2015 1:08 AM
DUA pegawai KPDNKK ditahan dalam Op Licin 2 berhubung kegiatan menyeludup petrol ke negara jiran di Kedah, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan mereka bukan menyasarkan satu agensi penguat kuasa sahaja dalam melaksanakan Op Licin 2.
Ini dibuktikan dengan penahanan 14 individu lagi termasuk anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana dipercayai bersubahat dalam kes penyeludupan dan penjualan petrol ke negara jiran.
Mereka yang ditahan terdiri dari­pada lima anggota KPDNKK, tiga pegawai JKDM dan dua Pasukan Gerakan Am (PGA) serta seorang anggota tugas am Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut ditahan dua pesara tentera dan seorang bekas pegawai KPDNKK dalam Op Licin 2 di Kedah dan Perak.
Kesemua individu berusia dalam lingkungan 30-an sehingga 50-an itu ditahan di pejabat KPDNKK Anak Bukit dan Kubang Pasu di Jitra, Kedah sebelum dibawa ke pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 9.30 pagi sehingga 7 malam.
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua mereka yang masih dan pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam serta Kota Putra, Durian Burung terlibat dengan kegiatan penyeludupan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, mereka juga didapati tidak melakukan prosedur standard operasi (SOP) agensi ma­sing-masing sehingga menyebabkan urusan jual beli petrol ‘dipermudahkan’ oleh sindiket.
Katanya, terdapat pelbagai cara dikesan penguat kuasa tersebut bagi mendapatkan habuan masing-masing.
“Ada daripada mereka mene­rima wang secara tunai dan ada juga yang menerima wang suapan secara bulanan. Op Licin 2 yang dijalankan oleh SPRM ini akan dibuat secara berterusan sehingga kegiatan berkenaan dibanteras habis-habisan,” katanya di sini.
Ujarnya, ketiga-ketiga pesara yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa pula disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semalam, seramai 11 orang ditahan agensi itu, sembilan daripadanya merupakan anggota polis dan dua adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Serbuan yang dijalankan sejak Isnin lalu, menjadikan seramai 36 orang telah ditahan termasuk anggota penguat kuasa Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

PEKA dan SPRM, Finas dan bahasaku; Ketam Melayu dan Cina

Macam mana? Comel tak ketam-ketam itu. Comelkan. Kalau comel ajaklah ...
CUIT

ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 04 Mac 2015 12:31 AM
SPRM sebagai rakan strategik

SEMALAM saya dijemput menjadi ahli panel satu forum mengenai alam sekitar. Ia dianjurkan bersama oleh sebuah badan aktivis alam sekitar dikenali sebagai Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (IAM) di Restoran Saloma, Jalan Ampang.
Ramai yang hadir termasuk rakan wartawan. Banyak perkara yang dibincangkan. Turut disentuh isu tragedi terbaharu – kemusnahan alam di Cameron Highlands, banjir kuning di Kelantan serta pendedahan mengenai kerosakan sistem ekologi di Pulau Mabul di Sempurna, Sabah.
Juga dibincangkan mengenai penglibatan politik dalam isu-isu itu. Serta bagaimana kerajaan negeri gagal menangani soal kemusnahan yang berlaku di hadapan mata mereka.
Terlalu banyak ketirisannya. Ini bukan membabitkan soal kesedaran, tetapi lebih kepada penguatkuasaan. Ini juga membabitkan soal wang dan ringgit. Ini juga membabitkan soal makan suap oleh para pegawai penguatkuasaan yang sudah menjadi darah daging mereka.
Isu rasuah sering dibangkitkan oleh rakyat. Bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi, namun yang paling banyak ialah membabitkan peringkat rendah. Akhir­nya bukan pegawai-pegawai yang terbabit dipersalahkan, tetapi kerajaan secara keseluruhannya.
Namun apa yang menarik perhatian saya semasa kami bersembang semasa makan tengah hari ialah bagaimana kreatifnya PEKA cuba menangani masalah ini.
Mereka telah bekerjasama dengan SPRM sebagai rakan strategik. Pegawai-pegawai SPRM akan digunakan untuk berhubung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Jika kami sendiri yang berhubung dengan mereka tidak jalan,” kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syek Akil.
“Dengan SPRM mereka takut sikit,” tegas beliau.
Memang benar, sepatutnya apa yang dilakukan oleh PEKA itu perlu dituruti oleh NGO-NGO yang lain, malah oleh agensi-agensi sensitif kerajaan yang lain seperti Jabatan Hutan, jabatan penguatkuasaan di pihak-pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.
Tahniah PEKA kerana kepekaan untuk memelihara khazanah alam ciptaan Allah SWT demi generasi anak cucu akan datang.
Bahasa rasmi Finas sudah bertukarkah?
FINAS ditubuhkan sejak 1980 dengan niat baik oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, kini Tun. Tetapi sehingga kini setelah ratusan juta diperuntukkan, orang masih tertanya-tanya apakah kejayaan Finas yang boleh dibanggakan?
Pada suatu masa dahulu, Finas merai ulang tahun pembentukannya setiap tahun, tetapi ada orang kata untuk merai kejayaan apa?
Berbanding dengan agensi kerajaan lain yang lebih memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, Finas dikatakan hanya boleh merasa bangga dengan kewujudannya sahaja.
Jadi tidak hairanlah kalau akhir­nya menteri berkenaan mengarahkan untuk acara perayaan ulang tahun Finas tidak diadakan. Sekali gus menjimatkan ratusan ribu ringgit untuk mengadakan acara jamuan besar di hotel terkenal di bandar raya Kuala Lumpur.
Sejak Finas ditubuhkan terdapat enam orang yang telah dilantik sebagai ketua pengarahnya iaitu – Ismail Zain, Datuk Zain Hamzah, Allahyarham Datuk Sharif Ahmad, Datuk Mahyiddin Mustakim, Naguib Razak, Raja Rozaimi Dalnish Shah dan sekarang ini Datuk Kamil Othman yang dulunya pengarah MDEC.
Sejak dulu bahasa rasmi yang diguna oleh semua kegiatan Finas adalah bahasa Melayu. Tetapi sejak kebelakangan ini bahasanya adalah Inggeris?
Adakah apa yang didengar saya itu benar? Kalau benar apa sebabnya Finas mahu menukar bahasa rasmi agensi kerajaan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris?
Kalau perkara ini benar-benar berlaku, itu sudah tentu satu perkembangan yang amat menyedihkan. Bahasa Jiwa Bangsa? Bahasaku Oh Bahasaku…
Ketam Cina dan Ketam Melayu…
SAYA tertarik dengan satu kisah ketam. Saya menerimanya melalui WhatsApp. Saya tidak tahu siapa penulisnya, namun kisah itu cukup untuk direnungi oleh kita semua.
Kisahnya begini:
Pada pagi itu dia pergilah ke pasar borong dan berjalan ke satu kedai milik Cina yang menjual ketam.
Melayu: Apek, ketam ada jual ka?
Cina: Ada… ada… lu mau ketam Cina ka ketam Melayu?
Melayu: Aik! Ketam pun ada Melayu dengan Cina ka apek? Cuba lu tunjuk mana ketam Melayu, mana ketam Cina?
Cina: Itu sana dalam bekas ada tutup, ketam Cina. Sana dalam bekas tak ada tutup, ketam Melayu la…
Melayu: Apa pasal ketam Cina apek kasi tutup… ketam Melayu apek tak kasi tutup?
Cina: Itu ketam Cina kalau satu ekor keluar…. yang lain akan tengok dan kasi belajar macam mana boleh keluar dari bekas. Nanti lama-lama semua ketam pandai macam mana mau keluar dari bekas. Jadi semua keluar la.
Melayu: Ketam Melayu tak itu macam ka?
Cina: Ketam Melayu, kalau satu ekor keluar yang lain kasi tarik itu kaki ketam tadi… jangan kasi keluar. Dia mau dia seekor saja keluar… yang lain biar dalam bekas. Kalau dia sudah keluar, dia terus lari, tak mau ajar yang lain macam mana mau keluar.
MORAL:
Begitulah cerita ketam Melayu dengan ketam Cina. Hakikatnya, jika orang Cina berniaga, Cina lain tak kacau, dia tengok saja dan belajar macam mana boleh berjaya.
Cina yang sudah berjaya itu pula, akan ajar Cina lain agar berjaya juga.
Kalau orang Melayu, bila satu Melayu nak berjaya, Melayu lain akan guna apa saja supaya Melayu tu jatuh balik. Macam ketam Melayu, apabila seekor ketam berjaya hendak naik, ketam lain tarik kaki dia, akhirnya seorang pun tak dapat naik. Lepas tu mulalah bergaduh sesama sendiri.
Benarkah begitu? Adakah kerana sifat itu orang Melayu tidak senang-senang sampai sekarang? Adakah oleh kerana itu, matlamat 30 peratus penguasaan ekonomi masih tidak tercapai?
Saya diberitahu di pasar raya IT di Plaza Low Yat misalnya, peniaga-peniaga Cina tolong-menolong antara satu sama lain bagi memastikan supply chain dikongsi dan dikuasai bersama. Begitu juga dalam bidang-bidang lain. Jika sudah ada rantai, pastikan rantai itu tidak putus, malah disambung-sambung sehingga lebih utuh dan besar.
Wallahualam…

11 lagi anggota UPP, PGA ditahan SPRM

Terlibat melindungi aktiviti penyeludupan petrol di sempadan
MASZUREEN HADZMAN | 04 Mac 2015 1:40 AM
SEBAHAGIAN daripada 11 anggota penguat kuasa yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan aktiviti penyeludupan petrol dan diesel di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Mac – Selepas sekumpulan anggota pe­nguat kuasa ditahan sema­lam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memburu mereka yang terbabit dalam kes penyeludupan dan penjualan petrol ke negara jiran.
Terbaharu, 11 lagi penguat kuasa yang terdiri daripada sembilan anggota polis tugas am, dan dua anggo­ta Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan SPRM dalam serbuan Op Licin 2 di Kedah dan Perak hari ini.
Serbuan tersebut menjadikan 26 individu termasuk dua orang awam yang ditahan setakat ini.
Menurut sumber, tujuh daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di Kuala Nerang manakala dua lagi di Balai Polis Kota Putra, Durian Burung, Padang Terap dan seorang di Bidor, Perak, kira-kira pukul 11.30 pagi dan 2 petang ini.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 25 dan 58 tahun.
“Enam daripada sembilan yang ditahan merupakan anggota polis berpangkat Koperal dan masing-masing seorang Konstabel, Sarjan, Sarjan Mejar dan dua lagi merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya di sini.
Semalam, SPRM menahan 13 pe­nguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota UPP serta PGA kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
Turut ditahan seorang bekas pegawai UPP dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.
Kesemua 15 individu terbabit di­tahan dalam operasi yang dikena­li sebagai Op Licin 2 di Perak dan Ke­dah setelah siasatan mendapati sin­diket penyeludupan minyak petrol itu dilakukan secara haram melalui pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membanteras aktiviti mengelak cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai (FTZ) September lalu.
Dalam pada itu, mereka turut dipercayai menerima suapan sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor minyak petrol dan diesel yang tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Padang Terap.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut memberitahu, kesemua mereka yang ditahan semalam te­lah dibebaskan hari ini selepas ke­­nya­taan mereka diambil oleh SPRM.
Katanya, di Kedah, tujuh pegawai penguat kuasa dibebaskan de­ngan jaminan mulut manakala pe­sara UPP dibebaskan dengan seorang penjamin dan wang tunai sebanyak RM10,000.
“Di Perak pula, enam anggota PGA turut dibebaskan dengan jami­nan mulut manakala seorang orang awam sudah dibebaskan dengan ja­­minan wang tunai sebanyak RM2,500 berserta seorang penjamin.
“Orang awam yang ditahan di­siasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Ak­ta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa pula disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” ujar sumber itu.

JENAYAH : SPRM tahan 13 
anggota UPP, PGA

Terima suapan sehingga RM4,000 daripada penyeludup
ILAH HAFIZ AZIZ | 03 Mac 2015 1:57 AM
SEORANG pegawai SPRM mengiringi seorang suspek yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
KUALA LUMPUR 2 Mac – Segelintir penguat kuasa yang bertugas di sempadan negara ter­nyata tidak pernah gentar dengan tindakan demi tindakan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.
Buktinya, 13 penguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
Turut ditahan, seorang bekas pegawai UPP dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.
Kesemua 15 individu terbabit ditahan dalam operasi yang dikenali sebagai Op Licin 2 di Perak dan Kedah, setelah siasatan mendapati sindiket penyeludupan minyak petrol itu dilakukan secara haram melalui pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membanteras aktiviti mengelak cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai September lalu.
Menurut sumber, dalam penahanan terbaharu ini, kesemua yang terlibat merupakan pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Ke­selamatan (ICQS).
Katanya, mereka dipercayai menerima suapan sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor minyak petrol dan diesel yang tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Padang Terap, Kedah.
“Daripada 13 penguat kuasa yang ditahan itu, lima daripadanya anggota UPP manakala selebihnya Pasukan Ge­rakan Am (PGA) dengan masing-masing enam dari Perak dan dua dari Kedah.
“Bekas pegawai UPP berpangkat Asisten Superintenden yang ditahan itu pula berusia 60 tahun,” katanya di sini.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu mendedahkan, penyelewengan diesel dan petrol di sempadan negara masih lagi berterusan khususnya di pintu sempadan negara meskipun usaha oleh kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sering dilakukan.
Laporan itu mendedahkan, tindakan segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak membuat pemeriksaan ketat terhadap kenderaan-kenderaan yang disyaki membawa bahan bakar menyebabkan beberapa kawasan di pintu sempadan negara mudah dibolosi.
Mengulas lanjut, sumber memberi­tahu, penguat kuasa yang ditahan itu terdiri daripada pegawai berpangkat Asisten Superintenden (seorang), In­spektor (dua), Koperal (lapan) dan Konstabel (dua).
“Seorang orang awam yang ditahan pula berasal dari Ipoh, Perak. Kesemua 15 inidvidu yang ditahan tersebut berusia antara 20-an hingga 60-an.
“Dalam operasi itu, sebahagian anggota UPP ditahan di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam manakala anggota PGA pula ditahan di sekitar pekan Bukit Kayu Hitam.
“Bekas anggota UPP yang merupakan pesara itu ditahan di rumahnya di Alor Setar,” katanya.
Kesemua yang ditahan disisasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 membabitkan kesalahan me­minta suapan oleh penjawat awam.

SPRM buru lebih 50 individu – CARA NAK KAYA MENYUSAHKAN ORANG

Dalang jual Pas Lawatan Sosial bernilai jutaan ringgit
MASZUREEN HADZMAN | 06 Februari 2015 2:34 AM
Keratan Utusan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 5 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­ngenal pasti lebih 50 individu yang didapati terlibat dalam kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan sindiket menjual Pas Lawatan Sosial (PLS) kepada warga asing.
Berikutan itu, SPRM akan me­lancarkan operasi besar-besaran bagi menahan individu terlibat dalam tempoh terdekat yang kebanyakannya kakitangan kerajaan.
Menurut sumber, turut diburu pemegang PLS yang disyaki memberi rasuah bagi mendapat pas berkenaan.
“Sebagaimana kes siasatan lain, SPRM memerlukan bukti dan kete­rangan bagi melengkapkan siasatan. Perkara ini masih dalam penelitian SPRM dan maklumat mengenai perkara tersebut sama sekali tidak boleh didedahkan supaya tidak mengganggu prosedur siasatan.
“SPRM akan mengambil pelbagai pendekatan untuk membanteras rasuah dan tidak akan bertolak ansur dengan apa jua bentuk rasuah termasuk perbuatan meminta dan memberi rasuah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan SPRM menahan tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah di Sabah dipercayai menjual ratusan PLS sehingga RM11,000 setiap satu kepada warga Pakistan.
Laporan tersebut antara lain turut mendedahkan SPRM mengesan modus operandi pegawai terlibat dipercayai termasuklah menerima sijil nikah palsu daripada ‘bakal pembeli’ warga Pakistan terbabit, bagi tujuan kelulusan PLS Jangka Panjang.
Sijil nikah merupakan bukti pen­ting dikehendaki pihak imigresen daripada pemohon PLS Jangka Panjang iaitu di bawah kategori pemohon adalah suami atau isteri kepada warganegara Malaysia, bagi membuktikan perkahwinan itu wujud.