F1 : Hamilton hampiri kejuaraan dunia ketiga

12 Oktober 2015 12:19 AM
PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Rusia di atas pentas selepas menerima trofi di Litar Sochi Autodrom, Sochi semalam. AFP
SOCHI, Rusia – Lewis Hamilton melakar kemenangan dramatik dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Rusia semalam bagi mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga selepas rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg berdepan masalah pendikit.
Penyandang juara dunia itu menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 37 minit dan 11.024 saat untuk muncul juara di sini, sementara pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di tempat kedua (1’37:16.977s), manakala pelumba Force India, Sergio Perez di tempat ketiga (1’37:39.942s).
Kejayaan Vettel menamatkan saingan di kedudukan kedua membuka laluan kepadanya untuk memintas Rosberg sebagai pencabar terdekat Hamilton setelah dipisahkan 66 mata di belakang pemandu Britain itu dengan empat perlumbaan masih berbaki dan 100 mata maksimum menjadi rebutan.
Jika keputusan seiring dengan apa yang disasarkan Hamilton, maka pelumba itu berpeluang besar untuk memastikan kejuaraan dunia menjadi miliknya di Austin, Texas, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lagi.
Hamilton, yang turut menjuarai persaingan dalam penganjuran sulung GP Rusia pada tahun lalu, turut berjaya mengatasi rekod yang pernah dicipta juara dunia tiga kali, Ayrton Senna, setelah dia mengumpul 302 mata, sementara Vettel mengutip 236 mata dan Rosberg meraih 229 mata.
“Kami seperti akan terus bersaing dan saya berasakan ini sesuatu yang hebat. Apa yang pasti kami bakal mempamerkan aksi yang menarik,” kata Hamilton, selepas menerima trofi kemenangannya daripada Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.
Mengulas mengenai kegagalan Rosberg menamatkan perlumbaan, Hamilton yang melakar kemena­ngan kesembilannya musim ini dan yang ke-42 dalam kariernya berkata, rakan sepasukannya itu telah me­lakukan kesilapan pada selekoh pertama sehingga menyebabkan jenteranya terbabas.
“Kesilapan itu membolehkan saya memintasnya, dan selepas itu dia telah berdepan beberapa masalah. Malang sekali untuk pasukan kami. Saya sendiri tidak tahu berapa banyak lagi peluang untuk saya berada di kedudukan sebegini sekali lagi,” tambah penyandang juara dunia itu.
Sementara itu, pemandu Williams, Felipe Massa melengkapkan perlumbaan 53 pusingan itu di kedudukan keempat dalam aksi yang memaksa dua kereta keselamatan masuk ke litar selepas pelumba Finland, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen berlanggar ketika bersaing merebut keputusan podium terakhir.
Bagaimanapun, Raikkonen dari Ferrari sekadar berpuas hati di tangga kelima, yang mana keputusan itu menghalang Mercedes dinobatkan sebagai juara pengeluar lebih awal buat tahun kedua berturut-turut.
Namun, perbuatan nekad Raikkonen itu mengundang padah kepadanya, setelah dia berdepan siasatan steward perlumbaan kerana terbabit dalam pelanggaran. – REUTERS
Advertisements

F1 : Hamilton kembali kepada rentak kemenangan

28 September 2015 12:01 AM
SUZUKA, Jepun – Lewis Hamilton meluru ke garisan penamat di hadapan rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg untuk memenangi Grand Prix Formula Satu Jepun semalam dan mengukuhkan peluangnya untuk memenangi gelaran dunia kali ketiga.
Lewis Hamilton melambung trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Jepun di Litar Suzuka semalam. AFP
Pemandu dari Britain itu, yang memburu kejuaraan dunia berturut-turut, kini berada 48 mata di hadapan Rosberg dalam kedudukan keseluruhan pemandu ketika musim ini berbaki lima perlumbaan selepas memperagakan pemanduan mengkagumkan di Litar Suzuka.
Sebastian Vettel, yang mencipta kejutan apabila menang di Singapura minggu lalu, menduduki tempat ketiga manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen keempat.
“Sungguh hebat Lewis! Perlumbaan yang fantastik kawan!” kata jurutera pasukan Mercedes menerusi radio sewaktu Hamilton melintasi garisan penamat sambil menumbuk udara untuk meraikan kemenangan kelapannya musim ini.
Selepas kembali mencipta kejayaan selepas perlumbaannya tamat awal di Singapura minggu lalu, Hamilton membalas: “Kerja yang fantastik kawan. Rasa sungguh gembira dapat kembali menang.”
Bersemangat selepas kecewa di Singapura, Hamilton bermula dengan hebat, meluru ke hadapan di selekoh dua selepas Rosberg terbabas sedikit ke rumput dan tercicir ke tempat keempat setelah bermula dari petak pertama.
Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo mendapati tayarnya koyak ketika cuba memintas tetapi berlaga tayar dengan Felipe Massa, yang kemudian terpaksa memandu kereta Williamsnya kembali ke pit untuk menukar sayap depan.
Bagaimanapun, keadaan berjalan lancar untuk kelompok hadapan dengan kedua-dua pemandu Mercedes menguasai perlumbaan untuk membalas kekecewaan mereka di Singapura sehingga membuka peluang tipis kepada Vettel. – AFP

Vettel hidupkan persaingan rebut gelaran Formula Satu

21 September 2015 12:23 AM
SEBASTIAN VETTEL mencium trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Singapura semalam. – AFP
SINGAPURA – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu Singapura setelah mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pelumba pilihan utama Lewis Ha­milton yang gagal menamatkan persaingan semalam.
Kejayaan Vettel itu sekali gus menghidupkan semula persa­ingan untuk memburu kejuaraan F1 musim ini, yang kini berbaki enam perlumbaan.
Pelumba kelahiran Jerman itu mendahului dari awal hingga ke akhir perlumbaan dan menamatkan persaingan dengan masa dua jam, satu minit 22.118 saat dalam perlumbaan yang terganggu seketika oleh peminat yang berkeliaran di dalam trek.
Vettel melintasi garisan penamat untuk kemenangan ketiganya musim ini dengan berada 1.4 saat di hadapan naib juara Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull.
Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menduduki tempat ketiga, yang mana ketiga-tiga pelumba ini kekal di posisi sama sejak awal perlumbaan yang berlangsung di litar Marina Bay.
Pelumba Mercedes, Hamilton pula terpaksa berundur awal apabila jentera yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pertengahan perlumbaan, namun penyandang juara itu masih meng­ungguli kedudukan keseluruhan dengan 252 mata.
Kejayaan Vettel bagaimanapun merapatkan kedudukannya di tempat ketiga keseluruhan dengan berada lapan mata di belakang rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat keempat. – AGENSI

F1 : Hamilton, Rosberg dominasi Spa

24 Ogos 2015 12:44 AM
Lewis Hamilton bergurau dengan jurukamera selepas memenangi Grand Prix Belgium di Litar Spa-Francorchamps semalam. – AGENSI
SPA, Belgium – Juara dunia bertahan dua kali Lewis Hamilton melebarkan rekod kemenangannya musim ini selepas mengutip 28 mata dalam perlumbaan Grand Prix Belgium meskipun menerima tentangan sengit daripada rakan sepasukan dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg.
Memulakan perlumbaan dari petak pertama untuk kali ke-10 dan keenam berturut-turut musim ini, pelumba berusia 30 tahun dari Britain itu mendominasi perlumbaan dengan baik apabila menamatkan perlumbaan dengan berada 2.058 saat di hadapan rakan sepasukannya dari Jerman itu. Hamilton kini mengumpul 227 mata manakala Rosberg 199.
Ini adalah kemenangan kedua Hamilton di sini, selepas kali pertama melakukan pada 2010 ketika bersama McLaren, serta kejayaan keenam musim ini dan ke-39 sepanjang kariernya. Ini juga kali ke-80 dia menaiki podium untuk menyamai rekod legenda Brazil, Ayrton Senna.
“Terima kasih semua, satu usaha yang baik. Saya gembira dengan kejayaan ini. Terima kasih,” kata pelumba Mercedes itu dari dalam jenteranya.
Rosberg, yang bakal menimang cahaya mata pertama pada bila-bila masa, berkata dia tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menambah: “Lewis telah melakukan tugas dengan baik dan dia memang layak untuk menang”.
Dalam pada itu, juara empat kali, Sebastian Vettel hampir menamatkan saingan di tempat ketiga untuk Ferrari namun dia mengalami masalah tayar belakang kanan di selekoh kedua terakhir.
Pelumba Perancis, Romain Grosjean mengambil kesempatan untuk memintas dan menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan yang cukup mengujakan itu. – AFP

F1 : Hamilton lebar kedudukan pendahulu

07 September 2015 12:11 AM
LEWIS HAMILTON melambai ke arah penonton selepas menjuarai Grand Prix Itali di Litar Monza, semalam. Agensi
MONZA – Lewis Hamilton me­lebarkan kedudukan pendahulu Formula Satu (F1) dunia kepada 53 mata selepas menjuarai Grand Prix Itali dalam perlumbaannya yang ke-50 di Litar Monza, semalam.
Bagaimanapun, nasib malang menimpa rakan sepasukan dan pencabar utamanya dari pasukan Mercedes, Nico Rosberg apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas enjin keretanya terbakar ketika saingan berbaki dua pusi­ngan.
Rosberg bersedia untuk menamatkan saingan di tangga ketiga sebelum insiden malang itu berlaku.
Hamilton mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 18 minit 00.688 saat, 25 saat meninggalkan pelumba di tangga kedua iaitu juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari.
Pemandu Williams, Felipe Massa pula menamatkan saingan di tempat ketiga.
Sebelum mengesahkan kemenangan ketujuh daripada 12 perlumbaan musim ini, Hamilton terlebih dulu berdepan detik cemas apabila menggunakan tekanan tayar yang tidak dibenarkan.
Pemandu Britain itu berdepan siasatan steward selepas menggunakan tekanan tayar yang terlalu rendah, dan seandainya didapati bersalah dia mungkin dikenakan penalti.
Malah, juara dunia dua kali itu juga berdepan detik mencemaskan pada beberapa pusingan terakhir selepas prestasinya kereta sedikit terjejas, malah dia diberi amaran oleh pasukan.
“Beberapa pusingan terakhir tidak begitu bagus,” kata Hamilton kepada jurutera pasukan menerusi radio. – REUTERS

F1 : Hamilton garang di tempat sendiri

06 Julai 2015 12:36 AM
Lewis Hamilton
SILVERSTONE – Pendahulu kejua­raan dunia, Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Britain buat kali ketiga semalam selepas bangkit mengatasi dua pelumba Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas pada awal perlumbaan dalam cuaca hujan.
Rakan sepasukannya, Nico Rosberg memastikan kejayaan satu-dua buat pasukan Mercedes AMG Pe­tronas, sementara pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berada di tempat ketiga, sekali gus menyaksikan Hamilton semakin melebarkan jurang kepada 17 mata ke atas Rosberg.
Walaupun bermula di petak paling hadapan, juara dunia itu dan rakan sepasukan, Rosberg, ketinggalan sebaik saja perlumbaan bermula apabila dipintas Massa yang berada di petak ketiga bersama Bottas.
Namun, Hamilton berjaya me­ngatasi kedua-dua perlumbaan tersebut sebaik melakukan hentian pit pertama dengan berada di hadapan dengan kelebihan enam saat.
Sementara itu, Bottas yang cuba mempertahankan kelebihan di tempat ketiga di hadapan Rosberg akhirnya terpaksa akur apabila hujan yang pada pusingan ke-36 menukar rentak perlumbaan.
Rosberg berjaya memecut untuk memintas kedua-dua pemandu Williams bagi berada di tempat kedua dan muncul pendahulu buat seketika sebaik saja memasuki hentian pit kedua pada pusingan yang ke-43.
Namun, tindakan Hamilton menukar tayar jenis pertengahan dengan hujan kembali reda memaksa Rosberg menukar strategi dan situasi itu memberi kelebihan kepada pelumba Britain itu.
“Buat pertama kali dalam karier, saya melakukan keputusan paling tepat mengenai pemilihan tayar dan saya fikir pada mulanya telah kehilangan suhu pada tayar depan.
“Memang sesuatu yang agak mencabar bagi mana-mana pelumba apabila mendahului tetapi buat pertama kali, keputusan yang saya lakukan paling sempurna ke­rana saya dapat lihat hujan turun tidak menentu, ” kata Hamilton.
Vettel yang bermula perlahan dengan meraih tempat kesembilan di peringkat awal perlumbaan membuktikan pengalaman ba­nyak membantu untuk berada di tangga ketiga. – AGENSI

F1 : Grand Prix Azerbaijan diperkenalkan tahun depan

21 April 2015 1:21 AM
BERNIE ECCLESTONE (kiri) berbincang dengan delegasi media FIA ketika melawat pusat media di Litar Antarabangsa Bahrain di Manama, kelmarin. REUTERS
SAKHIR Ketua Komersial Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone berkata, Azerbaijan akan me­nganjurkan perlumbaan pertamanya musim depan, meskipun wujud kebimbangan terhadap rekod hak asasi manusia di negara tersebut.
Dikenali sebagai Grand Prix Eropah Baku, perlumbaan sulung F1 itu bakal diadakan di litar jalan raya di ibu negara Azerbaijan, Baku.
Laporan Human Rights Watch tahun ini berkata, terdapat kemerosotan dalam rekod bekas negeri Republik Soviet itu yang mana lebih daripada 30 orang pembela hak asasi manusia, termasuk aktivis politik dan wartawan telah ditangkap ataupun dipenjarakan.
Sewaktu bercakap menjelang Grand Prix Bahrain yang pernah dibatalkan penganjurannya pada 2011 selepas keganasan yang berlaku ekoran tuntutan perubahan politik di negara itu, Ecclestone berkata, dia tidak berasakan sebarang masalah akan timbul.
“Perlumbaan dijangka berlangsung dengan lancar,” katanya.
Pada awal minggu ini, laman web rasmi F1 telah menyiarkan notis undang-undang yang menyatakan bahawa, Kumpulan Formula Satu komited bagi menghormati hak-hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Human Rights Watch melapor­kan, kerajaan Azerbaijan me­ning­katkan penindasan terhadap pengkritiknya yang mana ia telah mencatat kemerosotan ketara bagi hak asasi rakyat di negara itu.
Ketika ditanya sama ada situa­si hak asasi di Azerbaijan telah dipantau sebelum menyerahkan hak penganjuran, Ecclestone berkata, dia berasakan semua pihak berasa gembira dengan keputusan itu dan tiada masalah besar dijangka akan berlaku.
Ecclestone turut diajukan pertanyaan tentang kebimbangan ke­­merosotan perlumbaan F1 di Eropah. – AP