Cameron Highlands: Penguatkuasaan ke atas PATI diteruskan

OLEH THOMAS CHONG (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 27 Januari 2015 1:49 AM
Keratan Utusan Malaysia 10 November 2014.
PUTRAJAYA 26 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengu­atkuasaan diteruskan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri dan melakukan kerja-kerja penerokaan di Came­ron Highlands.
Muhyiddin berkata, tindakan perlu dikenakan terhadap mereka sama ada yang meneroka tanah secara haram atau bekerja di destinasi peranginan tersebut.
“Setakat ini hampir 800 PATI telah ditahan dan tindakan undang-undang turut diambil ke atas mereka,” katanya kepada pembe­rita selepas mempengerusikan me­syuarat mengenai isu Cameron Highlands, di sini hari ini.
Muhyiddin pada 9 November lalu telah mengarahkan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan dilancarkan bagi memastikan peneroka haram termasuk PATI di Cameron Highlands dikenakan tindakan tegas.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihak berkuasa telah berjaya membersihkan kira-kira 7.8 peratus atau kira-kira 177 hektar daripada 2,258 hektar tanah di Cameron Highlands yang dikenal pasti diceroboh oleh peneroka haram.
Dalam perkembangan ber­kai­tan, Muhyiddin berkata, kerajaan negeri Pahang bercadang memberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada penduduk yang sudah lama mengusahakan kebun di Cameron Highlands.
Beliau berkata, kerajaan negeri Pahang telah memaklumkan bahawa sesetengah pengusaha kebun buah-buahan dan sayur-sayuran telah mengerjakan tanah selama 40 tahun mungkin layak menerima TOL walaupun permohonan mereka gagal sebelum ini atas pelbagai sebab.
“Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sudah memberi jaminan bahawa hal ini (pengeluaran TOL) akan dipertimbangkan dalam tempoh sebulan iaitu sehingga akhir bulan Februari.
“Sementara kerajaan negeri mempertimbangkan pengeluaran TOL, kita akan meneruskan kerja-kerja pembersihan tanaman di kawasan yang diceroboh secara ha­ram,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membantu aktiviti penguatkuasaan di Came­ron Highlands dengan menyediakan aset seperti jentolak bagi digunakan untuk membersihkan kebun-kebun yang diusahakan secara haram.
“Penyediaan aset ini bertujuan meningkatkan keberkesanan dalam tindakan penguatkuasaan, sebahagian kos akan dibiayai menerusi Tabung Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah ditugaskan untuk meneliti semula pelan pembangunan di Cameron Highlands bagi memastikan kelestarian pusat peranginan itu untuk jangka panjang.
“Pelan akan disiapkan dalam tempoh enam bulan supaya tindakan susulan boleh diambil untuk menambah baik, memulih serta mencantikkan kawasan Cameron Highlands,” katanya.

Sekolah jadi pusat pemindahan 
dibenar lewatkan mula sesi

09 Januari 2015 2:00 AM
MUHYIDDIN YASSIN menyampaikan replika cek Bantuan Awal Persekolahan 1 Malaysia kepada Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail (dua dari kanan) di Jerantut, semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri), Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (kiri) dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar, Suraiyaton Pakih (kanan). – UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN
JERANTUT 8 Jan. – Sekolah-sekolah terjejas teruk akibat musibah banjir dan masih dijadikan pusat pemin­dahan sementara diberi kelonggaran untuk melewatkan permulaan sesi baharu persekolahan yang dijadual pada Ahad dan Isnin ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun sekolah-sekolah terlibat perlu menggantikannya semula pada masa bersesuaian.
Beliau berkata, sehingga kini, 56 buah sekolah masih dijadikan pusat pemindahan sementara untuk menempatkan mangsa banjir di beberapa negeri terlibat.
“Secara logiknya pun, tidak mungkin mereka boleh memulakan sesi persekolahan jika masih menjadi pusat pemindahan selain perlu dibersihkan,’’ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi pelan tindakan pasca banjir bagi negeri ini di Pejabat Daerah di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sekolah dan tahap kerosakan ditanggung mereka bagi membolehkan penggantian dilakukan segera.
“Untuk permulaan sesi baharu persekolahan ini, kelengkapan se­perti buku teks, kerusi dan meja kita dahulukan,’’ ujar beliau.
Sementara itu, ketika mengadakan lawatan pasca banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar di sini, beliau menyerahkan peruntukan kerajaan Pusat RM25.7 juta untuk bantuan awal persekolahan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Pahang yang diwakili Pengarahnya, Mohd. Rosdi Ismail.
Dalam ucapannya, beliau berharap pemberian tersebut dapat mengurangkan beban terpaksa ditanggung mangsa-mangsa banjir yang berdepan dengan kesempitan kewangan ekoran kehilangan harta benda termasuk kediaman ketika musibah itu melanda.
“Saya berharap semua yang terlibat tabah dan bersabar dengan ujian daripada Allah ini. Kerajaan akan bertindak segera memberi bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat.
“Kita juga perlu ambil iktibar daripada kejadian ini dengan perlu lebih peka menjaga alam sekitar dan jangan menebang hutan serta memotong balak secara melampau” katanya.
Turut serta dalam lawatan ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Muhyiddin berharap sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir termasuk dijadikan pusat pemindahan sementara agar dapat memulakan sesi persekolahan mengikut jadual disusun.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih sedang dijalankan namun masih bany­ak kerosakan yang perlu diteliti serta diambil tindakan penyelesaian segera.
“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta yang turun padang untuk sama-sama membersihkan sekolah termasuk menghulur bantuan,” katanya.

Tegas soal alam sekitar

Peringatan Perdana Menteri kepada semua pihak berkuasa
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 09 Januari 2015 2:00 AM
WAHID OMAR menyerahkan ilustrasi Menara Razak UTM kepada Najib Tun Razak di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Idris Jusoh. – UTUSAN/SYEFRY MONIZ
KUALA LUMPUR 8 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak berkuasa lebih agresif dan tegas dalam mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab merosakkan kelestarian alam sekitar sehingga akhirnya negara dilanda bencana.
Tegas Perdana Menteri, pihak yang berkaitan mesti melakukan perubahan dalam pendekatan membangunkan negara jika tidak mahu bencana seperti banjir paling buruk di Pantai Timur baru-baru ini berulang pada masa depan akibat kelalaian pihak berkuasa untuk bertegas.
“Kita mesti melakukan perubahan dalam menguruskan pembangunan negara. Kalau ada tempat yang kita bagi lesen menduduki sementara (Tol) seekar tetapi dia buka tanah haram sebanyak lima ekar, mesti diambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan ini.
“Kerana kalau kita gagal melakukan penguatkuasaan secara tegas, akhirnya kita semua akan ditimpa bencana amat dahsyat,” katanya ketika berucap merasmikan Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cawangan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang serta Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Wahid Omar.
Pada majlis berkenaan, Najib turut melancarkan buku bertajuk Projek Pembangunan UTM di Bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Mengulas lanjut mengenai bencana banjir terburuk melanda negara, Perdana Menteri mahu pakar-pakar dari universiti tempatan membuat kajian terperinci apakah punca sebenar yang membawa kepada tragedi berkenaan dan kemudian membawa hasilnya kepada kerajaan.
Pada masa sama, beliau juga mengharapkan pihak universiti dapat memberi panduan tentang bagaimana dasar pembangunan mapan perlu dibuat oleh sesebuah kerajaan kerana tumpuan kepada kemajuan fizikal semata-mata tidak menjamin kelestarian alam sekitar.
“Semasa mesyuarat Kabinet kita telah putuskan bahawa kerajaan perlu tahu apa faktor penyebab banjir yang sebenarnya. Kita tidak mahu kepakaran luar, kita mahu semua universiti buat kajian dan maklumkan kepada kerajaan apa punca sebenarnya banjir,” katanya.

4 kem penempatan mangsa banjir

Melibatkan tiga PLKN, satu kem Askar Wataniah
SUFFIAN ABU BAKAR | 08 Januari 2015 2:18 AM
HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN dan Idris Haron (atas trak, tiga dari kanan) menurunkan barang-barang bantuan banjir di Kem Terendak, Melaka, semalam. – BERNAMA
MELAKA 7 Jan. – Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan tiga buah kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebuah kem Askar Wataniah di Kelantan akan dijadikan pusat penempatan sementara kepada sebahagian mangsa banjir di negeri itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiga kem PLKN tersebut adalah Kem Cancun Park di Pasir Mas, Kem Batu Jong di Kuala Krai dan Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang manakala Kem Askar Wataniah yang terlibat pula adalah Kem Rejimen 506 Sungai Durian di Kuala Krai.
Menurut beliau, kesemua kem itu akan dikosongkan serta-merta dalam tempoh sehari dua ini dan para pelatih di tiga kem PLKN tersebut akan ditempatkan di kem-kem lain.
“Banjir yang melanda Pantai Timur dan beberapa buah negeri baru-baru ini bukanlah banjir biasa, sebaliknya kejadian itu sesuatu yang luar biasa. Untuk itu kerajaan perlu memikirkan pendekatan yang di luar kotak untuk kesemua mangsa banjir berkenaan.
“Bagi tujuan itu, Jemaah Menteri bersetuju mengosongkan tiga buah kem PLKN dan sebuah kem Askar Wataniah tersebut bagi tujuan penempatan keluarga mangsa banjir,“ katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pengumpulan bantuan mangsa banjir di Kem Terendak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.
Pada majlis itu, Hishammuddin sempat beramah mesra dengan hampir 1,000 sukarelawan terdiri daripada anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pelatih PLKN, ahli PBTM serta syarikat-syarikat swasta yang membantu mengumpul bantuan banjir di kem tersebut.
Pusat pengumpulan di Kem Terendak yang mula beroperasi sejak 1 Januari lalu kini mengumpul sebanyak 23 tan bekalan banjir meliputi pakaian, beras, air mineral dan makanan dalam tin.
Menurut Hishammuddin, kemudahan sedia ada di empat lokasi itu seperti dewan makan, tandas, padang dan dorm dilihat mampu membantu melancarkan pengurusan mangsa-mangsa banjir.
Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha untuk menambah jumlah khemah atau kabin kekal bagi menampung sebanyak yang boleh mangsa-mangsa banjir kerana memahami kebanyakan mereka memerlukan tempat penginapan yang lebih selesa.
Tambahnya, masih terlalu awal untuk menganggarkan jumlah mangsa banjir yang akan ditempatkan di kesemua empat kem itu namun pada masa sama Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) juga perlu memaklumkan kepada ibu bapa pelatih yang akan dipindahkan ke kem lain.

Pas sedia kerjasama dengan UMNO

Isu banjir di Kelantan menjadi keutamaan
HUSSAINI AMRAN | 06 Januari 2015 1:47 AM
KUALA LUMPUR 5 Jan. – Pas dan UMNO telah membuktikan kesediaan untuk mengetepikan agenda politik masing-masing demi membantu rakyat Kelantan yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda negeri tersebut baru-baru ini.
Nik Mohamad Abduh
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama dua parti politik itu telah terjalin melalui penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan pada 26 Disember lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, inisiatif itu selaras dengan hasrat rakyat yang mahu melihat UMNO dan Pas berganding bahu dalam menyelesaikan masalah banjir di Kelantan.
“Saya melihat politik itu isu ke­cil malah saya percaya, rakyat sama ada di seluruh negara dan Kelantan bersetuju isu banjir melangkaui sempadan politik.
“Kita di peringkat parti juga sedang cuba mencari jalan untuk mempertingkatkan kerjasama antara dua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mencadangkan UMNO dan Pas mengambil langkah berani mengetepikan perbezaan politik bagi membentuk jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan Pas Kelantan bagi merancang pemba­ngunan semula negeri itu selepas banjir.
Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Fauzi Mamat dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dilantik sebagai timbalannya.
Nik Mohamad Abduh berpandangan, kerjasama yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Pas Kelantan menerusi jawatankuasa tersebut adalah memuaskan.
“Cuma, kita berharap pelaksa­naan di peringkat akar umbi dapat diperkemaskan agar isu-isu kecil yang pernah berbangkit sebelum ini tidak berulang,” ujarnya.
Beliau turut meminta semua pihak agar tidak saling menu­ding jari termasuk menggunakan media sosial untuk menyalahkan antara satu sama lain tentang punca banjir besar yang melanda Kelantan.
“Kita tidak mahu membangkitkan tentang perkara itu kerana tumpuan utama kita pada masa ini adalah untuk membantu mangsa banjir,” jelasnya.
PAKAI MUGSHOT NIK ABDUH SAHAJA

Kerugian berbilion ringgit – TPM

Jawatankuasa khas analisis jumlah sebenar untuk tentukan bantuan
HAKIMI ISMAIL | 06 Januari 2015 1:54 AM
Muhyiddin Yassin, Jamil Khir Baharom, Ali Hamsa, Mohamad Zabidi Zainal dan Shahlan Ismail (berdiri, tengah) bergambar bersama sebahagian sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum berlepas ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut di Dataran Putra, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 5 Jan. – Nilai kerugian akibat bencana banjir yang melanda negara ini terutamanya di Pantai Timur dianggar mencecah berbilion ringgit ekoran kemusnahan harta benda yang luar biasa.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa untuk menilai kerugian telah ditubuhkan di seluruh negeri yang dilanda banjir dalam usaha mengenal pasti jumlah kerugian sebenar.
Beliau berkata, semua rekod kerugian yang dicatatkan di peringkat negeri akan dianalisis oleh satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat Pusat, khusus bagi bantuan pasca banjir.
‘‘Banjir yang melanda negara ini khususnya di Kelantan amat luar biasa, air naik dengan cepat,sekali gus merosakkan harta benda penduduk serta premis kerajaan seperti sekolah dan hospital,’’ katanya.
Beliau berucap dalam majlis pelepasan konvoi bantuan banjir sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Putra di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, fasa pasca banjir adalah cabaran utama kepada mang­sa yang terlibat ekoran kehilangan harta benda, selain berdepan dengan masalah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman masing-masing.
‘‘Sekarang kita memasuki fasa pasca banjir dan situasi ini lebih rumit serta mencabar. Namun dengan adanya pasukan-pasukan sukarelawan yang turun membantu, sedikit-sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terlibat.
‘‘Saya juga menyeru agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan dan juga badan-badan sukarela bersama-sama membantu mangsa banjir dengan menyumbang peralatan pembersihan dan juga keperluan-keperluan lain,’’ katanya.
Mengulas tentang konvoi bantuan banjir sukarelawan JPM, Muh­yiddin berkata, usaha murni itu amat dihargai kerana dapat meringankan beban mangsa yang terlibat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Misi Bantuan Sukarelawan JPM, Datuk Shahlan Ismail berkata, konvoi bantuan banjir sukarelawan JPM ke Kelantan hari ini melibatkan 1,500 peserta.
Menurutnya, kesemua sukarelawan itu terdiri daripada ahli Kelab Pejabat Perdana Menteri, Kelab Bukit Perdana JPM, Persekutuan Pengakap Malaysia dan beberapa NGO terpilih.
‘‘Kita mempunyai lebih 5,000 sukarelawan dan misi ini akan digerakkan secara berperingkat-peringkat mulai hari ini sehingga 11 Januari. Buat masa ini, misi akan tertumpu di Kelantan memandang­kan keadaan negeri tersebut yang terjejas teruk akibat banjir.
‘‘Pasukan sukarelawan ini akan memberi bantuan kepada mangsa banjir melibatkan khidmat komuniti pasca banjir di masjid, sekolah, hospital dan premis-premis awam. Kita akui sukar juga untuk melaksanakan misi bantuan ini kerana perlu berdepan pelbagai situasi, misalnya lumpur yang dalam. Jadi untuk menanganinya, kita turut membawa ‘water jet’ berkapasiti tinggi,’’ katanya.
Ujar Shahlan, fasa seterusnya akan membabitkan penghantaran sukarelawan JPM ke negeri-negeri lain yang turut dilanda banjir dan dijangka jumlah kumpulan itu akan terus bertambah kerana pendaftarannya masih lagi dibuka.