Bagaimana meningkatkan kekuatan umat Islam?

Sejak pengarah filem terkenal, Yasmin Ahmad meninggal dunia, tidak banyak filem Melayu yang berkualiti yang boleh merangsang pemikiran orang Melayu.
Yang ada, filem seperti tahyul, gengster, rempit, suami isteri bergaduh sampai bercerai berai, watak penggoda, kaki pukul, ragut, mabuk, berjudi, jual anak dan isteri, menagih dadah dan golongan elit yang angkuh.
Tidak terkecuali filem yang memaparkan penipuan, maki hamun, mengadu-domba, mengumpat dan memfitnah. Tidak banyak filem berunsur kekeluargaan yang berbentuk nasihat-menasihati.
Tetapi tidak buat pengarah filem seperti saudara Aflin Shauki yang sering memaparkan budaya kekeluargaan yang positif seperti filem Papadom dan Papadom 2. Filem-filem sebeginilah mampu merangsang minda dan tingkah laku orang Melayu.
Malangnya tidak ramai pengarah dan penerbit yang sanggup menerbit filem sebegini kerana kononnya tidak menguntungkan. Sedangkan filem sebeginilah boleh meningkatkan kekuatan umat Islam. Itu bab filem. Bagaimana pula dalam sektor korporat?
Diberitakan bahawa kemunculan semula seorang tokoh korporat Melayu yang suatu ketika dahulu senyap sepi selepas krisis kewangan tahun 1997/98 melanda negara. Ramai usahawan dan jutawan Melayu tersungkur ketika krisis kewangan tersebut.
Tokoh korporat yang dimaksudkan membuat kemunculan semula adalah Tan Sri Halim Saad. Siapa yang tidak kenal beliau, salah seorang tokoh korporat yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bumiputera tetapi juga antara tokoh korporat terhebat di era sebelum krisis ekonomi yang melanda Malaysia di penghujung 1990-an.
Kemunculan semula Halim menggambarkan bahawa beliau tidak pernah berputus asa dalam perniagaan. Beliau bercadang dan sedang melaksanakan strategi-strategi untuk menjadikan syarikat yang mana beliau merupakan pemegang saham utama iaitu, Sumatec sebagai sebuah syarikat yang berjaya.
Sifat keusahawanan beliau perlu dipelajari dan dijadikan contoh oleh usahawan-usahawan Melayu Islam yang lain.
Apabila berbicara mengenai kekuatan umat Islam, satu aspek yang perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh orang Melayu Islam ialah berkenaan dengan budaya keusahawanan, disiplin yang kuat serta menjadi seorang yang sentiasa mengejar ilmu pengetahuan.
Orang Melayu Islam tidak boleh sekadar berpuas hati apa yang mereka peroleh, tatkala dunia luar dan dalam Malaysia sendiri, perubahan berlaku dengan cepat sama sekali.
Ketika dunia luar berubah lebih jauh berbanding Malaysia dari segi pemikiran, pendidikan, ilmu pengetahuan dan cara bertingkah laku, umat Islam Malaysia pula masih dimomok-momokkan dengan pelbagai perkara negatif yang menjadi budaya mereka.
Tunjukkan perkara positif dalam kehidupan umat Islam. Yang negatif pula ditangani secara berhemah. Yang positif pula dibudayakan agar tingkah laku umat Islam dan Melayu Islam sentiasa ke hadapan atau sekurang-kurang berada di garisan sama dengan kaum lain.
Sebagai contoh, budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu wajib dipraktikkan supaya umat Islam tidak mudah ditipu oleh orang lain seperti skim cepat kaya, ajaran sesat dan pelbagai lagi penipuan yang berskala kecil sehinggalah besar.
Apabila fakta dan ilmu diperhebatkan, ia boleh merangsang seseorang itu berfikir di luar kotak. Malang sekali, sering kali berlaku dalam kalangan umat Islam yang mempercayai sesuatu membuta tuli dan akhirnya boleh membawa masalah kepada kekuatan umat Islam.
Perlu diingat, terdapat usaha berterusan sama ada secara kecil dan besaran-besaran untuk melaga-lagakan umat Islam Malaysia.
Banyak contoh yang boleh kita lihat sama ada tersirat atau tersurat tetapi masih ramai yang tidak sedar mengenai perkara ini.
Percayalah, usaha untuk melaga-lagakan sesama Islam tidak akan berkubur sehinggalah umat Islam di Malaysia ini benar-benar berpecah belah dan senang dicucuk oleh musuh Islam.
Lihatlah di negara-negara Islam di Timur Tengah, musuh-musuh Islam telah berjaya memecah belahkan kesatuan umat Islam. Adakah kita masih tidak nampak bahawa usaha ini sedang berlaku ke atas umat Islam Malaysia?
Atau kita terlalu lena dibuai kesenangan yang dinikmati oleh Malaysia sampaikan kita alpa untuk meningkatkan kekuatan umat Islam Malaysia?
Dibimbangi kita tidak dapat menikmati kesenangan ini apabila kita sendiri yang menyebabkan kesenangan ini dirampas oleh musuh-musuh Islam.
Mungkin perkara ini tidak berlaku kepada kita, tetapi kalau kita sayangkan generasi akan datang, anak cucu cicit kita, umat Islam tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam.
Persekitaran umat Islam perlu diperbaiki, sentiasa sokong-menyokong sesama sendiri, bersaing secara sihat, bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bersatu padu hanya kerana Allah SWT.
Jangan buang masa terlalu berhibur atau bercakap mengenai orang lain. Buang jauh-jauh dilema Melayu lama mahupun Melayu moden. Pepatah Inggeris ada menyatakan, “Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people”.
Begitu juga, nenek moyang orang Melayu Islam mengatakan jangan jadi seperti katak bawah tempurung. Ini bermaksud berbincang idea dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang luas akan berupaya untuk merealisasikan kekuatan umat Islam Malaysia.
Syaratnya umat Islam Malaysia perlu bersatu padu dalam apa jua perkara baik dan menentang perkara yang mungkar. Ia perlu dimulai oleh kepimpinan tertinggi umat Islam Malaysia dan disokong oleh media, pemimpin badan bukan kerajaan, cendekiawan, para guru, sistem pendidikan dan setiap individu Islam.
Kalau ini dapat direalisasikan, insya-Allah, musuh-musuh Islam tidak akan berani menyentuh sikit pun umat Islam Malaysia, malahan akan mengundang rasa hormat terhadap umat Islam Malaysia.
Oleh Rohami ShafiePENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131218/re_02/Bagaimana-meningkatkan-kekuatan-umat-Islam#ixzz2nmsZIn4x © Utusan Melayu (M) Bhd




Advertisements

Dengarkan suara hati ayah

TIBANYA bulan Jun ini, kita akan menyambut Hari Bapa setelah kita menyambut Hari Ibu pada bulan Mei. Hari Bapa tahun ini ialah pada 17 Jun, iaitu jatuh pada hari yang sama dengan Hari Israk Mikraj. Selari dengan tagline Hari Belia,”Jadikan hari esok lebih baik dari hari ini” yang baru lepas, maka kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik dilakukan oleh kaum bapa kepada keluarganya sebagaimana harapan kita sebelum ini terhadap peranan belia kepada keamanan negara.
Mengapa Hari Bapa kurang diberi keutamaan berbanding dengan Hari Ibu? Kita harus duduk merenung sejenak memikirkan peranan bapa yang sama pentingnya dengan peranan ibu, kerana bapalah nakhoda kapal dan penentu keharmoniaan dan kebahagiaan keluarga. Ayah, abah, papa, babah, dad, father, loutau (bahasa kantonis) malah apa panggilan sekalipun perlu kita dengar suara hati mereka.
Kalau ibu kita panggil Ratu Hati maka bapa tentu kita sematkan gelarannya sebagai Raja Hati. Peranan bapa pada hari ini berbeza dengan dulu kerana menggalas tanggungjawab yang lebih berat apabila ibu-ibu juga bekerja mencari rezeki. Kesepakatan bapa dan ibu amat perlu demi memastikan kapal dapat berlabuh dengan tenang dan harmoni di pelabuhannya.
Kos dan taraf hidup yang tinggi pada hari ini menuntut bapa di luar sana mencari rezeki siang dan malam demi menaikkan taraf ekonomi dan menjamin hidup keluarga masing-masing. Bapa perlu memberikan anak-anak kehidupan yang terbaik. Rumah yang besar, makanan yang baik, pakaian yang cantik dan semuanya yang terbaik dalam bentuk material. Betulkah itu yang anak-anak kita mahukan?
Adakah remaja di luar sana setuju tentang bentuk material yang diperlukan atau perhatian dan kasih sayang? Limpahan kasih sayang dan perhatian amat penting untuk santapan jiwa anak-anak kita.
Saya berminat berbincang tentang suara hati ayah sempena Hari Bapa, maka saya juruskan kepada luahan isi hati mereka. Suara hati anak-anak akan saya kongsi pada lain lembaran.
Tiga suara hati akan saya kongsikan bersama anda. Remaja di luar sana, saya ingin anda mendengar seruan dan rintihan ayah-ayah yang tidak tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk membahagiakan anak-anak.
Seorang ayah yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah memberitahu “Saya tak mahu anak saya dipandang rendah oleh kawan-kawannya, saya akan belikan baju-baju berjenama dan yang penting anak-anak saya gembira. Memang saya penat tapi berbaloi tengok senyuman anak-anak dengan hadiah yang saya beli. Kalau saya tak belikan, anak saya kata dia akan lari dari rumah, tunjuk tanda protes”.
Protes? Adakah itu sikap anak-anak kita yang dipengaruhi oleh media massa untuk lari dari rumah? Adakah wang mengaburi remaja hari ini dan wang adalah segala-galanya?
Hati saya terusik dan terharu apabila terbaca berita kematian anak doktor pakar, Dr. Ko Chung Beng iaitu Steven Ko Yiu Hing pada 24 Mei 2012. Apabila saya memandang wajah mendiang di surat khabar, saya membayangkan Steven seorang yang ceria, baik dan bijak kerana mendiang adalah bakal doktor yang sedang menuntut di Penang Medical Centre.
Mengapa Steven sanggup terjun dari sebuah bangunan plaza di Pulau Pinang? Kisah cinta segi tiga sahabat baik yang belajar bersama-sama di luar negara dua tahun lepas. Cinta yang tidak melibatkan pergaduhan tetapi Steven menarik diri daripada percintaan tiga segi dan memberitahu teman wanitanya bahawa dia sanggup mengundur diri dan tidak mahu menyusahkan gadis itu membuat pilihan kembali kepada bekas teman lelaki yang juga merupakan kawan baik Steven.
Steven sempat menghantar SMS kepada teman wanitanya dengan berharap dia dapat menonton filem Casablanca dan memahami segalanya.
Bolehkah kita melihat seorang anak yang terlalu baik dan memiliki segalanya tetapi sunyi dan tidak cukup sokongan moral daripada keluarganya? Petikan daripada akhbar tempatan yang menyampaikan suara hati Dr. Chung Beng yang beliau benar-benar kesal kerana tidak bersama-sama anaknya mengharungi saat-saat gangguan emosi, dilema dan putus harap dalam percintaan.
Dr. Chung Beng menyeru semua ibu bapa jangan terlalu menyuguhkan material kerana apabila berlakunya situasi penolakan maka mungkin si anak tidak dapat menerima kekecewaan. Meluangkan masa bersama anak-anak amat penting kerana wang tidak dapat membeli segalanya dan ia bukanlah segalanya. Saya tidak nafikan pentingnya wang dan material pada hari ini tapi kadang-kadang kita lupa dan alpa dengan tugas harian mengejar kejayaan kita.
Mungkinkah pengaruh filem boleh melayangkan nyawa anak itu atau puncanya adalah kurang perhatian daripada ibu bapa? Pengaruh media massa pada hari ini begitu kuat sehingga menyebabkan remaja pada hari ini sanggup bunuh diri seperti dalam drama Korea dan sanggup melarikan diri dari rumah?
Sebelum itu, Steven sempat meminta teman wanitanya menonton filem Casablanca untuk memahami tindakannya. Pada tahun 2003, kita pernah dikejutkan dengan peristiwa seorang ayah yang menemui anak lelakinya membunuh diri di dalam bilik dan skrin komputernya tertera cara terperinci bagaimana membunuh diri yang dimuat turut dan ditiru.
Bagaimana kita dapat menghalang remaja pada hari ini melayari internet dan terpengaruh dengan gejala sosial?
Suara hati ayah yang ketiga melahirkan kesyukuran dengan apa yang dikecapinya pada hari ini, Walaupun beliau bukan golongan berada tetapi beliau cuba memberi apa yang seadanya kepada anak-anak dan mengelak daripada berlebih-lebihan. Apa yang penting bagi beliau ialah menghadiahkan ilmu yang penuh di dada dan pahatkan tiang agama yang kukuh supaya anak-anak beliau dapat mencari erti kehidupan dan nilai-nilai kemanusiaan apabila dewasa kelak.
Bajailah dengan kasih sayang dan sentiasa mendoakan anak-anak beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan. Itu sahaja harapan beliau kerana beliau tidak berharta dan hanya mampu memberikan ilmu serta didikan agama.
Marilah, ayah-ayah di luar sana, kita berhijrah sempena Israk Mikraj dan Hari Bapa. Kita menjadikan diri kita ikon terbaik kepada anak-anak kita seperti bak kata pepatah “Bapa borek anak rintik” dan kenapa kita tak kata “Ibu borek anak rintik”. Fikirkan bersama. Salam 1Hati.

KOMEN : KHAS BUAT ANAK-ANAK KU, NILAILAH PENGORBANAN KAMI IBUBAPA MU SEIKHLAS YANG BOLEH. BUKAN HARTA BERTIMBUN YANG DIKUMPUL, BUKAN TINGGI RENDAH TARAF YANG DIKEJAR, NAMUN DISUDUT KECIL HATI AYAHMU HANYA MENGHARAPKAN KEJAYAAN KALIAN DALAM PELAJARAN DAN MENJADI INSAN KAMIL DIBUMI  ALLAH swt YANG BERTUAH INI… CORAKANLAH MASA DEPAN DARI SEKARANG UNTUK KEBAHAGIAN DUNIA DAN AKHIRAT… TIMBALAH ILMU SELAGI MAMPU SEHINGGA KE AKHIR HAYAT MU… DOA KAMI JADILAH ANAK-ANAK YANG SOLEH…AMIN…

>RINDUNYA NAK BERPOSTING DI BLOG

>

Lama juga saya tak dapat nak buat posting kat blog sejak balik dari Tokyo Japan pada 2. Ogos 2009 setelah berada di sana selama 2 tahun 9 bulan. Pada 3. Ogos 2009 saya terus mendaftarkan diri semula ke tempat kerja setelah selesai cuti tanpa gaji yang saya ambil. Bila dah balik semula ke Malaysia ni macam-macam lah yang mula berserabut dalam kepala otak. Terutama pasal persekolahan anak-anak, pasal kerja pula tak lah menjadi masalah kerana apa-apa pertukaran dasar pentadbiran pun hanyalah dari segi penambahbaikan.

Minggu pertama dan kedua berada di Malaysia sibuk sangat kerana terpaksa mengemas rumah yang lama di tinggalkan. Penat tak terkata sampai tak sedar jam dah pukul 4 pagi. Nasib baik jiran-jiran sebelah rumah faham. Sampaikan komputer pun tak sempat nak di onlinekan. Biasalah bila badan penat tak boleh pula nak membaca. Mata jadi kelabu…hahahaha….Belum habis lagi penat barang-barang yang dibawa balik dari Tokyo sampai, cuti lagi sebab nak menyusun barang-barang tu. Makan masa seminggu juga memunggah barang-barang tu. Sekarang dah lega.

Kedatangan Ramadhan Al Mubarak tahun ini disambut dengan gembira oleh anak-anak sebab tahun ni mereka boleh berhari raya di kampung. Anak anak mula menyesuaikan diri di sekolah. Apa-apa pun kehidupan perlu di teruskan….

SAYA DAN KELUARGA MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN AIDIL FITRI TAHUN INI MAAF ZAHIR DAN BATIN. KEPADA YANG MEMANDU PULANG KE KAMPUNG TU PANDULAH DENGAN BERHEMAH. INGATLAH DI KAMPUNG SANA ADA YANG MENANTI.