Pilihan raya umum Singapura 11 September

Parlimen dibubar bagi dapatkan mandat baharu
26 Ogos 2015 1:23 AM
Lee Hsien Loong
SINGAPURA 25 Ogos – Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam hari ini membubarkan Parlimen, membolehkan pilihan raya umum diadakan ketika Perdana Menteri, Lee Hsien Loong cuba mendapatkan mandat baharu daripada pengundi yang bimbang berhubung isu imigrasi dan kos sara hidup dalam ekonomi yang lembap.
Susulan pembubaran itu, Presiden mengeluarkan Writ Pilihan Raya yang menetapkan hari pencalonan pada 1 September dan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 11 September ini.
Pilihan raya ini merupakan yang pertama buat Hsien Loong tanpa bapanya, Lee Kuan Yew yang meninggal dunia pada Mac lalu.
“Saya mahu pilihan raya ini diadakan bagi mendapatkan mandat baharu untuk membawa Singapura ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.
“Anda akan menentukan siapa yang bakal memerintah Singapura bagi tempoh lima tahun lagi. Selain itu, anda juga perlu memilih ‘pasukan’ yang akan bekerja dengan anda untuk tempoh 15-20 tahun seterusnya, seterusnya menentukan hala tuju Singapura,” katanya di laman Facebook beliau sejurus writ berkenaan dikeluarkan.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir Singapura lebih 50 tahun dengan pelbagai kawalan ketat politik dan pembangunan ekonomi, dijangka mempertahankan majoriti 89 kerusi Parlimen berikutan perpecahan dalam parti pembangkang.
Bagaimanapun, PAP akan menghadapi tekanan untuk memperbaiki keputusan Pilihan Raya Umum 2011 yang teruk apabila memperoleh hanya 60 peratus undi walaupun mempertahankan 89 kerusi berkenaan.
Advertisements

TLDM, TNI tubuh pasukan atur cepat cegah lanun

12 Ogos 2015 1:26 AM
ABDUL AZIZ JAAFAR (dua dari kanan) memberi tepukan tahniah kepada Dr. Nor Aieni Mokhtar, yang turut bersama ialah suaminya Prof. Dr. Mohamed Amin Alias, (dua dari kiri) dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat PSSTLDM di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjalinkan kerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan menubuhkan tim pasukan atur cepat di kawasan perairan kedua-dua negara bagi mengekang ancaman lanun.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pasukan tersebut yang dianggotai pasukan khas kedua-dua negara iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Detasmen Jala Mengkara (Denjaka) TNI-AL turut dibantu dua buah helikopter bagi memberi sokongan jika keadaan memerlukan.
Katanya, antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk menempatkan pasukan tersebut termasuklah di perairan Tanjung Pengelih, Johor dan Tanjung Pinang, Indonesia.
“Setiap pasukan yang kita tempatkan terdiri daripada dua tim yang mempunyai kekuatan 14 anggota pasukan khas dan kita akan bersama-sama bertindak terhadap setiap laporan yang diterima.
“Dalam operasi seterusnya, bidang penguatkuasaan adalah tugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).Tetapi, apabila kapal dirampas, kami (TLDM) akan bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemakaian Pangkat Kepten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menyarankan setiap kapal yang beroperasi di perairan Malaysia mempunyai pelan tindak kecemasan bagi melaporkan sebarang kejadian dengan pantas kepada pihak yang berkuasa.
“Syarikat kapal perlu pastikan keselamatan kapal dan anak kapal dalam keadaan bersiap sedia. Jika ambil mudah dan leka, musuh dengan mudah dapat menawan kapal pada bila-bila masa,” katanya.

1MDB : PDRM hantar permohonan untuk soal siasat Justo

30 Jun 2015 1:36 AM
Khalid Abu Bakar (empat dari kiri) melihat bungkusan kuih raya yang akan diagihkan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas ketika lebaran pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM 2015 di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Noor Rashid Ibrahim (empat dari kanan). UTUSAN/Farid Janudin
KUALA LUMPUR 29 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan kepada Polis Diraja Thailand (RTP) untuk menyoal siasat bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (Pe­troSaudi), Xavier Andre Justo, 49, yang ditahan di negara itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, permohonan itu dilakukan sebelum suspek yang dikaitkan dengan kebo­coran maklumat IMDB itu dihukum mengikut undang-undang negara tersebut.
“PDRM menunggu apa sahaja hasil siasatan yang diperoleh polis Thailand. Namun begitu, kita turut membuat permohonan untuk menemu bual Justo di Thailand,” katanya dalam sidang akhbar, di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, PDRM juga akan melakukan perbincangan dengan polis Thailand berhubung penahanan bekas eksekutif kanan itu sejurus wakil RTP tiba dalam satu lawatan rasmi di Bukit Aman pada 2 Julai ini.
“Ketua Polis Thailand akan berada di sini pada minggu ini dan saya akan berbincang untuk mendapatkan langkah-langkah yang akan diambil selepas ini,” katanya.
Ditanya tentang jumlah mangsa rakyat tempatan yang telah diperas ugut oleh Xavier Justo, Khalid enggan menjawab bagi menghormati siasatan yang dilakukan pihak berkuasa negara jiran.
Malah beliau juga memberitahu, senarai nama individu yang dikaitkan dengan kebocoran maklumat IMDB juga belum dihantar ke Thailand untuk membantu siasatan.
Xavier Justo ditahan sepasukan anggota Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Diraja Thailand (CSD) di sebuah rumah mewah di Ban Bang Makham, Tambon Angthong di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.
Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).
Xavier Justo dikatakan pernah menandatangani satu kontrak de­ngan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit selain dibayar pampasan berjumlah le­bih RM15 juta semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, polis mendapati Xavier Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini ke­rana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM10 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.
Sementara itu, dalam majlis penyerahan bungkusan kuih raya, Khalid berkata, sebanyak 4,500 bungkusan akan diagihkan kepada pegawai dan anggota yang ber­khidmat pada hari lebaran nanti.
Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis, Puan Sri Imran Ibrahim dan timbalannya, Datin Seri Shahriza Saad @ Mansor.