TUNGKARAN HATI: Kerana…….Ada Gerombolan Jahat Ingin Memusnahka…

TUNGKARAN HATI: Kerana…….Ada Gerombolan Jahat Ingin Memusnahka…: Tiga Dekad Lawan Persepsi MUKADIMAH : PADA 7 Julai, Proton Holdings Berhad (Proton) akan menyambut ulang tahun ke-30 tahun penubuhannya …

Advertisements

Proton Exora baharu dengan penurunan harga hingga RM4,710

Oleh Che Wan Badrul Alias


Proton Exora baharu. – Foto emel
SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd melancarkan varian dipertingkat Proton Exora dengan tambahan varian baharu Proton Exora Super Premium (SP) yang menggantikan varian Prime.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata dengan pengenalan varian baharu, syarikat menyasar menjual 2,000 unit Exora sebulan.

Proton Exora baharu. – Foto emel
Katanya, Proton juga sudah menjalankan kajian semula harga model itu dan kini menawarkan pengurangan tambahan kira-kira 5.8 peratus atau RM4,710 bagi varian terpilih sejajar rancangan kerajaan untuk merendahkan harga kenderaan di negara ini.
“Kini kami memperkenalkan varian SP baharu yang bukan hanya menyediakan kuasa pacuan enjin turbo 1.6L tetapi juga dinaik taraf dengan reka bentuk menarik menepati hasrat membangunkannya sebagai sebuah kenderaan premium untuk keluarga.
“Dengan enjin lebih berkuasa bagi varian SP, Premium dan Executive, Proton turut mempertingkatkan aspek keselamatan MPV berkenaan. Justeru, varian Premium dan Super Premium kini dinaik taraf dengan beg udara sisi menjadikan MPV baharu ini memiliki empat beg udara dan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC),” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Varian baharu Proton Exora ditawarkan dalam tujuh warna – Solid White, Elegant Brown, Cocoa Grey, Genetic Silver dan Tranquility Black manakala Luxury Blue dan Indiana Grey adalah dua warna baharu diperkenalkan untuk Exora baharu.
Proton sudah menjual 128,824 unit Exora sejak diperkenalkan pada 2009.
Varian baharu Exora kini dibuka untuk tempahan dan Proton menawarkan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer.

Proton ‘Iriz’ lawan Perodua Axia?

Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Proton Holdings Berhad (Proton) melancarkan model terbaharu mereka selang beberapa hari sahaja iaitu pada semalam atau 15 September untuk Axia dan Kereta Kompak Proton (PCC) pada 25 September ini.
Tetapi mungkin tidak mengejutkan jika ada yang beranggapan bahawa PCC atau Proton ‘Iriz’ (nama untuk PCC mengikut tekaan blog automotif) dilancarkan untuk menyaingi Perodua Axia.
PCC seperti yang ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, adalah kereta kompak dalam segmen B dengan kapasiti enjin di antara 1.3 liter dan 1.6 liter.
Berbanding dengan Perodua Axia, ia juga merupakan kereta kompak tetapi dalam kategori segmen A dengan enjin 1.0 liter.
Oleh itu, agak sukar untuk mengaitkan pelancaran Axia ataupun PCC walaupun dalam bulan yang sama adalah untuk menyaingi antara satu sama lain.
PCC dilahirkan untuk memberi alternatif kepada pasaran segmen B iaitu Perodua Myvi, Honda Jazz, Kia Rio, Ford Fiesta, Volkswagen Polo, Mitsubishi Mirage, Suzuki Swift dan Peugeot 208.
Ketepikan dahulu Honda Jazz, Kia Rio, Ford Fiesta dan lain-lain kerana PCC dilihat akan ‘berentap’ dengan Myvi yang merupakan pendahulu pasaran untuk segmen tersebut.
Jualan keseluruhan kenderaan penumpang didominasi oleh Perodua iaitu pengeluar kereta kompak terkenal dengan 196,071 buah bagi tempoh Januari hingga Disember 2013. Proton pula menduduki tempat kedua dengan 138,753 buah pada tempoh yang sama dan sedikit jatuh berbanding 141,120 buah pada tahun 2012.
Faktor ini mungkin menyebabkan Proton perlu melakukan sesuatu supaya mereka boleh terus bernafas dalam industri automotif yang semakin berdaya saing dan ditambah dengan Dasar Automotif Negara 2014 yang mengalu-alukan kedatangan pelabur untuk kenderaan cekap tenaga (EEV).
Tetapi sebenarnya program PCC telah dimulakan pada 2010 dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Dengan kata lain, Proton telah lama mempunyai hasrat untuk menghasilkan kereta kompak memandangkan kereta kompak semakin menjadi pilihan terutamanya bagi pembeli di bandar.
Dengan jangkaan kos sara hidup yang meningkat, pengguna terpaksa berjimat dalam semua segi dan antaranya pemilihan kenderaan yang sesuai dengan dompet mereka.
Bagi Perodua, mereka mengutamakan kenderaan ‘entry level’ iaitu dengan memperkenalkan produk pada harga yang murah dan berpatutan untuk pembelian kereta pertama mengikut piawaian Daihatsu, iaitu rakan baik mereka yang merupakan pengeluar kereta kompak untuk eksport.
Perodua kini mengutamakan penjimatan kos untuk menjadikan produk mereka mampu milik yang dicetuskan daripada kilang terbaharu mereka yang bertaraf dunia melalui penggunaan robot.
Manakala Proton, mereka mengutamakan keselamatan dengan menampilkan ciri-ciri keselamatan yang tinggi seperti sistem brek antikekunci (ABS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TC) bantuan brek (BA) hill-hold assist (HHA) dan sistem penyaluran brek (EBD).
Kilang Proton di Tanjung Malim juga menggunakan robot bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti produk.
Keseluruhan PCC adalah dibangunkan oleh pereka dan jurutera rakyat tempatan, rakyat Malaysia yang merupakan satu antara 14 buah negara di dunia yang mampu membuat kereta.
Dengan kata lain, PCC dibangunkan mengikut cita rasa tempatan yang dilahirkan dengan ciri-ciri reka bentuk dan keselamatan yang setaraf dengan kereta buatan Jepun dan Eropah.
Pada akhirnya, pengguna akan membuat keputusan dalam memilih produk Proton atau Perodua dan faktor harga tidak boleh diketepikan sama sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140917/ko_01/Proton-Iriz-lawan-Perodua-Axia#ixzz3DXbFd2sM  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Proton kompak dilancar hujung tahun

Oleh Fadzil Zainol dan Nizam Yatim
ekonomi@utusan.com.my


Model kereta Proton kompak yang didedahkan dalam blog funtasticko.net.

KUALA LUMPUR 20 Jun – Model versi kompak pertama Proton Holdings Bhd., (Proton) bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini, menurut Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, model baharu itu adalah berlainan daripada model-model Proton sedia ada, dan merupakan usaha terbaharu syarikat kereta nasional itu untuk menyertai persaingan segmen kompak.
Beliau berkata, dari segi harga, ia jauh lebih murah daripada model-model import yang setaraf, tetapi lebih tinggi sedikit daripada harga model terdahulu.
Jelasnya, penghasilan model baharu itu membabitkan perbelanjaan yang tinggi sekitar RM2 bilion dan turut diuji di dalam cuaca berbeza.
“Jika nak dibandingkan dengan kereta daripada import yang sama setaraf dengannya (kereta kompak Proton) kita (Proton) masih murah, tetapi lebih tinggi daripada harga model terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Proton mula mempromosi pengenalan model kompak itu sejak pertengahan 2013 termasuk mengadakan peraduan kepada orang ramai untuk memberi idea nama yang akan digunakan oleh model itu.
Antara kriteria nama yang dimahukan ialah ia mesti dalam Bahasa Malaysia, tidak lebih enam huruf, boleh dikombinasikan huruf dan nombor serta tidak berkaitan dengan nama haiwan.
Dalam pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, untuk model itu Proton menjalankan kajian secara terperinci dan membabitkan pandu uji mencecah 100,000 kilometer.
“Di dalam jarak tersebut, kita menghantar kereta itu ke Sweden untuk mengujinya di dalam cuaca sejuk dan di negara-negara Asia Barat untuk cuaca panas. Penghasilannya bukan mudah kerana ia membabitkan 3,000 komponen berlainan yang mana sesetengahnya perlu diimport, hal ini mengambil sedikit masa” kata beliau.
Mengenai pasaran eksport kereta itu katanya, kajian pasaran ke atas negara-negara perlu dikaji terlebih dahulu memandangkan setiap negara mempunyai perundangan dan selera pasaran berbeza yang mungkin melibatkan perubahan kepada reka bentuk kereta.
Tambah Dr. Mahathir, penghasilan kereta baharu ini turut menggunakan teknologi Lotus khususnya untuk aspek kawalan dan pemanduan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Proton menyedari pengenalan model kompak itu bakal menyaingi Perodua yang selama ini menguasai jumlah jualan tahunan (TIV) Malaysia menerusi kereta-kereta kompak.
Bagaimanapun katanya, Perodua tetap mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan syarikat itu hanya menggunakan konsep pemasangan dan menukar nama kereta Jepun sedia ada dengan kos perbelanjaan lebih rendah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140621/ko_01/Proton-kompak-dilancar-hujung-tahun#ixzz35Q0ncqZc  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Kereta elektrik Proton: Adakah menjadi kenyataan?

Malah, saya juga turut diundang ke United Kingdom pada Disember 2011 untuk menyaksikan sendiri kemampuan kereta elektrik yahg dibangunkan oleh jurutera anak muda tempatan Proton dengan usahasama Frazer-Nash Research Limited (Frazer-Nash) United Kingdom yang ketika itu turut menyertai perlumbaan berprestij tahunan Cabaran Kereta Masa Depan Brighton ke London RAC (FCCBTL-RAC).

Dan menariknya, prototaip kereta berasaskan teknologi elektrik Proton iaitu Proton Exora REEV (Range Extender Electric Vehicle) ketika itu berjaya memenangi buat kali kedua berturut-turut anugerah Kereta Pelbagai Guna Cekap Tenaga terbaik dan turut berkongsi anugerah Kenderaan Elektrik Jarak Tambahan (E-REV) keseluruhan terbaik dengan jenama terkemuka pembuat kereta global, Toyota.

Tahun itu, Proton selain mempertaruhkan Exora REEV, turut meletakkan Proton Persona REEV dan Saga EV (Electric Vehicle) untuk bersaing dengan pembuat kereta gergasi dunia. Sila lihat videonya di sini.


Malah, kumpulan pemberita yang berada di situ turut diberitahu bahawa Proton ketika itu semakin mencapai ke kemuncaknya untuk menghasilkan secara besar-besaran kereta berasaskan elektrik atau separa elektrik pada tahun 2013 selepas mendapat maklum balas daripada Program Kenderaan Fleet Test yang sedang dilakukan oleh kerajaan.
Dan lebih menarik, khabar angin jelas menyatakan Proton Saga EV, iaitu kereta dengan konsep teknologi elektrik sepenuhnya itu kemungkinan akan dijual dengan harga RM70,000, satu harga yang agak kompetetif berbanding kenderaan elektrik sepenuhnya jenama lain.
Ketika pertandingan itu, Proton sebenarnya sudah berjaya membangunkan sebuah konsep kenderaan famili yang mampu berada di atas jalan raya dan tidak perlu lagi dipanggil kereta prototaip.
Ini berikutan, ada kenderaan yang menyertai FCCBTL-RAC itu masih di peringkat pembinaan dan belum boleh berada di atas jalan raya. Itu bermakna, Proton sudah bersedia untuk produksi besar-besaran dan hanya perlu melihat dari segi kos pengeluaran bateri dan komponen elektrik yang agak mahal harganya di United Kingdom berbanding di Malaysia.
Namun, sekembalinya kami ke Malaysia sehingga hari ini, iaitu selepas tiga tahun, Proton dilihat belum mahu mengeluarkan kereta berkonsepkan elektrik. Program Kenderaan Fleet Test itu juga terus senyap tanpa ada khabar berita.
Kemungkinan ia adalah keputusan industri untuk tidak mengeluarkan Proton berteknologi elektrik atas beberapa sebab tanpa diketahui dengan mendalam.
Prasarana yang dipasang di semua kementerian yang mengambil bahagian dalam Program Kenderaan Fleet Test itu juga semakin suram dan menjadi lokasi parkir kenderaan bukan elektrik.

Apa yang menarik perhatian saya ialah beberapa prasarana stesen mengecas kereta elektrik turut disediakan oleh beberapa kompleks membeli belah di Kuala Lumpur dan juga da di Melaka, namun dalam skala besar, belum ada.
Kesempatan saya berjumpa dengan Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil ketika programm penyerahan kereta Proton Perdana baharu kepada kerajaan Disember tahun lepas sedikit merungkaikan persoalan.
Menurut Mohd. Khamil, program kenderaan elektrik yang kita lihat seakan-akan sudah berjaya sebelum itu dimansuhkan dan akan digantikan dengan program pembangunan kenderaan hibrid.
Menurut Mohd. Khamil, ia lebih berdaya saing berbanding kenderaan elektrik dan beliau turut yakin dengan mengatakan, kereta hibrid Proton itu akan dipasarkan pada penghujung tahun 2015 tanpa mengulas panjang.
Kontra dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang mengatakan Proton hibrid itu akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini ketika menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pada sidang Parlimen Mac, tahun ini. Dan kata beliau, kereta Proton elektrik akan turut dikeluarkan pada penghujung tahun 2015.
Apa pun, dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad, saya percaya ramai yang berhasrat untuk melihat projek kereta elektrik dan hibrid ini direalisasikan dengan segara. 
Kerana pada tahun 2011, Pengarah Proton dan Pengarah Teknologi Hijau Proton, Datuk Zainuddin Che Din turut membayangkan Proton mampu jadi peneraju dalam pembuatan kenderaan elektrik di rantau Asia Tenggara disebabkan teknologi itu masih baru di kalangan pembuat kereta global. 
Tapi jika lambat, saya percaya, Indonesia dan Australia akan melangkaui kita dalam teknologi sedia ada yang akhirnya kita akan kembali terkebelakang.
Namun saya masih percaya kemampuan Tun Mahathir dalam merencanakan perjalanan Proton, sama seperti ketika dia merealisasikan kemunculan kereta Proton pertama yang dipanggil ‘tin sardin’ oleh sesetengah rakyat Malaysia yang masih skeptikal dengan kemampuan anak muda tempatan pada tahun 1985.

Proton jadi pengeluar kereta dunia

KUALA LUMPUR 9 Jun – Proton kini menukar strateginya daripada pengeluar kereta murah kepada pengeluar kereta bertaraf dunia, kata pengerusi baharu Proton Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar).
Perdana Menteri keempat itu berkata, Proton sentiasa dilabel sebagai pembuat kereta murah atau pengeluar kereta berkualiti rendah.
“Kini, Proton mahu mengeluar kereta bertaraf dunia, dan anda perlu membayar harga yang lebih tinggi. Anda tidak boleh dapat kereta yang baik dan membayar pada harga yang rendah,” katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai rancangannya ke atas Proton.
Beliau berkata, semasa Proton mengeluarkan model kereta Preve dan Suprima berkualiti tinggi namun dijual pada harga RM80,000, orang ramai mengatakan harganya terlalu mahal untuk kereta Proton.
“Kereta berikut dengan kualiti yang sama berharga RM120,000. Anda (pengguna) mahukan kereta murah, ok, Proton akan mengeluarkan kereta murah,” kata Dr. Mahathir.
Ditanya sama ada Proton akan terus mengeluarkan kereta murah, Dr. Mahathir menjawab: “Proton perlu membuat keuntungan. Jika pengguna mahukan kereta murah, Proton akan mengeluarkan kereta murah. Ia bergerak tiga batu dan rosak.” Mengulas sama ada Proton sudah didatangi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Petronas untuk menawarkan dana, beliau berkata, Proton tidak pernah meminta dana.
Ditanya sama ada beliau sendiri selaku pengerusi Proton akan menemui mereka untuk mendapatkan dana, Dr. Mahathir menjawab: “Tidak sama sekali,” “Ini disebabkan Proton ialah syarikat swasta dan ia mampu membuat kemajuan dalam penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
Dr. Mahathir juga berkata, kerajaan kini menggalakkan import kereta daripada menggalakkan industri tempatan.
“Bila anda import kereta, wang mengalir keluar dan anda tidak dapat sebarang teknologi daripadanya,” katanya.- BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140610/ko_02/Proton-jadi-pengeluar-kereta-dunia#ixzz34C894lt6  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Lotus perkenalkan Exige S Roadster

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
ekonomi@utusan.com.my




Model Chermaine Poo bersama kereta Lotus terbaru, Exige S Roadster di majlis pelancaran di bilik pameran Lotus Car Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. – utusan/MOHD AZIM ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 26 Mac – Lotus Cars Malaysia, milik Proton Holdings Bhd. menyasarkan jualan global sebanyak 1,200 unit bagi model Exige S Roadster bagi 2014 yang baharu dilancarkan di pasaran Malaysia hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Aslam Farikullah berkata, pengenalan model Exige baharu bagi rangkaian produk Lotus tersebut akan memberi peluang kepada jenama terbabit untuk mengembangkan dan mengukuhkan sumber pengeluaran mereka.
Katanya, perkara tersebut akan membantu menjana pekerjaan baharu dan peluang untuk kepakaran individu yang mahu menjadi sebahagian daripada Lotus.
“Sejak pengambilalihan pada 2012, Lotus telah mencapai banyak kemajuan untuk mendapatkan semula tempatnya dalam kalangan peserta permotoran terbaik di dunia.
“Tahun 2013 menandakan titik perubahan sebenar bagi syarikat dengan peningkatan pengeluaran sebanyak 31 peratus. Selain itu, Lotus Engineering juga bekerjasama dengan lebih banyak pembekal komponen tulen (OEM) dari tahun sebelumnya dan kini mempunyai 120 projek kejuruteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran model kereta tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir adalah Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.
Exige S Roadster dengan 3.5 liter V6 memiliki kuasa maksimum 345 kuasa kuda pada 7,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 400 Newton meter pada 4,500 rpm ditawarkan pada harga RM452,030 sebuah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140327/ko_01/Lotus-perkenalkan-Exige-S-Roadster#ixzz2x7eBVFaZ  © Utusan Melayu (M) Bhd