Ronnie Liu: Pakatan Rakyat Baru = DAP+PKR+PASMA

Ronnie Liu: Pakatan Rakyat Baru = DAP+PKR+PASMA.

Advertisements

POLITIK : Pas, DAP tidak bersepakat

Gagal selesai isu hudud, pilihan raya PBT
HUSSAINI AMRAN DAN 
MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI | 09 Februari 2015 1:44 AM
ABDUL HADI AWANG (kanan) berjabat tangan dengan Lim Guan Eng selepas mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 8 Feb. – Pas dan DAP masih tidak bersepakat tentang isu pelaksa­naan hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu duduk semeja dalam mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Agung Pas di sini mulai pukul 2 petang hingga 3.15 petang itu dikatakan berlangsung dalam suasana panas berikutan pendirian berbeza antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pe­mimpin-pemimpin kanan DAP.
Difahamkan, Abdul Hadi tetap bertegas dengan pendiriannya mahu melaksanakan hudud di Kelantan namun pada masa sama membantah hasrat DAP untuk memperkenalkan semula pilihan raya PBT di Pulau Pinang.
Malah, Ahli Parlimen Marang itu terus beredar tanpa menyertai pemimpin-pemimpin kanan pakatan pembangkang yang lain terma­suk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.
Sikap Abdul Hadi itu menimbulkan tanda tanya dan seolah-olah menggambarkan konflik yang melanda Pas serta DAP yang saling membantah dalam isu hudud dan pilihan raya PBT masih belum reda.
Ekoran kegagalan kedua-dua parti itu mencapai persetujuan, pakatan pembangkang terpaksa me­nganjurkan mesyuarat khas yang dijangka berlangsung bulan depan untuk membincangkan isu hudud dan pilihan raya PBT.
Anwar ketika mengetuai sidang akhbar itu berkata, mesyuarat khas tersebut bertujuan mencari jalan penyelesaian dalam dua isu membabitkan agenda perjuangan Pas dan DAP.
“Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 serta pilihan raya PBT,” jelasnya.
Beliau turut mengesahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini bagi memberi penerangan tentang enakmen tersebut.
Walau bagaimanapun, Anwar tidak memberi penjelasan yang memuaskan ketika ditanya me­ngapa Abdul Hadi tidak menghadiri sidang akhbar itu.
“Dia sampaikan salam. Sebenar­nya dia tangguhkan program, dia patut tinggalkan majlis awal tetapi dia kekal sampai akhir mesyuarat,” jelasnya.

POLITIK : Tidak mesyuarat tanpa kehadiran Hadi

Peringatan Gua Eng kepada Presiden Pas
AZHARI ZAINOODDIN | 06 Februari 2015 2:08 AM
LIM GUAN ENG
PULAU PINANG 5 Feb. – Mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang yang dijadualkan di ibu negara Ahad ini tidak akan diteruskan sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.
Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan, Lim Guan Eng berkata, tarikh mesyua­rat itu telah ditetapkan dan semua parti dalam pakatan pembangkang perlu memberi komitmen untuk menghadiri mesyuarat berkenaan yang bakal berlangsung pada 2.30 petang di Ibu Pejabat Pas.
Katanya, mesyuarat pada hujung minggu ini adalah pertemuan kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang selepas mesyuarat terakhir diadakan Oktober tahun lalu.
“Menghadiri mesyuarat adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan komitmen semua yang terlibat. Semua isu yang boleh diselesaikan akan diberi perhatian di dalam mesyuarat nanti.
“Setakat ini, sekretariat mesyuarat telah memberi jaminan akan kehadiran semua pemimpin pembangkang termasuk Abdul Hadi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kerja-kerja naik taraf jejambat berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Sementara itu, apabila ditanya berkenaan harapannya berhubung hasil mesyuarat itu nanti, Guan Eng menegaskan, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan perbincangan yang bakal diadakan didasari dengan fakta dan bukan berunsurkan fitnah.
Selain ditanya sama ada beliau akan berasa janggal untuk bertemu dengan pemimpin lain dalam pakatan pembangkang ekoran tercetusnya ‘krisis’ antara beliau dengan Pas, jelas Guan Eng, tiada apa-apa yang akan membawa kepada perasaan janggal kerana pemimpin DAP bercakap benar berasaskan fakta.
KOMEN : AMATI AYAT TU… MANA ADA TIPU… FAKTA BUKAN FITNAH…

Penduduk berdepan 
kadar cukai lebih tinggi

28 Januari 2015 1:48 AM
KUALA LUMPUR 27 Jan. – Penduduk di kawasan yang terlibat dengan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) berisiko membayar kadar cukai lebih tinggi bagi menampung sumber kewangan pihak kerajaan tempatan.
Abdul Rahman Dahlan
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan tempatan yang dipilih menerusi pilihan raya PBT mempunyai kuasa dalam menaikkan cukai di kawasan mereka kerana sebelum ini pihak berkenaan terikat di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
“Pilihan raya PBT bakal mewujudkan penyelarasan dasar yang tidak selari serta menimbulkan pelbagai percanggahan dan masalah antara kerajaan negeri dan tempatan.
“Lebih memburukkan keadaan, penduduk di kawasan yang melaksanakan pilihan raya PBT terpaksa berdepan risiko kenaikan kadar cukai sedia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan persoalan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kerajaan DAP Pulau Pinang sama ada pilihan raya PBT yang mahu diadakan membolehkan setiap kerajaan tempatan mempunyai autonomi dalam soal kewangan.
Muhyiddin turut mempersoalkan kemampuan kebanyakan kerajaan tempatan yang kini mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan memperoleh sumber kewangan baharu melalui autonomi kewangan selepas mengadakan pilihan raya PBT.
Menurut Abdul Rahman, secara puratanya, kerajaan Pusat memperuntukkan kira-kira RM250 juta hingga RM300 juta setahun kepada kerajaan tempatan di seluruh negara. 
“Jika kerajaan tempatan menjalankan aktiviti kutipan cukai mereka sendiri, Kerajaan Pusat mungkin akan mengalihkan peruntukan yang disediakan untuk disalurkan ke bahagian pembangunan,” katanya.

POLITIK : Pas cabar bentang usul pilihan raya PBT

DAP mesti sanggup berdepan risiko ditolak
HUSSAINI AMRAN | 28 Januari 2015 1:51 AM
KUALA LUMPUR 27 Jan. – Pertelingkahan dalam pakatan pembangkang semakin sengit berikutan tindakan Pas mencabar DAP untuk membentangkan rang undang-undang persendirian pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Parlimen.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika melontarkan cabaran itu berkata, langkah berkenaan adalah jauh lebih baik daripada bertengkar melalui media dan mencemuh mereka yang melahirkan kebimbangan terhadap kesan negatif pilihan raya PBT.
Menurut beliau, seperti Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, kelulusan usul pilihan raya PBT di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sahaja tidak mencukupi kerana ada halangan di peringkat Perlembagaan Persekutuan.
“Jika DAP yakin bahawa pilihan raya PBT merupakan usaha menyuburkan sistem demokrasi maka berusahalah membentangnya di Parlimen, mungkin secara rang undang-undang persendirian, kerana ini juga adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Pas sedia berdepan risiko ditolak dan ditentang oleh rakan dalam pakatan pembangkang jika kerajaan negeri Kelantan mengemukakan rang undang-undang persendirian untuk Enakmen Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan malah, Pas menerima hakikat bahawa DAP akan menentangnya,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan kebimbangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang kemungkinan pilihan raya PBT mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat apabila memberi ‘keuntungan’ kepada penduduk bandar yang majoritinya kaum Cina, sekali gus menimbulkan kebimbangan peristiwa 13 Mei 1969 berulang.
Ahli Majlis Syura Ulama Pas itu menambah, sebagaimana Pas, DAP juga harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan usul pilihan raya PBT ditolak di Parlimen.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan, tindakan membentangkan rang undang-undang persendirian pilihan raya PBT di Parlimen adalah lebih baik bagi DAP kerana kebarangkalian Ahli-ahli Parlimen Pas menyokongnya adalah lebih tinggi berbanding kebarangkalian ahli-ahli Parlimen DAP menyokong rang undang-undang persendirian hudud.
“Hudud dan pilihan raya PBT bukanlah dasar yang dipersetujui bersama. Kedua-duanya tiada konsensus untuk dilaksanakan dan ini diakui DAP dan Pas. Ini satu persamaan antara Pas dan DAP,” ujarnya.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan tentang keputusan Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos lalu yang menolak permohonan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan pilihan raya PBT atas alasan perkara itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.
Beliau memberitahu, meskipun tindakan mahkamah yang diambil DAP tidak berjaya, langkah itu jelas menunjukkan konsensus pakatan pembangkang tidak diperlukan untuk DAP meneruskan janji dalam manifestonya di Pulau Pinang.
“Apakah hanya Pas di Kelantan yang perlu didesak untuk mematuhi konsep konsensus pakatan pembangkang, manakala parti komponen lain tidak memerlukannya, untuk mengotakan janji pilihan raya untuk melaksanakan hudud di Kelantan?” katanya.