Kolam renang paling padat di dunia

BEBERAPA orang penari menari di depan sejumlah orang yang memenuhi kolam renang gergasi di Daying baru-baru ini.

DAYING, China – Lebih sejuta orang telah mengunjungi sebuah kolam renang gergasi yang dikenali dengan nama Laut Mati China dan terletak di sebuah taman tema air di sini, wilayah Sichuan.

Ramai pengunjung mandi di kolam tersebut walaupun ia dipenuhi dengan orang ramai pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Taman tema dalam bangunan itu merupakan taman tema air terbesar di China merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi.

Laut buatan itu mengandungi 43 bahan mineral.

Ekoran kadar kemasinan kolam itu lebih 22 peratus, orang ramai akan mudah terapung sama seperti di Laut Mati di Asia Barat. – Agensi

Advertisements

Beriadah sambil imbau sejarah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Taman Merdeka memiliki keluasan 12 hektar merupakan lokasi paling ideal untuk orang ramai menghabiskan masa pada hujung minggu bersama keluarga.

JOHOR BAHRU 7 Ogos – Taman Merdeka merupakan antara destinasi terbaik untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga kerana ia bukan sahaja lokasi untuk beriadah, malah sesuai untuk mengimbau sejarah kemerdekaan negara.

Terletak berhampiran Jalan Tasik Utara, bersebelahan dengan Padang Golf Tasik Utara dan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), ia merupakan tempat terbaik untuk merehatkan minda di samping beriadah pada hujung minggu.

Taman ini memiliki sembilan laman yang dibina khusus menggambarkan perkembangan sejarah kemerdekaan di negara ini iaitu Laman Peringatan Kesultanan Melayu Johor (Laman Melayu), Laman Peringatan Sultan Abu Bakar dan Laman Peringatan Penjajahan Jepun.

Selain itu, ia turut mengandungi Laman Peringatan Penentangan Komunis, Laman Peringatan Kedaulatan Raja-raja Melayu, Laman Peringatan Semarak Kemerdekaan, Laman Malaysia, Padang Merdeka dan Promenade Perarakan Kemerdekaan.

Dibina di kawasan seluas 12 hektar, pembinaan Taman Merdeka adalah menjurus kepada semangat patriotik dan perjuangan kemerdekaan pada zaman dahulu.

Komponen utama pembangunannya terdiri dari Laman Melayu yang merangkumi Pusat Maklumat serta Jeti Penambang digunakan pada zaman dahulu yang dibina di atas tanah berkeluasan 2.7 hektar.

Laman Peringatan Penentangan Komunis dilengkapi sistem bunyi dan batu bermaklumat bagi membolehkan orang ramai mengetahui sejarah penjajahan komunis.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Mohd. Jaffar Awang berkata, tema pembangunan yang digunakan untuk membangunkan Laman Melayu adalah alam bina dan landskap bercirikan zaman kesultanan Melayu.

“Pembangunan di sini lebih menjurus kepada kombinasi ciri pembangunan klasik dan moden, tetapi lebih menjurus kepada kontemporari moden yang ringkas dan pada masa sama mengekalkan ciri-ciri Melayu klasik,” katanya.

Beliau berkata, Laman Peringatan Sultan Abu Bakar pula dibangunkan dengan konsep budaya Inggeris sebagai usaha menterjemahkan kemasukan budaya itu di negara ini suatu ketika dahulu.

Tiga jenis taman dibina di laman itu dan ia dibahagikan kepada tiga aras berbeza iaitu taman bunga, taman dipenuhi pokok jenis Topiary dan laman rumput jenis meadow yang luas bersesuaian dengan konsep kehidupan Barat.

“Laman ini turut dilengkapi dengan kios dan wakaf bercirikan Inggeris sebagai pelengkap kepada konsep yang dikhususkan kepada laman tersebut,” jelasnya.

LAMAN Peringatan Merdeka turut dilengkapi arca-arca bermaklumat yang melambangkan kepada kesepakatan masyarakat di negara ini.

 

Laman Peringatan Penjajahan Jepun pula dibina bagi menterjemahkan suasana tekanan rakyat pada era pendudukan askar negara Matahari Terbit itu di negara ini.

Binaan kubu yang diwujudkan secara spontan dari Laman Sultan Abu Bakar mengunjur ke laman itu sebagai lambang kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu secara mendadak pada zaman dahulu.

“Laluan-laluan sukar yang diwujudkan di situ juga merupakan pemangkin bagi menggambarkan suasana sebenar kehidupan yang susah dan perit semasa penjajahan Jepun di negara ini,” kata Mohd. Jaffar.

Laman keempat yang terdapat di fasa pertama itu adalah Laman Promenade Perarakan Merdeka atau laman perjuangan kemerdekaan yang menceritakan tentang perjalanan penduduk negara ini untuk mencapai kemerdekaan.

Laluan pejalan kaki, gazebo yang bercirikan senibina Melayu seperti yang terdapat di Laman Melayu serta panel-panel grotto atau tembok di dalam tasik menceritakan tentang sejarah Tanah Melayu dan proses yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Selain itu, terdapat beberapa lagi ciri tambahan yang disediakan kepada para pengunjung untuk fasa pertama di Taman Merdeka itu, antaranya Pondok Stesen Buggy, Tandas Taman Inggeris dan Restoran Taman Jepun.

Tarikan pantai digilap semula

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


CAHAYA matahari yang mula meninggi dirasakan seperti mencucuk-cucuk ke kulit, namun seorang lelaki dilihat sedang tekun melakukan tugasnya.

Tangannya pantas mengutip pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang tersangkut pada pukat rentang miliknya itu.

Dia tersenyum puas. Ternyata penat-lelahnya berbaloi, ketiga-tiga pukat rentang yang dipasangnya sejak malam sebelumnya di pesisiran Pantai Morib itu mengena.

Baldi yang sarat dengan hasil tangkapannya itu kemudian dibawa ke khemahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Bagi Johan Subhi, 42, dia tidak pernah jemu ke Pantai Morib. Sejak berjinak-jinak dalam aktiviti memukat itu awal tahun lalu, boleh dikatakan sebulan sekali atau dua minggu sekali dia akan berkunjung ke destinasi perkhelahan yang popular di selatan Selangor itu.

Lagipun, dia tidak bersendirian lantaran isteri dan tiga orang anaknya turut menjadi peneman setia. Jika dulu kehadiran mereka sekadar untuk bersiar-siar atau berkelah di tepi pantai, kini dia mempunyai hobi baharu untuk mengisi masa lapangnya pada hujung minggu.

“Lazimnya, kunjungan saya ke sini tidak pernah menghampakan. Adakalanya saya mampu membawa pulang hasil tangkapan pukat seberat 20 kilogram.

“Selain menjadi hidangan kami sekeluarga atau disedekahkan kepada jiran tetangga, ada juga permintaan dalam kalangan pengunjung yang mahu membelinya,” katanya yang berasal dari Batu 4, Kapar, Klang.

Johan memberitahu, kawasan pantai itu amat sesuai untuk aktiviti memukat kerana mempunyai pantai yang landai iaitu mempunyai jarak di antara tebing dengan anak air yang jauh ke laut ketika air surut.

“Tidak hairanlah kawasan sekitarnya popular dengan mereka yang datang memukat, menjala, memancing atau sekadar mencari kepah atau siput di tepi pantai.

AKTIVITI berkhemah di tepi pantai menjadi acara wajib bagi ramai pengunjung pada hujung minggu.

“Suasana di sini cukup menenangkan. Menikmati deruan ombak segar atau sekadar melihat kerlipan bintang pada waktu malam sudah cukup mendamaikan jiwa. Hilang segala tekanan di tempat kerja,” katanya.

Panorama Selat Melaka

Terletak di daerah Kuala Langat kira-kira 10 kilometer dari pekan Banting, Morib bukanlah nama yang asing dalam kalendar pelancongan negeri.

Berlatarbelakangkan panorama Selat Melaka, keindahan pantainya sentiasa menggamit pengunjung khususnya warga kota.

Jika daerah Kuala Langat terkenal kerana tinggalan sejarah Kesultanan Selangor, Morib juga tidak kurang hebatnya.

Kawasan pantainya pernah menjadi kawasan pendaratan pasukan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British dalam usaha mempertahankan Malaya daripada serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu.

Sepanjang ia dibuka sebagai lokasi riadah pantai, pelbagai isu dibangkitkan orang ramai termasuk soal kebersihan dan juga persaingan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Morib pernah melalui fasa malap.

Namun, usaha Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongannya sejak setahun lalu telah berjaya mengembalikan keceriaan Morib.

Seorang peniaga layang-layang, Mohd. Azman Dali, 30, berkata, kawasan sekitar Pantai Morib itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, gerai, surau, pondok, tempat meletak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak.

Pada masa yang sama katanya, kawasan sekitarnya juga turut diceriakan dengan landskap indah termasuk pembinaan pelbagai arca dan monumen yang menarik.

KETENANGAN suasana di Pantai Kelanang yang terletak berdekatan dengan Pantai Morib.

“Dahulu memang tidak dapat dinafikan keadaannya pantai ini agak tidak terurus, kotor dan dipenuhi sampah-sarap serta gerai-gerai usang

“Sekarang lihatlah, semuanya telah berubah. Kawasan gerai baru yang dibina bukan sahaja luas malah selesa bagi peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke sini,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak berusia belasan tahun.

Anak jati Banting itu menjelaskan, pengunjung ke Pantai Morib boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bermandi-manda, menangkap ikan, bermain-layang atau sekadar bersantai di kerusi rehat yang disediakan.

Tambahnya, kehadiran semula pengunjung ke kawasan pantai itu memberi isyarat jelas ia bakal mengulangi kegemilangan seperti yang pernah dikecapi sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an dahulu.

“Selain Pantai Morib, pengunjung juga boleh mengunjungi Pantai Kelanang yang juga tidak kurang menariknya dan menjanjikan kepuasan seperti juga pantai-pantai lain di negara ini,” ujarnya.

Pantai Kelanang yang terletak berdekatan Pantai Morib bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya, malah tinggalan sejarah seperti sejarah Kesultanan Selangor.

Pantai-pantai yang di bawah perhatian Majlis Daerah Kuala Langat itu turut mengajak pengunjungnya melawat beberapa tarikan lain seperti Bukit Jugra, Bukit Melawati, makam Sultan Abdul Samad, Masjid Alauddin dan Istana Bandar.

Ikan bakar

Jika perut berasa lapar, terdapat pelbagai gerai dan restoran yang menyediakan pelbagai hidangan yang menepati selera pengunjung.

Salah satu gerai yang boleh dicuba jika berkunjung ke Pantai Morib ialah gerai King Ikan Bakar yang diusahakan Raja Sulaiman Raja Shah, 51, yang menawarkan pelbagai hidangan menyelerakan seperti ikan bakar, sate, otak-otak, kepak ayam panggang dan sata.

MEDAN selera baharu yang lebih selesa, teratur dan menarik menjadi tumpuan pengunjung ke Pantai Morib.

Raja Sulaiman berkata, keistimewaan ikan bakar tiga rasa yang diadun dengan rempah ratus menjadi pilihan ramai pelanggannya.

“Terdapat beberapa pilihan ikan yang ditawarkan iaitu dari jenis kerapu, kelah dan jenahak,” katanya yang turut menghidangkan kerang bakar bersama nasi dan air asam.

Walaupun lokasi gerai terbukanya itu masih baharu, Raja Sulaiman gembira dengan sambutan yang diterimanya.

“Selain menjamu selera, pengunjung berpeluang menikmati panorama indah di sekelilingnya sekali gus memberi nilai tambah kepada peniaga-peniaga di kawasan ini,” ujarnya.

Penginapan

Rencana bermalam di Morib juga suatu yang digemari golongan tertentu. Bagi mereka yang gemarkan adventur, terdapat tapak-tapak perkhemahan yang boleh disewa berhampiran pantai untuk aktiviti berkumpulan dan keluarga.

Sementara itu, bagi yang inginkan keselesaan dan suasana privasi boleh memilih untuk menginap di Hotel Impian Morib yang terletak berhampiran.

Menawarkan penginapan bertaraf tiga bintang, resort yang beroperasi sekitar 2005 itu menawarkan sejumlah 90 unit bilik dari jenis superior, deluxe dan calet pada harga bermula dari RM160 hingga RM250 semalam.

Pengurus Residennya, Dzulquarnine Ahmad berkata, setiap bilik mempunyai kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, pembancuh kopi, alat pemanas dan peti ais.

Katanya, resort itu juga turut dilengkapi kolam renang, bilik mesyuarat dan seminar, restoran, padang golf (Sri Morib Golf Club) dan gimnasium.

Taman rekreasi hijau di tengah kota

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my


TAMAN Tasik Perdana yang berusia 122 tahun dan terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur kini diberi nafas baru. Selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, ia dikenali sebagai Taman Botani Perdana.

Tidak lagi menjadikan tasik sebagai identiti taman itu, pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab menguruskannya telah menghiasi taman berkenaan dengan pelbagai spesies flora sekali gus menjadikan ia taman botani bertaraf dunia.

Taman yang telah wujud sejak tahun 1888 itu telah selesai menjalani fasa pengubahsuaian pertama awal tahun ini sekali gus menawarkan suasana baharu buat penduduk di sekitar Kuala Lumpur untuk beriadah dan bersiar-siar.

Suasana taman yang mendamaikan termasuk beberapa lokasi menarik yang dinaik taraf di sekitarnya dilihat mampu menggandakan kehadiran pengunjung.

Taman Botani Perdana yang seluas 101.12 hektar itu merupakan salah satu di antara 14 buah taman rekreasi awam paling aktif di sekitar Kuala Lumpur.

Antara taman lain yang terdapat di Kuala Lumpur ialah Tasik Titiwangsa, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Tasik Metropolitan Kepong, Rimba Kiara, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.

Bukan sekadar lawatan ke taman yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan subur, di sekeliling taman itu terdapat beberapa lagi tarikan menarik untuk dikunjungi. Ternyata, tempoh satu hari bagaikan tidak cukup untuk menghabiskan pusingan ke semua lokasi itu.

Antara tempat yang boleh dituju di kawasan berdekatan adalah Pustaka Perkhidmatan Awam Malaysia, Taman Rama-Rama, Taman Bunga Raya, Taman Orkid, Taman Herba dan Konservatori, Taman Rusa dan Kancil, Memorial Tun Abdul Razak, Planetarium Negara, Muzium Polis dan Muzium Kesenian Islam.

Selepas dirasmikan dengan nama Taman Botani Perdana, ternyata sambutan yang diterima daripada orang ramai amat positif. Rata-rata pengunjung yang ditemui menghargai suasana taman riadah dan rekreasi tersebut.

RUSA-RUSA ini pasti mencuit hati pengunjung lantaran ia jinak dan manja.

Selain landskap taman flora yang menyejukkan pandangan mata, ia turut mengambil kira kemudahan tambahan buat para pengunjung. Penyediaan surau, tandas, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, bangku duduk dan peralatan senaman individu amat tepat dengan konsep taman awam bertaraf tinggi.

Seorang pengunjung, Nor Azura Hashim, 30, berkata, setiap minggu dia dan suami akan datang ke taman itu bersama dua orang anak mereka untuk bersiar-siar.

“Persekitaran taman ini sangat menarik. Ia memang sesuai dijadikan destinasi riadah untuk keluarga. Cuma buat masa ini, beberapa taman kecil masih dalam proses dinaik taraf.

“Ekoran itu kita dapat lihat kerja-kerja pembinaan dan baik pulih sedang giat dilakukan kontraktor binaan di beberapa kawasan sekitar taman di sini,” katanya.

Tambah Nor Azura, beberapa taman seperti Taman Bunga Raya, Taman Herba dan Taman Rusa perlu diberi perhatian yang lebih oleh pihak pengurusan agar kemudahan serta penampilannya lebih terjaga.

Tarikan rama-rama

Lokasi menarik lain untuk dikunjungi di Taman Botani Perdana ialah Taman Rama-Rama Kuala Lumpur yang menempatkan kira-kira 5,000 ekor rama-rama selain beberapa spesies haiwan eksotik lain.

Terletak di Jalan Cenderasari, kawasan seluas 0.8 hektar itu menjadi tarikan ribuan pengunjung yang mahu mendekati kitaran hidup serangga itu dan beberapa jenis haiwan lain.

Dengan bayaran RM9 bagi dewasa, RM4 untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun dan RM26 bagi pakej keluarga (dua dewasa dan tiga kanak-kanak), pengunjung boleh meluangkan masa lebih satu jam untuk bersiar-siar di dalam taman itu.

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Roslyn Gina, 42, antara spesies rama-rama paling popular dan terancam yang menghuni taman itu termasuklah Indian Leaf (Kallima Paralekta), Great Moment dan Rajah Brooke.

“Terdapat 120 jenis rama-rama di dalam taman ini. Selain itu, taman ini juga mempunyai 10 jenis kura-kura, 16 jenis kumbang, dua jenis katak dan pelbagai spesies ikan untuk tontonan pengunjung selain rama-rama,” terangnya.

Tambah Roslyn, taman tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelawat kanak-kanak. Spesies rama-rama dan serangga boleh didekati melalui pameran dan bahan maklumat yang bersifat akademik.

Meskipun taman itu sudah berusia 17 tahun, kunjungan pelancong yang tidak putus-putus ke situ membuktikan destinasi percutian tersebut masih bertahan dalam diari percutian negara.

Roslyn melihat ‘telatah’ kura-kura yang banyak di salah sebuah kolam di Taman Rama-Rama.

Horizon juga berkesempatan bertemu Penolong Pegawai Pertanian, Taman Botani Perdana, Suhaila Mohd. Sani yang bertanggungjawab menguruskan Taman Herba dan Konservatori, Taman Bunga Raya, Taman Orkid dan Taman Rusa dan Kancil.

“Taman Herba dan Konservatori masing-masing seluas 0.3 hektar. Sementara Taman Herba menempatkan kira-kira 100 jenis pokok herba, Taman Konservatori pula mempunyai 30 kategori pokok yang setiap satunya ditanam sebanyak 20 batang,” katanya.

Para penggemar haiwan tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengisi masa dengan membelai, bergambar dan memberi makan hidupan dan ternakan jinak itu dengan tangan.

Taman Rusa dan Kancil yang dibuka pada 2 September 1987 kini menjadi habitat untuk 56 ekor rusa, 11 ekor kambing, 15 ekor kancil, 25 ekor itik, lima ekor ayam dan enam ekor angsa.

“Di sini terdapat dua jenis rusa yang terdiri daripada baka Holland dan Morses (tempatan) serta baka kacukan kedua-duanya,” kata petugas taman, Abdul Patah Zainul, 54.

Bunga kebangsaan

Suhaila turut memberitahu bahawa Taman Bunga Raya yang dirasmikan oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada tahun 1990 menawarkan pelbagai spesies bunga raya di atas tanah seluas 0.9 hektar.

Terdapat lebih 200 jenis kacukan bunga raya pelbagai warna dan corak hidup subur di sepanjang lorong siar kaki dan permukaan teres yang menghiasi landskap taman tersebut.

Selain itu, Taman Orkid yang terletak di Jalan Cenderawasih menambat pesona pengunjung dengan dua kategori orkid iaitu dari spesies pokok asal dan kacukan.

Bagaikan taburan perca berwarna-warni, terdapat lebih 1,000 jenis bunga orkid dapat dilihat menyerikan taman itu.

Setelah puas berjalan di taman itu, pengunjung disyorkan untuk singgah ke Bazar Orkid yang terletak di tengah-tengah taman itu kerana pelbagai spesies bunga orkid dijual pada harga yang murah.

Sepasu bunga orkid dijual pada harga antara RM5 dan RM200, bergantung kepada saiz dan jenis bunga orkid tersebut.

Litar Kart SIC dilancar

SEBANYAK sebelas selekoh mencabar menanti pemandu.

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini melancarkan kemudahan Litar Kart Antarabangsa Sepang yang berwajah baru. Pelancaran itu bertujuan menjadikan SIC sebagai lokasi acara korporat dan hiburan, di samping berperanan selaku litar sukan bermotor kelas dunia.

Litar go-kart yang menerima sentuhan pereka litar Formula Satu (F1), Hermann Tilke tersebut mengalami beberapa penambahbaikan seperti penghadang tayar, penggantian permukaan litar dan pemasangan sistem saliran yang baru.

Dengan jarak sepanjang 1.247 kilometer dan lebar 10 meter, litar itu dilengkapi sebelas selekoh mencabar. Tar pada permukaan litarnya adalah sama seperti yang digunakan untuk litar utama Sepang.

Seiring dengan pelancaran semula litar berkenaan, ia turut melibatkan pelantikan operator baru iaitu City Karting Events Sdn. Bhd. (City Karting). Syarikat yang memiliki pengalaman dalam industri lebih 30 tahun itu akan mengurus litar tersebut bersama SIC. Beberapa jentera go-kart baru juga dibawa masuk. Antaranya ialah go-kart dua tempat duduk untuk ibu bapa dan anak.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, penambahbaikkan litar tersebut adalah sebahagian usaha pihaknya untuk memberi perkhidmatan nilai tambah, selain mempromosikan sukan perlumbaan di negara ini.

“Litar go-kart merupakan tempat terbaik serta pilihan selamat untuk pemandu baru dan remaja berjinak-jinak dalam perlumbaan. Go-kart juga membantu mereka mengasah bakat, membina semangat kesukanan dan persaingan.

“Malah juara F1 seperti Sebastian Vettel dan Lewis Hamilton bermula dengan pembabitan dalam sukan go-kart. Tidak lupa juga pemandu lumba tempatan seperti Fairuz Fauzy dan Nik Iruwan Nik Izani,” jelasnya.

Taman kejiranan penuhi keperluan penduduk

ZULHASnan Rafique (kanan) diberikan penerangan mengenai perkembangan terkini projek Taman Kejiranan Air Panas sewaktu melakukan lawatan kerja ke tapak projek tersebut di Setapak, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 31 Mei – Pembinaan Taman Kejiranan Air Panas, Setapak di sini dilihat mampu memenuhi keperluan dan kehendak rekreasi serta riadah penduduk sekitar kawasan Parlimen Setiawangsa.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, ia juga dilihat sebagai projek pembangunan yang baik untuk rakyat kerana ia akan menggalakkan mereka untuk terlibat dalam aktiviti yang menyihatkan badan.

Menurutnya, projek yang menelan kos sebanyak RM7.8 juta itu dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

“Apa yang lebih penting ialah reka bentuknya bukan sahaja menitikberatkan kemudahan asas tetapi turut menyediakan kemudahan yang mengambil kira semua golongan termasuk warga tua dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat taman kejiranan tersebut bersama pegawai-pegawai DBKL baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zulhasnan mencadangkan kepada DBKL supaya meratakan semula permukaan padang bola di situ, di samping membina bilik persalinan untuk kemudahan orang ramai.

Beliau turut mengumumkan Hari Keluarga dan Sukan antara Persatuan Penduduk Parlimen Setiawangsa yang akan dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Penduduk Penghuni Parlimen Setiawangsa (M4P) akan diadakan pada November nanti di taman kejiranan tersebut.

Hari keluarga yang julung-julung kali diadakan itu diharap akan mampu mengeratkan lagi hubungan antara penduduk di kawasan tersebut.

p/s  Semuga projek yang bernilai RM 7.8 juta ini tidak diabaikan setelah siap. Pihak berkuasa hendaklah memantau keselamatan dan kebersihan taman ini terjaga dengan baik. Jangan nanti menjadi tempat lepak penagih dadah dan pendatang asing yang sering menganggu keharmonian penduduk setempat…

Gempur, lasak di PD Buggy Trek

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my
Pengunjung merasai keseronokan apabila disimbah air oleh beberapa petugas yang menyorok di celah semak ketika meredah di litar tanah merah yang ekstrem di PD Buggy Trek, Port Dickson.

TELUK KEMANG 23 Mei – Jika anda seorang yang lasak, kenapa tidak menyertai aktiviti yang lebih ekstrem di PD Buggy Trek, dekat Port Dickson.

Ini kerana pengunjungnya bukan sahaja dicabar dengan keperitan, tetapi sepanjang litar itu akan melalui laluan tanah merah yang ekstrem, simbahan air dan peringkat halangan yang tidak diduga.

Menurut Urus Setia PD Buggy Trek, Kenny Detosta, 47, trek yang dibina di situ amat mencabar apatah lagi bagi mereka yang pertama kali mencuba kenderaan buggy ekstrem.

‘‘Litar ini jaraknya 800 meter sahaja bagi satu pusingan, tetapi di dalamnya telah kita reka bentuk dengan pelbagai kepayahan sesuai dengan fungsi lasak.

‘‘Peserta yang menyertai sukan ini, kita berikan tiga pusingan dengan kos dan bayaran minimum,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, kos sewaan kenderaan mengikut jenis buggy iaitu ATV, Buggy, Krazy Kart, moto Srambler.

‘‘Sewaan ATV ialah RM25, Buggy RM35, Krazy Kart pula RM25 dan Scrambler sekitar RM30,” katanya.

Katanya, PD Buggy Trek bukan sahaja dikunjungi pelancong tempatan, malahan ada juga datang dari Taiwan, Korea, Uganda, Turki, Iran, Singapura dan Indonesia.

Seorang penunggang seronok apabila cuba melepaskan diri daripada disimbah air di litar tanah merah yang ekstrem di PD Buggy Trek, Port Dickson.

‘‘Saya seronok kerana ada juga peserta yang menaiki salah satu kenderaan ekstrem itu berusia 78 tahun dan dia kelihatan gagah dalam mengharungi trek lasak ini,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Abdul Ajib, 28, yang sama-sama menyelia kawasan trek itu berkata, selain trek mencabar, ia turut menyediakan pakej berkaraoke dan ayam bakar.

‘‘Semua ini bergantung kepada peserta yang datang membuat tempahan, sama ada untuk menyertai aktiviti secara berkumpulan atau persendirian,” katanya.

Tambahnya, beberapa kejutan juga dilakukan di sini seperti ketika pengunjung leka mengendalikan buggy, beberapa petugas akan menyorok di celah semak sebelum menyimbah air kepada mereka.

Namun begitu, faktor keselamatan menjadi keutamaan kerana peserta dikehendaki memakai topi keselamatan dan berkasut.

‘‘Sukan ini boleh berkembang dan menarik ramai pelancong. Jika ada lokasi yang lebih baik, ia amat sesuai dibangunkan dengan sokongan dan bantuan kerajaan negeri,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web http://www.pdbuggytrek.blogspot.com atau menghubungi 013-2013727 dan 019-2020791 untuk tempahan.