Siasat dakwaan DEIG mohon pinjam RM500j

ABDUL YAZID ALIAS | 22 September 2015 1:38 AM
SHAH ALAM 21 Sept. – Jawatankuasa Pilihan Agen­si, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Se­langor digesa memanggil Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memberikan jawapan sebenar me­ngenai dakwaan konon­nya Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah memohon cada­ngan pinjaman daripada tiga buah bank berjumlah RM500 juta.
BUDIMAN MOHD. ZOHDI
Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi berkata, tindakan sedemikian harus dilakukan bagi memastikan kesahihannya kerana cadangan pinjaman tersebut dikatakan bertujuan dijadikan modal kerja anak syarikat milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu.
Katanya, berdasarkan laporan sebuah portal, http://www.malaysia-today.net pada 8 September lalu, difahamkan sebuah bank telah mengeluarkan surat tawaran pinjaman kepada DEIG yang mana jika benar, berkemungkinan digunakan oleh syarikat itu untuk menampung operasinya.
“Kita melihat dakwaan ini satu perkara yang serius yang perlu disusuli dengan tindakan segera oleh JP-ABAS. Maka, untuk memastikan kesahihannya, jawatankuasa berkenaan perlu memanggil Menteri Besar termasuk pengurusan DEIG untuk memberikan keterangan yang sebenarnya di sebalik dakwaan ini.
“Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi polemik lebih-le­bih lagi kemungkinan wujudnya unsur-unsur penipuan di sebalik penubuhan DEIG,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menambah, sekiranya dakwaan portal itu benar, maka tindakan tersebut dilihat bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin pada 18 Ogos lalu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyatakan DEIG dari segi struktur modal tidak akan membuat sebarang pinjaman, tidak memiliki aset dan hanya akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.
“Jika kita berpegang kepada kenyataan Menteri Besar ketika sesi DUN lalu, maka DEIG masih belum beroperasi dan tidak mempunyai aktiviti setakat ini. Namun, mengapa pula syarikat ini dikaitkan dengan dakwaan memohon pinjaman untuk modal kerja melibatkan jumlah kira-kira RM500 juta?
“Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam soal ini. Maka sebab itu, kita gesa Menteri Besar tidak terus-menerus mengambil sikap berdiam diri, rakyat Selangor ingin tahu perkara yang sebenarnya,” tegas beliau.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffan Affendi Aminudin gagal apabila beliau tidak membalas soalan menerusi aplikasi WhatsApp.
Advertisements

PKR tidak perlu jaga hati Pas?

15 September 2015 1:31 AM
Azmin Ali
SHAH ALAM 14 Sept. – PKR seolah-olah merasakan mereka tidak perlu menjaga hati sekutunya, Pas apabila memandang mudah polisi untuk ti­dak menerima ahli daripada parti lain dalam pakatan pembangkang.
Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan asalkan semua parti dalam pakatan pembangkang mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Tidak apalah. Kita hormat-menghormati antara satu sama lain,” jawabnya ringkas ketika ditemui dalam majlis peletakan batu asas projek Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar diminta mengulas kekecewaan Dewan Pemuda Pas berhubung tindakan PKR mengkhianati polisi ti­dak menerima ahli daripada parti rakan seperti dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini.
Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu, tindakan berkenaan dilihat bercanggah dengan pendekatan pihaknya selama ini yang tidak menerima ahli-ahli dan wakil rakyat daripada PKR meskipun terdapat segelintir daripada mereka berminat untuk menyertai Pas sebelum ini.
Kelmarin, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Ahli Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib me­nyertai parti berkenaan.

DEIG : Rafizi, Tony jangan berdiam diri, nyatakan pendirian – Budiman

25 Ogos 2015 1:12 AM
SHAH ALAM 24 Ogos – Sikap berdiam diri Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berhubung kontroversi penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) menimbulkan tanda tanya.
BUDIMANMOHD. ZOHDI
Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi berkata, ini kerana kedua-dua mereka sering lantang mempersoalkan amalan integriti, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Kita mengajak Rafizi, Tony untuk sama-sama merungkai kebimbangan ini. Sehingga saat ini, tiada kenyataan yang jelas berkaitan pendirian mereka terhadap isu DEIG.
“Mereka selalu bercakap soal integriti, ketelusan dan akauntabiliti. Ketelusan sebenar perlu melangkaui sempadan politik kepartian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, sebuah portal berita mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM2 dalam DEIG dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi (COO) MBI, Soffan Afffendi Aminuddin.
Menurut portal tersebut, pegangan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI.
Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menjelaskan, pelantikan kedua-dua individu terbabit juga dipersoalkan kerana tidak dilakukan melalui proses lantikan terbuka.
“Adakah CEO dan COO ini mempunyai rekod perkhidmatan terbaik seperti diuar-uarkan oleh Menteri Besar?” soalnya.

Ke mana perginya RM500j dana Marris?

ABDUL YAZID ALIAS | 13 Ogos 2015 1:06 AM
SHAH ALAM 12 Ogos – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali digesa mendedahkan secara terperinci perbelanjaan serta program yang dilaksanakan di sebalik penyaluran dana berjumlah RM500 juta di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris).
Gesaan itu dinyatakan oleh Ke­tua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Abdul Shukor Idrus meman­dangkan beliau difahamkan penyaluran peruntukan tersebut diumumkan oleh Mohamed Azmin pada November tahun lalu dan akan disalurkan pada tahun ini.
Katanya, peruntukan itu dikatakan untuk digunakan bagi mena­ngani wabak denggi serta mengatasi masalah jalan berlubang, banjir serta sampah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
“Namun, setakat ini kita lihat kes denggi seolah-olah tidak ada tanda akan reda di Selangor. Berdasarkan maklumat terkini daripada Bilik Gerakan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan setakat semalam, Sela­ngor mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi dengan bilangan 130 kes berbanding negeri lain.
“Malah, kes terkumpul wabak denggi sejak 4 Januari hingga 10 Ogos 2015, Selangor mencatatkan 41,477 kes berbanding Johor yang mencatatkan 7,719 kes. Melihat da­ripada perkembangan ini, bagaimana sebenarnya komitmen kerajaan negeri dalam menguruskan peruntukan berkenaan khususnya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan, longkang serta pembersihan kawasan.
“Sehubungan itu, kita gesa Menteri Besar supaya mendedahkan secara terperinci perbelanjaan yang telah dibuat melibatkan peruntukan Marris termasuklah program-program yang telah dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 3 November tahun lalu, Mohamed Azmin menerusi laporan portal berita, http://www.mstar.com.my mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan Marris yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan seba­nyak RM500 juta setahun kepada 12 PBT masing-masing bermula tahun depan.
Menurut Menteri Besar itu, keseluruhan wang tersebut akan diserahkan kepada setiap PBT untuk menyelesaikan empat isu utama iaitu jalan berlubang, banjir, sampah dan wabak demam denggi di negeri ini.
Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut mempersoalkan pengurusan peruntukan Marris oleh kerajaan negeri yang mana beliau difahamkan kualiti jalan raya di Selangor masih berada dalam kea­daan yang tidak memuaskan.

Krisis air Lembah Klang tenat 2017

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 08 Julai 2015 2:20 AM
KUALA LUMPUR 7 Julai – Krisis bekalan air yang melanda Lembah Klang dijangka berlarutan dan menjadi lebih tenat pada 2017 jika Kerajaan PKR Selangor masih enggan memuktamadkan perjanjian dengan syarikat konsesi air bagi menyiapkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang masih tertangguh.
Mahdzir Khalid
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bekalan air yang ada sekarang tidak akan bertahan selepas 2017 memandangkan rizab margin bekalan itu tidak sampai dua peratus sedangkan jumlah yang diperlukan adalah 10 hingga 15 peratus seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Beliau berkata, loji-loji yang ada di Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Tasik Subang, Sungai Langat dan Sungai Semenyih juga tidak mampu menampung keperluan itu, jus­teru Langat 2 adalah penyelesaian jangka panjang dan mampu merawat sehingga 1,600 juta liter air bersih setiap hari yang disalurkan dari Empangan Kelau, Pahang.
“Walaupun pembinaan terowong air mentah sudah disiapkan, pembinaan Langat 2 masih pada tahap 20.65 peratus berbanding dijadualkan iaitu 24.91 peratus berikutan tindakan kerajaan negeri menangguhkan pemberian kelulusan dan permit yang diperlukan untuk pembinaannya.
“Akhirnya pembinaan Langat 2 mengalami kelewatan dari perancangan asal untuk siap pada 2017. Dengan mengambil kira perkembangan ini, kedudukan bekalan air di Lembah Klang dijangka berada pada tahap meruncing bermula 2017 hingga Langat 2 siap pada 2019,” katanya ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman di Dewan Negara hari ini.
Abdul Rahim dalam soalannya meminta penjelasan kerajaan setakat mana masalah bekalan air menjejaskan pembangunan di Lembah Klang dan langkah-langkah untuk mengatasinya sebelum Malaysia mencapai taraf negara maju 2020.
Menurut Mahdzir, sejak krisis kekurangan bekalan air berlaku, sebanyak 593 projek pembangunan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tidak diberi kelulusan oleh SPAN dan kesemuanya dijangka turut tertangguh sehingga 2019.
Sementara itu, katanya, Kerajaan PKR Selangor sepatutnya tidak mempolitikkan isu air dan memainkan peranan mereka terutama selepas Kerajaan Pusat sanggup membelanjakan lebih RM3 bilion untuk membina empangan loji baharu bagi kemudahan rakyat negeri itu meskipun tidak diperintah oleh parti kerajaan.
“Kerajaan Pusat sanggup belanja berbilion ringgit untuk bawa air dari Pahang ke Selangor, cari duit dalam RM3 bilion nak bawa air, tampung kekurangan dan kira-kira 1,600 juta liter sehari akan dapat dibawa. Jadi, kita tidak akan ada masalah catuan bekalan air seperti sekarang.
“Perjanjian antara Pusat dan negeri sudah ditandatangani bersama bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan selepas itu langkah kedua antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat operator mengenai berapa jumlah harga melibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) dan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas),” katanya.