Keputusan tubuh parti baharu sebulan dua lagi – Mat Sabu- NAK JUGA JADI PRESIDEN…

ZULHISHAM ISAHAK | 18 Jun 2015 1:30 AM
MUAR 17 Jun – Keputusan menubuhkan sebuah parti politik baharu iaitu pecahan daripada Pas akan ditentukan dalam masa sebulan dua lagi.
Mohamad Sabu
Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan membuat jelajah di beberapa tempat untuk melihat maklum balas, momentum dan sokongan rakyat sebelum membuat keputusan muktamad tentang perkara itu.
“Kami akan tinjau dan lihat perkembangan, sokongan dan apakah perlu (menubuhkan parti baharu dan keputusan tersebut akan) bergantung kepada penilaian (terhadap maklum balas dan sokongan rakyat) nanti.
“Pilihan lain (yang ada selain menubuhkan parti baharu) ialah sertai mana-mana parti politik atau kekal (dalam Pas) atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Penubuhan parti politik yang baharu masih di peringkat perbincangan dan tak ada keputusan rasmi lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Himpunan Jasamu Dikenang di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram di sini malam tadi.
Antara yang hadir, bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; bekas Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Presiden Persatuan Ummah Malaysia (Pasma), Datuk Pahrolrazi Mohd. Zawawi di Shah Alam pada Ahad lalu mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang mesra pembangkang dan akan menerima penyertaan daripada pelbagai kaum.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, jelajah tersebut bermula di Bakri sebelum bergerak ke Pahang dan beberapa tempat lain, namun aktiviti mereka akan disesuaikan dengan bulan Ramadan.
Ditanya berkenaan nama NGO atau kumpulan yang digunakan untuk siri jelajah itu, ketika ini beliau dan beberapa bekas pemimpin Pas lain tidak bergerak menggunakan nama Pasma, sebaliknya berceramah atas nama masing-masing.
Beliau berkata, mereka akan terus bekerjasama dengan DAP dan PKR termasuk NGO pembangkang walaupun pakatan pembangkang sudah dibubarkan semalam serta menyatakan beliau kini tidak terikat dengan protokol parti.
Mengenai hubungan beliau dan bekas pemimpin Pas dengan kepemimpinan Pas yang baharu, Mat Sabu berkata, semuanya seperti biasa dan mereka tidak ‘berkerat rotan’ dengan pucuk pimpinan sedia ada.
Ketika ditanya sekiranya kepemimpinan Pas baharu mengambil tindakan menggantung keahlian semua yang terlibat dalam jelajah tersebut, beliau berkata: “Itu kena tanya pimpinan Pas, kami ahli biasa sahaja.”
Advertisements

POLITIK : Proulama kuasai pemilihan

05 Jun 2015 1:22 AM
KUALA SELANGOR 4 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘mengetuai’ barisan golongan ulama menumbangkan kumpulan profesional dalam pemilihan Pas yang berlangsung di sini hari ini.
Dalam keputusan pemilihan yang diumumkan secara berperingkat-peringkat kira-kira pukul 10 malam, Abdul Hadi mengekalkan jawatan Presiden dengan memperoleh 928 undi bagi menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat hanya 233 undi.
Ini merupakan kali pertama Abdul Hadi yang menduduki jawatan itu sejak 2002 dicabar.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menepati ramalan apabila mengalahkan penyandangnya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu apabila memperoleh 881 undi.
Mat Sabu pula sekadar mendapat 279 undi.
Kemenangan Tuan Ibrahim disifatkan isyarat perwakilan yang mahukan ulama kembali menduduki kerusi nombor dua parti itu yang disandang oleh Mat Sabu sejak tahun 2011.
Kerusi Naib Presiden turut menyaksikan penguasaan golongan ulama apabila dua penyandang jawatan itu Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa tewas. Turut tewas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Ketiga-tiga kerusi Naib Presiden dimenangi oleh Idris Ahmad yang memperoleh 896 undi, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (710 undi) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (672 undi)
Gelombang penguasaan ulama sememangnya sudah dijangka apabila kelmarin calon-calon proulama di Dewan Pemuda Pusat dan Dewan Muslimat Pas Pusat mencatatkan kemenangan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menewaskan Suhaizan Kaiat bagi jawatan Ketua Pemuda manakala Nuridah Salleh menguasai semula jawatan Ketua Dewan Muslimat selepas menewaskan penyandangnya, Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Golongan proulama juga menguasai jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Turut tersingkir daripada kerusi itu ialah Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin, Dr. Hatta Ramli, Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad.
Kemenangan proulama dijangka memperkukuhkan dasar perjuangan Islam Pas dan membuka ruang kepada parti itu untuk lebih tegas mempertahankan prinsip khususnya dalam berhadapan dengan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Sokongan padu kepada golongan proulama juga dianggap tindak balas ahli-ahli Pas terhadap kebiadapan DAP yang bertindak memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi masih terus mahu bekerjasama dengan Pas.
Sebanyak 1,162 daripada 1,189 perwakilan mengundi dalam pemilihan yang dianggap kali pertama menyaksikan pertembungan terbuka antara golongan proulama dan profesional.

Pasma bakal 
jadi parti politik?

RAFIE AZIMI | 02 April 2015 2:15 AM
SUNGAI PETANI 1 April – Setelah berkali-kali menegaskan untuk kekal selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO), nada kepemimpinan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) mula berubah apabila Presidennya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi mengakui kemungkinan untuk mewujudkan parti politik baharu.
Phahrolrazi Zawawi
Menurut Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Pengkalan Kun­dor itu, cadangan tersebut timbul setelah menerima desakan daripada pelbagai pihak ekoran kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang kini.
Katanya, Pasma diletakkan harapan tinggi oleh penyokong pembangkang untuk mengambil tempat dalam pakatan tersebut sebagai ahli komponen baharu.
“Buat permulaan, kami akan melantik badan bebas bagi melakukan kaji selidik terutama dari sudut penerimaan rakyat terhadap Pasma dalam dunia politik tanah air.
“Daripada situ, kita akan lihat hasilnya dan bersedia menimbang kedudukan sama ada kekal sebagai NGO atau berubah menjadi parti politik. Keputusan mengenainya akan dibuat dalam konvensyen nasional Pasma yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada Jun nanti,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pasma Kedah dengan tema ‘Pasma memacu pakatan pembangkang’ di sini semalam.
Hadir sama Timbalannya, Mohamad Husin; Setia­usaha Agung, Mohd. Taib Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib yang digantung keahliannya dari Pas sebelum ini.
Phahrolrazi menambah, kemelut dalam pakatan pembangkang kini amat kritikal dan kaji selidik yang dijalankan itu nanti akan turut mengambil kira sama ada pakatan sedia ada masih relevan atau perlu diwujudkan pakatan baharu yang lebih ampuh.
“Sama ada Pasma akan bertindak sebagai pengganti kepada Pas atau sebagai komponen baharu, hanya akan ditentukan apabila tiba waktunya. Perkara itu bukan ditentukan kami, sebaliknya ditentukan oleh kepimpinan pakatan pembangkang.
“Tidak mustahil juga Pasma dan Pas akan bersama dalam pakatan baharu itu. Walaubagaimanapun kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh termasuk mengambil kira sama ada ahli parti sedia ada bersedia untuk keluar dan bertukar parti,” ujarnya.
Diminta mengulas mengenai hudud yang melingkari pakatan itu, Phahrolrazi mendakwa, isu itu menjadi cukup rumit disebabkan Pas mengangkatnya ke Parlimen tanpa mendapat persetujuan rakan-rakan dalam pakatan.
“Kalau belum bawa ke Parlimen, mungkin boleh dibahaskan sesama sendiri. Tetapi kini apabila sudah dibawa ke Parlimen, itu bukan lagi tempat untuk berbincang.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Sebagai NGO, kami tidak memihak kepada mana-mana parti tetapi lebih melihat kepada kepen­tingan gabungan supaya ada tole­ransi yang dapat dicapai,” katanya.

HUDUD : Ahli Parlimen bukan Islam 
perlu beri laluan – Hadi

31 Mac 2015 2:16 AM
ABDUL HADI AWANG (dua kiri) bersama Mohamad Sabu (kiri), Mustafa Ali (dua kanan) dan Takiyuddin Hassan semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR 30 Mac –Ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam perlu memberi laluan kepada Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Parlimen.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu selaras dengan semangat Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut beliau, pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama-agama lain diamalkan secara bebas di negara ini.
“Adalah tidak wajar Perlembagaan kita tidak memihak kepada orang Islam untuk melaksanakan hukum syariat sendiri sedangkan agama lain bebas.
“Islam adalah agama Persekutuan. Ini percanggahan yang perlu diperbetulkan oleh semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Penolongnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Tindakan itu menyebabkan sekutu Pas, DAP membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan turut meminta beliau meninggalkan pakatan pembangkang jika mahu membentangkan rang undang-undang persendirian atas kapasiti Ahli Parlimen pakatan pembangkang.
Beliau menambah, semua ahli Parlimen yang beragama Islam seharusnya menyokong rang undang-undang persendirian tersebut tanpa mengira parti politik yang diwakili mereka.
“Bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan memerlukan pindaan kepada Jadual Kesembilan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, pindaan turut merangkumi kaedah sebatan yang bakal digunakan agar hukuman itu lebih berunsur mendidik pesalah.
Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan menambah bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara termasuk di Kelantan.
“Pada masa ini, hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan,” ujarnya.
Jelas beliau, sebagai perban­dingan, Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, denda RM10,000 dan 12 sebatan.

POLITIK : Pas sifatkan DAP berbohong

26 Mac 2015 2:11 AM
KOTA BHARU 25 Mac – Pas menyifatkan sekutunya, DAP sebagai ‘berbohong’ apabila mendakwa tidak diberikan kefahaman secukupnya berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadz­li Hassan berkata, tanggapan tersebut tidak betul kerana sudah beberapa kali penjelasan tentangnya diberikan sebelum ini.
Justeru kata­nya, beliau yakin kepemimpinan DAP sudah jelas berkaitan isu tersebut dan tidak perlu lagi mempertikainya selepas Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
“Saya sendiri sudah tiga kali bersama-sama pimpinan Pas Pusat serta kerajaan negeri berjumpa mereka bagi menjelaskan berkaitan hudud.
“Bermula di pejabat DAP di Cheras, semua pimpinan atasan DAP serta PKR hadir dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kemudian di Pejabat Agung Pas dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru-baru ini. Pimpinan lain seperti Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan tidak kurang daripada empat kali hadir.
“Bagi saya pimpinan pakatan pembangkang sudah jelas tentang hudud dan pendirian kita. Pada perjumpaan terakhir di Parlimen baru-baru ini tidak ada pun keputusan dibuat supaya Pas menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) di DUN Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap keputusan DAP semalam yang memutuskan hubu­ngan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Susulan keputusan tersebut menyebabkan terdapat dalam kala­ngan masyarakat yang meletakkan kesalahan terhadap Pas kononnya gagal memberi kefahaman sejelas­nya kepada DAP berkenaan hudud, sekali gus menimbulkan kemelut di antara kedua-dua parti itu.
Sementara itu, Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri berkata, sebahagian daripada pe­mimpin pakatan pembangkang itu dengan tegas menolak pelaksanaan hudud dalam setiap kali perjumpaan.

POLITIK : DAP dianggap putus dengan Pas – Haron Din

Pakatan pembangkang bakal berkecai
MAISARAH SHEIKH RAHIM | 26 Mac 2015 2:13 AM
KUALA LUMPUR 25 Mac – Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap amat melampau sekali gus memberi isyarat hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai.
Harun Din
Perkara itu disua­rakan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut menyelar tindakan DAP menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhia­nat kerana ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.
“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu per­ba­i­ki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan berpecah.
“Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini, tidak fahamkah DAP bahawa Pre­siden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan Pre­siden nak berhubung dengan siapa?
“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
DAP semalam mengambil keputusan untuk memutuskan hubu­ngan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu me­laksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhia­nat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian ber­kenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.
Dalam pada itu, tokoh ulama berpengaruh itu berkata, Pas sudah berkali-kali menyatakan kepada DAP bahawa jika mereka merasakan tidak perlu lagi kepada pakatan, maka parti itu dipersilakan keluar daripada gabungan kerjasama antara mereka. Menurut beliau, DAP perlu membuat keputusan sebegitu tanpa lagi berdolak-dalik mencari pelbagai alasan dengan menjadikan isu hudud sebagai modal pekikan mereka.
Sedangkan Pas, katanya, meng­anggap pakatan masih lagi berguna dan boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan sebaliknya.
“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Haron berkata, DAP diminta merujuk semula keputusan pakatan pembangkang dalam soal hudud iaitu ketiga-tiga parti bersetuju dalam tidak bersetuju tentang agenda perjuangan Pas tersebut.
“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud tetapi ja­nganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya.