PROJEK GAJAH PUTIH

Lakukan sesuatu terhadap bangunan JB Waterfront City

Saudara pengarang,

Bangunan JB Waterfront yang terbiar sejak sekian lama di pesisiran Selat Tebrau, Johor Bahru.

PERTUBUHAN Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan negeri supaya melakukan sesuatu terhadap bangunan JB Waterfront City di sini yang menjadi projek gajah putih sejak lebih 15 tahun lalu.

Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, bangunan di Jalan Persiaran Tun Sri Lanang itu mencemarkan pemandangan Selat Tebrau dan keadaan tersebut amat merugikan kerana kewujudannya tidak dapat dimanfaatkan.

“Kita minta kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) supaya mengadap dan memohon perkenan Sultan Johor untuk melakukan sesuatu terhadap bangunan itu.

“PPPMM mencadangkan bangunan itu dijadikan pusat sehenti untuk orang awam, tempat rujukan untuk pelancong, bangunan kerajaan atau apa sahaja yang difikirkan sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

A. Rahman berkata, sekiranya bangunan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan adalah lebih baik ia dirobohkan dan tapaknya dijadikan tempat untuk rekreasi.

Katanya, semua cerucuk berdekatan bangunan itu juga perlu dicabut bagi memastikan kawasan tersebut yang menghadap Singapura tidak menjejaskan imej bandar raya ini.

“Kami dukacita dengan kegagalan projek mega seperti ini yang melibatkan wang rakyat melalui pinjaman institusi kewangan, ini bererti setiap rakyat menanggung hutang,” katanya.

Beliau berkata, dikhuatiri jika bangunan tersebut terus dibiarkan akan menjadi sarang penagih dadah atau tempat melakukan kegiatan sumbang.

Menurut beliau, sudah sampai masanya masalah tersebut diselesaikan kerana bangunan itu telah lama terbengkalai dan tiada siapa pun yang mempedulikannya.

 

SACC lancar konsep baru

SACC tawar lokasi MICE

SHAH ALAM 9 Mei – Shah Alam Convention Centre (SACC), hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), melancarkan konsep baru untuk menjadi pengasas trend dalam menawarkan lokasi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) yang hebat.

Pusat konvenysen itu bertindak sebagai platform ideal untuk mesyuarat agung tahunan, majlis graduasi dan pemeteraian perjanjian, seminar dan syarahan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkifli Mohamad memberitahu Bernama bahawa SACC menyasar untuk menjadi venue untuk semua segmen pasaran seperti gaya hidup, liburan dan perniagaan untuk golongan muda dan dewasa.

Seiring dengan konsep baharu itu, SACC melancarkan pembaharuan bagi Westside Bistro, yang menawarkan menu baru, promosi bulanan dan aktiviti sasaran seperti persembahan muzik secara langsung, tempat untuk bersantai untuk kelab penunggang motosikal, pertunjukan Teh Tarik King dan pertunjukkan silap mata dari masa ke masa.

Majlis perkahwinan di SACC kini menawarkan perkhidmatan istimewa. Bagi pasangan bukan Islam, mereka boleh menikmati pakej resepsi bankuet yang digabungkan dengan pendaftaran sivil perkahwinan mereka oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

SACC juga akan memperkenalkan konsep perkahwinan di luar dan gemilang.

Pasangan kini boleh menikmati perkahwinan yang hebat sama ada pengalaman menaiki helikopter, kereta antik berprestij, motosikal berkuasa tinggi atau pelayaran romantik di Tasik Shah Alam yang terletak berhampiran pusat konvensyen.

Mengenai kemudahan MICE, SACC menawarkan sembilan bilik majlis pelbagai saiz dengan dua dewan utama dan satu dewan plenari yang menempatkan tiga tingkat ruang konvensyen.

Pusat konvensyen itu juga kini menempatkan karektor kartun popular, Upin & Ipin, dengan tawaran pakej parti bertema eksklusif untuk kanak-kanak, dengan kerjasama Les Copaque.

SACC turut mempunyai ruang niaga untuk barangan Upin & Ipin.

Bersempena pelancaran konsep barunya itu, pelbagai acara menarik disediakan seperti Selangor Lifestyle & Property Expo (SELPEX 2011) dan kempen Rumah Terbuka Hari Raya, disenaraikan untuk tahun ini.

Baru-baru ini, pusat konvensyen berkenaan mengadakan Minggu Setiausaha, Divas Las Vegas, bersama penyanyi terkenal Anita Sarawak dan Noryn Aziz.

“Ia merupakan tawaran terkini kami memandangkan SACC sentiasa meneroka peluang untuk memperbaharui produk kami, memenuhi permintaan pasaran dan selaras dengan keperluan pelanggan dengan tawaran istimewa.

“Ini termasuk perkhidmatan berkualiti, ruang fleksibel dan hidangan bertaraf dunia yang disediakan oleh pasukan profesional selaras dengan tagline kami, Bring the World to Shah Alam & Shah Alam to the World, kata Zulkifli selepas pelancaran konsep baru pusat konvensyen itu di sini baru-baru ini. – Bernama