FIFA gantung Kuwait, JDT ke final Piala AFC

18 Oktober 2015 12:34 AM
JUARA … Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meraikan kejayaan selepas pasukan JDT dinobatkan sebagai juara Liga Super 2015 selepas perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini. BERNAMA
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mencipta satu lagi sejarah besar bola sepak Malaysia apabila diisytiharkan layak secara automatik ke perlawanan akhir Piala AFC 2015 pada 31 Oktober ini di Stadium Republikan Central Dushanbe, Tajikistan.
Skuad bimbingan Mario Gomez itu, yang menjadi pasukan pertama dari Malaysia melepasi suku akhir Piala AFC pada 15 September lalu, akan menentang FC Istiklol dari Tajikistan selepas kedua-dua lawan mereka dalam peringkat separuh akhir, Qadsia SC dan Kuwait SC dari Kuwait disahkan tidak lagi layak bersaing.
Keputusan itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam laman sesawang rasminya semalam berikutan penggantungan Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berkuat kuasa serta-merta.
Hukuman itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada 24 dan 25 September lalu, yang dipercayai akibat campur tangan kerajaan Kuwait dalam urusan pentadbiran bola sepak KFA.
“Ekoran keputusan FIFA untuk menggantung KFA dan anggotanya daripada semua kegiatan bola sepak, Kuwait SC dan Qadsia SC tidak lagi layak untuk bersaing dalam separuh akhir Piala AFC.
“Justeru perlawanan akhir Piala AFC kini akan dilangsungkan antara FC Istiklol dengan Johor Darul Ta’zim di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober ini,” menurut AFC dalam kenyataannya di laman sesawang the-afc.com.
JDT ketinggalan kepada Qadsia SC selepas tewas 3-1 dalam separuh akhir pertama di Stadium Kuwait SC, Kuwait pada 29 September lalu manakala Kuwait SC mendahului FC Istiklol 4-0 di gelanggang sama sehari kemudian.
Separuh akhir kedua JDT-Qadsia mulanya dijadualkan pada Selasa ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru manakala FC Istiklol-Kuwait SC di Dushanbe, sehari kemudian.
JDT terdahulu gagal dalam misinya ke Liga Juara-juara Asia setelah ditewaskan Bangkok Glass Thailand 3-0 walaupun berjaya menundukkan JSW Bengaluru (India) dalam pusingan playoff pada Februari lalu.
Namun mereka menjuarai Kumpulan F Piala AFC dengan mengatasi Kitchee (Hong Kong), Kingfisher East Bengal (India) dan Balestier Khalsa (Singapura) sebelum membelasah Ayeyawady United (Myanmar) 5-0 dalam pusingan kedua dan melepasi suku akhir dengan menumpaskan South China (Hong Kong) secara agregat 4-2.
Advertisements

AFC CUP : Gol Amri pembakar semangat

Gol Amri pembakar semangat
01 Oktober 2015 1:24 AM
Pemain-pemain Qadsia meraikan jaringan mereka sementara pemain JDT, Gary Steven Robbat (kanan) tertunduk kecewa dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC di Kuwait City semalam. – AFC
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadapi laluan sukar untuk ke perlawanan akhir Piala AFC selepas tumpas 3-1 kepada Al-Qadsia SC semalam, namun jaringan Amri Yahyah sekurang-ku­rangnya masih memberikan nafas kepada Harimau Selatan.
Jaringan Amri da­lam perlawanan di Sta­dium Kelab Sukan Kuwait, Kuwait City semalam juga setidak-tidaknya membuatkan JDT masih bersemangat untuk mengharungi perlawanan kedua di tempat sendiri, apatah lagi mereka belum pernah tewas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dalam semua pertandingan musim ini.
Gol tunggal JDT itu pasti mahu dijadikan penyuntik semangat oleh Mario Gomez dan anak-anak buahnya bagi menghadapi separuh akhir kedua pada 20 Oktober ini.
Bagi pengendali JDT itu, beliau menyifatkan bekalan satu gol itu amat penting kepada pasukannya dan mengakui andai tiada gol dibawa pulang dari Kuwait, keadaan akan menjadi lebih sukar untuk skuadnya.
“Jika perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-0 untuk Qadsia, pasti menjadi lebih sukar namun gol yang kami jaringkan akan memberi kami peluang. Secara jujurnya, mungkin lebih baik jika keputusannya 2-1, namun amat sukar dan keputusan itu (semalam) amat penting.
“Dalam perlawanan kedua, kami perlu menjaringkan dua gol namun kami juga akan berharap kepada (sokongan) penyokong untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya, yang dipetik daripada lawan web Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
JDT memiliki rekod yang baik di laman sendiri dalam kempen Piala AFC musim ini dengan menang empat kali dan seri sekali. Satu-satunya keputusan seri yang dicatat adalah ketika bertemu kelab Hong Kong, South China yang berakhir dengan 1-1.
Dalam perlawanan semalam, pertahanan skuad Harimau Selatan menjalankan tugas dengan disiplin untuk menghalang pemain Qadsia daripada membolosi kawalan. Namun kekentalan benteng JDT akhirnya roboh pada minit ke-33 menerusi jaringan Doris Fuakuputu dan Bader Al Motawaa menambah derita pelawat apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakan pasukan itu mendahului 2-0 pada babak pertama.
Seydouba Soumah kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-58 sebelum Amri berjaya membantu JDT membawa bekalan satu gol ke Larkin menerusi jaringan pada minit ke-82.
Sementara itu, jurulatih Qadsia, Rashed Al Bedaih juga sedikit berang apabila mengakui gol Amri telah merencatkan perancangan pasukan bimbingannya.
“Menang dengan keputusan seperti itu di laman sendiri adalah bagus sekali pun kami sebenarnya berusaha mengelak untuk melepaskan gol. Kami mengawal perlawanan dan menjaringkan tiga gol namun kami melepaskan gol daripada satu-satunya peluang mereka.
“Keputusan secara umumnya bagus namun kami tidak sepatutnya tidur dan masih ada perlawanan yang perlu diharungi di Malaysia,” jelasnya.

TMJ terus desak FAM

26 September 2015 11:39 PM
KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sul­tan Ibrahim terus menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya memberi hak penyiaran lebih tinggi kepada setiap pasukan dan kelab dalam Liga Malaysia (Liga-M).
TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu berkata, persatuan negeri dan kelab sepatutnya menerima minimum sebanyak 70 peratus atau 80 peratus daripada hasil penyiaran manakala bakinya diambil oleh FAM.
“Berkenaan hak penyiaran FAM dan jadual perlawanan liga, FAM dilihat masih berdegil. Hak penyiaran semua pasukan yang bertanding masih sedikit dan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Saya tidak faham, dan ingin tahu mengapa FAM perlu menerima sehingga 40 peratus daripada keseluruhan hasil penyiaran yang berjumlah lebih kurang RM30 juta, sedangkan pengurusan liga akan dijalankan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya menerusi laman sosial Facebook Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kenyataan terbaharu Tunku Mahkota Johor (TMJ) ini dilihat sebagai menyokong kekesalan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa semalam, yang mendakwa FAM tidak adil apabila hanya menyerahkan RM600,000 kepada Kelantan sebagai honorarium daripada hasil jualan tiket berjumlah kira-kira RM3 juta untuk perlawanan akhir Piala FA Mei lalu.
Tunku Ismail berkata, jika dibandingkan di negara-negara Eropah, pasukan-pasukan yang bertanding menerima sebanyak 70-80 peratus daripada hasil penyiaran sedangkan pasukan tempatan hanya menerima 30 peratus.
“Saya berharap semua pasukan menggunakan dana daripada hak penyiaran ini dengan baik dan bijak menggunakannya mengikut kemampuan. Jangan berbelanja untuk mendapatkan pemain-pemain import sahaja. Keutamaan perlu diberi kepada pemain tempatan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail juga menyentuh tentang isu panggilan pemain-pemain untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang dianggap tempoh melaporkan diri terlalu awal.
“Di negara-negara Eropah seperti Jerman dan England, pemain akan melaporkan diri ke kem latihan empat atau lima hari sebelum perlawanan tetapi di Malaysia pula pemain perlu melapor diri sehingga dua minggu awal sebelum perlawanan.
“Pemain Malaysia mempunyai purata tempoh latihan yang panjang dan dua kali ganda berbanding pemain Jerman dan England untuk membuat persiapan perlawanan antarabangsa.
“Ini menyebabkan liga terhenti lama dan merosakkan momentum para pemain. Harus diingatkan bahawa pemain sudah cukup cergas dan mereka hanya perlu diasah dari segi taktikal bila di kem latihan kebangsaan.
“Apa yang berlaku sekarang, kita tidak menang tetapi sebaliknya sentiasa tewas. Jadi, lakukanlah seperti dilakukan oleh orang lain,” jelasnya.

AFC CUP : Tiada Figueroa, JDT tagih bisa Safee

29 September 2015 12:21 AM
JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yakin Safee Sali mampu menggalas tugas sebagai penggempur utama pasukan apabila me­reka menentang Qadsia SC dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC ma­lam ini.
Safee Sali
Safee mendapat pe­luang un­tuk membuktikan kehebatannya dalam pertemuan di Stadium Mohammed Al-Hamad Hawally, Kuwait itu setelah penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa menjalani penggantungan dua perlawanan kerana mengutip kad merah dalam perlawanan suku akhir menentang South China di Stadium Mong Kok, Hong Kong pada 15 September lalu.
Gomez percaya Safee mampu mengulangi permainan terbaiknya ketika menjaringkan dua gol sewaktu menentang South China yang sekali gus membantu Harimau Selatan menang dengan agregat 4-2 dan melakar sejarah menjadi pasukan pertama Malaysia layak ke separuh akhir Piala AFC.
“Ketiadaan Figueroa yang digantung dua perlawanan memberi ruang kepada Safee untuk menggalas tugas sebagai penyerang utama. Saya berasakan dia mampu menjalankan tugas yang baik di bahagian serangan dan bersedia untuk menggempur kubu lawan.
“Selain Safee, pemain lain turut mempamerkan semangat yang tinggi menjelang perlawanan menentang Qadsia. Saya yakin JDT mampu mencipta kejutan dan mendapat keputusan yang baik sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Secara keseluruhannya penyerang kebangsaan berusia 31 tahun itu sudah meledakkan empat gol dalam lapan penampilan bersama Harimau Selatan dalam kempen Piala AFC.
Gomez berkata, kudrat Safee amat ditagih untuk meneruskan prestasi cemerlang di peringkat Asia, lebih-lebih lagi turun menentang The Kings, iaitu penyandang juara Piala AFC musim lalu.
“Tidak dinafikan Qadsia merupakan lawan yang sukar dan kami sudah membuat persiapan rapi untuk berdepan juara musim lalu itu.
“Pemain juga sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan cuaca di sini. Saya berharap segalanya berjalan lancar dan pemain mampu menampilkan prestasi terbaik,” katanya.
Perlawanan separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

PIALA MALAYSIA 2015 : ATM berhajat curi mata daripada JDT

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 18 September 2015 12:48 AM
Hairuddin Omar meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu mata daripada perlawanan menentang JDT di Stadium Tunku Abdul Rahman,Seremban esok.
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini boleh kembali menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada kempen Piala Malaysia selepas muncul pasukan pertama negara melangkah ke separuh akhir Piala AFC, dan kemenangan ke atas South China pastinya menyemarakkan lagi semangat mereka untuk menghadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.
Skuad Harimau Selatan me­langkah ke kelompok empat pa­sukan terakhir Piala AFC dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan selesa 3-1 di Hong Kong untuk meneruskan kemaraan berbekalkan agregat 4-2.
Kini mereka sekali lagi akan beraksi di gelanggang lawan apabila melawat Stadium Tuanku Abdul Rahman di Seremban untuk menentang ATM.
JDT akan hadir dengan matlamat memburu kemenangan kedua dalam Kumpulan B, tetapi mereka boleh menjangkakan cabaran sukar daripada The Gladiators, yang berhajat memburu kemenangan sulung selepas tumpas 1-0 kepada Sarawak ming­gu lepas.
Skuad Mario Gomez memulakan langkah pertama mereka dalam Piala Malaysia dengan menewaskan Perak 2-0 manakala ATM kalah tipis 0-1 kepada Sarawak.
Ketua pasukan ATM, Hairuddin Omar mengakui JDT memiliki pemain-pemain bintang dan semangat tinggi hasil kejayaan mereka dalam Piala AFC untuk menjadikan perlawanan itu nanti bukan misi yang mudah untuk dia dan rakan-rakannya, tetapi berharap sekurang-kurangnya dapat mencuri satu mata daripada juara Liga Super itu.
“Kita tahu keupayaan JDT dan mereka turun malam esok dengan motivasi yang tinggi selepas berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC. Kalau berdasarkan rekod semestinya memihak kepada JDT namun persaingan Liga Super dengan merebut piala merupakan pentas berlainan.
“Menentang JDT merupakan cabaran yang besar tetapi saya harap rakan-rakan saya dapat menampilkan permainan terbaik untuk sekurang-kurangnya me­raih satu mata meskipun pemain masih mempunyai masalah gaji dengan pengurusan sebelum ini.
“Bercakap mengenai masalah gaji sebenarnya isu itu masih tidak selesai dan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan mengenai tunggakkan gaji itu tidak tepat. Saya harap beliau dapat maklumat yang tepat daripada pengurusan ATM,” katanya ketika dihubungi semalam.
Perak pula akan menentang Sarawak dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B dengan misi mencari kemenangan sulung manakala Kumpulan C menyaksikan Kelantan berdepan Felda United dan T-Team melayan kunjungan Selangor di Kuala Terengganu.
Juara Liga Perdana, Kedah pula mahu menggunakan nota positif setelah seri 1-1 dengan juara Piala FA, Lions XII di Singapura ming­gu lalu sebagai bekalan sema­ngat apabila melayan Terengganu dalam perlawanan Kumpulan A di Alor Setar hari ini.
Jurulatih Lang Merah, Tan Chang Hoe bagaimanapun me­ngakui skuad Penyu mempunyai barisan pemain yang seimbang di setiap posisi tetapi yakin pa­sukannya akan memiliki kelebihan sokongan peminat apabila beraksi di gelanggang keramat mereka di Stadium Darul Aman, yang telah terbuka merupakan laman sukar untuk lawan mereka musim ini.
Katanya, kejayaan mencuri satu mata di Stadium Jalan Besar adalah permulaan yang baik untuk pasukannya dan semua pemain menampilkan aksi bagus dalam perlawanan tersebut.
“Menentang Terengganu bukan satu perlawanan yang mudah, tambahan pula mereka menunjukkan kebangkitan luar biasa dalam lapan perlawanan terakhir Liga Super, namun saya telah merencanakan strategi untuk mengecewakan pasukan lawan.

JDT pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara

16 September 2015 12:43 AM

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul antara lima kelab terbaik Asia Tenggara, me­nurut ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh web http://www.clubworld­ranking.com.
Pasukan Harimau Selatan itu dalam Facebook rasminya, Johor Southern Tigers berkata, kelab tersebut ber­ada di kedudukan ketiga selepas Buriram United (Thailand) dan Binh Duong dari Vietnam.
Mengikut laman web itu lagi, JDT yang juga juara Liga Super dua musim berturut-turut menduduki tangga ke-892 dunia, manakala Buriram United di kedudukan ke-435 dan Binh Duong ke-676.
Tiada pasukan lain dari Malaysia yang tersenarai dalam ranking yang melibatkan 972 kelab seluruh dunia itu.
1. Buriram United
(Thailand) 435
2. Binh Duong (Vietnam) 676
3. JDT (MALAYSIA) 892
4. Hanoi T&T (Vietnam) 895
5. Bangkok Glass
(Thailand) 896

AFC CUP 2015 : JDT pahat sejarah!

Pasukan Malaysia pertama layak ke separuh akhir
ZAZALI JAMIAN | 16 September 2015 12:45 AM
SAFEE SALI memeluk Mahali Jasuli selepas menjaringkan gol JDT di Stadium Mongkok, Hong Kong, semalam. JDT menang 3-1. Foto AFC
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan mereka dalam liga domestik ke peringkat Asia apabila muncul pasukan pertama dari Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFC dengan menyingkirkan wakil Hong Kong, South China AA, semalam.
Walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, namun Harimau Selatan masih mampu mencatat kemenangan bergaya 3-1 di Stadium Mongkok.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Mario Gomez mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-2 selepas seri 1-1 dalam suku akhir pertama di Larkin.
Dua jaringan Safee Sali dan satu menerusi Mahali Jasuli membolehkan JDT mengatasi pencapaian Kelantan, yang sekadar beraksi di suku akhir pada 2012.
JDT sebelum itu terpaksa mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan 10 pemain selepas Luciano Figueroa dilayangkan kad merah pada minit ke-35.
Mahali memberi amaran awal kepada South China apabila membuka jaringan pada ke-26 menerusi rembatan kencang.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-28 hasil jaringan Mahama Awal.
Gol penyamaan tersebut langsung tidak menjejaskan rentak permainan pantas JDT, sebaliknya mereka terus melancarkan serangan dan akhirnya kembali di depan menerusi jaringan Safee pada minit ke-30.
Ketiadaan Figueroa yang diarahkan keluar padang dapat diatasi dengan baik oleh 10 pemain JDT apabila Safee sekali lagi berjaya meledak gol ketiga buat pasukannya pada minit ke-45.
Bermula babak kedua, tuan rumah menggandakan usaha untuk mendapatkan jaringan, namun gagal meraih sebarang gol biarpun menentang lawan yang kekurangan seorang pemain.
Pada minit ke-88, South China berpeluang menambah gol kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain gantian, Liang Zicheng dijatuhkan lawan.
Namun tendangan yang diambil ketua pasukan, Bojan Malisic melewati palang gol.
Kedudukan 1-3 kekal hingga tamat permainan dan juara Liga Super, JDT memahat sejarah baharu bola sepak negara.