Titik penghujung benua Asia

KAWASAN di sekitar Tanjung Piai dan Kukup juga popular sebagai pusat penternakan ikan air masin dan pengusaha kelong.
TANJUNG Piai yang terletak di daerah Pontian, Johor bukan satu nama yang asing dalam menu pelancongan negara bahkan telah lama dikenali pelancong luar negara.
Jika Rusia terkenal dengan Tanjung Chelyuskin sebagai titik paling utara benua Asia, negara kita mempunyai Tanjung Piai sebagai tanah penghujung benua Asia di sebelah selatan.
Keunikan lokasi yang tidak terdapat di mana-mana tempat itu menjadikannya antara lokasi ‘wajib sampai’ bagi mereka yang gemar mengembara.
Pengalaman kru S2 menjejakkan kaki di penghujung tanah benua terbesar di dunia itu baru-baru ini turut memberi kepuasan yang sama.
Berdiri di depan arca glob yang tertera perkataan “Tahniah! Anda Kini Berada di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia” sepintas lalu memberi gambaran betapa istimewanya Tanjung Piai.
Selain memiliki rekod geografi yang diiktiraf dunia, Tanjung Piai sebenarnya menjanjikan banyak pengalaman unik bagi mereka menjejakkan kaki di situ.
Jeti di penghujung benua Asia misalnya merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang membolehkan dua negara iaitu Singapura dan Indonesia dilihat pada satu masa.
Dalam keadaan cuaca yang baik, Pulau Karimun, Indonesia boleh dilihat dengan jelas di sebelah kanan manakala pelabuhan Singapura pula berada di sebelah kiri.
Selain itu kawasan Tanjung Piai yang mengunjur ke laut turut menyajikan keindahan pemandangan matahari terbit dan terbenam.
Aset terbesar pelancongan di situ tidak lain tidak bukan adalah Taman Negara Tanjung Piai yang merangkumi kawasan seluas 947 hektar.
Mula dibuka kepada umum pada 2002, kawasan hutan paya laut itu kemudian diwartakan sebagai taman negara pada 26 Februari 2004 dan terus menjadi tumpuan selepas diisytiharkan sebagai salah satu daripada enam tapak Ramsar di negara ini.
Ramsar bermaksud senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971.



























ARCA Penghujung Benua Asia di pintu masuk pejabat Taman Negara Tanjung Piai.

Ketibaan kru S2 di Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini disambut oleh Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Khalid Zahrom di kompleks pelawat yang menempatkan pejabat taman negara, galeri dan kemudahan asas seperti surau dan tandas.
Selepas sesi penerangan mengenai kawasan taman negara, kandungan ekosistem dan kitaran hidup hutan paya laut, penulis dibawa melalui pelantar kayu yang dibina merentasi hutan bakau di situ.
Khalid berkata, selain menjadi benteng hakisan, kawasan hutan bakau tersebut menjadi habitat kepada pelbagai jenis unggas, kera dan hidupan paya laut seperti ketam nipah, kepah dan ikan tembakul.
Beliau berkata, hutan bakau Tanjung Piai juga menjadi tempat persinggahan burung-burung yang berhijrah pada setiap tahun.
Selain itu katanya, kawasan taman negara itu mempunyai satu lagi keistimewaan yang jarang dapat dilihat iaitu fenomena air pasang besar yang berlaku hanya beberapa kali setahun.
“Antara bulan Disember hingga Januari, pekarangan pejabat taman negara di sini akan bertukar menjadi ‘taman tema air’ kerana limpahan air laut.
“Fenomena ini tidak merbahaya kerana air hanya naik sehingga paras buku lali. Bagi pelawat yang datang dengan keluarga, fenomena itu dianggap sebagai satu tarikan,” katanya.
Khalid memberitahu, walaupun Tanjung Piai mengalami masalah hakisan dan pencemaran yang semakin meruncing, namun jumlah kedatangan pelancong masih mencatatkan peningkatan setiap tahun.
Katanya, jumlah pelawat pada tahun lalu direkodkan sebanyak 73,000 orang.
Sementara itu, kunjungan ke Pontian boleh dikatakan tidak lengkap tanpa meneroka keistimewaan lain yang boleh ditemui di sekitar Pontian dan Kukup.
Dari Tanjung Piai Resort yang merupakan tempat penginapan paling hampir dengan taman negara, pelawat boleh memandu kira-kira 10 kilometer untuk menikmati keenakan makanan laut di sekitar pekan Kukup.
Antara tempat makan lain yang popular adalah mi udang di Sungai Rambah dan bakso di Kampung Serkat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140222/lk_01/Titik-penghujung-benua-Asia#ixzz2uCWPj4sq  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Legoland Malaysia dibuka 15 September ini

UTUSAN MALAYSIA
30/7/2012

SEORANG pekerja menyiapkan miniatur stesen kereta api Kuala Lumpur yang diperbuat daripada Lego di Legoland Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Julai – Legoland Malaysia, taman tema baru yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor Bahru bakal dibuka kepada orang ramai pada 15 September ini.
Ketua Pegawai pembangunan Theme Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Muhammad Zainal Ashikin berkata, taman tema itu telah 98 peratus siap dengan sebahagian besar infrastruktur dan permainan sudah pun dipasang.
“Kami kini di dalam proses untuk meletakkan sentuhan terakhir dengan pengujian permainan, pemasangan 15,000 model-model Lego menggunakan 50 juta kepingan Lego dan proses terakhir pengindahan taman mengikut tema,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Legoland Malaysia adalah taman tema pertama seumpamanya di rantau ini, diuruskan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi Bahagian Rekreasi dan Pelancongan.
Taman tema Legoland itu adalah keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
Legoland Malaysia itu turut dibangunkan bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, pusat gaya hidup Iskandar Malaysia.
Muhammad Zainal berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah sejuta pelancong pada tahun pertama operasi Legoland Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini hampir 63,000 pas tahunan dan pas harian telah dijual kepada orang ramai sejak ia dilancarkan lewat tahun 2011.
Mengulas mengenai perkembangan projek-projek lain di sekitar Legoland, Muhammad Zainal menambah, pihaknya juga merancang pelbagai pembangunan lain seperti taman tema air dan Hotel Legoland pada 2014.

Sukan air bendang meriah

Oleh AZMAN MD NOOR
utusankedah@utusan.com.my

PESERTA menyelongkar selut untuk menangkap ikan keli pada acara Sukan Air Dalam Bendang, Kampung Baru Bakai, Baling, baru-baru ini. – utusan/Azman Md. Noor

BALING 7 Nov. – Lebih 1,000 penduduk menyaksikan Sukan Air Dalam Bendang yang pertama kali diadakan sehingga mampu mengukirkan pengalaman berharga buat peserta dan para penonton.

Lebih terhibur apabila air bendang dengan selut menyaluti setiap peserta menjadikan setiap acara yang disertai mereka lebih menarik.

Lima acara dipertandingkan dalam sukan air yang diadakan di Kampung Baru Bakai di sini baru-baru ini. Sukan berkenaan dianjurkan oleh UMNO Bahagian Baling, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil dan Jasa Parlimen Baling.

Sukan air yang dirancang sempena Program Juara Rakyat daerah itu diyakini mampu mengembangkan minda dan pengetahuan anak-anak muda dalam mengetengahkan potensi alam iaitu kawasan bendang sebagai lokasi sukan.

Acara-acara yang diadakan ialah tangkap ikan keli, tangkap itik, tarik tali, bola baling dan memancing ikan keli dengan menggunakan batang kail buatan sendiri.

Pelbagai aksi dan gaya peserta sudah cukup menghiburkan penonton yang berdiri di sekeliling bendang tersebut.

Setiausaha penganjur, Suharto Tijo berkata, sukan air dalam bendang yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk mengeratkan hubungan penduduk di samping memanfaatkan bendang sebagai lokasi sukan yang menyihatkan badan serta menyeronokkan.

Justeru, katanya, pihaknya berpuas hari apabila sukan itu berjaya menarik ramai peserta serta mencungkil bakat mereka dalam sukan air khususnya dalam bendang.

“Bukan mudah untuk beraksi dalam selut dan air lumpur seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdullah yang hadir turut menyertai beberapa acara bagi mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Acara begini perlu diteruskan lagi pada masa depan kerana ia cukup menarik dan mendapat perhatian ramai,” katanya.

Tambahnya, penggunaan bendang sebagai medan menunjuk bakat juga boleh menggalakkan anak-anak muda cintakan bendang yang dulu menjadi tempat utama masyarakat dari segi pulangan ekonomi dan kita boleh pelbagaikan kegiatan itu.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan diterima bukan sahaja peserta, malah juga daripada penonton, membangkitkan semangat pihaknya untuk mengadakan lagi acara pelik seperti itu pada masa depan.

Uji kesabaran, timbang rasa peserta

SEBAHAGIAN remaja yang menyertai perlawanan bola baling pada acara Sukan Air Dalam Bendang di Baling,

BALING 7 Nov. – Jom kita main selut sambil tangkap ikan dan itik!

Begitulah antara kata-kata yang disuarakan oleh seorang anak muda di Kampung Baru Bakai di sini baru-baru ini.

Kata-kata itu ternyata menggalakkan beberapa anak muda dan belia lain untuk turut sama pergi ke program Juara Rakyat yang dinamakan Sukan Air Dalam Bendang dan tentunya cabaran pelawaan ini tidak disia-siakan langsung oleh penduduk lain.

Program yang pertama kali diadakan itu memberi makna mendalam kepada generasi baharu yang selama ini tidak mengetahui betapa laman bendang yang menjadi sebahagian ekonomi masyarakat luar bandar rupa-rupanya boleh bertukar menjadi pentas menarik untuk disaksikan bersama.

Seorang peserta, Badrul Hisham Ahmad, 35, berkata, buat pertama kalinya Sukan Air Dalam Bendang itu mampu menarik ramai peserta dan penonton kerana tertarik dengan acara yang dianjurkan.

“Memang sungguh menarik apalagi sukannya mencabar dari segi fizikal dan mental peserta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Badrul Hisham yang teruja dengan sukan itu berkata, cabaran paling penting sukan air ini iaitu memerlukan semua peserta saling bertimbang rasa untuk mencapai kejayaan.

Zainab Ibrahim, 43, berkata, sukan itu benar-benar menguji tahap kesabaran yang perlu ada pada setiap peserta agar tidak mudah mengalah atau gelojoh.

Menurutnya, dengan keadaan keseluruhan kaki terbenam di dalam selut, tenaga yang banyak diperlukan dan ini menguji kebolehan dan kesabaran.

Seorang peserta, Salwani Abdul Wahab, 19, juga teruja dengan sukan itu kerana boleh mempelajari pengalaman mengerjakan bendang.

“Paling tidak saya boleh berada dalam selut bendang merasai pengalaman menarik ini, memang menyeronokkan,” ujarnya yang turut berjaya menangkap seekor itik.

Bagi Abdul Razak Ahmad, 38, sukan itu mampu mengetengahkan bendang bukan sahaja sebagai medan menanam padi, malah boleh menjadi pentas sukan dalam mendekatkan persaudaraan antara semua peserta.

Katanya, sukan sebegini boleh menggalakkan persaudaraan sesama peserta dan meningkatkan kesedaran kepada generasi muda bahawa bendang juga menjadi tempat terbaik menyatukan semua masyarakat.

Beriadah sambil imbau sejarah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Taman Merdeka memiliki keluasan 12 hektar merupakan lokasi paling ideal untuk orang ramai menghabiskan masa pada hujung minggu bersama keluarga.

JOHOR BAHRU 7 Ogos – Taman Merdeka merupakan antara destinasi terbaik untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga kerana ia bukan sahaja lokasi untuk beriadah, malah sesuai untuk mengimbau sejarah kemerdekaan negara.

Terletak berhampiran Jalan Tasik Utara, bersebelahan dengan Padang Golf Tasik Utara dan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), ia merupakan tempat terbaik untuk merehatkan minda di samping beriadah pada hujung minggu.

Taman ini memiliki sembilan laman yang dibina khusus menggambarkan perkembangan sejarah kemerdekaan di negara ini iaitu Laman Peringatan Kesultanan Melayu Johor (Laman Melayu), Laman Peringatan Sultan Abu Bakar dan Laman Peringatan Penjajahan Jepun.

Selain itu, ia turut mengandungi Laman Peringatan Penentangan Komunis, Laman Peringatan Kedaulatan Raja-raja Melayu, Laman Peringatan Semarak Kemerdekaan, Laman Malaysia, Padang Merdeka dan Promenade Perarakan Kemerdekaan.

Dibina di kawasan seluas 12 hektar, pembinaan Taman Merdeka adalah menjurus kepada semangat patriotik dan perjuangan kemerdekaan pada zaman dahulu.

Komponen utama pembangunannya terdiri dari Laman Melayu yang merangkumi Pusat Maklumat serta Jeti Penambang digunakan pada zaman dahulu yang dibina di atas tanah berkeluasan 2.7 hektar.

Laman Peringatan Penentangan Komunis dilengkapi sistem bunyi dan batu bermaklumat bagi membolehkan orang ramai mengetahui sejarah penjajahan komunis.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Mohd. Jaffar Awang berkata, tema pembangunan yang digunakan untuk membangunkan Laman Melayu adalah alam bina dan landskap bercirikan zaman kesultanan Melayu.

“Pembangunan di sini lebih menjurus kepada kombinasi ciri pembangunan klasik dan moden, tetapi lebih menjurus kepada kontemporari moden yang ringkas dan pada masa sama mengekalkan ciri-ciri Melayu klasik,” katanya.

Beliau berkata, Laman Peringatan Sultan Abu Bakar pula dibangunkan dengan konsep budaya Inggeris sebagai usaha menterjemahkan kemasukan budaya itu di negara ini suatu ketika dahulu.

Tiga jenis taman dibina di laman itu dan ia dibahagikan kepada tiga aras berbeza iaitu taman bunga, taman dipenuhi pokok jenis Topiary dan laman rumput jenis meadow yang luas bersesuaian dengan konsep kehidupan Barat.

“Laman ini turut dilengkapi dengan kios dan wakaf bercirikan Inggeris sebagai pelengkap kepada konsep yang dikhususkan kepada laman tersebut,” jelasnya.

LAMAN Peringatan Merdeka turut dilengkapi arca-arca bermaklumat yang melambangkan kepada kesepakatan masyarakat di negara ini.

 

Laman Peringatan Penjajahan Jepun pula dibina bagi menterjemahkan suasana tekanan rakyat pada era pendudukan askar negara Matahari Terbit itu di negara ini.

Binaan kubu yang diwujudkan secara spontan dari Laman Sultan Abu Bakar mengunjur ke laman itu sebagai lambang kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu secara mendadak pada zaman dahulu.

“Laluan-laluan sukar yang diwujudkan di situ juga merupakan pemangkin bagi menggambarkan suasana sebenar kehidupan yang susah dan perit semasa penjajahan Jepun di negara ini,” kata Mohd. Jaffar.

Laman keempat yang terdapat di fasa pertama itu adalah Laman Promenade Perarakan Merdeka atau laman perjuangan kemerdekaan yang menceritakan tentang perjalanan penduduk negara ini untuk mencapai kemerdekaan.

Laluan pejalan kaki, gazebo yang bercirikan senibina Melayu seperti yang terdapat di Laman Melayu serta panel-panel grotto atau tembok di dalam tasik menceritakan tentang sejarah Tanah Melayu dan proses yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Selain itu, terdapat beberapa lagi ciri tambahan yang disediakan kepada para pengunjung untuk fasa pertama di Taman Merdeka itu, antaranya Pondok Stesen Buggy, Tandas Taman Inggeris dan Restoran Taman Jepun.

Tarikan pantai digilap semula

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


CAHAYA matahari yang mula meninggi dirasakan seperti mencucuk-cucuk ke kulit, namun seorang lelaki dilihat sedang tekun melakukan tugasnya.

Tangannya pantas mengutip pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang tersangkut pada pukat rentang miliknya itu.

Dia tersenyum puas. Ternyata penat-lelahnya berbaloi, ketiga-tiga pukat rentang yang dipasangnya sejak malam sebelumnya di pesisiran Pantai Morib itu mengena.

Baldi yang sarat dengan hasil tangkapannya itu kemudian dibawa ke khemahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Bagi Johan Subhi, 42, dia tidak pernah jemu ke Pantai Morib. Sejak berjinak-jinak dalam aktiviti memukat itu awal tahun lalu, boleh dikatakan sebulan sekali atau dua minggu sekali dia akan berkunjung ke destinasi perkhelahan yang popular di selatan Selangor itu.

Lagipun, dia tidak bersendirian lantaran isteri dan tiga orang anaknya turut menjadi peneman setia. Jika dulu kehadiran mereka sekadar untuk bersiar-siar atau berkelah di tepi pantai, kini dia mempunyai hobi baharu untuk mengisi masa lapangnya pada hujung minggu.

“Lazimnya, kunjungan saya ke sini tidak pernah menghampakan. Adakalanya saya mampu membawa pulang hasil tangkapan pukat seberat 20 kilogram.

“Selain menjadi hidangan kami sekeluarga atau disedekahkan kepada jiran tetangga, ada juga permintaan dalam kalangan pengunjung yang mahu membelinya,” katanya yang berasal dari Batu 4, Kapar, Klang.

Johan memberitahu, kawasan pantai itu amat sesuai untuk aktiviti memukat kerana mempunyai pantai yang landai iaitu mempunyai jarak di antara tebing dengan anak air yang jauh ke laut ketika air surut.

“Tidak hairanlah kawasan sekitarnya popular dengan mereka yang datang memukat, menjala, memancing atau sekadar mencari kepah atau siput di tepi pantai.

AKTIVITI berkhemah di tepi pantai menjadi acara wajib bagi ramai pengunjung pada hujung minggu.

“Suasana di sini cukup menenangkan. Menikmati deruan ombak segar atau sekadar melihat kerlipan bintang pada waktu malam sudah cukup mendamaikan jiwa. Hilang segala tekanan di tempat kerja,” katanya.

Panorama Selat Melaka

Terletak di daerah Kuala Langat kira-kira 10 kilometer dari pekan Banting, Morib bukanlah nama yang asing dalam kalendar pelancongan negeri.

Berlatarbelakangkan panorama Selat Melaka, keindahan pantainya sentiasa menggamit pengunjung khususnya warga kota.

Jika daerah Kuala Langat terkenal kerana tinggalan sejarah Kesultanan Selangor, Morib juga tidak kurang hebatnya.

Kawasan pantainya pernah menjadi kawasan pendaratan pasukan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British dalam usaha mempertahankan Malaya daripada serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu.

Sepanjang ia dibuka sebagai lokasi riadah pantai, pelbagai isu dibangkitkan orang ramai termasuk soal kebersihan dan juga persaingan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Morib pernah melalui fasa malap.

Namun, usaha Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongannya sejak setahun lalu telah berjaya mengembalikan keceriaan Morib.

Seorang peniaga layang-layang, Mohd. Azman Dali, 30, berkata, kawasan sekitar Pantai Morib itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, gerai, surau, pondok, tempat meletak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak.

Pada masa yang sama katanya, kawasan sekitarnya juga turut diceriakan dengan landskap indah termasuk pembinaan pelbagai arca dan monumen yang menarik.

KETENANGAN suasana di Pantai Kelanang yang terletak berdekatan dengan Pantai Morib.

“Dahulu memang tidak dapat dinafikan keadaannya pantai ini agak tidak terurus, kotor dan dipenuhi sampah-sarap serta gerai-gerai usang

“Sekarang lihatlah, semuanya telah berubah. Kawasan gerai baru yang dibina bukan sahaja luas malah selesa bagi peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke sini,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak berusia belasan tahun.

Anak jati Banting itu menjelaskan, pengunjung ke Pantai Morib boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bermandi-manda, menangkap ikan, bermain-layang atau sekadar bersantai di kerusi rehat yang disediakan.

Tambahnya, kehadiran semula pengunjung ke kawasan pantai itu memberi isyarat jelas ia bakal mengulangi kegemilangan seperti yang pernah dikecapi sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an dahulu.

“Selain Pantai Morib, pengunjung juga boleh mengunjungi Pantai Kelanang yang juga tidak kurang menariknya dan menjanjikan kepuasan seperti juga pantai-pantai lain di negara ini,” ujarnya.

Pantai Kelanang yang terletak berdekatan Pantai Morib bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya, malah tinggalan sejarah seperti sejarah Kesultanan Selangor.

Pantai-pantai yang di bawah perhatian Majlis Daerah Kuala Langat itu turut mengajak pengunjungnya melawat beberapa tarikan lain seperti Bukit Jugra, Bukit Melawati, makam Sultan Abdul Samad, Masjid Alauddin dan Istana Bandar.

Ikan bakar

Jika perut berasa lapar, terdapat pelbagai gerai dan restoran yang menyediakan pelbagai hidangan yang menepati selera pengunjung.

Salah satu gerai yang boleh dicuba jika berkunjung ke Pantai Morib ialah gerai King Ikan Bakar yang diusahakan Raja Sulaiman Raja Shah, 51, yang menawarkan pelbagai hidangan menyelerakan seperti ikan bakar, sate, otak-otak, kepak ayam panggang dan sata.

MEDAN selera baharu yang lebih selesa, teratur dan menarik menjadi tumpuan pengunjung ke Pantai Morib.

Raja Sulaiman berkata, keistimewaan ikan bakar tiga rasa yang diadun dengan rempah ratus menjadi pilihan ramai pelanggannya.

“Terdapat beberapa pilihan ikan yang ditawarkan iaitu dari jenis kerapu, kelah dan jenahak,” katanya yang turut menghidangkan kerang bakar bersama nasi dan air asam.

Walaupun lokasi gerai terbukanya itu masih baharu, Raja Sulaiman gembira dengan sambutan yang diterimanya.

“Selain menjamu selera, pengunjung berpeluang menikmati panorama indah di sekelilingnya sekali gus memberi nilai tambah kepada peniaga-peniaga di kawasan ini,” ujarnya.

Penginapan

Rencana bermalam di Morib juga suatu yang digemari golongan tertentu. Bagi mereka yang gemarkan adventur, terdapat tapak-tapak perkhemahan yang boleh disewa berhampiran pantai untuk aktiviti berkumpulan dan keluarga.

Sementara itu, bagi yang inginkan keselesaan dan suasana privasi boleh memilih untuk menginap di Hotel Impian Morib yang terletak berhampiran.

Menawarkan penginapan bertaraf tiga bintang, resort yang beroperasi sekitar 2005 itu menawarkan sejumlah 90 unit bilik dari jenis superior, deluxe dan calet pada harga bermula dari RM160 hingga RM250 semalam.

Pengurus Residennya, Dzulquarnine Ahmad berkata, setiap bilik mempunyai kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, pembancuh kopi, alat pemanas dan peti ais.

Katanya, resort itu juga turut dilengkapi kolam renang, bilik mesyuarat dan seminar, restoran, padang golf (Sri Morib Golf Club) dan gimnasium.

Taman rekreasi hijau di tengah kota

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my


TAMAN Tasik Perdana yang berusia 122 tahun dan terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur kini diberi nafas baru. Selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, ia dikenali sebagai Taman Botani Perdana.

Tidak lagi menjadikan tasik sebagai identiti taman itu, pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab menguruskannya telah menghiasi taman berkenaan dengan pelbagai spesies flora sekali gus menjadikan ia taman botani bertaraf dunia.

Taman yang telah wujud sejak tahun 1888 itu telah selesai menjalani fasa pengubahsuaian pertama awal tahun ini sekali gus menawarkan suasana baharu buat penduduk di sekitar Kuala Lumpur untuk beriadah dan bersiar-siar.

Suasana taman yang mendamaikan termasuk beberapa lokasi menarik yang dinaik taraf di sekitarnya dilihat mampu menggandakan kehadiran pengunjung.

Taman Botani Perdana yang seluas 101.12 hektar itu merupakan salah satu di antara 14 buah taman rekreasi awam paling aktif di sekitar Kuala Lumpur.

Antara taman lain yang terdapat di Kuala Lumpur ialah Tasik Titiwangsa, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Tasik Metropolitan Kepong, Rimba Kiara, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.

Bukan sekadar lawatan ke taman yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan subur, di sekeliling taman itu terdapat beberapa lagi tarikan menarik untuk dikunjungi. Ternyata, tempoh satu hari bagaikan tidak cukup untuk menghabiskan pusingan ke semua lokasi itu.

Antara tempat yang boleh dituju di kawasan berdekatan adalah Pustaka Perkhidmatan Awam Malaysia, Taman Rama-Rama, Taman Bunga Raya, Taman Orkid, Taman Herba dan Konservatori, Taman Rusa dan Kancil, Memorial Tun Abdul Razak, Planetarium Negara, Muzium Polis dan Muzium Kesenian Islam.

Selepas dirasmikan dengan nama Taman Botani Perdana, ternyata sambutan yang diterima daripada orang ramai amat positif. Rata-rata pengunjung yang ditemui menghargai suasana taman riadah dan rekreasi tersebut.

RUSA-RUSA ini pasti mencuit hati pengunjung lantaran ia jinak dan manja.

Selain landskap taman flora yang menyejukkan pandangan mata, ia turut mengambil kira kemudahan tambahan buat para pengunjung. Penyediaan surau, tandas, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, bangku duduk dan peralatan senaman individu amat tepat dengan konsep taman awam bertaraf tinggi.

Seorang pengunjung, Nor Azura Hashim, 30, berkata, setiap minggu dia dan suami akan datang ke taman itu bersama dua orang anak mereka untuk bersiar-siar.

“Persekitaran taman ini sangat menarik. Ia memang sesuai dijadikan destinasi riadah untuk keluarga. Cuma buat masa ini, beberapa taman kecil masih dalam proses dinaik taraf.

“Ekoran itu kita dapat lihat kerja-kerja pembinaan dan baik pulih sedang giat dilakukan kontraktor binaan di beberapa kawasan sekitar taman di sini,” katanya.

Tambah Nor Azura, beberapa taman seperti Taman Bunga Raya, Taman Herba dan Taman Rusa perlu diberi perhatian yang lebih oleh pihak pengurusan agar kemudahan serta penampilannya lebih terjaga.

Tarikan rama-rama

Lokasi menarik lain untuk dikunjungi di Taman Botani Perdana ialah Taman Rama-Rama Kuala Lumpur yang menempatkan kira-kira 5,000 ekor rama-rama selain beberapa spesies haiwan eksotik lain.

Terletak di Jalan Cenderasari, kawasan seluas 0.8 hektar itu menjadi tarikan ribuan pengunjung yang mahu mendekati kitaran hidup serangga itu dan beberapa jenis haiwan lain.

Dengan bayaran RM9 bagi dewasa, RM4 untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun dan RM26 bagi pakej keluarga (dua dewasa dan tiga kanak-kanak), pengunjung boleh meluangkan masa lebih satu jam untuk bersiar-siar di dalam taman itu.

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Roslyn Gina, 42, antara spesies rama-rama paling popular dan terancam yang menghuni taman itu termasuklah Indian Leaf (Kallima Paralekta), Great Moment dan Rajah Brooke.

“Terdapat 120 jenis rama-rama di dalam taman ini. Selain itu, taman ini juga mempunyai 10 jenis kura-kura, 16 jenis kumbang, dua jenis katak dan pelbagai spesies ikan untuk tontonan pengunjung selain rama-rama,” terangnya.

Tambah Roslyn, taman tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelawat kanak-kanak. Spesies rama-rama dan serangga boleh didekati melalui pameran dan bahan maklumat yang bersifat akademik.

Meskipun taman itu sudah berusia 17 tahun, kunjungan pelancong yang tidak putus-putus ke situ membuktikan destinasi percutian tersebut masih bertahan dalam diari percutian negara.

Roslyn melihat ‘telatah’ kura-kura yang banyak di salah sebuah kolam di Taman Rama-Rama.

Horizon juga berkesempatan bertemu Penolong Pegawai Pertanian, Taman Botani Perdana, Suhaila Mohd. Sani yang bertanggungjawab menguruskan Taman Herba dan Konservatori, Taman Bunga Raya, Taman Orkid dan Taman Rusa dan Kancil.

“Taman Herba dan Konservatori masing-masing seluas 0.3 hektar. Sementara Taman Herba menempatkan kira-kira 100 jenis pokok herba, Taman Konservatori pula mempunyai 30 kategori pokok yang setiap satunya ditanam sebanyak 20 batang,” katanya.

Para penggemar haiwan tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengisi masa dengan membelai, bergambar dan memberi makan hidupan dan ternakan jinak itu dengan tangan.

Taman Rusa dan Kancil yang dibuka pada 2 September 1987 kini menjadi habitat untuk 56 ekor rusa, 11 ekor kambing, 15 ekor kancil, 25 ekor itik, lima ekor ayam dan enam ekor angsa.

“Di sini terdapat dua jenis rusa yang terdiri daripada baka Holland dan Morses (tempatan) serta baka kacukan kedua-duanya,” kata petugas taman, Abdul Patah Zainul, 54.

Bunga kebangsaan

Suhaila turut memberitahu bahawa Taman Bunga Raya yang dirasmikan oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada tahun 1990 menawarkan pelbagai spesies bunga raya di atas tanah seluas 0.9 hektar.

Terdapat lebih 200 jenis kacukan bunga raya pelbagai warna dan corak hidup subur di sepanjang lorong siar kaki dan permukaan teres yang menghiasi landskap taman tersebut.

Selain itu, Taman Orkid yang terletak di Jalan Cenderawasih menambat pesona pengunjung dengan dua kategori orkid iaitu dari spesies pokok asal dan kacukan.

Bagaikan taburan perca berwarna-warni, terdapat lebih 1,000 jenis bunga orkid dapat dilihat menyerikan taman itu.

Setelah puas berjalan di taman itu, pengunjung disyorkan untuk singgah ke Bazar Orkid yang terletak di tengah-tengah taman itu kerana pelbagai spesies bunga orkid dijual pada harga yang murah.

Sepasu bunga orkid dijual pada harga antara RM5 dan RM200, bergantung kepada saiz dan jenis bunga orkid tersebut.

Pelengkap percutian di Lost World

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my
HOTEL Lost World yang dibuka April lalu menjanjikan penginapan menyeronokkan buat para pengunjung taman tema The Lost World of Tambun, Ipoh.

BAGI yang gemarkan aktiviti air, destinasi yang wajib dikunjungi sekiranya berkunjung ke bandar raya Ipoh adalah resort taman tema air, The Lost World of Tambun.

Taman yang dibuka pada November 2004 itu bukan sahaja memberi keseronokan kepada pengunjung malah ‘melarikan’ seketika pengunjung daripada hiruk pikuk kesibukan kota.

Di taman tema ini, pengunjung berpeluang mandi-manda di pantai buatan dan kolam air panas semula jadi serta berhibur dengan pelbagai jenis permainan seperti Perak Parade, Dragon Slight, Adventure Ahoy dan Buccaneer Boats.

Selain itu, menyaksikan binatang liar seperti harimau spesies Bengal dan Siberia di Tiger Valley serta melihat sendiri haiwan ini diberi makan dan berinteraksi dengan penjaganya.

Justeru, bagi mereka yang mahu mengabadikan percutian di taman tema ini dan dalam masa yang sama tercari-cari penginapan yang sesuai, Lost World Hotel sedia menanti kunjungan anda.

Hotel berkonsepkan moden dan kontemporari itu merupakan lokasi ideal. Harga ditawarkan agak berpatutan dan sesuai bagi mereka yang mementingkan bajet tetapi tidak berkompromi dengan keselesaan yang ditawarkan.

Hotel yang dibuka pada 28 April 2011 itu menyediakan 134 bilik dan 20 pangsa puri di dua blok berasingan.

Menyediakan empat jenis bilik dengan harga permulaan RM190 hingga RM620, pengunjung pasti berpuas hati dengan dekorasi dan pemandangan menghijau.

Setiap kadar sewa di hotel ini disertakan sarapan pagi dan tiket masuk ke Lost World Hot Spring dan spa yang dibuka malam.

Antara bilik yang boleh dipilih adalah Exotic Room, Classical Room, Deluxe Suite dan Premier Suite yang setiap satu menawarkan keistimewaannya tersendiri.

Bagi yang gemarkan suasana ‘sunyi’, sudah pasti Premier Suite menjadi pilihan. Berada bersendirian di ‘sayap’ hujung bangunan tersebut, ia pasti menjanjikan keselesaan.

Menjengah ke dalam ruang bilik, ia cukup menenangkan. Susun atur perabotnya ringkas, namun kemas di setiap penjuru. Tingkap besar di tepi bilik memberi lebih ruang pencahayaan.

Setiap bilik turut dilengkapi kemudahan asas bagi keselesaan pengunjung seperti penghawa dingin, televisyen, kerusi dan sofa.

Menurut Pengurus Besarnya, Calvin Ho, hotel tersebut dibina bagi memberi keselesaan dan memudahkan para pengunjung yang datang ke taman tema tersebut.

Katanya, jika sebelum ini pengunjung yang datang perlu mencari penginapan yang jauh dari taman tema tersebut, kini segala-galanya lebih mudah apabila mereka hanya perlu berjalan kaki untuk ke hotel penginapan tersebut.

Selain itu, beliau menjelaskan, bagi penggemar eko pelancongan pula, ia merupakan tempat yang bersesuaian kerana menawarkan pelbagai aktiviti seperti meneroka hutan, kawasan batu kapur dan gua.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan bilik, boleh terus menghubungi Lost World Hotel di talian 05-5408888 atau e-mel di lostworldhotel@sunway.com.my.

Urusan daftar masuk dan keluar boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana ia beroperasi 24 jam sehari.