Telefon pintar setara komputer

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad @utusan.com.my
ATRIx, lebih nipis ,bergaya serta memiliki kepelbagaian aplikasi.

MOTOROLA baru-baru ini mempemperkenalkan telefon pintar generasi baru keluarannya, ATRIX, sejajar dengan hasratnya ingin bersaing dalam pasaran telefon bimbit terkini.

ATRIX yang dijana dengan kuasa sistem pemproses Android berfungsi seolah-olah sebuah komputer kecil yang boleh dimuatkan dalam poket anda.

Dengan aplikasinya yang setara dengan sebuah komputer, pastinya ATRIX mampu membawa penggunanya ke arah penggunaan telefon bimbit dengan cara yang lebih versatil, mudah serta pantas.

Malah, ATRIX juga berjaya menggondol anugerah Telefon Pintar Terbaik di Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2011 di Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menggunakan platform Android 2.2, ia mampu mengoperasikan aplikasi penuh Mozilla Firefox 3.6 dan menyokong aplikasi Adobe Flash Player untuk memaparkan video, grafik dan animasi yang terdapat didalam web tersebut.

Sistem operasi Android 2.2 yang digunakan juga membolehkan anda melayari lebih 200,000 aplikasi di Android Market melalui ATRIX.

Menurut Ketua Pengarah Pemasaran Asia Tenggara, Robert Van Tillburg, ATRIX merupakan satu revolusi dalam penggunaan komputer dan telefon pintar.

“Pengguna telefon pintar di Malaysia dilihat semakin meningkat dan menjadikan gajet tersebut sebagai hub utama dalam setiap kegiatan digital mereka.

“ATRIX memudahkan serta meningkatkan kebolehan penggunanya untuk terus berada di talian sama biarpun mereka berada di tempat kerja, rumah mahu pun dalam perjalanan ke mana-mana,” ujarnya.

Sebagai sebuah hub aktiviti digital yang utama kepada penggunanya, ATRIX dibantu oleh aplikasi Motorola Webtob.

Aplikasi Webtob membolehkan pemilik ATRIX melayari Windows dan membuka mana-mana laman web kegemaran menerusi Firefox, mengedit dokumen, menghantar khidmat pesanan ringkas serta membuat panggilan serentak pada masa yang sama.

Selain itu, ATRIX turut menawarkan aksesori tambahan iaitu Motorola HD Multimedia Dock dan Motorola Lapdock bersama skrin yang lebih luas, paparan papan kekunci dan pad pengesan.

Motorola HD Multimedia Dock dilengkapi tiga port penyambungan USB dan port HDMI untuk menyambungkan papan kekunci, tetikus, pembesar suara dan monitor HDMI untuk kegunaan di pejabat mahupun di rumah.

Ia juga boleh disambungkan kepada televisyen HDMI dan set teater rumah untuk kepuasan maksimum semasa mendengar muzik serta menonton video.

Manakala Motorola Lapdock dilengkapi skrin seluas 11.6 inci, papan kekunci, pad pengesan, pembesar suara stereo dan 36Wh sel bateri yang mampu bertahan selama lapan jam.

Ia juga dilengkapi pemproses dual, 1GHz yang menjadikan layaran di web, video HD dan bermain permainan video dengan lebih pantas.

RAM bagi telefon ini juga dipertingkatkan sehingga 1 GB yang mana merupakan dua kali ganda saiz RAM yang diperuntukan dalam mana-mana telefon pintar yang sedia ada.

ATRIX turut dilengkapi skrin qHD beresolusi tinggi sehingga 24 bit warna dan ia merupakan pertama di dunia yang digunakan pada telefon pintar.

QHD menjadikan paparan lebih mudah dibaca sama ada berada di dalam mahupun di luar rumah.

Seterusnya, bateri yang lebih nipis tetapi mampu bertahan lama serta dua kamera di hadapan dan belakang untuk merakam dalam format HD.

Untuk keselamatan yang berganda, ATRIX turut dilengkapi kod pengenalan cap jari serta saiz penyimpanan yang besar iaitu sehingga 48 GB.

Dengan saiz simpanan yang besar tersebut, ATRIX mampu menyimpan beribu lagu, gambar serta video.

Motorola ATRIX kini boleh didapati di mana-mana kedai yang menjual produk Motorola pada kadar harga RM1999.

Untuk maklumat lanjut berkenaan harganya anda boleh melayari laman web pengedarnya iaitu Brightstar Distribution di http://www.brightstarcorp.com.my.

Atau untuk mengenali ATRIX dengan lebih terperinci anda boleh melayari laman web Motorola di http://www.motorola.com.my.

PlayStation pada telefon bimbit Xperia

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

SONY Ericsson terus mengukuhkan rangkaian model Xperia menerusi model PLAY ketika dilancarkan di Sepang baru-baru ini.

BUAT julung-julung kalinya di Malaysia, Sony Ericsson memperkenalkan telefon bimbit pintar dengan aplikasi PlayStation pertama di dunia, Xperia PLAY.

Kombinasi gajet telekomunikasi bersama fungsi permainan video konsol popular, PlayStation itu bakal melengkapkan penjenamaan Xperia sebagai peranti telefon bimbit pintar hiburan terbaik.

Menurut Pengurus Besar Sony Ericsson Singapura dan Malaysia, Peter Ang, kehadiran model itu dilihat mampu menyempurnakan misi Sony Ericsson memenuhi keperluan hiburan pengguna di negara ini.

‘‘Kami percaya, ramai penggemar gajet di negara ini sudah lama menantikan kehadiran model telefon bimbit yang mengintegrasi pelbagai fungsi seperti permainan video, aplikasi, pelayaran web dan laman sembang.

‘‘Jadi, sudah tiba masanya untuk mereka menikmati kesemua pengalaman itu secara lebih menarik dan berkualiti,’’ jelasnya pada majlis pengenalan model Xperia PLAY di Litar F1 Sepang, Selangor baru-baru ini.

Xperia PLAY disokong oleh pacuan sistem operasi Andoroid 2.3 (Gingerbread) dengan pemproses Scorpion ARMv7 1GHz.

Melengkapkan keunikannya, ia hadir bersama skrin sentuh pintar pelbagai fungsi bersaiz empat inci untuk memberi keselesaan paparan dan kemudahan kawalan fungsi.

Bagi membawa pengguna mengalami dunia permainan video lebih nyata, model itu dilengkapi panel kawalan gelongsor tepi eksklusif menyerupai alat kawalan jauh pada sebuah PlayStation.

Ia merangkumi dua butang digital dan analog, dua butang tepi serta empat butang ikon Playstation iaitu pangkah, empat segi, tiga segi dan bulat.

Apa yang menarik, peranti berkenaan membenarkan pelaksanaan aktiviti permainan video secara beramai-ramai (multiplayer) dalam masa nyata.

Untuk mengoptimumkan operasi permainan videonya pula, Xperia PLAY disokong oleh pemproses grafik Andreno GPU yang dapat memberi kesan visual tiga dimensi (3D) selain gerakan video lancar 60 bingkai sesaat (fps).

Tidak cukup dengan itu, teknologi tersebut juga berupaya meminimumkan penggunaan kuasa agar jangka hayat bateri dapat bertahan lebih lama.

Daripada segi kandungan, Xperia PLAY tersedia bersama beberapa aplikasi permainan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat penggiat industri terkenal.

Antaranya adalah seperti Sony Computer Entertainment, Gameloft, Electronics Arts dan Glu Mobile.

Melihat dari sudut spesifikasi multimedia, Xperia PLAY disempurnakan bersama kamera 5.1 megapiksel, rakaman video, pembesar suara stereo, permainan video bergerak (motion), sokongan kad memori microSD sehingga 32 gigabit (GB) dan akses platform Android Market.

Dengan pilihan warna hitam dan putih, ia ditawarkan pada harga pasaran RM1,649.

Alam pelik penggila buku

Oleh Hafizahril Hamid

SEBUAH kedai buku yang dihias dengan penuh kreatif mampu menarik pembaca dari pelbagai golongan dan latar belakang.

BUKU walau apa pun isi kandungannya sedikit sebanyak ia umpama pengetahuan yang perlu di baca sehingga habis untuk mendapat manfaatnya.

Walau apa pun genrenya dari novel ke falsafah, agama, ekonomi, sastera dan pelbagai lagi, tidak dinafikan ilmu yang diperolehi begitu besar sehingga ia mampu mengubah dunia. Malah ada yang menggelar buku adalah kuasa.

Sesungguhnya jasa buku terlalu banyak dalam kehidupan manusia sehinggakan tidak keterlaluan untuk menyatakan kehidupan kita sekarang ini yang jauh lebih baik berbanding 5, 50, 500 atau mungkin 5000 tahun dahulu adalah hasil usaha dari buku-buku yang dihasilkan manusia sendiri.

Bersesuaian dengan perubahan zaman, kita sendiri boleh menyaksikan bahawa semakin banyak buku yang dihasilkan maka semakin maju tamadun manusia.

Maka seharusnya semakin maju tamadun itu pastinya semakin bijak atau cerdik manusia itu sendiri. Namun bagaimana manusia itu menggunakan kebijaksanaan itu adalah satu perkara lain kerana kebijaksanaan itu tidak membawa maksud mereka tidak akan lari daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun dari satu sudut, terdapat juga buku yang nilainya hanya layak dicampak ke tong sampah kerana isi kandungannya yang keterlaluan sifatnya seperti pengisahan kisah lucah, pornografi, pembohongan dan pelbagai lagi.

Namun secara umumnya terlalu banyak buku yang mempunyai nilai dan faedah yang tinggi pengetahuannya, yang mampu membuka minda dan kepompong pemikiran kita ke arah yang lebih baik.

Jadi secara umumnya, manusia itu akan berkelakuan lebih baik dan berhemah jika mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi hasil dari pembacaan buku yang pelbagai.

Impak

Namun bagaimana pula maknanya menjadi seorang penggila buku. Sama ada kita sedar atau tidak sejak abad ke 19 dan kini memasuki abad ke 20 terlalu banyak impak yang memberi signifikan nyata melalui ilmu pengetahuan yang diperoleh dari buku-buku yang dihasilkan.

Seharusnya kita perlu berterima kasih kepada para penggila buku iaitu mereka yang begitu ghairah membaca, mengumpul dan kemudian menghasilkan pelbagai buku yang akhirnya bertanggungjawab membina dunia yang wujud sekarang.

Alasannya mudah kerana melalui pembacaan selain pembelajaran, maka seseorang akan cuba mencari kebenaran, maka beliau perlu lebih lagi membaca dan akhirnya akan menulis pula buku mengenai kebenaran yang dijumpainya.

 Berkembang

Sebagai contoh bagi mereka yang gemar membaca buku mengenai perundangan atau ekonomi. Sudah terlalu banyak buku mengenai dua bidang ini ditulis dan ia akan berterusan ditulis mungkin sehingga kiamat.

Rata-rata mereka yang menulis mengenai perkara ini pernah membaca karya penulis lain dan ia semakin berkembang melalui pemahaman yang diperolehi.

Namun tidak ada satu pun buku yang boleh kita tafsirkan sebagai paling betul kerana ia akhirnya dinilai berdasarkan kesesuaian dan kehendak. Paling tidak pun ia membantu kita dalam beberapa urusan yang berkaitan namun seperti mana ilmu itu sendiri ia akan senantiasa berkembang tanpa ada batasan.

Dalam memperihalkan mengenai kaki buku, mereka ini boleh kita katakan antara insan terpilih kerana bukan semua di antara kita mampu untuk menjadi seperti mereka.

Bayangkan mereka ini umpama perpustakaan bergerak kerana hampir semua persoalan mampu dijawab secara spontan tanpa perlu dirujuk pada mana-mana buku dan orang tertentu terlebih dahulu.

Bibliomania

Namun menurut definisi Barat, kaki buku atau digelar sebagai bibliophilia yang maksudnya gemar membaca, mengagumi dan mengumpul buku.

Namun jangan tersilap antara bibliophilia dan bibliomania kerana maksud perkataan ini lebih kepada penyakit dihidapi seseorang yang begitu menggilai buku secara keterlaluan sehingga mungkin boleh membahayakan diri dan orang lain.

Walaupun sukar untuk kita menerimanya namun menurut Dr. John Ferriar yang mengkaji bidang ini, secara psikologinya mereka ini tidak merbahaya tetapi mungkin boleh bertindak di luar batasan jika buku yang dimahukan terpaksa direbut dengan orang lain.

Selain bibliomania terdapat beberapa penyakit lain yang berkaitan dengan gila buku antaranya bibliophagy yang dikaitkan dengan seseorang yang sanggup makan buku, bibliokleptomania iaitu seseorang yang mencuri buku secara kerap dan bibliotaphy yang berkaitan dengan kegilaan seseorang yang sanggup menanam buku.

Penyakit

Antara mereka yang pernah dikaitkan dengan penyakit-penyakit di atas adalah Stephen Carrie Blumberg yang pernah ditangkap kerana memiliki buku curi sebanyak 23,600 naskah.

Lebih hebat lagi buku-buku ini dicuri di lebih 268 muzium dan universiti di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada dan hampir kesemuanya adalah koleksi buku yang sangat jarang dilihat dan begitu berharga.

Blumberg yang ditahan pada 1990 telah dijatuhkan hukuman penjara 71 bulan dan denda AS$200,000 (RM600,000). Lebih mengagumkan nilai buku yang dicurinya mencecah AS$5.3 juta (RM15.9 juta) dan dianggap sebagai kecurian buku paling besar dalam sejarah dunia.

Satu lagi contoh bibliomania adalah Sir Thomas Phillipps (1792 – 1872) yang memiliki lebih 160,000 koleksi buku dan manuskrip. Berasal dari keturunan bangsawan namun akhirnya beliau sekeluarga terpaksa hidup berhutang keliling pinggang kerana terlalu gilakan buku-buku lama.

Termuda

Dunia pernah dikejutkan apabila seorang wanita berusia 18 tahun telah mencipta sejarah sebagai profesor termuda dunia pada 2008. Alia Sabur yang berasal dari New York dilantik menjadi profesor matematik di Universiti Konkuk di Seoul, Korea Selatan tetapi hanya kekal di sana selama setahun.

Namun satu perkara menarik tentang beliau adalah kegilaannya membaca sejak dari kecil malah dikatakan mula membaca sejak berusia lapan bulan! Alia mengakui gemar membaca namun lebih meminati bidang matematik sejak kecil. Selain mempunyai wajah yang jelita beliau juga berjaya memperoleh tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri Tae Kwan Do hanya pada usia lapan tahun.

Kegilaan

Antara nama-nama besar lain yang dikenali dengan kegilaan mereka terhadap buku adalah bekas Presiden AS seperti Thomas Jefferson, ahli falsafah terkenal Adam Smith, bekas Perdana Menteri United Kingdom William Ewart Gladstone dan pencipta watak James Bond, Ian Fleming, sekadar menyebut beberapa nama.

Selain itu terdapat juga kelab bagi mereka yang gilakan buku seperti Oxford University Society of Bibliophiles yang ditubuhkan pada 1950, Caxton Club yang diasaskan pada 1895 di Chicago, The Club of Odd Volumes yang diasaskan pada 1887 di Boston dan Grolier Club yang ditubuhkan pada 1884 di New York City.

Namun bersesuaian dengan zaman, mungkin buku akan hanya tinggal naskah lusuh tetapi mempunyai nilai tinggi dan berharga dengan kehadiran gajet buku canggih seperti eBooks, iPad dan kindle.

Namun waima apa pun kegilaan terhadap buku ini tidak akan mati tanpa mengira zaman walaupun ia sekadar peralatan canggih yang berfungsi di hujung jari.

Identiti penggodam didedahkan

RUMAH yang diduduki oleh Ryan Cleary bersama ibunya di Wickford, Britain.

WICKFORD, Britain – Identiti individu yang disyaki mengetuai ketua kumpulan penggodam komputer global, LulzSec didedahkan semalam sebagai pelajar pintar berusia 19 tahun, Ryan Cleary.

Sebuah akhbar melaporkan dia dipercayai mendalangi operasi pencerobohan siber tersebut dengan menggunakan dua buah komputer di bilik tidurnya di banglo milik ibunya di sini.

Ryan ditangkap dalam operasi bersama oleh polis Scotland Yard dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di kediaman ibunya, Rita, 45, yang berharga £330,000 (RM219,545) kelmarin.

“Kemungkinan besar bandar ini merupakan pusat pergerakan untuk menggodam rangkaian komputer milik kerajaan-kerajaan di dunia,” kata seorang pakar komputer kelmarin

Pelajar itu kini direman di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Penipuan Britain di sebuah balai polis di pusat bandar London.

Ibunya yang merupakan seorang jururawat memberitahu, Ryan banyak menghabiskan masa di sisi komputernya.

Jelas Rita, anaknya mempunyai sejarah sakit mental dan menghidap agorafobia iaitu penyakit dihantui perasaan takut ketika berada di tempat terbuka tetapi dia seorang yang amat pintar.

Sumber-sumber polis berkata, sejumlah maklumat dan data dirampas daripada sebuah komputer miliknya.

Pihak berkuasa percaya Ryan merupakan ‘orang penting’ LulzSec, yang mendakwa bertanggungjawab mencuri nama, alamat, data bank dan kata laluan 77 juta pelanggan rangkaian permainan Internet, Sony Playstation.

Selain Sony dan satu lagi firma permainan video, Nintendo, LulzSec turut menceroboh rangkaian komputer Agensi Jenayah Berat Terancang Britain, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Senat Amerika Syarikat (AS).

LulzSec merupakan kumpulan serpihan geng penggodam Anonymous yang melancarkan serangan siber ke atas firma MasterCard dan PayPal pada tahun lalu.

– Agensi

Jepun cipta superkomputer terlaju

 

LAKARAN artis merakamkan K computer dipsang di makmal RIKEN di Kobe, daerah Hyogo, barat Jepun. – AFP

TOKYO 21 Jun – Sebuah mesin Jepun muncul sebagai superkomputer terlaju di dunia selepas berjaya membuat pengiraan tiga kali lebih pantas berbanding superkomputer China, lapor pengeluarnya, semalam.

K Computer yang dibina oleh Fujitsu Ltd. dan institut penyelidikan fizikal dan kimia RIKEN yang dibiayai kerajaan, mampu mencatat 8.162 quadrillion pengiraan sesaat (petaflops). Satu quadrillion bersamaan seribu trilion.

Ia sekali gus mengatasi keupayaan superkomputer Tianhe-1A milik China di Pusat Superkomputer Kebangsaan di Tianjin, yang dinamakan sebagai superkomputer paling pantas di dunia pada November lalu dengan kemampuan mengira 2.6 petaflops.

Fujitsu dan RIKEN dalam satu kenyataan berkata, kemampuan K Computer mengira turut diiktiraf dalam Senarai Superkomputer 500 Teratas dwitahunan yang dikeluarkan, semalam sempena Persidangan Superkomputer Antarabangsa 2011 di Hamburg, Jerman.

Ini merupakan kali pertama komputer keluaran Jepun mengungguli senarai tersebut.

Menurut kenyataan itu, K Computer masih dalam proses konfigurasi dan pemasangan sejak Oktober lalu di Institut Lanjutan RIKEN untuk Sains Pengkomputeran di Kobe, barat Jepun.

Superkomputer yang diperbuat daripada 672 kabinet komputer dan dilengkapi 68,544 unit pemprosesan pusat (CPU) itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2012.

“Penggunaan K Computer dijangka memberi kesan penting dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan iklim global, meteorologi, pencegahan bencana dan perubatan, yang boleh menyumbang kepada pembentukan masyarakat makmur dan selamat,” jelas kenyataan tersebut.

Fujitsu dan RIKEN berkata, projek itu juga telah berjaya mengharungi pelbagai kesukaran akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.

Pengerusi Fujitsu, Michiyoshi Mazuka berkata, beliau sangat berterima kasih kepada rakan kongsinya di wilayah Tohoku kerana komitmen mereka yang membekalkan komponen komputer secara tetap walaupun terjejas akibat bencana berkenaan. – AFP

Model lebih pantas

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH
LENOVO kini tampil dengan produk pengkomputeran untuk organisasi besar serta perniagaan kecil dan sederhana.

LENOVO baru-baru ini melancarkan sembilan laptop dan komputer meja bagi organisasi besar dan perniagaan kecil dan sederhana yang menawarkan produktiviti lebih tinggi bagi usahawan profesional.

Model ThinkPad Edge E220s, ThinkPad Edge E420s, ThinkPad T420, ThinkPad X220, ThinkPad X120, ThinkCentre M70z, ThinkCentre M91, ThinkStation C20 dan ThinkStation E30 boleh didapati di pasaran bermula bulan April.

Think PC yang dibina atas platform inovasi terkini Lenovo yang bertindakbalas terhadap keperluan utama perniagaan termasuk panggilan suara dan video, ciri PC pintar bagi kuasa, hayat bateri sepanjang hari, pengurusan enterpris dan pengalaman mudah menggunakan komputer.

Pengurus Besar Negara, Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan berkata, dengan pemprosesan terkini Intel dan perisian Enchanced Experience 2.0, Lenovo terus menambah nilai kepada Think PC.

“Think PC akan menyediakan peningkatan bagi kepada pelanggan seperti hayat bateri, persidangan video dan komunikasi,” katanya.

PC berkenaan menampilkan Lenovo Enhanced Experience 2.0 bagi Windows 7, generasi kedua Windows 7 eksklusif yang hanya ada pada produk Lenovo terpilih.

Generasi ke dua Windows 7 meningkatkan prestasi PC dengan ciri-ciri menarik dan prestasi mula (start-up) dan menutup (shut-down) yang lebih pantas bagi pelanggan pengguna dan perniagaan Lenovo.

Jenama PC Think dengan Enhanced Experience 2.0 menawarkan persidangan sesawang dan ciri keselamatan terbaik termasuk pembaca cap jari yang boleh digunakan bagi menghidupkan PC, pemacu keras enkripsi sendiri pilihan, set kunci port BIOS dan Pengurus Kata Kunci Perkakasan bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan antara PC.

Pengguna boleh mengenalpasti Lenovo Enhanced Experience 2.0 menerusi pelekat sijil khas yang dilekatkan pada model berkenaan.

PC dengan Enhanced Experience 2.0 terlipih memaparkan teknologi RapidBoot yang menggunakan teknologi yang dioptimumkan bagi memberikan masa start-up dan shut-down lebih pantas.

Manakala dengan teknologi RapidBoot, PC Lenovo start-up 20 saat lebih cepat berbanding PC Windows 7 biasa serta menawarkan 28 peratus lebih cepat bagi shut-down.

Lenovo Enhanced Experience 2.0 PC dengan teknologi terpilih RapidDrive SSD lebih pantas menggunakan Solid State Drive berbanding dengan pemacu biasa.

Teknologi RapidDrive menawarkan prestasi dua kali lebih cepat berbanding Windows 7.

ThinkPad Edge E220s dan E420s dengan skrin 12.5 inci dan 14 inci bakal menggamit pandangan usahawan kecil dan sederhana.

Saiz yang nipis dan ringan, ThinkPad E220s hanya setebal 1 inci dengan berat kurang 1.6 kilogram (kg) bagi memudahkan pergerakan manakala ThinkPad E420s hanya satu inci dan kurang 1.8 kg.

Kedua-duanya boleh didapati dengan pilihan generasi kedua pemprosesan Intel Core i3, i5 dan i7 selain pengalaman audio Dolby Home Theatre.

Lebih istimewa ia juga dilengkapi dengan port HDMI bagi membolehkan pengguna melihat pembentangan atau berehat sambil menonton televisyen pada monitor.

ThinkPad T420 pula menggunakan pemprosesan generasi kedua Intel Core dan Core vPro bagi memudahkan pengurusan IT lebih baik.

Apa yang lebih menarik, hayat bateri bagi T420 adalah sehingga 15 jam menggunakan 9 sel bateri.

Bagaimanapun dengan bateri tambahan 9 sel lagi, hayat bateri boleh dipanjang sehingga 30 jam.

Sebagai komputer riba Siri T pertama yang menggunakan teknologi grafik NVIDIA Optimus boleh ubah secara automatik, model ini masih membekalkan sehingga 33 peratus prestasi bateri lebih baik.

ThinkPad X220 pula memberikan ahli perniagaan yang sentiasa bergerak dengan prestasi penuh yang biasa didapati pada komputer riba yang bersaiz besar.

Beroperasi menggunakan pemprosesan Intel Core i7 membolehkan X220 beroperasi 75 peratus lebih laju berbanding pesaing selain mempunyai hayat bateri sehingga 24 jam.

Tambahan pula X220 mempunyai papan kekunci kalis habuk dan tumpahan air dan 50 peratus peningkatan ujian jatuhan.

ThinkPad X120 pula yang ultra ringan direka khusus bagi pengguna yang inginkan kesederhanaan.

Dilengkapi dengan AMD Fusion E-Series APU memberikan pengguna prestasi grafik 65 peratus lebih pantas bagi pencarian laman sesawang, memuat muka surat dan menjalankan operasi bisnes.

Pada masa yang sama, X120 juga memberikan pengguna sehingga 30 peratus lebihan hayat bateri dan menepati spesifikasi Energy Star 5.0 dan membawa kadar EPEAT Gold bagi alam sekitar.

Mempunyai berat kurang 1.4 kg, X120 dilengkapi dengan kemudahan WiFi, pilihan Bluetooth dan jalur lebar mudah alih.

ThinkCentre M91 hadir dalam bentuk menara, ia direka bagi kelajuan dan prestasi hasil pelbagai teknologi baru termasuk pemprosesan Intel Core i3 dengan grafik Intel HD bersepadu.

Bagi pengguna yang bergantung kepada pelbagai skrin bagi data atau grafik, model terpilih boleh menyokong sehingga empat paparan bebas menggunakan kad grafik berasingan.

Selain itu ia juga dilengkapi dengan teknologi Lenovo ThinkVantage seperti Rescue and Recovery, System Update dan Power Manager bagi membantu pengguna.

ThinkCentre M70z boleh dikatakan cantik dan pintar mengumpulkan semua prestasi dalam komputer meja kepada paparan 19 inci.

Ia dilengkapi dengan pilihan pemprosesan Intel Core i5 dan i3 terkini sehingga 8GB memori DDR3 dan pemacu DVD nipis.

ThinkStation C20 pula direka khusus bagi memacu pasaran kewangan dengan saiz kecil tapi berkompromi dengan prestasi.

Ia didatangkan dengan pilihan pemprosesan Siri Intel Xeon 5600 sehingga dua NVIDIA kelas grafik.

ThinkStation E30 merupakan peningkatan daripada model sebelumnya E20 yang digelar Pilihan Editor oleh PC Magazine bagi stesen kerja pada tahun 2010.

Mendapat pengiktirafan daripada vendor perisian bebas dalam kejuruteraan, kandungan digital dan pasaran kewangan termasuk AutoCad, SolidEdge, Adobe dan SolidWorks selain sokongan Red Hat Linux.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklum balas menerusi Lenovo RSS feeds, http://www.twitter.com/Lenovo MY dan http://www.facebook.com/LenovoMY.

Revolusi komputer Acer

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar FATAH SULAIMAN

SEJAJAR dengan permintaan pelanggan terhadap komputer tablet yang semakin meningkat, pembekal komputer terkemuka negara ini, Acer Sales & Services Sdn. Bhd. memeriahkan lagi dunia pengkomputeran.

Bertempat di Plaza Low Yat – pusat gajet terkemuka di ibu negara Kuala Lumpur, syarikat terbabit melancarkan tiga produk tablet komputer baru.

Pada majlis tersebut, produk yang menjadi tumpuan adalah Tablet Dua Skrin Sentuh Acer Iconia 484G64, Tablet Iconia TAB W500 yang menggantikan Acer Aspire Timeline Series dan Aspire TimelineX 4830TG.

Pengurus Besar Acer Sales & Services Sdn. Bhd, Ricky Tan berkata, pada majlis pelancaran itu, pihaknya menawarkan rangkaian produk mudah alih yang lengkap bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan. “Ini termasuk tablet, telefon pintar, netbook hingga kepada komputer riba dan hari ini menandakan penyertaan Acer dalam pasaran tablet,” katanya pada majlis pelancaran rangkaian Iconia dan Timeline di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tan menambah, pihaknya akan terus menjadikan pengkomputeran mudah alih lebih menarik dan terus kepada semua golongan sasaran selain disesuaikan dengan gaya serta keperluan pelanggan.

“Menerusi produk terkini Acer Iconia, Acer IconiaA TAB W500 dan Acer Aspire TimelineX 4830TG, kami menawarkan pengalaman Acer yang lengkap, sambungan yang lancar dan pengalaman unik. “Ini selaras dengan misi kami iaitu memecahkan halangan antara manusia dan teknologi,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar OEM Segmen Microsoft, Low Sin Yip pula melahirkan rasa bangga bekerjasama dengan Acer dalam membangunkan produk ikonik yang dilengkapi dengan sistem operasi Window 7. “Dengan Acer, kami ingin memudahkan kehidupan dan mencipta pengalaman penggunaan yang menarik kepada pelanggan,” katanya. Menggunakan Window 7, pengguna dapat mengakses kepada banyak pilihan perisian dan perkakasan dalam senarai Micosoft dan kerjasama antara kedua-duanya membantu meneruskan usaha meningkatkan kualiti produk.

Bersandarkan kepada kemajuan teknologi skrin sentuh, Acer Iconia 484G64 menawarkan pengguna ‘Pengalaman Sentuhan Sebenar’ menerusi cara baru yang mengasyikkan bagi melihat dan berinteraksi dengan video, gambar, laman web serta filem kegemaran. Ini memberikan pengalaman visual berbeza dengan membolehkan multimedia, hiburan, komunikasi serta laman sesawang bergerak lancar di atas skrin kembar bersaiz 14 inci.

Hanya sentuhan tangan di skrin menghasilkan pergerakan membuka aplikasi atau laman sesawang serta merta menerusi ‘Gesture Editor’. Pengguna juga meletakkan kedua-dua tapak tangan pada bahagian skrin bagi mengeluarkan papan kekunci maya QWERTY bersaiz penuh. Menerusi ‘Sosial Jogger’ pengguna boleh memeriksa komen-komen dan perkembangan terbaru pada akaun rangkaian sosial secara sekali imbas dan menggunakan kedua-dua skrin untuk melihat lebih banyak kandungan.

Apa yang lebih menarik pada ICONIA 484G64 adalah kehadiran Acer Ring. Pengguna hanya perlu meletakkan lima jari di atas skrin dan membuat pergerakan menggenggam, Acer Ring akan muncul, membuka satu dunia aplikasi seperti TouchBrowser, TouchPhoto, TouchMusic dan TouchVideo yang memberikan pengalaman semakan dengan pergerakan di atas skrin untuk zoom, memutar, menyelak atau skrol.

Lebih membanggakan lagi, awal tahun, Acer ICONIA 484G64 dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ‘Last Gadget Standing’ semasa Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas. Acer ICONIA boleh diperolehi di pasaran pada harga RM3,699.

Tablet Acer ICONIA TAB W500 dengan saiz 10 inci berharga RM1,699 menampilkan reka bentuk inovatif hibrid serta menawarkan yang terbaik iaitu tablet HD mudah alih multi sentuhan sempurna dan papan kekunci yang boleh dipisahkan. Acer ICONIA TAB W500 dilengkapi dengan pemprosesan AMD Radeon HD6259 bagi pengalaman bermain permainan video serta visual terbaik.

Sementara itu Acer Aspire TimelineX 4830TG pula mengekalkan reka bentuk nipis dan elegan siri Timeline. Dijual pada harga RM2,499. Acer Aspire TimelineX 4830TG disokong oleh pemprosesan Intel Core generasi kedua yang dilancarkan oleh Intel dengan nama Sandy Bridge.

Sempena pelancaran, Acer menawarkan program tukar beli bermula 24 Mac hingga 13 April, pelanggan boleh menukar beli mana-mana komputer lama yang sempurna tidak kira jenama bagi mendapatkan rebat sebanyak RM200 ke atas produk terpilih sementara stok masih ada. Acer akan membaikpulih komputer lama dan mendermakannya kepada organisasi kebajikan.