Kesal program sekolah dicemari unsur politik

17 Mac 2015 2:25 AM
SHAH ALAM 16 Mac – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah mendakwa Karnival Warna-warni anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7 di sini mempunyai agenda politik amat dikesali.
Risalah yang diedarkan kepada orang ramai agar tidak menghadiri Karnival Warna-Warni SK Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, yang diadakan baru-baru ini. utusan/Saharuddin Abdullah
Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Zulkeflli Zakaria berkata, tidak sepatutnya tuduhan sedemikian dilemparkan kerana pengan­juran program tersebut bertujuan meningkatkan kemudahan sekolah seterusnya kecemerlangan murid di situ.
Menurutnya, ibu bapa dan guru ternyata kecewa apabila niat baik mereka untuk anak-anak dicemari dengan unsur-unsur politik.
“Kami rasa sedih kerana perkara yang sepatutnya elok untuk pembelajaran anak-anak diselang-seli pula dengan perbuatan politik tidak sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zulkeflli mengulas mengenai risalah-risalah yang dikatakan diletakkan dalam peti surat rumah penduduk khususnya yang terletak berdekatan sekolah berkenaan.
Antara kandungan risalah itu mendakwa karnival tersebut merupakan program berunsur politik dan meminta penduduk supaya tidak mengunjunginya.
Karnival yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mac itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.
Penganjuran karnival itu bertujuan mengutip dana bagi pembinaan dewan terbuka untuk kegunaan murid-murid sekolah terbabit.

Siapa pilihan Kim Swee?

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my




Ong Kim Swee juga mempunyai pilihan untuk memilih Baddrol Bakhtiar (kanan), yang turut sering digunakan sebagai pemain sayap apabila Harimau Malaya bertemu Yemen esok.
KUALA LUMPUR – Ketiadaan Shakir Shaari dan Junior Eldstal membuka ruang kepada empat pemain, termasuk bekas ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim bersaing bagi merebut dua slot di bahagian tengah menjelang perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 dengan Yemen, esok.
Tiga pemain yang akan menyaingi Safiq ialah Mohd. Badhri Mohd. Radzi, Mohd. Hafiz Kamal dan Mohd. Nazmi Faiz Mansor.
Pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan peluang masih terbuka kepada keempat-empat pemain tersebut dengan dia juga masih berkira-kira siapa pemain yang layak mengisi tempat dalam kesebelasan utama.
Perkiraan meletakkan dua pemain di bahagian tengah itu diambil selepas Kim Swee membayangkan kemungkinan akan terus mempertaruhkan dua pemain mengemudi jentera serangan ketika berdepan Yemen di Stadium Tahnon bin Mohamed di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kriteria utama yang saya mahukan dalam memilih pemain yang akan beraksi di bahagian tengah adalah dia mempunyai keseimbangan sama ada dalam situasi menyerang dan bertahan.
“Kedua-dua aspek ini cukup penting kerana kita bukan sahaja mahukan pemain yang ada daya kreativiti ketika melakukan serangan tetapi turut mampu membantu barisan pertahanan apabila diserang.
“Saya menjangka akan terus gunakan dua penyerang di barisan hadapan setelah apa yang saya tengok selepas perlawanan dengan Filipina tempoh hari,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain Shakir dan Junior yang digugurkan, penyerang yang banyak menimbulkan kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid tidak dibawa ke UAE.
Dalam perlawanan persahabatan bertemu Filipina di Stadium Selayang pada Sabtu lalu, percubaan Kim Swee menggandingkan Hafiz Kamal yang meraih cap pertama bersama skuad kebangsaan dengan Safiq Rahim di bahagian tengah dilihat menjadi apabila banyak gerakan menarik mampu dihasilkan.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri atau Piya hanya dimasukkan pada minit ke-59 dan beraksi bersama Safiq, dan tidak keterlaluan untuk mengatakan kombinasi kedua-dua pemain ini juga antara yang terbaik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140304/su_02/Siapa-pilihan-Kim-Swee#ixzz2uxIOxtDN  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Penduduk Shah Alam hanya minta sambungan dua kilometer LRT

Khabar Dari Shah Alam
Oleh Zabry Mohamad Madzlan




SEAWAL pukul 6.15 pagi setiap hari, Sobri Awang Abu, 46, akan keluar dari rumahnya di Seksyen 19 untuk ke pejabat yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, keluar awal tidak menjamin pegawai di sebuah bank pelaburan itu boleh sampai sebelum waktu pejabat yang bermula 8.15 pagi.
Meskipun jarak di antara rumahnya dengan pejabat hanya kira-kira 35 kilometer, dia terpaksa menghabiskan masa hampir dua jam di atas jalan raya berikutan kesesakan lalu lintas.
Bukan sahaja membuang masa, dia juga perlu menanggung kos agak tinggi untuk petrol dan bayaran tol kerana menggunakan beberapa lebuh raya.
Kos pergi-balik untuk tol sahaja hampir mencecah RM10 manakala petrol kira-kira RM12 sehari. Bukan dia tidak mahu menggunakan pengangkutan awam tetapi kemudahan tersebut tidak banyak dan kurang efisien.
Tidak hairanlah apabila UMNO Bahagian Shah Alam mencadangkan supaya dibina laluan transit aliran ringan (LRT) antara Glenmarie dan Seksyen 7 baru-baru ini, Sobri amat mengalu-alukannya.
Dia merupakan antara sejuta penduduk Shah Alam atau dikenali juga sebagai Bandaraya Anggerik yang amat berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan.
Bagi Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George, adalah tidak masuk akal apabila pembinaan trek LRT 3 dari Kelana Jaya (berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Kuala Lumpur/Lembah Klang) menuju Putra Heights hanya melalui Subang Jaya (berhampiran Glenmarie), bukan sehingga ke pusat bandar Shah Alam.
Ini kerana jelasnya, Shah Alam merupakan ibu negeri Selangor yang menjadi nadi pentadbiran dan pembangunan.
“Kemudahan LRT sepatutnya digalakkan penggunaannya di Shah Alam. Kalau boleh sambung hingga ke Klang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pandangan beliau itu ada kebenarannya.
Penduduk Shah Alam seolah-olah terperangkap di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Klang.
Untuk menuju keluar dari Shah Alam ternyata satu ‘azab’ buat mereka berikutan kesesakan lalu lintas teruk selain kos tol yang perlu dibayar.
Menurut Jacob George, cadangan berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik tetapi lebih kepada konsep mesra rakyat.
Di Shah Alam juga katanya, banyak institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor, Management and Science University (MSU), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan pastinya kemudahan LRT akan membolehkan bandar raya tersebut menjadi hab pendidikan.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari dalam sidang akhbar di pejabatnya baru-baru ini memberitahu, apabila siap trek LRT 3 nanti, pihak terbabit hanya perlu menyambung laluan baharu dari stesen di Subang Jaya ke Shah Alam.
Katanya, langkah berkenaan adalah lebih sesuai memandangkan jarak di antara stesen itu dengan bandar raya ini hanya kira-kira dua kilometer.
Beliau menambah, memorandum mengenai cadangan pembinaan LRT itu turut diserahkan kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Inilah masa yang sesuai dalam usaha kerajaan Pusat mahu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Lagipun, inilah isu yang diperjuangkan oleh penduduk Shah Alam selama ini,” ujarnya.
Shah Alam kini semakin padat, ditambah dengan projek pembangunan perumahan dan komersial pada masa hadapan.
Keadaan sebegitu sudah tentu akan menambah jumlah kenderaan milik persendirian, seterusnya mengakibatkan kesesakan jalan raya lebih serius.
Dengan adanya sistem LRT jelas Azhari, penduduk bandar raya ini dapat berulang-alik ke bandar-bandar lain dengan lebih mudah, cepat dan murah.
“Dengan wujudnya jaringan LRT, projek pembangunan berasaskan pengangkutan bagi perumahan mampu milik juga boleh dilaksanakan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140219/re_06/Penduduk-Shah-Alam-hanya-minta-sambungan-dua-kilometer-LRT#ixzz2tjwQmNeu  © Utusan Melayu (M) Bhd