Perintah berkurung 4 daerah di Sabah

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 16 Julai – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi melindungi dan mengukuhkan tahap keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.
Perintah berkurung itu adalah antara tujuh langkah drastik yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh 48 jam ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak yang tidak mematuhi arahan perintah berkurung akan ditangkap mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Perintah berkurung ini dilakukan selari dengan langkah mewujudkan laluan yang telah ditetapkan. Ia akan dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya selepas mesyuarat keselamatan Sabah bersama beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di Bukit Aman hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Amdan Kurish.
Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui pemberita, mengesahkan lima kapal TLDM akan berada di perairan Pantai Timur Sabah untuk mengawal keselamatan di situ.
Katanya, dalam tempoh 48 jam ini, kesemua aset dan keanggotaan berada di situ untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan daripada sebarang ancaman anasir-anasir luar.
“KD Bunga Emas 5 kini berada di Kota Kinabalu dan dalam perjalanan ke satu kawasan yang telah ditetapkan. Selain itu KD Lekiu, kapal superlink akan turut berada di sana,” katanya.
Difahamkan, KD Bunga Emas 5 akan menjadi markas utama yang akan menempatkan penguat kuasa dari pelbagai agensi yang bertugas di Pantai Timur Sabah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140717/je_03/Perintah-berkurung-4-daerah-di-Sabah#ixzz37i8yn6Hj  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Pantomin pencerobohan Lahad Datu usik perasaan penonton

DUA anggota tentera sebak ketika menyaksikan persembahan pantomin pengkisahan ‘Lahat Datu Berdarah’ pada Istiadat Hari Pahlawan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 31 Julai – Sebuah persembahan pantomin oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengusik perasaan para hadirin dalam Istiadat Hari Pahlawan 2013 di Dataran Merdeka hari ini.
Terdapat juga dalam kalangan hadirin yang tidak dapat menahan perasaan sebak lalu menitiskan air mata mengenangkan pengorbanan perajurit negara mempertahankan tanah air sehingga menggadaikan nyawa sendiri.
Bertemakan insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah, persembahan yang sarat dengan pelbagai aksi ketenteraan tersebut berjaya membawa penonton menjiwai peristiwa yang meragut nyawa sembilan perwira negara.
Mereka ialah Asisten Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat, 29; Sarjan Sabaruddin Daud, 46; Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52; ASP Michael Padel, 36; Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49; Koperal Salam Tugiran, 42 dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24.
Suasana persembahan menjadi lebih memilukan apabila skrin besar memaparkan kesemua profil perajurit yang gugur tersebut sambil membaca sebuah sajak yang dipercayai daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir seorang perwira gugur.
Antara bait sajak tersebut berbunyi; “Oh Malaysiaku, maafkan aku andai aku gugur di medan perang. Demi Allah aku telah berusaha sedaya upaya.”
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menghadiri istiadat tersebut serta melakukan pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; pembesar negara serta duta asing.
Dalam sambutan itu juga, tiupan sayu trompet serta begol yang mengalunkan Paluan Akhir atau istilah Inggerisnya, Last Post menimbulkan rasa sayu dalam kalangan hadirin.
Ketika dimainkan, Jalur Gemilang secara simboliknya diturunkan dan anggota tentera, polis serta pertahanan luar yang beruniform memberi tabik hormat sementara hadirin lain turut berdiri bagi memperingati pahlawan negara yang terkorban demi mempertahankan tanah air.
Di medan perang pada zaman dahulu, Paluan Akhir dimainkan pada pukul 6.30 petang iaitu ketika anggota tentera mencari dan mengumpulkan mayat rakan terkorban serta di peringkat sejagat pula, diperdengarkan ketika pengebumian anggota pasukan keselamatan terkorban ketika bertugas.
 
KOMEN : KEPADA RAKYAT MALAYSIA YANG CINTAKAN KEAMANAN, JANGAN PULA KITA LUPA UNTUK INGATKAN KERAJAAN BAHAWA SEMUA DALANG DISEBALIK PENCEROBOHAN INI NAK LAH DI DAKWA… TIDAK KIRA SIAPA MEREKA… PENGGANAS KIRAM DAH DIDAKWA… DALANGNYA BILA PULA?????

ADA YANG DAH BERPELUH SELURUH BADAN…

Dalang Lahad Datu diketahui

DR. AHMAD Zahid Hamidi, Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua, kiri), Khalid Abu Bakar dan Mohd. Bakri Mohd. Zinin (dua, kanan) ketika sesi taklimat bersama para pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Pihak berkuasa sudah memperoleh semua dokumen dan maklumat terperinci mengenai penglibatan tiga pemimpin pembangkang yang dipercayai mendalangi pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua dokumen dan maklumat tersebut sedang diteliti bagi memperkukuhkan hujah apabila tiga pemimpin itu didakwa mahkamah nanti.
“Ketika saya menjadi Menteri Pertahanan, saya ada dedahkan terdapat beberapa individu terlibat membantu kumpulan pengganas menceroboh Lahad Datu dan mereka pernah mengadakan pertemuan dengan kumpulan pengganas Kiram.
“Semua dokumen dan maklumat terperinci mengenai perkara itu telah kita peroleh dan sedang diteliti dari segi undang-undang untuk memperkuatkan hujah di mahkamah nanti,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja kali pertama sebagai Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin serta pegawai-pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee, semalam mendesak agar tiga pemimpin pembangkang yang didakwa terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, didedahkan.
Sebelum ini, Ahmad Zahid pernah memaklumkan tiga pemimpin pembangkang terdiri daripada dua orang daripada Semenanjung dan seorang lagi dari Sabah dijangka diheret ke mahkamah tidak lama lagi kerana dipercayai mendalangi pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu.
Menurut beliau, pihaknya mempunyai maklumat terkumpul penglibatan pemimpin-pemimpin itu, namun bukti-bukti kukuh dari segi perundangan sedang diusahakan bagi membolehkan mereka dibawa ke muka pengadilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihak PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan mesyuarat dengan Peguam Negara untuk berbincang tindakan lanjut yang akan diambil terhadap ketiga-tiga pemimpin berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan mereka kerana tidak mahu berlaku prasangka atau prejudis apabila kes itu dibawa ke mahkamah.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak profesional khususnya Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap individu berkenaan,” katanya.

KOMEN : ADA YANG SIAP-SIAP NAK LARI KELUAR NEGARA NI…

PRU SUDAH YANG INI BILA LAGI?

Lahad Datu: Kerajaan digesa tubuh suruhanjaya khas

KUALA LUMPUR 7 Mei – Kerajaan perlu menyegerakan penubuhan suruhanjaya khas bagi menyiasat secara terperinci insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu termasuk dalang yang terbabit dengan kejadian itu.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail (gambar) berkata, langkah itu perlu supaya rakyat tahu punca sebenar pencerobohan yang telah mengorbankan 10 anggota keselamatan dan mencetuskan kesusahan kepada rakyat.
‘‘Sekarang pilihan raya sudah habis, jadi sesuai untuk suruhanjaya itu dibincangkan kerana insiden itu perlu disiasat bagi menepis segala tohmahan dan anasir pihak berkepentingan.
‘‘Pencerobohan ini serius kerana pihak yang cemburu dengan keamanan negara telah sewenang-wenangnya menentang kedaulatan negara ini,’’ katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak satu suruhanjaya siasatan khas berhubung isu Lahad Datu ditubuhkan bagi menyiasat penglibatan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi pemimpin PKR iaitu Tian Chua dan R. Sivarasa.
Desakan tersebut dibuat berikutan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan pemimpin pembangkang itu dan dua konconya pernah mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari bagi merancang pencerobohan pengganas Kiram.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohamad Jamil Hassan menyifatkan suruhanjaya seumpama itu adalah yang terbaik untuk rakyat Malaysia dalam melihat kepentingan keselamatan negara.
 

USAH DILUPAKAN KISAH SI KIRAM….

Rakyat mahu penjelasan – PM

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai yang menyambut meriah ketibaannya dalam Majlis Jelajah Yayasan Sabah Bersama Rakyat di padang pekan Kuala Penyu, Sabah, semalam. – UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN.

KIMANIS 23 April – Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pimpinan parti pembangkang yang sehingga kini masih belum menjelaskan kepada rakyat negara ini terutamanya di Sabah rasional pertemuan dan perbincangan mereka dengan pemimpin berhaluan kiri Filipina sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, penjelasan itu amat perlu sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan tidak menyembunyikan agenda tertentu.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah sekalipun gentar dengan sebarang ancaman anasir jahat dari luar terutamanya kumpulan pengganas Kiram, Najib berkata, kerajaan Malaysia berada pada landasan sebenar.
“Kita tahu apabila orang luar menceroboh kedaulatan kita bermakna jika berperang dan mati sekalipun mengikut hukum Islam adalah mati syahid. Adakah rakyat Sabah mahukan sebuah parti (pembangkang) yang mempunyai agenda tersembunyi.
“Pilihan Raya Umum ke-13 ini adalah penentu destiny negara khususnya Sabah, sama ada akan kekal merdeka dengan penuh maruah atau sebaliknya,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman; calon-calon BN bagi Parlimen Kimanis dan Dewan Undangan Negeri Membakut serta Bongawan, pimpinan parti-parti komponen BN serta penduduk setempat.
Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini mengesahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali bertemu bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari sebelum berlakunya insiden pencerobohan berdarah di Sabah.
Reuters dan Philippines Daily Inquirer sebelum itu turut mendedahkan pertemuan seorang pemimpin pembangkang dengan ketua kumpulan Kiram pada November lalu selain kunjungan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu, R. Sivarasa ke Filipina pada 7 Februari iaitu dua hari sebelum pengganas Kiram memasuki Kampung Tanduo di Lahad Datu.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pemimpin itu pergi ke Manila bertujuan membincangkan isu membabitkan Manuel Amalilio yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana didakwa terlibat dalam kes penipuan kad pengenalan bernilai jutaan peso.
“Sivarasa dan Tian Chua ke sana untuk membincangkan mengenai kenapa dia (Amalilio) tidak dibenarkan diekstradisi ke Filipina untuk dibicarakan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR baru-baru ini.

Lahad Datu: Polis kumpul bukti dalang pencerobohan

KOTA KINABALU 9 April – Polis masih mengumpul bukti bagi membolehkan dalang insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna sejak Februari lepas dibawa ke muka pengadilan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan menjurus kepada penyelesaian kes itu berpandu kepada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh di mahkamah.
“Kami tidak kata orang ini (individu ditahan) terlibat sebagai perancang atau pembunuh kes menembak mati pasukan keselamatan pada 2 Mac, kami ada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh…,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan apabila ditanya mengenai kemungkinan dalang yang disyaki adalah daripada kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipetik dalam laporan akhbar tempatan hari ini sebagai berkata, pihak ketiga yang mendalangi tindakan pencerobohan pengganas Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan beberapa lokasi lain di Sabah telah dikenal pasti, namun masih memerlukan bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.
Mengenai 32 individu yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi semalam, Hamza berkata, kesemuanya adalah lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72 tahun.
“Kami tangkap kerana mereka memasuki negara ini tanpa dokumen dan bersenjata api yang menyalahi undang-undang negara ini,” katanya.
Hamza berkata, tiada pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah serta tiada laporan mengatakan pengganas bersenjata memasuki negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan keselamatan masih mengesan tiga lagi mayat anggota penganas Kiram yang ditembak mati pada pertempuran 1 Mac lepas. – BERNAMA

Hargai pengorbanan perwira negara

BALU-BALU dan ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam Ops Daulat di Lahad Datu dan Semporna tidak dapat menahan kesedihan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 di Kuala Lumpur, semalam. – bernama

KUALA LUMPUR 25 Mac – Seluruh rakyat dan kerajaan menghargai pengorbanan mutlak para perwira negara dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika menentang pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan dan rakyat secara keseluruhannya menyanjung tinggi pengorbanan mereka dan wajar menjadikan perjuangan pasukan keselamatan tersebut sebagai sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan harian.
Oleh yang demikian, katanya, kerajaan akan terus membela nasib dan maruah pasukan keselamatan negara di sebalik tindakan sesetengah pihak yang cuba memperlekehkan para perwira negara itu.
“Sesungguhnya, khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan tidak sia-sia. Walaupun ada pihak yang cuba memomok dan memperlekehkan PDRM dan ATM, pihak kerajaan dan rakyat teramai terhutang budi dengan perjuangan anda.
“Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus membela maruah PDRM. Komitmen kerajaan yang ada pada hari ini terhadap kebajikan para pegawai dan anggota PDRM tidak dapat dinafikan. Kerajaan hari ini sentiasa menepati janji,” katanya dalam Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 di sini hari ini.
Najib menambah, beliau yang mewakili kerajaan dan rakyat turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada PDRM yang selama ini terbukti setia kepada negara sejak zaman darurat, era konfrontasi, tragedi 13 Mei, era insurgensi dan perang terhadap keganasan kini.
Menurut beliau, Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini iaitu sebagai sebuah sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi tanpa keamanan hasil pengorbanan mulia para patriot PDRM dan ATM.
“Tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta. Kita menyanjung tinggi kepada 10 orang pahlawan negara, di mana lapan orang daripadanya adalah anggota PDRM yang telah membuat pengorbanan mutlak,” katanya.
Dengan menginsafi hakikat itu, katanya, kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa menambah baik skim perkhidmatan pasukan keselamatan negara bagi menjamin kebajikan para pegawai dan anggotanya.
Sebagai contoh, katanya, mulai Januari lalu, kerajaan telah menyetarakan pangkat-pangkat dalam perkhidmatan PDRM dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji
Dalam penyelarasan itu katanya, jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.
“Di samping itu, bagi mereka yang berjawatan konstabel hingga koperal, kerajaan telah melaksanakan kaedah kenaikan pangkat berdasarkan time-based dengan setiap anggota berjawatan konstabel akan mengisi jawatan koperal dalam tempoh masa lapan tahun sahaja jika tiada masalah.
“Ini merupakan satu pakej yang cukup bermakna kepada anggota-anggota PDRM. Kita berharap langkah itu akan merangsang setiap anggota PDRM untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai apa juga yang telah kita tetapkan sebagai objektif yang perlu dilaksanakan.,” katanya.