MANA ADA TIPU… ANAK KEDAH YANG CERITA…

Balak Kedah dan kerajaan sepenggal sahaja?

CUTI Tahun Baharu Cina 2013 digunakan sepenuhnya untuk balik sebentar ke kampung di Kedah. Namun saya hanya sempat ke kampung isteri di Baling. Menziarahi kedua-dua mertua yang sudah tua dan kurang sihat.
Maaf saya kepada kaum keluarga di Jeram, Tunjang kerana tidak sempat ke sana. Akhir sekali saya ke Kubang Pasu ialah sebulan lalu kerana menziarahi bapa saudara meninggal dunia. Itulah rutin kita selagi hidup. Kedua-dua ibu bapa pun sudah tiada. Yang tinggal ialah sebuah rumah pusaka serta ibu-ibu dan tok-tok saudara yang semakin lanjut usia.
Di Baling suasananya tenang dan aman. Tapi panas pilihan raya sudah terasa. Bendera-bendera parti politik sudah dikibarkan.
Bendera biru yang baru dan masih berkilat mewarnai di serata Baling hingga ke Labu Besar dan ke Olak Madu.
Benarkah BN akan menguasai semula Baling? Ahli Parlimen Pas Taib Azmuddin dikatakan kurang sihat akhir-akhir ini. Dengar kata Pas Baling pun ada sedikit masalah.
Apakah itu puncanya bendera Pas tidak kelihatan berkibar? Bendera-bendera Pas yang ada pun sudah lusuh dan koyak rabak, kerana menyangka pilihan raya awal tahun lepas. Apa pun kempen dan perang bendera akan berlaku lebih rancak tidak lama lagi.
Melalui lebuh raya hendak ke pekan Baling dari Kupang, kita akan melihat bukit-bukit dan gunung-ganang di depan ufuk. Ia adalah sebahagian daripada sistem Banjaran Bintang.
Jika semasa raya tahun lalu ia menghijau, cantik, indah, kini saya amat terkejut melihatnya. Gunung itu, mungkin Gunung Inas namanya, pun sudah kelihatan ditarah. Jalur-jalur atau balur-balur tanah merah seolah-olah darah mengalir dari puncak ke kaki gunung.
Apa yang tergambar dalam fikiran kita ialah balak-balak telah ditebang.
Jika pada tahun lepas saya melihat dari kejauhan banjaran gunung di Bukit Hijau telah ditarah, kini ia menjalar ke situ pula.
Saya hairan mengapa semasa kerajaan dulu ia masih elok, kini jadi begitu? Saya faham, kerajaan BN dulu pun tebang balak. Tapi yang digondolkan kini adalah gunung-gunung yang di kaki-kakinya ialah perkampungan manusia. Dan sudah tentulah air-air yang digunakan manusia berasal dari gunung-ganang itu.
Sepanjang 20 tahun berkahwin dengan orang Baling, inilah pertama kali saya melihat suasana dan keadaan sebegitu. Saya terkejut dan memberitahu isteri saya “apa dah jadi?”
Jadi tidak hairanlah jika mereka pun tergamak menggondolkan kawasan tadahan air di Empangan Pedu. Tak terfikir di kepala otak saya, sanggup sebuah kerajaan membenarkan penggondolan sebegitu rupa sehingga ke kaki tasik tadahan air.
Mengapa terburu-buru sangat? Saya mendapat tahu daripada beberapa pihak dalaman di Kedah dan Selangor, “mereka perlu ‘sapu’ hasil mahsyul dan kontrak-kontrak sekarang kerana bimbang kerajaan yang diterajui itu hanya sempat bernyawa sepenggal sahaja. Jika tak sapu, maka semuanya akan melepas…”
Itu pasal kena tebang dan gondolkan segera. Akibatnya musnah semua. Sedangkan kita kena ingat bekalan air yang diminum sekarang datangnya dari air-air yang dihasilkan oleh hutan-hutan itu.
Jika kerajaan BN dulu gelojoh mereka pun sudah lama menggondolkan kawasan di Pedu, Gunung Inas dan Bukit Hijau itu. Tapi ia tidak berlaku di zaman itu.
Kononnya, kerajaan Pas Kedah kata balak ditebang untuk dijadikan ladang rakyat. Ladang apa jika gunung dan bukit itu ratusan kaki tingginya, tak berbaloi langsung.
Saya terkejut kerana kerajaan yang kononnya memperjuangkan Islam, tidak melihat mengenai aspek pemeliharaan alam sekitar ciptaan Allah SWT ini.
Amat sedih sekali jika kita melalui jalan dari Sungai Petani ke Baling kita dapat melihat banjaran gunung-gunung bukan lagi menghijau, tapi sudah bertukar menjadi balur-balur merah angkara bulldozer penebangan balak.
Oleh itu, tertanya di hati saya, mungkin itulah sebabnya tiada kelihatan bendera-bendera Pas berkibar di Baling.
akah rakyat sudah bosan dengan Pas “yang cakap tak serupa bikin”. Yang sudah dapat habuan mungkin gembira, tapi bagaimana yang tercicir?
Jika dulu kerajaan BN pun dikatakan rakus, namun kerajaan sekarang dilihat lagi bertambah rakus. Apakah benar kata-kata orang dalam kerajaan Kedah dan Selangor yang meramalkan “kerajaan mereka hanya kerajaan sepenggal sahaja.”
Saya tidak mahu komen banyak. Kita tunggu dan lihat. PRU-13 menghitung hari.

Advertisements

Kuasa kertas undi 13.3 juta pengundi berdaftar

DARIPADA 13.3 juta pengundi berdaftar terkini direkodkan, kita tidak tahu apa yang bermain di minda mereka sekarang.
Siapa yang akan dipangkah mereka di kertas undi pilihan raya umum ke-13 nanti?
Daripada keseluruhan pengundi, setakat ini kedudukan komposisi kaum pun masih menjadi rahsia. Ada mengatakan Melayu 40 peratus, Cina juga 40 peratus dan India 10 peratus, bakinya lain-lain.
Dan ada pula meletakkan komposisi 55 peratus Melayu, Cina (35 peratus), India 5 peratus dan selebihnya lain-lain – tetap masih belum terungkai.
Saya sendiri difahamkan, daftar pemilih terkini bagi suku keempat 2012 (31 Disember 2012) masih belum lagi disahkan. Dijadual, diwartakan minggu depan.
PRU-13 diibaratkan ibu segala pilihan raya. Di platform inilah yang tidak pernah terdetik oleh pembangkang selama ini dalam 12 pilihan raya terdahulu akan ‘impian untuk berkuasa’ – menjadikan PRU nanti penentu ‘hidup mati’ mereka dalam politik. Baik Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Anwar Ibrahim sendiri, jika mereka ‘lepas’, maka bernafaslah pembangkang.
Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak tetap berwaspada. Beliau mahukan jenteranya bersiap sedia sepanjang masa.
Najib sedar minat rakyat untuk sama-sama terlibat dalam menentukan kerajaan pilihan mereka semakin meningkat. Majoriti rakyat Malaysia tidak mahu mengambil risiko memperjudikan masa depan di tangan parti-parti yang belum terbukti diuji.
Saya difahamkan di Selangor sahaja, tambahan pemilih berdaftar untuk suku keempat tahun 2012 (antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2012) menyaksikan 34,378 pengundi baru. Sejumlah 9,402 yang lain bertukar alamat.
Selangor menyaksikan negeri yang memiliki pengundi yang bertambah secara drastik setiap tahun. Pada 2008, direkodkan 1.58 juta, 2009 (1.62 juta), 2010 (1.75 juta), 2011 (1.92 juta) dan terkini serta tertinggi dalam kalangan negeri, 2 juta orang. Hal ini tidak menghairankan kerana negeri itu tumpuan orang dari negeri lain untuk mencari rezeki, tempat menimba ilmu dan berniaga.
Juga, kesedaran mengundi warga Malaysia di luar negara dalam setahun dua ini cukup tinggi. Difahamkan, rekod mendaftar online mereka dalam borang 1B pengundi pos yang disediakan setakat 2 Februari lalu mencapai 1,138 orang. Dan semalam, ia meningkat kepada 1,600 orang – pertambahan kira-kira 100 orang sehari.
Dalam suasana demam pilihan raya umum ke-13 yang kian ‘membahang’ ini, saya turut difahamkan pelbagai kerenah aduan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada orang ramai. Yang paling biasa tentulah berkisar pertukaran alamat dan kedudukan terkini saluran mengundi mereka.
Namun yang bukan sahaja luar biasa tetapi lebih pelik lagi – apabila sebilangannya mengadu kesempitan duit untuk pulang mengundi di kampung halaman.
Pagi Jumaat lalu, ibu pejabat SPR di Putrajaya menerima e-mel aduan daripada seorang pegawai kerajaan yang bertugas di Selangor.
Tetapi alamat mengundinya di Sabah. Masalahnya seperti yang disebut tadi, dia mengadu kurang ‘bajet’ nak balik mengundi. Hai! mentaliti sebegini pun ada dalam minda penjawat awam.
Sepatutnya, setiap rakyat Malaysia sedar akan hak dan tanggungjawabnya dalam proses pengundian. Ini kerana sistem pilihan raya negara ini berasaskan bahagian pilihan raya. Dan bukannya sentimen kenegerian. Kita mengundi untuk memilih wakil rakyat di bahagian pilihan raya itu. YB itulah yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada kita, pengundinya.
SPR bukannya ‘bas’, tempat meminta-minta untuk menyediakan ‘duit’ untuk bawa pulang orang mengundi.
Maka, jalan penyelesaian terbaik isu ‘bajet ciput’ ini adalah dengan membuat pertukaran alamat mengundi.
Dan kalau ditimbang-timbang, sebenarnya bukan soal ‘bajet’ untuk sukar balik mengundi di kampung. Semua ini bergantung kepada faktor sikap.
Sebenarnya bukan orang Kelantan, Sarawak atau Sabah (sekadar menyebut beberapa negeri) sahaja yang berdepan isu ‘balik kampung mengundi’ ini. Perkara sama dialami warga Malaysia yang bekerja di luar negara, Singapura, selatan Thai dan banyak negara. Tapi dalam soal ini, mereka tahu sediakan bajet sendiri untuk pulang kerana sedar akan tanggungjawab besar itu.
Dalam isu ‘pengundi tukar alamat’, penulis difahamkan, ada akta tertentu di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menguatkuasakan arahan tukar alamat tempat tinggal jika seseorang itu berpindah. Dikatakan dalam tempoh tiga bulan tinggal di kawasan baru, dia diwajibkan tukar alamat mengundi. Namun, ini belum dikuatkuasakan.
Tidak salah untuk kita menaruh harapan PRU-13 yang dikatakan paling getir dalam sejarah negara nanti berlangsung lancar dan aman. Semua pihak perlu menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka. Apabila selesai, rakyat jangan pula terlalu banyak disogokkan dengan retorik politik sehinggalah ketibaan PRU-14.
Amerika Syarikat boleh dijadikan contoh. Walaupun pilihan raya presiden tidak kurang sengitnya, kedua-dua parti yang bertanding kembali memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah ekonomi negara itu. Bukannya berpolitik sepanjang masa.
Apa sekali pun, bahang PRU-13 kian terasa. Memang semakin dekat dah.
Kit Siang beranggapan pengundi Sabah menjadi kuasa penentu (kingmakers) dalam PRU-13 yang akan menentukan siapakah yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Di satu pihak lagi, menguar-uarkan kuasa pengundi muda yang akan menjadi pengimbangnya. Tidak dilupakan – kuasa pengundi wanita yang mewakili separuh daripada 13.3 juta tadi.
Apa pun, bagi yang memohon bertukar alamat pada Januari dan bulan ini (Februari 2013) jangan pula berangan-angan nak turun mengundi jika PRU-13 berlangsung Mac ini.
Prosedur mendaftar sebagai pemilih dan tukar alamat sama sahaja tempohnya – perlukan 3 bulan untuk disahkan.
Jangan salahkan SPR pula. Salahkan diri sendiri. Yang boleh tersenyum hanyalah mereka yang berdaftar setakat 31 Disember 2012. Merekalah yang menjadikan kertas undi suatu ‘kuasa’.

Selangor umum keputusan bubar DUN minggu depan

DARI UTUSAN MALAYSIA
13/2/2013

SHAH ALAM 13 Feb. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dijangka mengumumkan keputusan sama ada akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu depan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan tersebut akan dibuat selepas beliau selesai mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin pakatan pembangkang bagi menentukan sama ada pembubaran itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini atau sebaliknya.
“Buat masa ini kita (pemimpin pakatan pembangkang) belum bincang. Kita akan umumkan (sama ada bubarkan DUN atau tidak) selepas perjumpaan tersebut.
“Dalam minggu depan kita akan adakan perjumpaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Pada 30 Januari lalu, Abdul Khalid menyatakan pihaknya dijangka mengumumkan pembubaran DUN Selangor selepas sambutan Chap Goh Meh, iaitu kira-kira 15 hari selepas perayaan Tahun Baru Cina pada 10 Februari ini.
Menurut Abdul Khalid pengumuman tersebut akan dilakukan sekiranya selepas tempoh itu Kerajaan Pusat tidak membuat sebarang pengumuman mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh sebenar pembubaran DUN tersebut kecuali menyatakan pengumuman tersebut hanya dilakukan selepas tempoh sambutan perayaan berkenaan. – UTUSAN

KOMEN : TAK SABAR RASANYA NAK TUNGGU DUN SELANGOR BUBAR… KALAU BOLEH MALAM NI ATAU ESOK PAGI PUN TAK APA… LAGI CEPAT LAGI BAGUS….

Jangan terlalu taksub tukar kerajaan

DARI UTUSAN MALAYSIA
14/2/2013

PUTRAJAYA 13 Feb. — Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ada golongan muda terlalu taksub dan percaya bahawa hanya perubahan dalam pemerintahan negara akan dapat mengubah keadaan hidup mereka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, golongan ini ingin melihat perubahan pentadbiran kerajaan semata-mata kerana percaya janji-janji pembangkang.
“Apa jua yang dikatakan oleh Barisan Nasional (BN) nampak tidak berkesan. Walaupun benar dan nyata tapi nampak tidak berkesan kerana mereka taksub dengan kepercayaan bahawa hanya perubahan pemerintahan akan membawa kepada perubahan dalam kehidupan mereka, sebab itu keadaan sekarang berbeza dengan suatu masa dulu,” kata beliau dalam temu bual di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Katanya, ketika Malaysia tidak banyak pembangunan dan masih dianggap negara membangun, setiap perubahan akan dihargai, berbeza dengan orang muda sekarang yang lahir semasa negara sudah mencapai banyak kemajuan yang ketara.
Menurutnya, generasi sekarang tidak mengalami keadaan negara miskin, terhad dalam peluang pekerjaan, peluang pelajaran, peluang menjadi ahli profesional dan sebagainya, menjadikan mereka tidak begitu menghargai kemajuan semasa.
“Bila kita anggap sesuatu itu sebagai perkara biasa, kita tidak begitu menghargainya. Kita menghargainya bila kita mendapat sesuatu yang tidak kita pernah dapat, tapi mereka dilahirkan di zaman negara sudah capai banyak kemajuan dan bagi mereka, ini memang keadaan biasa, dengan itu mereka tidak menghargainya,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, golongan sekarang juga dilihat terlalu terdedah dengan pengaruh Barat, umpamanya berhubung prinsip kebebasan, mengakibatkan mereka berpendapat keadaan sekarang masih belum cukup bebas, masih lagi tersekat dalam banyak perkara.
Beliau mengakui memang banyak yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memenangi hati golongan muda dalam tempoh masa yang semakin suntuk, ketika bahang pilihan raya umum sudah terlalu hampir.
(Berdasarkan statistik suku ketiga Daftar Pemilih 2012 Suruhanjaya Pilihanraya, sejumlah 13.1 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan daripada jumlah itu 18.07 peratus atau 2.37 juta pengundi terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun manakala 22.8 peratus atau hampir tiga juta terdiri daripada kumpulan umur antara 30 dan 39 tahun).
Dr. Mahthir berkata, sejak pilihan raya umum lepas, kepimpinan Najib dilihat berusaha gigih untuk meraih kembali kepercayaan pengundi, dan sedikit sebanyak beliau kelihatan berjaya.
Katanya, Najib sudah tidak punyai banyak masa, semasa beliau bertungkus lumus bekerja keras untuk mendekati rakyat seramai mungkin, beliau juga berhadapan dengan pelbagai tuntutan daripada banyak pihak.
“Masa saya (masih Perdana Menteri) dulu orang tidak tahu bila ada election (pilihan raya), jadi dengan itu, sebelum mereka buat tuntutan itu ini, kita sudah adakan election. Tapi bila kita tunggu sampai saat terakhir yang mana kita terpaksa bubar Parlimen, tidak ada unsur kejutan lagi, semakin hampir pilihan raya, semakin banyak tuntutan diterima,” katanya.
Mengenai konsep 1Malaysia, Dr. Mahathir berkata, ia sememangnya baik dan ia memerlukan sambutan daripada semua kaum.
Katanya, kesejahteraan dan keharmonian negara selama ini ialah hasil persetujuan antara kaum untuk berkongsi kuasa, sekali gus menjauhkan keadaan huru-hara.
“…dengan itu negara dapat dimajukan, kalau hari ini masing-masing kaum hendakkan semua yang mereka tuntut, ini akan sebabkan ada kaum yang tidak puas hati, maka kestabilan negara tergugat.
“(Dan) kemajuan tidak tercapai, ekonomi tidak akan tumbuh dan kita semua tidak akan dapat nikmat pembangunan. Ini patut semua kaum faham,” katanya. — BERNAMA

PEMIMPIN PAS TIPU PENGIKUT SENDIRI

Tun M jawab isu UMNO tipu Pas

Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah menipu atau menjadi punca perpecahan Pas sehingga membuatkan parti tersebut mengambil langkah keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978.
Menurut bekas Perdana Menteri, apa yang dinyatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pas telah ditipu UMNO semasa parti itu berada dalam BN adalah tidak benar malah tidak dijelaskan secara terang.
”Saya sebagai menteri dalam Kabinet Tun Hussein (Allahyarham Tun Hussein Onn) ketika Pas keluar daripada BN. Saya juga ada dalam Kabinet Tun Razak (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein) bersama Presiden Pas, Datuk Mohd. Asri Muda dan Datuk Hassan Adli semasa Pas menyertai BN.
”Mohd. Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian serta bertanggungjawab terhadap Felda. Setelah beberapa bulan Pas berada dalam BN, ahli-ahli UMNO Johor membuat aduan kepada Tun Abdul Razak dalam majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung UMNO bahawa Mohd. Asri giat mempromosikan Pas terhadap peserta Felda. Saya berada di sisi Tun ketika itu,” katanya menerusi blognya, http://chedet.cc.
Dr. Mahathir menambah, ketika itu, secara kebetulan hampir semua peserta Felda terdiri daripada penyokong kuat UMNO dan tindakan sedemikian membuatkan peserta Felda mula menolak UMNO.
”Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat penyertaan Pas tidak menolong BN. Ia hanya untuk memberi peluang kepada Pas mengembangkan pengaruh dalam kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.
”Di waktu itu timbul sengketa antara Mohd. Asri sebagai ketua Pas dengan Datuk Mohd. Nasir sebagai Menteri Besar untuk ganti Mohd. Asri. Mohd. Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan Mohd. Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan,” ujarnya.
Katanya, Mohd. Asri cuba menyingkirkan Mohd. Nasir melalui undi tidak percaya dan walaupun kalah, Mohd. Nasir enggan meletak jawatan.
Jelasnya, ramai ahli Pas memihak kepada Mohd. Nasir dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Mohd. Asri.
”Kerana Pas berpecah, Kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan. Pada Mac 1978, pilihan raya peringkat negeri diadakan di Kelantan.
”Mohd. Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan Pas. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga memenangi 11 kerusi. Pas memenangi hanya dua kerusi,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, perpecahan dalam Pas bukan kerana UMNO tetapi kerana Mohd. Nasir mencabar kepemimpinan Mohd. Asri.
”Kekalahan Pas menyebabkan Pas keluar daripada BN. Tidak ada penipuan oleh UMNO. Walau apa pun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai, orang Islam disuruh oleh agama supaya menyambut seruan kedamaian.
”Orang Islam disuruh bersatu padu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatu padu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

KOMEN : SIAPA YANG TANGGUNG DOSA PERMUSUHAN SESAMA ORANG ISLAM NI????

Keberanian Pas semakin terhakis

SALAH satu sikap yang semakin terhakis daripada Pas sejak menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ialah keberanian.
Begitulah juga dalam isu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Pas tidak berani menyatakan secara terbuka atau lebih tepat lagi membuat kenyataan rasmi bahawa mereka mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menduduki jawatan berkenaan.
Sebaliknya, apabila tercetus khabar bahawa Majlis Syura Ulama Pas menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin Pas cepat-cepat menafikannya dan menganggap ia mengarut.
Tetapi tidak ada satu pun kenyataan yang menegaskan siapa yang mereka mahu sama ada Abdul Hadi atau Anwar.
Dalam soal ini, kita memahami Pas berasa serba-salah ibarat ditelan mati emak, ditelan mati bapa. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin sudah terperangkap dalam situasi politik yang mereka ciptakan sendiri.
Dari satu sudut, pemimpin-pemimpin Pas amat memahami bahawa di dalam parti itu terdapat arus yang kuat yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri dan ia sudah diterjemahkan melalui kenyataan seorang wakil Dewan Ulam ketika muktamar tahunan parti itu baru-baru ini.
Kenyataan berkenaan disokong oleh ramai pemimpin Pas khususnya dalam kalangan ulama. Dari satu sudut lain pula, Pas mahu menjaga hati Anwar dan hubungan bersama PKR serta DAP.
Pas tidak mahu jika mereka membuat kenyataan rasmi menolak Anwar ia boleh menjejaskan hubungan berkenaan, apatah lagi pemimpin Pas yang menyokong ketua pembangkang itu terlalu ramai dalam parti tersebut.
Oleh itu cara yang paling selamat ialah menafikan berlakunya perbincangan berhubung penolakan ke atas Anwar dan dalam masa yang sama tidak menyatakan siapa yang mereka mahu.
Inilah sikap Pas sekarang, dari semasa ke semasa keberanian untuk menyatakan sebuah kebenaran semakin terhakis. Apa salahnya mereka berterus-terang supaya pemimpin dan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak terus bingung.
Tetapi pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu berbuat demikian kerana mahu menjaga hati Anwar, PKR dan DAP.
Mungkin bagi pemimpin-pemimpin Pas menjaga hubungan dengan kedua-dua parti itu adalah lebih penting berbanding menilai perasaan ahli sendiri.
Selain itu, sikap tidak berani menyatakan secara rasmi siapa pilihan mereka untuk menjadi Perdana Menteri telah menimbulkan persoalan apakah Pas secara senyap-senyap sememangnya mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri?
Jika itu benar, apakah ia bermaksud kepimpinan Pas tidak mempedulikan desakan akar umbi yang mahukan Abdul Hadi menduduki jawatan tersebut?
Atau sememangnya benar ada perancangan untuk memujuk pemimpin di luar pakatan pembangkang bagi tujuan tersebut?
Sepatutnya, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama dan pemimpin bertaraf ulama dalam Pas berani ke hadapan untuk menyatakan kebenaran. Kalau betul mereka tidak mahu Anwar maka nyatakan secara terbuka.
Tetapi malangnya itu tidak berlaku kerana Pas bimbang jika kenyataan rasmi dibuat untuk menolak Anwar, ia akan menjejaskan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.
Mungkin juga, sikap Pas ini ada kaitan dengan kekuatan parti itu untuk melawan kehendak PKR dan DAP.
Pemimpin-pemimpin Pas amat memahami DAP begitu konsisten mempertahankan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, oleh itu sudah pasti mereka tidak berani hendak menyanggah DAP.
Tambahan pula, Pas bukanlah tonggak utama dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak mempunyai kekuatan untuk tidak akur kepada kehendak PKR dan DAP.
Apa sahaja yang diinginkan dan diputuskan oleh kedua-dua parti itu, Pas tidak adan kudrat untuk melawan.
Namun soal terhakisnya keberanian Pas bukanlah isu baru malahan dalam beberapa isu sebelum ini pun parti itu dilihat terlalu takut untuk menyatakan pendirian.
Kalau pun pendirian dibuat ia dilakukan secara berlapik sehinggakan ia menimbulkan kekeliruan yang mana satu pendirian rasmi Pas. Inilah yang berlaku dalam isu kalimah Allah. Jika dalam isu berkaitan Islam pun Pas tidak ada keberanian apatah lagi isu yang melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang lain.
Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas sebenarnya sudah terperangkap dalam mainan politik yang mereka ciptakan sendiri.
Justeru kata beliau, Pas terpaksa berhati-hati memandangkan banyak isu yang tercetus menyaksikan ahli-ahli parti itu semakin tidak berpuas hati.
”Begitulah juga dalam isu berkaitan kedudukan Anwar ini, Pas tidak mahu membuat pendirian rasmi kerana memahami sebahagian besar ahli-ahli mereka menolak Anwar.
”Pelbagai isu yang melumuri ketua pembangkang itu menyebabkan beliau dilihat tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.
”Malahan satu kajian yang dijalankan dalam kalangan orang Melayu menunjukkan Anwar tidak sesuai untuk memimpin negara,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar.
Ketika ditanya, apakah pendekatan politik Pas sekarang menyebabkan parti itu semakin terhakis keberaniannya, Dr. Mohamed Mustafa berkata, semua itu berlaku kerana kesilapan Pas sendiri.
”Mereka yang memilih untuk mewujudkan kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi akhirnya hanya sekadar menjadi pak turut sahaja. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli Pas dan inilah yang membimbangkan kepimpinan parti itu,” kata beliau.
Dr. Mohamed Mustafa berkata, berikutan keadaan itu, pemimpin-pemimpin Pas dilihat lebih berhati-hati supaya tindakan mereka tidak dilihat terus menyinggung perasaan ahli-ahli.
”Kepimpinan Pas bimbang, jika ahli-ahli Pas terus marah dengan situasi yang berlaku, mereka tidak akan bekerja dalam pilihan raya, keadaan ini boleh membahayakan pakatan pembangkang,” katanya.
Apa yang dikatakan oleh Dr. Mohamed Mustafa itu sememangnya benar kerana jentera pilihan raya Pas dianggap paling terbaik berbanding jentera PKR dan DAP.
PKR tidak mempunyai jentera pilihan raya yang tersusun manakala DAP pula ala kadar sahaja, oleh itu kedua-dua parti itu bergantung kepada Pas.
”Persoalannya, mahukah jentera pilihan raya Pas bekerja bermati-matian sedangkan yang akan untung akhirnya PKR dan DAP,” tanya Dr. Mohamed Mustafa.
Semua keadaan ini sudah tentulah merimaskan kepimpinan Pas, apatah lagi dalam kalangan ahli dan penyokong termasuklah guru-guru pondok mereka melihat parti itu sudah tidak ada keberanian lagi.
”Banyak isu yang menyebabkan penyokong dan ahli Pas kecewa ia termasuklah isu kalimah Allah, syiah dan liberalisme,” kata Dr. Mohamed Mustafa lagi.
Berdasarkan apa yang diperkatakan, jelaslah kepada kita kenapa Pas kini semakin terhakis keberaniannya.
Akibat daripada keadaan itu ia menyebabkan keputusan yang dibuat oleh Pas dalam sesuatu isu semakin mengelirukan.
Oleh itu tidak perlu kita mengharapkan apa-apa ketegasan daripada Pas selepas ini kerana sudah terbukti kepentingan politik telah meragut keberanian Pas sebagai sebuah parti bermaruah.
KOMEN : ULARMAK DALAM PAS NI DAH MACAM IBU KETAM MENGAJAR ANAKNYA BERJALAN LURUS, TAPI SENDIRI JALAN MENGIRING…

AHLI PAS – LU FIKIRLAH SENDIRI

Ahli Pas diingat jangan undi pakatan pembangkang
DARI UTUSAN MALAYSIA
12/2/2013

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Ahli-ahli Pas diingatkan jangan memberikan undi mereka kepada calon parti itu dan calon rakan sekutu mereka iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum akan datang selagi Pas kekal dalam pakatan pembangkang.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali (gambar) yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan institusi Islam dan Melayu terus dimartabat di negara ini.
“Ahli dari bawah perlu mendesak pemimpin Pas mengambil langkah menyelamatkan parti itu daripada terus menjadi kuda tunggangan DAP serta PKR dan yang lebih penting menyelamatkan maruah Islam dan kesucian perjuangan dengan keluar pakatan pembangkang.
“Jika opsyen itu gagal, ahli dan penyokong Pas tidak mempunyai banyak pilihan melainkan tanpa ada syak dan ragu, jangan memberi undi kepada calon pakatan pembangkang, sebaliknya memilih calon Islam Melayu yang benar-benar dapat memartabatkan Islam di luar pakatan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, Pas kini ibarat di persimpangan kerana ahli parti itu kini semakin marah dan bosan dengan cara kepemimpinan Pas menangani tindakan DAP yang tidak bersetuju dengan apa sahaja tindakan Pas berhubung perkara berkaitan Islam.
Parti berlabel Islam itu juga, katanya, dilihat akur dan menyerah kalah kepada DAP hampir dalam semua insiden sehingga mengorbankan dasar asas perjuangan, semata-mata mahu menjaga kesatuan pakatan pembangkang dalam mengejar Putrajaya.
“Pas mesti memutar stereng sama ada ke kanan atau ke kiri. Memutar ke kanan ertinya balik ke pangkal jalan menjunjung dasar perjuangan asal parti yang telah disuburkan buat sekian lamanya melalui taburan dan bajaan keringat, air mata dan darah.
“Membelok ke kiri pula bermakna terus bersekongkol dengan petualang-petualang dan musuh Islam serta orang Melayu. Pas terus diperalatkan demi mencapai tujuan tersembunyi yang kini mula terserlah dalam kalangan pimpinan DAP dan PKR,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia berkemungkinan besar bakal menjadi sebuah republik sekular dengan mengamalkan fahaman liberalisme Barat apabila pakatan pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.