Matahari hambur letusan amat kuat

GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan letusan di matahari kelmarin.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat – Matahari menghamburkan letusan api amat kuat kelmarin sekali gus yang terbesar dalam tempoh hampir lima tahun.

Saintis-saintis memberitahu, impak fenomena berkenaan ke atas sistem satelit dan komunikasi adalah kecil kerana letusan berlaku di permukaan matahari yang membelakangkan Bumi.

Seorang saintis angkasa lepas A, Joe Kunches yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca negeri Colorado berkata, cuma terdapat laporan gangguan gelombang radio pendek di Asia susulan letusan kuat itu.

Matahari kini berada dalam fasa perubahan memasuki kitaran lebih aktif.

Saintis-saintis meramalkan akan berlaku lebih banyak letusan solar dalam masa lima tahun akan datang dengan letusan solar serupa berlaku pada Disember 2006.

Advertisements

Tiang masjid panas seperti bara

PENDUDUK gempar apabila tiang masjid di Kampung Koto Tengah, Kerinci ini menjadi panas seperti bara api, baru-baru ini.

JAMBI – Satu peristiwa aneh berlaku di sebuah perkampungan di tengah Sumatera apabila tiang sebuah masjid dilaporkan tiba-tiba menjadi panas seperti bara api sehingga boleh membakar tangan orang yang menyentuhnya.

Kejadian itu berlaku di Masjid Jamik Nurul Ikhwah di Kampung Koto Tengah di daerah Kerinci, Jambi.

Ketua Jabatan Hubungan Masyarakat Daerah Kerinci, Julizarman berkata, satu daripada tiang masjid itu menjadi panas seperti bara api secara tiba-tiba dan telah mengarahkan orang untuk memeriksanya.

Menurutnya, kejadian aneh itu mula disedari oleh petugas masjid, Rahimi yang ketika itu sedang membersihkan masjid menjelang solat maghrib, Ahad lalu.

“Rahimi tiba-tiba menjerit ketika tapak kakinya memijak lantai masjid berhampiran tiang yang panas itu,” kata Julizarman kepada Antara.

Menurut penduduk kampung, pada awalnya hanya lantai berhampiran tiang itu yang panas, tetapi hari demi hari, panas itu merebak ke satu tiang masjid, sekali gus mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk.

Julizarman berkata, mereka mengesyaki tiang masjid itu menjadi panas disebabkan pengeluaran wap panas bumi dari tanah ekoran pergerakan gunung berapi Kerinci yang terletak berdekatan dengan masjid itu.

“Apa pun kita tunggu keputusan penyelidikan yang dilakukan oleh Jabatan Tenaga Sumber Daya Mineral (ESDM), Kerinci,” ujarnya. – AGENSI

Disambar petir ketika guna telefon bimbit

IZZAN Nuqry Muhamad yang cedera parah akibat disambar petir dibawa ke Hospital Umum Sarawak, Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUCHING 15 Julai – Kelekaan seorang remaja berbual menerusi telefon bimbit ketika cuaca buruk di kawasan terbuka mengundang padah apabila dia disambar petir petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Izzan Nuqry Muhamad Yaakub, 18, pengsan di tempat kejadian dengan kesan luka dan melecur di beberapa bahagian badan termasuk tangan dan telinga kiri.

Menurut saksi, mangsa dikatakan sedang membersihkan dinding di luar surau Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di sini sambil menjawab panggilan telefon menggunakan alat bebas tangan.

“Sebaik sahaja petir menyambar, Izzan Nuqry terus rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa orang rakan yang melihat kejadian itu bergegas membawanya ke HUS (Hospital Umum Sarawak),” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika hujan lebat yang disertai dengan petir sejak pukul 5 petang.

Keadaan remaja itu kini dilaporkan stabil walaupun masih berada dalam keadaan terkejut.

Lelaki ada 150 peluru penabur dalam badan

BAHAGIAN belakang tubuh Joe Clarke yang mempunyai bintik kemerahan akibat ditembak.

CONSETT, Britain – Seorang lelaki, Joe Clarke, (gambar kecil) 33, mempunyai lebih 150 butir peluru penabur di dalam tubuhnya sejak 2007, lapor sebuah akhbar semalam.

Doktor-doktor tidak dapat mengeluarkan sebutir pun peluru tersebut kerana terdapat sebahagian daripada peluru itu menembusi organ-organ pentingnya.

Clarke ditembak oleh dua lelaki yang melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang patah selepas dia membuka pintu rumahnya di sini pada Disember 2007.

Peluru penabur itu menembusi bahagian tubuh belakangnya, kepala dan leher.

Semasa kejadian, Clarke berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang jirannya yang menyembunyikan dia dalam rumahnya.

Lapan bulan selepas serangan itu yang berlaku akibat perbalahan dengan seorang bekas kekasihnya, lima lelaki didakwa berkonspirasi untuk membunuhnya.

Dia kini menghadapi kesan sampingan akibat tembakan tersebut iaitu rasa sakit pada setiap hari.

“Para kakitangan hospital menyatakan mereka tidak pernah melihat kejadian seperti ini,” kata Clarke.

Ketika menggambarkan detik-detik dia ditembak, Clarke menggambarkan dirinya seperti badannya dibakar. – Agensi

p/s   Pelik tapi masih hidup sehingga hari ini….