VW Passat Alltrack

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
DARI KOSMO ONLINE

6/12/2011

JENTERA ini dipasang dengan pacuan empat roda 4MOTION.


BARU-BARU ini Volkswagen (VW) melancarkan tiga model serentak iaitu Passat, Jetta dan Cross Touran di pasaran tempatan. Memandangkan model-model tersebut sudah lama dipasarkan secara global jadi tidak hairanlah VW mampu melancarkannya secara sekali gus.

Anehnya Passat yang dipasarkan adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman dan bukan model pemasangan terurai tempatan (CKD). Passat merupakan salah satu model yang bakal dipasang di kilang milik DRB Hicom pada penghujung tahun ini.

Lazimnya akan ada perbezaan harga antara model CBU dan CKD dan saya tidak pasti mengapa VW tidak sabar untuk memperkenalkan model Passat CBU. Apa pun VW pasti mempunyai perancangan tersendiri dengan senario tersebut.

Selain isu di atas, apa yang menarik perhatian (juga aneh) ialah apabila VW memperkenalkan MPV Touran versi Cross. Jangkaan ramai bahawa VW akan memperkenalkan Touran agak tersasar dengan pengenalan varian Cross yang nampak rugged untuk sebuah MPV.

Seingat saya tidak ada lagi model Cross untuk sebuah MPV ditawarkan dalam pasaran tempatan. MPV ialah kenderaan untuk mengangkut penumpang. Bukannya digunakan untuk meredah hutan kecil atau memancing, apatah lagi melawat ladang kelapa sawit.

Boleh bayangkan bagaimana Proton Exora atau pun Toyota Avanza ditawarkan dengan versi Cross? Huh, buruk rasanya.

Walau bagaimanapun, Cross Touran dengan arca rodanya yang lebar tidaklah buruk bahkan agak sempurna apabila digabungkan dengan badan berkotak Touran. Sekali lagi saya percaya VW mempunyai perancangannya tersendiri dengan pengenalan model tersebut walaupun tidak pernah dibuat oleh pengeluar lain.


RUANG kabin yang menguatamakan keselesaan pemandunya.


Di peringkat global pula, VW baru sahaja mendedahkan beberapa foto model terbaru mereka iaitu Passat Alltrack. VW membuat penampilan sulung global model itu di Pameran Kenderaan Tokyo 2011 dengan program produksi yang dirancang pada tahun 2012.

Passat Estate

Di sebalik nama Alltrack, saya percaya ini adalah sebuah lagi varian Cross yang berselindung di sebalik nama yang agak fancy dan catchy.

Passat Alltrack sebenarnya dibina berasaskan model Passat Estate, cuma model baharu itu ditambahkan dengan pacuan empat roda 4MOTION dan jarak kelegaan bumi ditinggikan untuk keberkesanan sewaktu off road.

Imej luarannya juga turut diubah dengan penambahan aksesori bagi melindungi badan kereta daripada tercalar apabila melalui permukaan yang mencabar. Aksesori tersebut terdiri daripada panel pelindung depan dan belakang dengan efek besi tahan karat serta arca roda yang lebar.

Pada 4,771 milimeter (mm), panjang Passat Alltrack sebenarnya adalah sama dengan Passat Estate. Biarpun dengan arca roda baharu, lebarnya tetap sama dengan 1,820mm.

Suspensi Passat Alltrack ditinggikan bagi menambah kelegaan bumi daripada 135mm kepada 165mm. Peningkatan tersebut membolehkan badan kereta melepasi lebih halangan di laluan yang sukar.

Seperti kenderaan VW lain yang menggunakan sistem 4MOTION, roda Passat Alltrack dipacukan pada bahagian depan dengan hanya sepuluh peratus kuasa diagihkan pada roda belakang bagi membantu menjimatkan minyak.


BUKAAN pintu yang luas untuk memudahkan proses keluar masuk dari ruang kabin.


Jika perlu, hampir 100 peratus kuasa boleh dihantar ke gandar belakang melalui penggunaan klac elektrohidraulik Haldex. Passat Alltrack turut mempunyai seleksi mode off road yang sama seperti model Tiguan Escape.

Apabila seleksi dipilih melalui butang pada papan pemuka, sistem Hill Descent Assist (HAD) akan diaktifkan dengan fungsi brek secara automatik apabila kenderaan berada pada curam melebihi 10 darjah.

Fungsi ABS juga diubah supaya lebih sensitif pada permukaan licin beserta fungsi electronic differential locks (EDS) yang lebih aktif bertindak balas bagi mengelak daripada gelinciran roda (wheelspin).

Bagi varian yang menggunakan transmisi klac berkembar DSG pula, corak penukaran gear turut diubah apabila seleksi mode off road dipilih. Poin penukaran ditala sedikit tinggi untuk memberikan kuasa dengan pergerakan pedal minyak yang lebih senang untuk dikawal, selain tanpa penukaran gear menaik secara automatik dalam mode manual.

Untuk pasaran United Kingdom (UK), model Passat Alltrack akan ditawarkan dalam versi 2.0 liter TDI berkuasa 140 PS dengan transmisi enam kelajuan manual dan versi 2.0 liter TDI berkuasa 170 PS dengan transmisi enam kelajuan DSG.

Adakah model ini akan dipasarkan di Malaysia? Rasanya tidak, memandangkan kita sudah ada versi Cross tersendiri iaitu Cross Touran.

Advertisements

Keunikan Evoque


PENGENALANNYA menandakan permulaan era baharu buat jenama ikonik British. Penciptaannya juga disifatkan sebagai langkah yang cukup berani oleh pengeluarnya. Ia mengubah tradisi lamanya. Itulah Evoque, model SUV terbaharu Range Rover.

Sebelum ini, rangkaian Range Rover disifatkan lebih ke arah pelanggan lelaki. Lihat sahaja senario pemanduan jentera ini di atas jalan raya di negara ini. Rata-ratanya pemandu lelaki. Bukan tiada pemandu wanita tetapi jarang sekali ditemui.

Senario itu bakal berubah. Bilangan pemandu wanita Range Rover di jalanan pastinya lebih kerap menerusi pengenalan Evoque. Model ini dikatakan mampu menjadi faktor pengimbang pasaran lelaki dan wanita dengan kadar nisbah 50:50.

Untuk makluman, Evoque ialah SUV paling kecil, ringan dan efisien pernah dihasilkan dalam rangkaian model Range Rover. Ia dibangunkan berdasarkan kereta konsep Range Rover LRX yang pernah dipamerkan pada North American International Auto Show pada tahun 2008.

Sewaktu Paris Auto Show tahun lalu, kereta konsep itu dizahirkan menjadi Evoque model tiga pintu (Coupe). Tahun yang sama turut menyaksikan pengenalan model lima pintu SUV Range Rover itu dalam Los Angeles Auto Show.


EVOQUE Coupe pastinya menarik perhatian umum sewaktu menyusuri jalan raya.


Awal bulan ini, kedua-dua model Evoque itu dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan oleh Land Rover (Malaysia) Sdn. Bhd. (Land Rover Malaysia). Model yang diimport sepenuhnya itu (CBU) didatangkan dalam pilihan enjin petrol dan diesel.

Pengarah Urusan Land Rover Malaysia, Mohd. Hazem Abdul Rahman menyifatkan Evoque sebagai model paling penting dan menarik keluaran Land Rover. Katanya, Evoque merupakan agen perubah jenama Range Rover.

“Ia menterjemahkan satu segmen serba baharu dalam pasaran SUV dan direka untuk mengubah set minda. Buat pertama kalinya, kami memiliki satu produk perintis yang akan menarik minat mereka yang tidak pernah mempertimbangkan sebuah Land Rover, Range Rover atau SUV sebelum ini.

Tempahan 250 unit

“Evoque memberikan yang terbaik daripada aspek penampilan kereta konsep menakjubkan dan digabungkan dengan keselesaan, praktikaliti untuk kegunaan harian dan kemampuan 4X4 yang tiada tandingan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hazem mengesahkan, sehingga kini, tempahan yang diterima untuk model Evoque sudah melepasi paras 250 unit. Dijangka varian lima pintu petrol akan meraih sambutan memberangsangkan.


SUSUN atur butang kawalan kemas dan mudah dicapai pemandu.


Evoque coupe dan lima pintunya masih berpegang pada nilai-nilai utama dan kemewahan premium jenama Range Rover. Ia menawarkan prestasi mengagumkan di atas semua bentuk laluan selain pengendalian yang dinamik dan sporty.

Model SUV itu didatangkan dengan pilihan enjin petrol 2.0 liter dan diesel 2.2 liter. Enjin petrol Si4 tersebut digabungkan dengan sistem pancitan terus bahan api, pengecas turbo dan pemboleh ubah pemasaan injap berkembar untuk pemanduan serta penjimatan bahan api.

Bagi model diesel pula, ia menggunakan khidmat enjin turbodiesel yang turut digunakan pada model Land Rover Freelander 2. Kedua-dua jenis enjin empat silinder sebaris itu diberi padanan transmisi automatik enam kelajuan AW F-21 G generasi baru dengan Rotary Auto Shifter.

Semua varian Evoque dipasang dengan rim aloi bersaiz 20 inci. Selain itu, ia dilengkapi sistem audio dengan 11 unit pembesar suara, skrin sentuh bersaiz lapan inci bersama sistem navigasi, paparan maklumat pemandu TFT berwarna bersaiz lima inci yang ditempatkan di antara dua dial instrumen, sistem parkir selari automatik dan pintu but berkuasa.

Tidak lupa juga sambungan teknologi seperti input USB, soket imput tambahan untuk iPod dan peranti mudah alih lain, sambungan Bluetooth untuk kegunaan telefon bebas tangan dan penstriman audio.


ROTARY Auto Shifter menggantikan penggunaan tombol gear konvensional.


Sistem Adaptive Dynamics

Bagi Evoque Coupe, ia didatangkan bersama sistem Adaptive Dynamics dan peredam MagneRide yang menawarkan keseimbangan antara keyakinan, pengendalian lincah, fleksibel serta pemanduan terkawal.

Bumbung panoramik kaca bersaiz penuh meningkatkan lagi sensasi ruang yang luas. Pada masa yang sama, ia menerangkan ruang kabin secara semula jadi dan meluaskan pemandangan untuk semua penumpang di dalamnya.

Evoque lima pintu mempunyai garis bumbung bahagian belakang yang lebih tinggi. Ia memberikan lebihan ruang dan versatiliti pada bahagian kabin. Sekali gus memastikan penumpang tempat duduk belakang tetap selesa sepanjang perjalanan.

Cerminan sebenar Evoque terletak pada penampilan luarannya. Evoque nyata lebih menyerlah menerusi aplikasi lampu utama adaptif xenon bersama satu grafik signatur penuh kuasa pada lampu hadapan menggunakan teknologi bilah lampu LED. Grafik sama diulang pada lampu belakang LED dengan reka bentuk kelopak 3D seperti sebiji batu permata.

Masuk ke dalam kabin, didapati paparan dalaman hidup menerusi urutan penghidup yang dikoreograf. Lampu ambien LED memberikan iluminasi sofistikated dan tepat ke dalam kabin. Apabila memilih mode Dynamic, skim warna merah muncul dan menerangi ruang dalaman dan gugusan paparan meter.

Fabrik yang digunakan pada bahagian dalaman membabitkan kulit premium Oxford. Ia dijahit menggunakan tangan dengan jahitan dua bilah jarum. Ia meliputi bahagian tengah papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk.


PANEL instrumen juga memaparkan status kenderaan dan pelbagai program pilihan.


Evoque menggunakan sistem suspensi dan struktur baharu. Ia menawarkan pemanduan dinamik sama ada di laluan off-road atau sebaliknya. Struktur tubuhnya dibina menggunakan keluli ringan yang kukuh untuk memberi ketegaran terbaik.

Model itu juga sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan seperti Dynamic Stability Control, Roll Stability Control, Traction Control System, Trailer Stability Assist, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Gradient Release Control dan Engine Drag torque Control.

VW – Tiguan yang istimewa


DARI KOSMO ONLINE
14/11/2011


PRESTASI Tiguan diseimbangkan dengan pelbagai teknologi sistem keselamatan.


BARU-baru ini, Volkswagen Group Malaysia (VGM) memperkenalkan model baharu Tiguan. Jentera dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION itu tergolong dalam segmen SUV kompak.

Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay menyifatkan kenderaan itu sebagai sebuah SUV istimewa memandangkan ia lengkap dengan ciri-ciri seperti mana yang terdapat dalam sebuah kenderaan besar.

Tiguan yang lebih kompak merupakan alternatif kepada model Touareg dan dilihat sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Elemen inovasi dan teknologi yang terkandung dalam jentera itu menonjolkan kualiti peneraju dalam segmennya tersendiri.

“Tiguan mula dilancarkan ke pasaran tempatan pada tahun 2008. Model baharu ini dikukuhkan lagi menerusi inovasi, rekaan dan teknologi Volkswagen,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Enjin petrol yang digunakan ialah 2.0 TSI. Mampu menjana kuasa maksimum 210PS menerusi motor pengecas turbo, ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan Direct Shift Gearbox (DSG). Penggunaan minyak dianggarkan sebanyak 8.6 liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Agak mengagumkan apabila SUV ini berupaya menzahirkan tork maksimum sebanyak 280Nm. Sementara kelajuan maksimum pula mencecah 213 kilometer sejam (km/j). Masa yang diperlukan untuk 0-100 km hanyalah 7.3 saat.

Bahagian luaran Tiguan dilengkapi lampu hadapan Bi-Xenon dengan DRL (Daytime Running Lights), sistem pencuci lampu hadapan, cermin sisi boleh lipat, rel bumbung bersadur perak dan rim aloi 17 inci.


REKAAN dan material yang digunakan di dalam kabin membuatkannya terasa lebih mewah.


Melangkah masuk ke dalam kabin, stereng kulit tiga jejarinya dilengkapi dengan butang pelbagai fungsi. Material kulit juga membaluti tombol gear. Karpet dalam jentera ini turut membantu menyerlahkan kemewahannya.

Papan pemuka pula memiliki suasana pencahayaan yang membantu memberi ketenangan pada pemandu. Keselesaan juga dititikberatkan menerusi sistem pendingin hawa climatronic dan ciri cruise control. Tiguan memiliki ruang kargo seluas 470 hingga 1,510 liter.

Selain itu, Tiguan turut dilengkapi sistem multimedia antara muka untuk iPod dan USB, Park Distance Control dengan Rear Assist, kamera pandang belakang, audio RCD510 dengan fungsi MP3, pemain cakera padat dan lapan pembesar suara. Ia juga memiliki sistem ISOFIX.

Ia sarat dengan teknologi keselamatan seperti ABS, EBD, Electronic Stability Program, Anti-Slip Regulator, Comfort Brake Assistant, Electronic Parking Brake dengan Auto Hold Function, Electronic Vehicle Immobilisation Device, Engine Drag Torque Control, penunjuk tayar kempis dan sensor hujan.

Tiguan ditawarkan pada harga RM238,888 dan boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Nissan Livina X-Gear


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
KOSMO ONLINE

SEJAK model kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina dipasarkan pada Disember 2007, jenama Nissan dilihat kembali bernyawa di pasaran tempatan.

Dengan praktikaliti dan kualiti yang ditawarkannya, Grand Livina pantas menarik perhatian ramai. Sekali gus menjadikannya MPV bukan nasional paling laris di Malaysia.

Kelibat Grand Livina boleh dilihat di mana-mana. Sama ada model biasa atau lengkap dengan bodykit Impul, ia jelas membuktikan betapa popularnya MPV tersebut.

Namun, kebelakangan ini anda mungkin terserempak dengan kenderaan yang seakan-akan Nissan Livina tetapi bentuknya sedikit lain. Sebenarnya, itu adalah varian terbaharu dalam keluarga Grand Livina yang ditawarkan oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM).

Dikenali sebagai Livina X-Gear, ia dikategorikan dalam segmen crossover yang bersaing secara langsung dengan beberapa model lain seperti Suzuki SX4. Ia juga boleh bertindak selaku pencabar kepada model-model hatchback segmen B sedia ada termasuklah Suzuki Swift, Ford Fiesta, Mazda2 dan Honda Jazz.

“Dengan Livina X-Gear berkapasiti dua baris tempat duduk, kami kini mensasarkan pelanggan segmen baru yang mahukan sebuah crossover penuh gaya untuk menunjukkan individualiti mereka. Pada masa yang sama kekal praktikal dan ekonomikal untuk kegunaan setiap hari,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng.

Apa sebenarnya crossover? Mudah cerita ia merupakan model yang dibangunkan daripada platform sedan dan diberi wajah berinspirasikan kepada sebuah SUV. Ia cukup sesuai untuk mereka yang mempunyai gaya hidup aktif, tetapi jarang sekali membawa kenderaan ke laluan off-road.

Seperti namanya, model itu dibina menggunakan platform sama dengan Grand Livina. Bezanya, ia tidak lagi mempunyai barisan tempat duduk ketiga. Jadi, sekali pandang ia seakan-akan Grand Livina versi lima tempat duduk.


JENTERA ini sesuai untuk mereka yang memiliki gaya hidup aktif.


Melepasi ekspektasi

Namun, ketiadaan tempat duduk baris ketiga itu memberikan anda lebih ruang kargo. Dalam keadaan biasa, ruang itu boleh mencecah 383 liter. Apabila kerusi belakang itu dilipat sepenuhnya, ia berubah menjadi 769 liter. Lebih daripada cukup untuk mengangkut barang-barang runcit yang dibeli pada hujung minggu.

Secara mekanikalnya model itu berasaskan kepada Grand Livina 1.6. Gayaan luaran yang menarik adalah eksklusif untuk Livina X-Gear. Ini dapat dilihat pada gril hadapan yang sofistikated dan agresif. Bampar hadapan dan belakangnya mengangkat tema SUV bersama penutup takungan pelincir berwarna perak, over-fender maskulin serta rel bumbung (roof rails).

Harus tahu bahawa rel bumbung itu bukan sekadar hiasan. Ia boleh menampung beban sehingga 25 kilogram tanpa sebarang masalah. Jadi, bolehlah anda mengangkat barang seperti basikal, kotak Thule atau kelengkapan berkhemah di atasnya.

Saya berpeluang memandu uji Livina X-Gear baru-baru ini ke Pulau Pinang. Apa yang boleh saya katakan ialah ia melepasi ekspektasi awal saya. Untuk makluman, jentera itu menggunakan enjin aluminium sepenuhnya berkod HRDE16 bersesaran 1.6 liter, sama seperti yang ada pada model Grand Livina 1.6.

Apa yang pasti, ia tidak terasa berat sebagaimana Grand Livina. Ini kerana 100 kilogram beratnya sudah hilang. Jadi, anda akan dapat menikmati torknya dengan lebih cepat. Memotong kenderaan atau bermula di lampu isyarat juga semakin mudah.


PAPAN pemuka dan stereng yang ringkas dan praktikal.


Stereng Ringan

Memandu di jalan lama yang bengkang-bengkok, kualiti pemanduan yang diberikan oleh X-Gear adalah memuaskan. Sterengnya responsif dan tepat. Walaupun dipandu agak laju, keadaan bahagian belakang membuang jarang sekali berlaku.

Di laluan lurus, pemandu akan merasa stereng X-Gear agak ringan. Sekali gus mengurangkan sedikit keyakinan untuk memandu dalam kelajuan terlalu tinggi. Ketika pedal ditekan ke lantai, maklum balas enjin yang disalurkan menerusi transmisi empat kelajuan dapat dilakukan dengan lancar.

Ditanya kenapa transmisi itu dipilih dan bukannya kotak gear CVT dengan lebih banyak pilihan gear digunakan, ETCM ada beberapa sebab. Pertamanya, berkaitan dengan kos. Kedua, kolaborasi antara enjin itu sudah cukup bagus. Walaupun kelajuan mencecah lebih 100 kilometer sejam (km/) jarum rpm masih berlegar di bawah 3,000rpm.

Saya harus akui bahawa Livina X-gear menawarkan ruang kabin yang luas. Tidak kira sama ada di hadapan atau belakang, anda boleh duduk dengan selesa. Untuk membezakannya lagi dengan varian Grand Livina, tempat duduk dan kemasan pintunya menggunakan fabrik bercorak kotak-kotak atau tartan.

Berada di tempat duduk pemandu, anda akan pantas mengenali susun atur papan pemuka tipikal kenderaan Nissan yang ringkas. Semua butang kawalannya mudah dicapai dan dioperasi.

Sterengnya juga kosong tanpa sebarang butang kawalan audio. Memang ia tidak mampu menandingi pelbagai ciri yang ada pada produk keluaran Korea yang ditawarkan pada harga hampir sama dengannya.


ANDA boleh mengharap pemanduan yang memuaskan dengan Livina X-Gear.


Aspek keselamatan tidak dilupakan. Nissan Livina X-Gear dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD dan BA sebagai ciri standard.

Nissan Livina X-Gear serba baharu didatangkan dalam lima warna iaitu perak, kelabu, putih, hitam dan oren. Ia ditawarkan pada harga RM82,800 seunit, kurang RM7,000 berbanding model Grand Livina 1.6. Ia turut hadir bersama jaminan tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (yang mana tiba dahulu).

Lebih menarik lagi, ETCM kini menawarkan pelan sewa beli istimewa dengan kadar faedah rendah bermula daripada 0.88 peratus setahun. Para pembeli Livina X-Gear juga akan menerima pakej filem tinted Solar Gard Armorcoat bernilai RM1,400 secara percuma sepanjang promosi yang akan berakhir pada 30 Oktober 2011.

Santa Fe baharu langkaui jangkaan pelanggan


DARI UTUSAN MALAYSIA
10/10/2011


Hyundai-Sime Darby Motors memperkenalkan kenderaan sport utiliti (SUV) terbaharu, Santa Fe 2.2 liter diesel dan 2.4 liter petrol edisi premium.


KUALA LUMPUR 9 Okt. – Hyundai-Sime Darby Motors (Hyundai-Sime Darby) memperkenalkan kenderaan sport utiliti (SUV) terbaharu, Santa Fe 2.2 liter diesel dan 2.4 liter petrol edisi premium.

Model yang dipasang sepenuhnya di negara ini, menampilkan rekaan dalaman dan luaran lebih elegan dan sporty.

Pengarah Urusannya, Dennis Ho berkata, barisan model Santa Fe yang dipertingkatkan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menambah baik dalam menawarkan kelas kenderaan terbaik kepada pengguna.

Model Santa Fe berkuasa 2.2 liter diesel manakala model 2.4 petrol kini boleh didapati dalam spesifikasi premium yang didatangkan dengan hiasan luaran dan dalaman dipertingkatkan seperti jeriji depan yang direka semula, gril lampu kabus hitam berkilat, depan dan plat skid belakang selain hiasan krom serta tayar bersaiz 18 inci rekaan baharu.

Satu lagi ciri edisi premium ini ialah brek Kawalan Menuruni Bukit (DBC) yang menggunakan kawalan hidro-elektronik untuk mendapat maklumat daripada kelajuan roda, sudut stereng dan deria pecutan untuk mengekalkan kawalan dan kelajuan penurunan curam tanpa menggunakan brek.

“Sante Fe memang memberi nilai kepada wang dengan transmisi automatik penyelenggaraan bebas enam kelajuan, penyesuaian tambahan secara elektronik mendorong perubahan sistem empat pacuan daripada dua roda kepada empat roda dalam seketika atau 4 roda kunci pada sentuhan butang.

”Kami berusaha memberikan ciri dan kualiti kenderaan yang melangkaui jangkaan pelanggan,” katanya di sini.

Harga di atas jalan tanpa insurans bagi model 2.2 diesel ialah RM169,258 manakala 2.4 petrol berharga RM158,517 untuk Semenanjung Malaysia.