RAMADHAN AKAN BERAKHIR DAN SYAWAL AKAN MENJELMA

SALAM AIDIL FITRI 

MAAF ZAHIR DAN BATIN

DARI 

KAMI SEKELUARGA
Advertisements

Harga ayam naik?

‘Drama ulangan’ setiap kali Aidilfitri
SITI NORHAWA MOHD. ALI | 30 Jun 2015 1:35 AM
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 29 Jun – Alasan makanan ayam mahal dan permintaan tinggi berbanding bekalan diibaratkan sebagai ‘drama ulang tayang’ oleh para penternak dalam usaha mereka menaikkan harga ayam setiap kali perayaan Aidilfitri.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, alasan-alasan tersebut sudah tidak boleh diterima kerana digunakan saban tahun oleh para penternak bagi mengaut keuntungan pada musim perayaan.
Katanya, walaupun harga ayam akan dikawal dalam tempoh pe­rayaan, namun sebelum harga si­ling ditetapkan para penternak cuba memberi tekanan supaya harga ditetapkan kelak adalah tinggi dan tetap memberi keuntungan besar kepada mereka.
“Jika benar kos makanan ternakan meningkat sejak beberapa tahun lalu, mereka sepatutnya sudah mencari jalan penyele­saian contohnya menghasilkan makanan ayam sendiri supaya tidak lagi bergantung dengan import.
“Saya berharap selepas ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempamerkan kos bersih semasa seekor ayam supaya pengguna boleh membuat perbandingan dengan harga ayam di pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan persatuan penternak ayam beberapa negeri akan menaikkan harga ayam dengan alasan makanan ayam yang diimport mengalami kenaikan harga akibat kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia di samping pe­ningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, jika di luar musim pe­rayaan Aidilfitri, para penternak boleh pula menjual dengan harga rendah tanpa mengalami kerugian.
“Namun bila dekat nak raya, mulalah macam-macam alasan diberikan, makanan ternakan naik lah dengan tahun ini nilai mata wang ringgit yang rendah dijadikan alasan mengapa makanan ternakan import mahal.
“Mereka tahu permintaan terhadap ayam akan meningkat, jadi inilah masa untuk merebut peluang mengaut keuntungan besar. Sedangkan jika bukan musim pe­rayaan, mereka boleh jual dengan harga rendah dan tidak pula mengalami kerugian besar atau tutup kedai.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) harus menyiasat persatuan penternak dan pemborong yang didakwa berpakat menaikkan harga ayam menjelang musim perayaan dan ambil tindakan sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persa­tuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan yang dilakukan harus tidak sehingga membebankan pengguna.
“Saya faham jika kos operasi semakin meningkat tetapi saya berharap peniaga tidak tamak dan menaikkan harga secara mendadak.
“Wakil-wakil daripada penternak, pemborong, peniaga malah pengguna harus mengadakan dialog dan bersedia bertolak ansur untuk menyelesaikan masalah yang tidak berpenghujung ini,” katanya.

Akibat fahaman politik, umat Islam Malaysia lemah

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my
DR. MAHATHIR Mohamad bermesra dengan Mukhriz Tun Mahathir sambil diperhatikan oleh Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Norzieta Zakaria (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (Bidara) di Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 15 Julai – Biar pun ‘ditakdirkan’ menjadi golongan majoriti di negara ini, umat Melayu Islam di Malaysia perlu mengakui betapa golongan itu sebenarnya dalam keadaan lemah sehingga terpaksa meminta-minta daripada orang lain dalam banyak perkara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu berlaku disebabkan perpecahan sesama sendiri selain sikap tamakkan kuasa sehingga masing-masing menolak seruan penyatuan seperti disarankan Islam.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila sesetengah pihak berpendapat perbuatan mereka mengkafirkan umat Islam lain diredai agama suci itu semata-mata kerana hanya mahu menghalalkan permusuhan sesama sendiri.
“Umat Islam di Malaysia ini semuanya Sunni dan mengikut mazhab Syafie. Tetapi apabila sistem demokrasi diperkenalkan untuk mendapatkan kuasa, kita seakan terlupa persamaan itu sehingga sanggup menyalahgunakan agama dan bermusuh sesama sendiri.
“Akhirnya ada yang menuduh orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka itu sebagai murtad dan kafir. Apabila diajak bersatu padu, mereka lebih rela untuk bersaudara dengan pihak yang jelas bermusuh dengan Islam daripada bersaudara dengan umat Islam yang dikafirkan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 700 hadirin yang menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (Bidara) di Dewan Seri Mentaloon di sini malam tadi.
Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Yang Dipertua Bidara, Tok Puan Norzieta Zakaria.
Dr. Mahathir menambah, meskipun keadaan itu tidak seburuk pertelingkahan umat Islam di Syria, Iraq dan Mesir, namun umat Islam di negara ini harus mula berfikir secara mendalam mengenainya bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.
“Adakah patut kita melupakan nikmat yang Allah berikan kepada negara ini? Perlu diingat yang membezakan kita hanyalah fahaman politik tetapi perkara itu seakan merasuk jiwa kita sehingga kita melebihkan politik berbanding agama kerana tamak mengejar jawatan dan kuasa,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_03/Akibat-fahaman-politik-umat-Islam-Malaysia-lemah#ixzz37mQFYiF8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tingkatkan kekuatan parti

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim. – bernama

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ketiga-tiga sayap parti itu, Wanita, Pemuda dan Puteri agar bersama-sama meningkatkan kekuatan parti dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, selain jentera, kekuatan parti boleh dimaksimumkan melalui usaha ketiga-tiga sayap berkenaan mendekati golongan masyarakat yang diwakili serta mencadang dan melakukan penyelesaian terbaik buat kelompok berkenaan.
Katanya, peranan sayap berkenaan dalam menterjemahkan hasrat dan cita rasa kelompok rakyat tertentu amat penting bagi memastikan UMNO serta BN mengetahui perubahan diinginkan masyarakat seterusnya kekal sebagai parti berwibawa dalam negara.
“Jika setiap daripada kita memainkan peranan, saya yakin kita akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih inklusif dan kesannya akan meliputi semua kelompok masyarakat.
“Kita mesti faham apa cita rasa wanita dan kita mesti faham apa pengharapan generasi muda kepada kita dan jika kita selam lubuk hati mereka, itu akan menjadikan kita sebagai sebuah parti yang dekat di hati mereka,” katanya.
Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, ketiga-tiga Naib Presiden dan ketua sayap UMNO.
Kira-kira 10,000 hadirin memeriahkan rumah terbuka berkenaan bermula pukul 2 hingga 4 petang yang turut diselang-seli persembahan artis-artis popular tanah air.
Najib berkata, perjuangan UMNO dan BN sejak kemerdekaan yang tidak teragak-agak membawa perubahan ketika melalui peredaran zaman membuktikan kerajaan sentiasa berada dalam keadaan stabil dan ia berbeza dengan perubahan yang dilakukan di sesetengah negara Afrika Utara, Asia Barat serta Eropah.
Menurutnya, dasar baru kerajaan seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Politik (PTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan terbaru, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara adalah bukti kukuh pentadbiran negara memandang serius kemahuan rakyat.
Beliau menegaskan, kesemua usaha itu merupakan jawapan terbaik kepada janji-janji bersifat populis yang ditabur pembangkang tanpa melaksanakan kesemua perkara yang dijanjikan tersebut.
“Kita sudah buktikan perubahan tidak semestinya menuntut kita menolak parti yang sudah memerintah atau struktur yang ada hari ini, kalau perubahan yang dituntut rakyat mampu dibawa parti kita, maka, kita mampu mendapat sokongan padu daripada rakyat,” katanya.