MBOR – Pelajar UiTM cipta rekod kawad kaki 24 jam

DARI UTUSAN MALAYSIA
23/5/2012

Anggota badan beruniform UiTM menyertai Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti sempena sambutan Hari Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ke-69 di UiTM Arau, Perlis, baru-baru ini.

ARAU 22 Mei – Padang Kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di sini menjadi saksi keupayaan institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menamatkan cabaran Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti baru-baru ini.
Lebih membanggakan, seramai 942 peserta terdiri daripada pelajar UiTM dari kampus seluruh negara melakukan kawad kaki tanpa henti selama 26 jam melebihi dua jam daripada had ditetapkan.
Program anjuran UiTM Perlis bersama Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM disertai pelajar yang menganggotai pasukan beruniform iaitu Kokurikulum Kesatria Negara (Kesatria), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat dan Palapes Laut.
Ia turut disertai oleh pelajar badan beruniform Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan Kokurikulum Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa).
Program itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-69.
Pelajar UiTM dari kampus Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu (Cendering dan Dungun), Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Puncak Alam dan Puncak Perdana serta Shah Alam itu memulakan cabaran pada pukul 7 pagi dan dibahagikan kepada 28 kumpulan.
Setiap kumpulan berkawad selama 20 minit secara bergilir-gilir sehingga pukul 9 pagi keesokan harinya iaitu melepasi dua jam dari tempoh 24 jam ditetapkan.
Selain itu, seramai 90 anggota Kesatria UiTM membuat persembahan bagi menyerikan program berkenaan di samping memberi perangsang secara tidak langsung kepada peserta terlibat.
Kemuncaknya, apabila program tersebut dicatatkan dalam MBOR sebaik sahaja program berkenaan berakhir.
Majlis penutup program berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Penolong Naib Canselor UiTM Puncak Alam, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya; Rektor UiTM Perlis, Prof. Dr. Khudzir Ismail dan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron.
Penyerahan sijil MBOR bagi Kawad Kaki 24 Jam Tanpa Henti itu pula disampaikan kepada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang menerimanya daripada wakil MBOR, Zulhairi Md. Zin.
Sebelum itu, Abdul Rahman berkata, program tersebut boleh mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi dan menjana kemahiran insaniah di kalangan peserta selain melatih bakal pemimpin berkualiti pada masa depan.
Tambahnya, program itu juga diharap dapat menerap dan memupuk etika komunikasi berkesan di kalangan pelajar secara individu dan berkumpulan serta menyemai semangat dan sikap toleransi dalam diri peserta.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA SEMUA PESERTA YANG BERJAYA…

Advertisements

Debat dipanjangkan kepada 222 jam


DARI UTUSAN MALAYSIA
3/12/2011


Mohd. Israr Khalid membangkang usul daripada pencadang pada program Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam anjuran Utusan di UiTM Shah Alam, semalam. – UTUSAN/Mohd. Azim Abd. Rahman


SHAH ALAM 2 Dis. – Program Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) akan dipanjangkan tempohnya kepada 222 jam atas permintaan daripada banyak pihak yang ingin turut serta menjayakan program anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tempoh itu diharap dapat dipanjangkan daripada tempoh sasaran awalnya selama 211 jam.

“Tempoh ini perlu dipanjangkan lagi daripada sasaran awalnya bagi memenuhi permintaan setiap pasukan yang telah mendaftar untuk berdebat pada program ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, program ini perlu dipanjangkan kerana upacara ringkas bagi meraikan kejayaan seperti yang dicadangkan oleh pihak penganjur tidak sesuai untuk diadakan pada penghujung majlis Debat 211 jam yang dijangka tamat pada pukul 3 pagi Sabtu ini.

“Oleh demikian, tempoh tambahan selama 11 jam itu dilihat sangat bersesuaian kerana ia akan tamat pada pukul 4 petang di hari yang sama dan upacara meraikan kejayaan itu dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Program ini bermula pada 24 November lalu dan dijangka tamat hari ini. Penganjurannya diadakan dalam usaha untuk memecahkan rekod debat yang dicipta UiTM sebelum ini dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Setakat pukul 6 petang hari ini, sebanyak 200 usul telah dibentangkan oleh 1,146 peserta yang terbahagi kepada 453 pendebat lelaki dan 693 (wanita).

Sebanyak 11 usul baru daripada 211 jam akan diperdebatkan melibatkan tambahan seramai kira-kira 88 peserta bagi mencapai tempoh baru berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Prof. Madya Dr. Za‘faran Hassan berkata, jangkaan awal 211 jam ke 222 jam membuktikan debat ini telah merealisasikan matlamat UiTM.

“Jangkaan awal ialah 211 jam tetapi atas sokongan daripada pelbagai pihak, kita telah melanjutkan kepada 222 jam.

“Kita memberi peluang dan amat terharu apabila Debat 211 Jam menerima penyertaan yang tinggi daripada pihak kerajaan, swasta, universiti dan sekolah. 222 jam telah dimuktamad oleh sekretariat dalam memecahkan rekod MBR,” katanya.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA PESERTA DEBAT DAN PIHAK PENGANJUR YANG BERJAYA MENAMATKAN DEBAT 211 JAM KE 222 JAM… SEMOGA ACARA INI DIJADIKAN PROGRAM TAHUNAN YANG BERTERUSAN.