Melayu perlu bersedia hadapi enam ancaman

Antaranya desakan terhadap hukum, ajaran Islam
OLEH FARHANA JONI (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 10 November 2014 2:19 AM
IbrahIM ALI bersama Zaleha Ismail (dua dari kanan) beramah mesra dengan ahli Wiranita Perkasa di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Aizzul A. Majid
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Orang Melayu perlu bersedia menghadapi enam ancaman yang semakin menggugat kedudukan bangsa di negara ini antaranya desakan terhadap hukum dan ajaran Islam, gangguan keselamatan negara menerusi pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat serta pe­ngurangan biasiswa pelajar Melayu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ancaman tersebut turut melibatkan penjualan dan pindahan hak milik tanah rizab Melayu, pemerkasaan bahasa Melayu serta kedudukan ekonomi bumiputera di kawasan bandar.
Katanya, enam ancaman tersebut merupakan realiti yang sedang berlaku secara berleluasa di negara ini dan lebih menyedihkan apabila banyak pihak tidak mempedulikan perkara tersebut.
“Ramai orang Melayu hari ini tidak menyedari kesemua ancaman tersebut sedang berlaku di sekeli­ling mereka misalnya jumlah tanah rizab Melayu yang kini berbaki sebanyak 11.8 peratus sahaja.
“Kedudukan ekonomi pula majoritinya dikuasai kaum-kaum lain manakala orang Melayu seolah-olah melukut di tepi gantang di negara sendiri,” katanya ketika berucap dalam Program Bicara Maal Hijrah: Wanita Benteng Perjuangan Bangsa anjuran Wiranita Perkasa di Wisma Sejarah, di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Presiden Yayasan Suara Wanita, Tan Sri Zaleha Ismail.
Sementara itu, Ketua Wiranita Perkasa, Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin berkata, golongan wani­ta khususnya kaum ibu perlu mendidik anak masing-masing dengan pendidikan agama yang betul bagi mengelak daripada pengaruh fahaman pluralisme dan liberalisme.
Katanya, selain dua fahaman itu, pengaruh politik juga membimbangkan apabila generasi muda tidak boleh membezakan antara perlakuan baik dan buruk dalam menjalani kehidupan seharian.
“Secara peribadi saya kesal apabila membaca akhbar-akhbar tempatan yang melaporkan penglibatan beberapa pelajar universiti yang merusuh hingga sanggup meninggalkan pelajaran masing-masing akibat terpengaruh.
“Justeru, kaum ibu perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik anak bangsa supaya kembali fokus terhadap tanggungjawab sebagai pelajar dan tidak membazirkan usia muda dengan aktiviti tidak berfaedah,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/melayu-perlu-bersedia-hadapi-enam-ancaman-1.22971#sthash.mh5ynsPL.dpuf


Advertisements

Kerajaan terbuka terima teguran Dr. Mahathir

MUHYIDDIN Yassin menyerahkan peruntukan khas RM200,000 untuk membina dewan terbuka Sekolah Rendah Kebangsaan Permatang Pasir kepada guru besar sekolah berkenaan, Hanifah Bee Sharif pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh 2014 di Bukit Mertajam Pulau Pinang, semalam.
PERMATANG PAUH 24 Ogos – Kerajaan menerima dengan terbuka sebarang kritikan terhadap kepimpinan negara termasuk yang disuarakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Sambil melahirkan rasa hormat terhadap teguran yang dibuat Dr. Mahathir itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga mengakui terdapat dasar-dasar yang berjaya serta sebaliknya yang pernah diambil sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, itu bukanlah alasan untuk mana-mana pihak terutama dalam kerajaan sendiri untuk berpaling daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
“Apatah lagi setiap dasar atau keputusan besar yang perlu diambil Perdana Menteri itu tidak dibuat secara bersendirian tetapi dicapai menerusi keputusan bersama Jemaah Menteri. Beliau turut mengambil kira serta tidak menolak pandangan pihak lain dalam pentadbirannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh dekat sini hari ini.
Muhyiddin mengulas mengenai teguran Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Najib yang dilihat beliau mempunyai beberapa kelemahan seperti disiarkan menerusi blognya baru-baru ini.
Menurut Muhyiddin, beliau memahami kebimbangan yang dilahirkan Dr. Mahathir antaranya berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140825/dn_05/Kerajaan-terbuka-terima-teguran-Dr-Mahathir#ixzz3BNMwcWc3  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Syor wujudkan peraturan mirip ISA

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my
Johari Abdul Ghani, Nazir Hussin Akhtar Hussin
KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kerajaan dicadang mewujudkan undang-undang mirip Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikhaskan untuk memantau salah laku pengguna media sosial berikutan peningkatan kes penghinaan yang dibuat menerusi platform berkenaan sejak kebelakangan ini.
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu bagi memastikan individu yang bertanggungjawab mempromosikan sentimen kebencian kaum dan agama diheret ke muka pengadilan dengan berkesan sekali gus mencegah penularan gejala berkenaan.
Kata beliau, kebebasan yang ditawarkan oleh kepesatan Internet membawa pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat dan perlu wujud satu mekanisme yang baik untuk penguatkuasaan.
“Pada saya, teras kepada semua ini adalah penguatkuasaan undang-undang dan usaha perlu dilipat gandakan oleh semua pihak untuk menangani gejala ini daripada terus merosakkan keharmonian negara,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Dalam mesyuarat yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu, beberapa usul melibatkan pembangunan perumahan, media sosial, perpaduan dan gejala perjudian dibentangkan.
Sementara itu, Johari turut menjelaskan, isu pendakwaan terpilih juga merupakan isu utama yang harus diketengahkan sebagai usul, ekoran kenyataan dan tindakan menghina agama serta orang Melayu melalui media sosial yang semakin membimbangkan.
Sekiranya tidak dipantau katanya, perkembangan itu dikhuatiri menyebabkan huru-hara dan kehancuran terhadap perpaduan kaum di negara ini.
“Kita mendesak polis dan Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap pihak dari kaum mana sekalipun yang menghina agama dan kaum di negara ini,” katanya.
Beliau menambah, UMNO Bahagian Titiwangsa juga meminta pihak berwajib memantapkan penguatkuasaan terhadap pusat judi haram dan rumah urut di kawasan Parlimen tersebut.
Kata beliau, pencegahan gejala tersebut adalah perlu memandangkan berlaku peningkatan kes jenayah kecil akibat kewujudan pusat-pusat judi dan rumah urut berkenaan.
“Menyedari bahawa kecelaruan dalam pengawalan dan pencegahan bagi menghapuskan perjudian dan maksiat di negara ini, maka kita mendesak pihak berwajib mengubah paradigma masyarakat dan menambah baik undang-undang berkaitan perkara tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sudah tiba masanya kerajaan menolak usaha atau pembangunan perumahan bernilai tinggi.
Jelasnya, perkara itu tidak mencerminkan agenda kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat khususnya golongan muda memiliki rumah persendirian di kawasan Parlimen tersebut oleh agensi-agensi kerajaan seperti UDA Holdings yang dipertanggungjawabkan.
“Pemuda mencadangkan pembangunan yang bakal diusahakan UDA Holdings di Kampung Baru membabitkan pembinaan perumahan untuk golongan profesional Melayu bernilai lebih RM400,000 dikaji semula.
“Kajian semula ini perlu memandangkan keadaan itu tidak mencerminkan kecenderungan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pengundi-pengundi Parlimen Titiwangsa yang berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140818/dn_07/Syor-wujudkan-peraturan-mirip-ISA#ixzz3Anv6mOzH  © Utusan Melayu (M) Bhd