SEKALI LAGI – Catuan air dilanjut hingga 30 April

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 29 Mac – Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual berakhir Isnin ini akan dilanjutkan sehingga 30 April.
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, keputusan itu hasil daripada Mesyuarat Pelan Kontigensi Pengagihan Bekalan Air Berjadual yang berlangsung semalam yang turut dihadiri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri Selangor.
”Walau bagaimanapun, pelan catuan ini terus dikaji oleh pihak kerajaan negeri Selangor bergantung kepada keadaan semasa dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan oleh Syabas kepada pengguna dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, merujuk kepada pelan catuan bekalan air yang dilaksanakan pada masa ini, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama yang melibatkan beberapa kawasan di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang masih diaktifkan.
“Ini kerana kedua-dua Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup berikutan paras kandungan ammonia yang masih tinggi di Sungai Langat.
“Pada masa sama, penurunan hujan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang sejak beberapa hari kebelakangan ini masih tidak dapat meningkatkan paras empangan dan aliran air di Sungai Selangor menyebabkan pelan catuan bekalan air peringkat ketiga masih terus dilaksanakan,” katanya.
Menurutnya, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga dilaksanakan berikutan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates masing-masing sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) dan 30 JLH masih diteruskan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor.
“Justeru, para pengguna juga ditegaskan agar mengelakkan pembaziran dan tidak menggunakan air untuk tujuan kurang penting seperti mencuci kenderaan, mencuci premis kediaman, mencuci longkang, mengisi kolam renang, menyiram pokok bunga dan menyiram bumbung premis kediaman perniagaan semata-mata untuk menyejukkan keadaan,” katanya.
Sehubungan itu, para pengguna juga diminta untuk bekerjasama dan mengambil tindakan serius terhadap tindakan berjimat cermat ini.
Pengguna juga ditegaskan agar tidak melakukan sebarang kerosakan terhadap sistem bekalan air Syabas khususnya aset-aset seperti jajaran paip, rumah pam atau kolam kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu akan turut menyebabkan kesulitan kepada pengguna.
Pihak Syabas juga berhak mendakwa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140330/wk_01/Catuan-air-dilanjut-hingga-30-April#ixzz2xVumeqsv  © Utusan Melayu (M) Bhd

MANC U – Rooney selamatkan air muka Moyes

Juan Mata (kiri) meraikan jaringan ketiga Manchester United bersama Ashley Young dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Old Trafford, Manchester semalam. – AFP
MANCHESTER – Selepas perlawanan dibuka dengan insiden yang memalukan David Moyes, dua gol Wayne Rooney menyelamatkan air muka pengurus Manchester United itu apabila membantu pasukannya membenam Aston Villa 4-1 di Old Trafford, semalam.
Kemunculan sebuah pesawat ringan yang membawa sepanduk, ‘WRONG ONE-MOYES OUT’ (Pilihan Yang Salah, Moyes Keluar) berlegar di ruang udara Old Trafford mencemari permulaan perlawanan, ditambah lagi dengan kejayaan Villa memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma Ashley Westwood pada minit ke-13.
Namun begitu, dua gol yang diledak oleh Rooney sebelum tamat babak pertama, selain jaringan Juan Mata dan Javier Hernandez pada separuh masa kedua kembali menceriakan Moyes.
Biarpun kemenangan itu masih tidak merubah kedudukan United yang kekal menghuni tangga ketujuh liga dengan 54 mata, sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal, namun tiga mata yang diraih sekurang-kurangnya merawat kelukaan juara bertahan itu selepas tewas 0-3 kepada Manchester City di tempat sendiri, Selasa lalu.
Old Trafford sunyi seketika selepas sepakan lencong Westwood menerjah gawang United di awal permainan untuk meletakkan pelawat di depan.
Rooney bagaimanapun me­nyamakan kedudukan pada minit ke-20 selepas menyudahkan hantaran Shinji Kagawa, sebelum melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan meledak penalti yang menerjah ke penjuru kanan pintu gol Villa selepas Mata dijatuhkan oleh Leandro Bacuna.
Jaringan Mata pada minit ke-57 membolehkan United terus bernafas dan pemain gantian, Hernandez memastikan tuan rumah menutup perlawanan dengan selesa apabila menambah gol keempat pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Adnan Januzaj. – AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140330/sl_01/Rooney-selamatkan-air-muka-Moyes#ixzz2xVsTIwWJ  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

LGBT: Jangan undang bala Allah

NASHARUDIN MAT ISA





SESI pembentangan Malaysia dalam proses semakan berkala (UPR) di Geneva telah berlalu. Proses seterusnya adalah dijangkakan pada tahun 2017. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah menyatakan maklum balas yang cukup meyakinkan khasnya dalam mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, selain dengan jelas menolak cadangan beberapa buah negara anggota supaya Malaysia menandatangani beberapa perjanjian (covenant) antarabangsa dan juga mengiktiraf hak-hak LGBT (singkatan bagi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Antara negara yang terang-terang meminta supaya Malaysia mengiktiraf LGBT ialah Belanda, Kanada dan Argentina, selain itu juga bebebarapa buah NGO luar dan dalam negara mendesak agar Malaysia dan kerajaannya mengiktiraf golongan-golongan pengamal seks songsang ini melalui kenyataan-kenyataan seperti “…regrets Malaysia rejection of all recommendations related to sexual orientation and gender identity. Carnal intercourse against the order of nature is punished with imprisonment and whipping…Criminalisation of same sex conduct encourages and reinforces intolerance, abuse, discrimination and marginalisation – leading to an overall destabilisation of society…”
Walaupun pendirian Malaysia sudah jelas dalam hal yang berkaitan dengan LGBT, namun pihak Comango masih belum berdiam diri. Pada 21 Mac 2014, iaitu sehari selepas Malaysia membentangkan pendiriannya di HRC, pihak Comango telah mengadakan satu acara sampingan di Geneva. Antara yang berucap ialah wakil penganjur Seksualiti Merdeka, Thilaga Sulathireh, yang menyentuh isu LGBT ini secara terbuka malah menuduh pihak polis dan pihak berkuasa agama bertindak ganas terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.
Thilaga memanipulasi isu ini apabila menuduh pihak berkuasa dan autoriti agama dengan perbuatan ‘mendiskriminasi’ golongan LGBT, sedangkan mereka berselindung di sebalik isu ini, dengan bermatlamat akhir untuk mendapat pengiktirafan perlakuan homoseksual secara bebas dan perkahwinan sesama jenis.
Pihak Comango dalam laporan mereka kepada proses kedua UPR Malaysia, dengan jelas menyatakan tuntutan mereka tentang hak LGBT yang mana mereka menyatakan bahawa “Malaysia refuses to recognise SOGI rights as human rights. Lesbians, bisexuals, gays, transgendered, inter-sexed and queer persons (LGBTIQ) are vilified, faced violence…” dengan memetik insiden-insiden seperti serbuan terhadap sebuah pusat mengurut yang menawarkan khidmat kepada golongan songsang ini, selain menuntut agar Malaysia mengkaji, meminda dan memansuhkan undang-undangnya agar mematuhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Tindakan ini juga selari dengan tekanan-tekanan antarabangsa di UPR yang mengesyorkan agar Malaysia memulakan proses memansuhkan elemen-elemen perundangan Seksyen 377A, Seksyen 377B, dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang menyifatkan amalan seks di luar tabii itu sebagai perbuatan jenayah.
Saya percaya bahawa umumnya, masyarakat kini telah terdedah dan mengetahui akan polemik serta ancaman tuntutan hak asasi manusia yang dibawa oleh Comango pada sesi UPR Malaysia yang kedua ini (sesi pertama telah diadakan pada 2009). Namun mungkin juga terdapat pertanyaan dalam kalangan masyarakat tentang apakah itu LGBT, SOGI dan kini, Prinsip Yogyakarta?
Kesinambungan kepada LGBT ini, telah wujud dasar SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) yang memperjuangkan kebebasan bagi mereka yang mengamalkan perhubungan seks songsang, semuanya di atas nama hak asasi manusia.
Bagi kelangsungan perjuangan mereka, suatu pertemuan kumpulan-kumpulan pakar hak asasi manusia telah diadakan di Yogyakarta pada 2006. Menurut mereka, sebagai suatu bentuk respons terhadap apa yang dirasakan sebagai pola penderaan dan penindasan terhadap golongan ini, maka diilhamkan Prinsip Yogyakarta 2006. Di dalamnya terkandung prinsip-prinsip hak asasi manusia yang bersifat ‘sejagat,’ mematuhi dan menuruti piawaian undang-undang antarabangsa yang mana kesemua negara di dunia ini harus patuhi. 
Setakat kini, dalam kerancakan dunia mencanang penerimaan budaya seks songsang ini sebagai satu bentuk hak asasi manusia, tinggal 76 negara sahaja yang tidak mengiktiraf homoseksualiti dan mengkategorikannya sebagai unsur jenayah.
Umat Islam di dunia kini, yang mengakui beriman kepada Allah dan berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah, seharusnya menentang gerakan untuk membenarkan, mengiktiraf dan mempromosikan kegiatan mungkar ini. Malahan, penentangan ini juga tidak terhad kepada agama Islam memandangkan tidak wujud mana-mana agama lain yang mengiktiraf budaya dan kelakuan homoseksual ini.
Akhir tahun lalu, Mahkamah India telah menarik kembali pengiktirafannya terhadap LGBT dan penentangan ini bukan sahaja terdiri daripada umat Islam, bahkan juga penganut Hindu, Kristian berserta aktivis-aktivis lain. Keputusan yang sama juga dilihat di Australia. Keputusan-keputusan sebegini memberi harapan bahawasanya masih wujud nilai-nilai moral di negara-negara lain selain polemik yang timbul dalam kalangan mereka sendiri apabila aktivis-aktivis hak asasi manusia ini mahukan hak perlakuan beastiality (hubungan intim bersama haiwan seperti anjing dan kambing) seperti yang diperjuangkan oleh sebuah organisasi bernama Equality For All (EFA). Polemik juga timbul ekoran keputusan senat Amerika meluluskan undang-undang membenarkan askar-askarnya untuk bukan sahaja berperilaku homoseksual tetapi beastiality juga.
Merujuk kepada al-Quran sendiri dan pendirian Islam terhadap seks luar tabii, Allah telah menerangkan akan laknat-Nya terhadap kaum Nabi Lut (a.s) yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk (homoseksual), yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kaum sebelum itu dalam Surah al-‘Ankabut, ayat 28-29.
Kisah kehancuran kaum Nabi Luth a.s ini juga telah dimaktubkan dalam al-Quran (Surah Hud, ayat 82) yang berbunyi: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”
Persoalannya, adakah sanggup bagi seseorang Muslim untuk kita menidakkan perintah Allah SWT setelah datangnya peringatan daripada Rasulullah SAW, dan adakah kita lebih gagah daripada kaum Nabi Luth a.s? Di sini, saya amat tertarik dengan kenyataan seorang pendakwah terkenal iaitu Mufti Ismail Menk, dalam satu ceramahnya, telah menyatakan bahawa jika umat terdahulu melakukan satu jenis kemungkaran atau kemaksiatan, namun umat masa kini seperti berlumba-lumba melakukan kesemua kemungkaran dan kemaksiatan yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Sesungguhnya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi, “Dari Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku ialah perbuatan kaum Luth.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Dalam hal ini, adalah amat wajar bagi umat Islam, dalam melaksanakan kewajiban al-amr ma‘ruf nahi munkar, selain bangkit untuk menentang gerakan fahaman hak asasi manusia yang bersifat sekular ini secara ilmiah, untuk juga mengamalkan pendekatan prinsip Sad al Zaraie dalam fiqh Islam (yakni menutup jalan yang boleh membawa keburukan).
Melihat kepada konteks ini, kita amat berterima kasih di atas usaha-usaha pihak kerajaan dan juga masyarakat setempat (baik persatuan guru dan lain-lain) dalam usaha mendidik para guru dan ibu bapa mengenal pasti anak-anak yang cenderung ke arah tersebut, selain usaha mendekati dan memulihkan golongan yang terjerumus dalam kancah seks songsang.
Antara cadangan usaha itu ialah diwujudkan dana untuk tujuan kaji selidik mengenal pasti dan mencegah fahaman luar tabii selain menyekat penularan budaya mempromosikan budaya lelaki menjadi perempuan dan seangkatannya, yang kian hari kian galak dilakukan.
Selain itu, kita berharap dengan adanya kerjasama yang erat antara pihak-pihak yang prihatin, dapat dibentuk sebuah gerak kerja mantap dalam menyelidiki dan seterusnya menentang serta mencegah penularan fahaman-fahaman atas hak asasi manusia yang dikatakan sebagai agama sekular dunia moden, yang mengancam nilai-nilai agama, secara ilmiah dan bersepadu. Ini kerana, pada hemat saya, kita amat bernasib baik pada kali ini selain usaha-usaha ini juga tidak akan terhenti di sini, sesuai dengan firman Allah yang berbunyi:
“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al- A’raf; ayat 16-17).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140330/re_09/LGBT-Jangan-undang-bala-Allah#ixzz2xVopwj6B  © Utusan Melayu (M) Bhd 


PRK BALINGIAN – BN pertahan DUN Balingian

Muhyiddin Yassin (dua dari kanan), Adenan Satem (tiga dari kiri) bersama pemimpin BN lain mengangkat tangan meraikan kemenangan Yussibnosh Balo (tiga dari kanan) dalam PRK DUN Balingian di Mukah, Sarawak, malam tadi. – UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

MUKAH 29 Mac – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dengan kemenangan bergaya apabila mencatatkan undi majoriti lebih tinggi iaitu 6,911 berbanding 5,154 undi pada Pilihan Raya Negeri Kesepuluh (PRN-10).
Calon BN yang merupakan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, memperoleh 8,194 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang, 55, yang meraih 1,283 undi manakala 146 undi rosak.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shafrie Saili pada pukul 8.45 malam ini di Dewan Mesra Mukah di sini.
Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Kajang didapati meningkat kepada 72.92 peratus berbanding 69.98 peratus pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN-10.
Berdasarkan keputusan itu, hasrat PKR untuk merampas kerusi yang dikosongkan oleh penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud iaitu bekas Ketua Menteri Sarawak yang kini menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak gagal.
Kemenangan BN di kawasan yang menjadi kubu kuat parti itu memang sudah dijangka kerana kelebihan Yussibnosh yang merupakan anak tempatan berketurunan Melanau berasal dari Kampung Tellian Tengah di sini dan diterima baik oleh pengundi sejak awal lagi.
Pada pilihan raya kali ini, BN memang mengharapkan undi majoriti lebih tinggi bagi menunjukkan tanda sokongan rakyat terhadap Ketua Menteri baharu, Tan Sri Adenan Satem memandangkan DUN berkenaan pernah ditadbir oleh Abdul Taib yang merupakan pemimpin paling dikagumi di negeri ini.
Yang turut hadir meraikan kemenangan itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan beberapa barisan menteri kabinet negeri.
PRK Balingian diadakan selepas Abdul Taib meletak jawatan sebagai Ketua Menteri dan dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 28 Februari lalu.
Ketika PRN-10 pada 2011, Abdul Taib menang dengan majoriti 5,154 undi selepas mendapat 6,210 undi mengatasi calon PKR, Suriati Abdullah yang meraih 871 undi dan calon Bebas, Datuk Salleh Jafaruddin (1,056 undi).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140330/po_03/BN-pertahan-DUN-Balingian#ixzz2xVkD1b52  © Utusan Melayu (M) Bhd 


POLITIK – Anwar cabar Wan Azizah jawatan Presiden PKR

KUALA LUMPUR 29 Mac – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan Mei ini bakal menyaksikan pertarungan menarik bagi kerusi Presiden, apabila penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dicabar oleh suaminya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 5 petang di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hanya Dr. Wan Azizah dan Anwar menyerahkan borang bagi merebut jawatan tersebut.
Keadaan itu menimbulkan persoalan, apakah pertembungan itu benar-benar akan berlaku atau ia sekadar satu lagi sandiwara politik oleh PKR dalam usaha memastikan jawatan presiden tidak dikuasai oleh individu lain.
Pemerhati politik melihat, langkah Dr. Wan Azizah untuk mempertahankan jawatan itu dengan dicabar oleh Anwar sebagai ‘insurans’ memandangkan Anwar masih dalam peringkat rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadi, Saiful Bukhari Azlan.
Pada 2007, Dr. Wan Azizah turut bertanding bersama Anwar bagi jawatan yang sama dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu bertindak sebagai ‘insurans’ kerana Anwar yang baru sahaja dibebaskan dari penjara mempunyai larangan lima tahun daripada aktif berpolitik.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, penyandangnya, Azmin Ali yang dianggap tidak sehaluan dengan Dr. Wan Azizah bukan sahaja akan berhadapan dengan ‘musuh ketat politiknya’ iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi juga empat calon lain.
Mereka ialah Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution, K.Ramachandran dan S.Murali.
Kerusi Naib Presiden pula menyaksikan perebutan oleh 15 calon termasuk penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Antara mereka yang mencuba nasib bagi merebut jawatan itu ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Untuk jawatan Ketua Wanita PKR pula, penyandangnya, Zuraida Kamarudin akan berdepan satu lawan satu dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Roziah Ismail.
Jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Shamsul Iskandar akan direbut oleh tiga calon iaitu ADUN Seri Setia yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Batu Caves, Amirudin Shaari dan Nazri Yunus.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140330/po_02/Anwar-cabar-Wan-Azizah-jawatan-Presiden-PKR#ixzz2xVi0akwe  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : LANTAK PEE..LAH… KAN KAUM KELUARGA DIA PUNYA PARTI… YANG KASIHAN NYA TU PENYOKONG YANG KENA KENCING TU TAK BOLEH FIKIRKAH????

YADIM – Program Dakwah Negara

Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) memukul gong bagi merasmikan prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan, Kedah, kelmarin. – MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN.

JERAI 29 Mac – Bulan Dakwah Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sejak 1978 kini dikenali sebagai Program Dakwah Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau percaya Yadim telah merencana aktiviti Program Dakwah Negara tahun ini dengan baik.
Katanya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Yadim yang kewujudannya dirasai di medan dakwah kebangsaan dan antarabangsa.
“Ini merupakan ruang dan peluang terbaik untuk kita bersama meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam sebagai agama kasih sayang demi kesatuan dan perpaduan umat.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yadim atas penganjuran program ini dan mendoakan pelaksanaannya berjalan lancar serta mencapai objektifnya dengan impak positif kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan di sini semalam.
Menurut Jamil, Program Dakwah Negara itu dianjurkan tepat pada masanya untuk menyampaikan Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang sebagai asas kesatuan dan perpaduan umat.
“Kemelut perpecahan pada hari ini menggambarkan betapa kasih sayang telah dipinggirkan dalam mendepani isu yang tidak kunjung putus.
“Tambahan pula perbezaan yang wujud sesama kita diperbesarkan dengan api kebencian dan ini melahirkan sikap yang tidak sepatutnya dibudayakan,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan, maka kesatuan dan perpaduan umat sukar untuk dicapai.
“Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang dalam setiap tindak-tanduk kita dan kasih sayang disemai dalam umat akan melahirkan watak dengan sikap terhormat.
“Inilah asas kepada kesatuan dan perpaduan yang ingin kita tuai bersama,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_11/Program-Dakwah-Negara#ixzz2xVfMuKjr  © Utusan Melayu (M) Bhd 


MH370 – Dua pesawat TUDM sertai misi di Lautan Hindi

Pegawai dan anggota Skuadron 20 TUDM yang menyertai misi mencari pesawat MH370 memeriksa bagasi selepas tiba dengan pesawat Hercules C-130 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia Pearce di Bullsbrook, Perth, semalam. – AFP

PERTH 29 Mac – Dua pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di sini hari ini bagi membantu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi mulai lusa.
Kedua-dua pesawat itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi.
Operasi TUDM itu diketuai Pegawai Pemerintah Skuadron 20 TUDM Subang, Mejar Mohd. Jafri Suboh bersama 49 anggota dan pegawai.
Menurut jurucakap TUDM, dua pesawat C-130 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pukul 10 malam tadi dan singgah di Jakarta, Indonesia pukul 1 pagi ini sebelum meneruskan penerbangan ke Perth pukul 5.30 pagi.
“‘Kesemua anggota dan pegawai terlibat ditugaskan membantu RAAF mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi untuk tempoh dua minggu.
“Keperluan tempoh pasukan ini berada di Perth juga bergantung kepada arahan daripada TUDM,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam akaun Twitter miliknya mengesahkan ketibaan pesawat itu.
Ketua Skuadron RAAF, John McCourt memaklumkan bahawa sidang akhbar akan diadakan esok berhubung ketibaan dua pesawat C-130 dari Malaysia.
Bagaimanapun, RAAF tidak membenarkan mana-mana wakil media untuk merakam gambar kedua-dua pesawat tentera Malaysia itu.
Sementara itu, kapal TLDM KD Lekiu dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Stirling pada pagi Isnin ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pesawat P3-Orion dari RAAF yang menyertai operasi di zon baharu pencarian tidak menemukan sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat MAS itu.
Juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Russell Adam berkata, pihaknya telah meletakkan tanda di beberapa lokasi di zon pencarian itu bagi memudahkan tugas pasukan mencari.
“Walaupun cuaca hari ini agak baik, tiada petunjuk terbaru yang boleh membantu. Objek yang ditemukan pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand semalam adalah di lokasi yang berlainan,” katanya dalam sidang akhbar petang ini sebaik sahaja tiba di Pangkalan RAAF di sini selepas menjalankan pencarian hampir 10 jam hari ini. – MINGGUAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_07/Dua-pesawat-TUDM-sertai-misi-di-Lautan-Hindi#ixzz2xVdR4wbr  © Utusan Melayu (M) Bhd