Hayati maksud, bersahabat 
baik dengan alam sekitar

30 Disember 2014 1:37 AM
Sultan Muhammad V
KUALA LUMPUR 29 Dis. – Orang ramai harus menghayati dan menghormati nasihat Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu rakyat bersahabat baik dengan alam sekitar, malah menjadikannya sebagai pegangan dalam hidup.
Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail ber­kata, dalam tujuh wasiat raja-raja Melayu telah menekankan supaya gunung-ganang, tasik dan hutan simpan perlu dijaga dan disimpan untuk anak cucu di masa hadapan.
“Orang ramai perlu faham mengapa raja-raja kita mengutamakan hubungan dengan alam sejak dahulu lagi, antaranya kerana bimbang kejadian bencana seperti hari ini berlaku.
“Maka, amat tepat apa yang disarankan oleh Sultan Kelantan itu dan sudah tiba masanya seluruh rakyat melaksanakan saranan itu, ia perlu dilihat dalam semua aspek dan bukan nasihat semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas seruan Sultan Kelantan yang mahu seluruh rakyat menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait daripada perbuatan manusia.
Ahmad berkata, se­bagai contoh, isu nyanyian lagu negaraku di dalam panggung wayang, meskipun ada pihak tidak bersetuju dengan langkah itu, mereka tetap menyanyikan lagu tersebut kerana merasa malu jika dilihat tidak menghormati lagu kebangsaan.
Dalam hubungan itu, kata beliau, sekiranya rakyat negara ini menghormati alam sekitar, diyakini ia akhirnya akan menjadi ikutan.
Beliau berkata, banjir teruk yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur pada kali ini harus dijadikan iktibar dan masyarakat perlu bermuhasabah diri.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan alam sekitar perlu memperkemaskan tindakan terhadap pesalah yang merosakkan alam sekitar.
“Memang banjir adalah bencana alam tetapi kita tidak boleh lari daripada mengakui ia impak daripada perbuatan salah manusia terhadap alam sekitar. Jangan hanya kerana mahu melaksanakan aktiviti yang membawa pulangan yang besar, tanggungjawab kepada alam diketepikan.
“Keuntungan itu hanya sementara, yang kekal adalah alam sekitar yang akan memberi kehidupan lebih baik kepada manusia. Kemusnahan akibat banjir kali ini memerlukan kos yang amat tinggi untuk membaik pulih segala kerosakan,’’ katanya.

PM mahu tinjau kemusnahan

Lawat banjir teruk di Kuala Krai, Gua Musang hari ini
SAYED HESHAM IDRIS 
DAN KHAIRUL ABIDIN NUAR | 30 Disember 2014 2:30 AM

NAJIB TUN RAZAK diberi taklimat oleh Dr. Zambry Abd. Kadir ketika meninjau kawasan banjir dengan menaiki bot mengharungi Sungai Perak di Mukim Sayong, Kuala Kangsar, semalam. – UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
KUALA KANGSAR 29 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat tinjauan di Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan esok untuk melihat sendiri kemusnahan harta benda terutama kediaman penduduk akibat banjir teruk di kedua-dua daerah berkenaan.
Menurutnya, beliau perlu menilai secara menyeluruh kemusnahan di kawasan tersebut sebelum mengumumkan bantuan mengikut keupayaan kerajaan.
“Saya sudah lihat gambar-gambar keadaan banjir di kedua-dua kawasan berkenaan dan memang ada kediaman yang musnah sama sekali. Ada rumah yang cuma tinggal papan-papan kayu sahaja.
“Ini bermakna mereka yang terlibat akan menghadapi masa depan yang kelam jika tidak dibantu oleh kerajaan. Tetapi buat masa ini biar saya buat tinjauan terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat menyeluruh sebelum kita tentukan bantuannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan banjir di pekan Kuala Kangsar dan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad; ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Manong, Mohamad Kamil Shafie.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan memberikan bantuan kepada mangsa banjir apabila mereka kembali ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir pulih sepenuhnya nanti.
Beliau berkata, bantuan tersebut adalah untuk kerja-kerja pembersihan kediaman supaya penduduk dapat mendiami semula rumah mereka.
“Namun bentuk bantuan dan jumlah kewangan yang akan diberikan oleh kerajaan kita akan putuskan apabila banjir pulih sepenuh­nya,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan juga akan membaik pulih kemudahan asas dan aset-aset kerajaan yang rosak akibat banjir.
Tegas Perdana Menteri, buat masa ini beliau tidak dapat menyatakan jumlah kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan sebaliknya akan menunggu sehingga keadaan banjir pulih untuk membuat penilaian.

Sekolah buka 11, 12 Januari

TPM umum penangguhan sesi persekolahan selama seminggu
SAIFULIZAM MOHAMAD | 30 Disember 2014 2:11 AM
PUTRAJAYA 29 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu ekoran banjir yang melanda khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, sejajar dengan penangguhan itu, tarikh baharu bermulanya sesi persekolahan untuk tahun hadapan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad) manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).
“Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya sesi persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan.
“Mengikut jadual tarikh bermulanya persekolahan ialah pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 untuk negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, keputusan penangguhan itu mengambil kira dua perkara utama iaitu sekolah-sekolah yang terlibat sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ditenggelami air dan mengambil masa untuk dipulihkan.
Turut diambil kira katanya, keadaan guru-guru, ibu bapa serta murid-murid yang serba kekura­ng­an akibat menjadi mangsa banjir. Mereka memerlukan masa untuk pemulihan serta membuat persiapan persekolahan masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta pihak pengurusan sekolah mengadakan gotong-royong bagi tujuan pembersihan kawasan sekolah sekiranya kea­daan banjir pulih.
“Langkah ini bertujuan memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna,” ujar Muhyiddin.
Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir sama ada dijadikan sebagai PPS atau sekolah berkenaan ditenggelami air akibat bencana tersebut.

Kuala Krai bagaikan dilanda tsunami kecil

AZRAN FITRI RAHIM | 30 Disember 2014 1:36 AM
KUALA KRAI 29 Dis. – Bagaikan tsunami kecil, itu gambaran mengenai daerah ini selepas dilanda banjir besar bermula Selasa lalu.
Kesan bencana alam itu dapat dilihat di merata-rata tempat di seluruh daerah ini dan tidak keterla­luan jika dikatakan hanya 15 peratus penempatan penduduk di sini yang tidak terjejas.
Keadaan di seluruh bandar ini terutama di Manek Urai amat me­nyayat hati dan rata-rata penduduk berada dalam keadaan trauma selepas pulang ke rumah masing-masing bermula pagi ini.
Hari ini, laluan darat ke daerah ini dari Kota Bharu te­lah dibuka termasuk kepada kenderaan kecil dan menyebabkan kesesakan yang teruk malah penduduk juga mengambil kesempatan untuk keluar mendapatkan bekalan terutama petrol serta diesel.
Tinjauan Utusan Malaysia bermula di kawasan Guchil. Hampir keseluruhan rumah di kawasan ini rosak dan ada antaranya hancur kecuali yang terletak di kawasan tinggi.
Malah di Guchil 4, terdapat sebuah rumah yang hanyutkan arus dan tersangkut di atas sebuah rumah lain.
Pemilik rumah tersebut, Rahim Ismail, 58, berkata, dia ha­nya menyedari keadaan rumahnya itu selepas air surut pada petang semalam.
“Rumah saya terletak kira-kira 10 meter di belakang rumah anak saya tetapi apabila pulang saya mendapati rumah saya berada di atas rumah anak.
“Tidak pernah terfikir rumah saya dihanyutkan begitu rupa, berdasarkan kesan saya mendapati air naik sekurang-kurangnya melebihi 10 meter dengan arus yang kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dia yang bekerja sebagai buruh berkata, mereka sekeluarga tidak akan berpindah kerana di situ adalah tempat tinggal mereka sejak 14 tahun lalu.
Sementara itu, Che Hasan Che Abdullah, 57, berkata, air datang seperti ombak besar yang mera­napkan sebahagian rumahnya dan empat buah rumah lagi di Jalan Halimah, Guchil 1.
Katanya, dia menyedari air besar datang dengan laju dari arah Su­ngai Kelantan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan itu pada pukul 5.30 pagi Selasa lalu.
“Saya nampak air besar dan tinggi datang, saya kejutkan jiran untuk menyelamatkan diri, selepas lima minit air itu membadai sebahagian rumah saya dan empat buah rumah lain musnah.
“Air yang membawa batu dari rel kereta api itu turut menyebabkan jalan di hadapan rumah saya terputus. Selepas air naik ia terus bertahan sehingga mula surut semalam,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di sepanjang jalan dari bandar ini menuju ke Manek Urai mendapati kesan kemusnahan amat dahsyat dan penduduk yang pulang ke rumah mengambil kesempatan untuk membersihkan ke kediaman mereka serta mencari harta benda yang masih boleh digunakan.

AIR ASIA : Pesawat QZ8501 mungkin di dasar laut

30 Disember 2014 2:09 AM
JAKARTA 29 Dis. – Pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang dalam penerba­ngan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura awal pagi semalam berkemungkinan berada di dasar laut selepas dikhuatiri terhempas di perairan Indonesia ketika beberapa negara sekitar Asia menghantar kapal dan pesawat untuk membantu operasi pencarian.
Pesawat Airbus A320-200 yang membawa seramai 162 orang itu dilaporkan hilang selepas juruterbang gagal mendapat kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta untuk menukar laluan bagi mengelakkan cuaca buruk.
Pesawat QZ8501 itu juga dimaklumkan tidak mengeluarkan isyarat kecemasan dan hilang di perairan Laut Jawa lima minit selepas gagal mendapat kebenaran pertukaran laluan berikutan kesesakan trafik udara.
Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Soelistyo berkata, berdasarkan koordinasi mereka, pesawat itu dijangka berada di dasar laut.
Sumber penerba­ngan awam Indonesia melaporkan kepada agensi Reuters, pihak berkuasa mempunyai data radar pesawat tersebut dan sedang menunggu pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan pesawat sebelum memulakan siasatan punca kemalangan.
Seramai 155 penumpang Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, dan seorang penum­pang dari Singapura, Malaysia dan Britain menaiki pesawat ber­kenaan.
Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Hadi Thahjanto berkata, dua pesawat C-130 digunakan untuk mencari pesawat QZ8501 di kawasan timur laut Pulau Bangka yang terletak di perairan Laut Jawa.
Negara jiran seperti Australia, Malaysia, Singapura dan China turut menghantar kapal dan pesawat bagi membantu operasi pencarian.
Sementara itu, Soelistyo berkata, Indonesia mungkin tidak memiliki teknologi canggih untuk mencari pesawat di dasar laut dan mereka menerima tawaran bantuan daripada Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis bagi melicinkan operasi. – REUTERS

Derita mangsa banjir

30 Disember 2014 1:37 AM
KEADAAN kemusnahan harta benda termasuk rumah dan kenderaan di Manek Urai Lama selepas dilanda banjir, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 29 Dis. – Bencana banjir di beberapa negeri sejak dua minggu lalu ternyata mengundang penderitaan yang amat perit kepada penduduk-penduduk terlibat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ada antara mereka bukan sahaja kehilangan orang tersayang malah harta benda juga musnah akibat ditenggelami air. Di sesetengah daerah, kawasan banjir bagaikan dilanda ‘tsunami kecil’. Segala-galanya musnah sekelip mata.
Kereta dihanyut dibawa arus, rumah ranap akibat dibadai air yang mengalir laju, binatang ternakan hilang entah ke mana, tidak cukup dengan itu ada antara mereka yang terpaksa menjadi bukit bukau sebagai ‘kediaman sementara’ dan ada pula bagaikan ‘terperangkap’ di kediaman sendiri.
Dilaporkan masih ramai mangsa berada dalam keadaan kelaparan akibat kesukaran pasukan penyelamat memasuki kawasan mereka. Ada yang sudah kehabisan bekalan makanan sejak enam hari lalu.
Apabila air surut di sesetengah daerah ramai mangsa melangkah pulang dengan harapan untuk membersihkan kediaman yang dibanjiri lumpur, tetapi mereka terpaksa kembali semula ke pusat penempatan sementara kerana kediaman mereka hanya tinggal rangka atau sudah menyembah bumi. Mereka juga terpaksa bertindak demikian kerana tidak mempunyai wang atau bekalan makanan.
Derita lebih perit bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang yang memerlukan rawatan mesin dialisis secara berjadual. Banjir yang berlaku menyebabkan mereka tidak menjalani rawatan mengikut jadual ditetapkan.
Khabarnya ada yang terpaksa dibawa ke pusat dialisis di daerah berdekatan dengan jarak perjalanan memakan masa berjam-jam dan ada pula langsung tidak mendapat rawatan itu.
Setakat hari ini, bencana yang dianggap terburuk dalam sejarah negara dengan menyaksikan hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan masih belum nampak tanda-tanda mahu reda.
Ribuan anggota penyelamat dan sukarelawan bertungkus-lumus tanpa mengira waktu untuk memastikan mangsa-mangsa banjir menerima bantuan makanan dan barang ke-perluan tetapi laluan yang terputus dan cuaca tidak menentu menjadi ‘musuh utama’.
Sehingga malam ini, jumlah mangsa dipindahkan di enam negeri mencecahkan 223,756 orang.
Kelantan terus mencatatkan peningkatan mangsa apabila sebanyak 147,072 orang dipindahkan. Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 44,081 orang.
Di Pahang, jumlah mangsa yang dipindahkan ialah 37,349 orang de-ngan Jerantut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,025 orang mangsa.
Di Terengganu, jumlah mang­sa yang dipindahkan ialah 31,719 orang. Kemaman menjadi daerah tertinggi mangsa iaitu 21,868 orang.
Di Perak, jumlah mangsa yang dipindahkan kini sebanyak 7,408 orang. Perak Tengah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,194 orang.