Elak menjadi mangsa propaganda

NIZAM YATIM | 09 Januari 2015 1:41 AM
“Saya menulis buku ini kerana geram, kurangnya bahan bacaan berkaitan propaganda.”
Buku Kuasa Propaganda
Itulah prakata ringkas yang ditulis Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang di Selangor bagi menjelaskan sebab utama beliau menulis buku yang menyentuh secara khusus mengenai topik ber­kenaan.
Dipercayai ini adalah buku pertama seumpamanya dalam bahasa Melayu. Ilmu propaganda sebelum ini hanya disentuh dalam buku terbitan luar negara.
Propaganda adalah suatu teknik komunikasi yang bertujuan mempengaruhi kecenderungan menyukai atau tidak menyukai seseorang individu atau kumpulan terhadap sesuatu perkara.
Ia muncul dalam pelbagai rupa; daripada kandungan buku yang dibaca atau siaran berita yang diikuti sehinggalah kepada ucapan yang didengar, lakonan yang ditonton atau lagu yang dinikmati dan seribu bentuk lagi.
Menurut penulis, propaganda telah digunakan sejak zaman Parsi kuno, empayar Rom, kerajaan Yunani, zaman kegemilangan Napoleon Bonaparte hinggalah kepada pemerintah Nazi Jerman ketika perang dunia pertama dan kedua.
Kaedah sama digunakan rejim Zionis yang menghasilkan lebih seratus filem bertujuan memaparkan kekejaman Nazi untuk mempengaruhi minda di bawah sedar masyarakat kononnya Yahudi me­rupakan bangsa yang telah ditindas secara kejam dan bagi menghalal­kan pembentukan negara Israel pada 1948.
Bagaimanapun, setelah membaca kata pengantar buku berkenaan yang ditulis oleh Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Tan Sri Nordin Kardi pembaca perlu bertanya diri sendiri apakah tujuan mereka membaca buku berkenaan?
Kalau matlamatnya untuk menguasai teknik bagi menjadi seorang ahli propaganda terbaik, maka mereka harus sedar akan hakikat bahawa wujud kemusykilan sama ada kerja pro­paganda itu halal dan beretika?
Ini kerana mereka yang terlibat melakukan propaganda menyebarkan maklumat secara terpilih untuk menolak atau mempertahankan sesuatu agenda.
Maklumat yang disebarkan melalui kaedah propaganda tidak bertujuan mencari atau mempertahankan kebenaran se­­baliknya cuba mempengaruhi emosi individu atau kumpulan tertentu.
Oleh itu, faedah terbesar yang boleh diperoleh apabila membaca buku ini adalah memudahkan kita mengetahui adakah maklumat yang disebarkan kepada kita benar-benar berdasarkan kebenaran atau hanya bersifat pro­paganda semata-mata yang perlu diselidiki kesahihannya terlebih dahulu.
Menurut penulis, antara teknik propaganda yang sering digunakan adalah memberikan gelaran atau panggilan keji kepada individu atau kumpulan tertentu.
Menerusi teknik ini, gelaran, jolokan atau panggilan yang buruk dan negatif ditujukan kepada individu, organisasi, kerajaan dan gagasan supaya pihak yang menjadi sasaran mereka tidak menyukai atau menolaknya.
Di Malaysia, pihak pembangkang dilihat paling banyak menggunakan teknik ini apabila sering menggunakan bahasa yang menghina atau kata-kata yang memberikan konotasi negatif apabila membicarakan tentang musuh mereka iaitu Barisan Nasional (BN).
Teknik ini mengandungi unsur menyerang lawan dengan menggunakan sindiran dan cemuhan supaya dapat menjatuhkan dan me­nurunkan darjat lawan berkenaan, sama ada individu, pasukan atau gagasan tertentu.
Tujuan propaganda bentuk ini adalah agar orang menolak dan berasa sangsi terhadap idea tertentu tanpa memeriksanya terlebih dahulu.
Teknik ini cuba untuk membangkitkan prasangka di kalangan orang ramai dengan melabelkan sasaran dengan sesuatu yang tidak disukai. Ia merupakan strategi untuk menjatuhkan reputasi seseorang atau sesuatu subjek agar sasaran tidak menyenangi subjek berkenaan.
Satu lagi teknik yang sering digunakan oleh pembangkang adalah menonjolkan keburukan lebih besar di pihak BN.
Kaedah ini mula digunakan setelah pihak media massa arus perdana dan blog pro-BN mendedahkan kelemahan dalam pakatan pembangkang yang saling bertelagah sesama sendiri sehingga rakyat mula hilang kepercayaan terhadap mereka.
Menerusi teknik ini, ahli-ahli politik pembangkang tidak lagi membuang masa untuk mempertahankan parti mereka sebaliknya telah menonjolkan kekurangan, kelemahan dan keburukan BN bagi menunjukkan pihak lawan mereka itu adalah lebih teruk.
Rakyat ditekankan bahawa mereka kini berada dalam situasi perlu memilih antara dua syaitan. Mereka perlu memilih syaitan kurang jahat berbanding yang satu lagi.

Jangan timbulkan provokasi agama

Umat Islam marah seperti kes berlaku di Perancis – Dr. M
FAIZAH IZZANI | 09 Januari 2015 1:40 AM
Dr. Mahathir Mohamad bersama dari kiri Syed Ali Al-Habshee, Abdul Mailk, Sabariah Abdullah, Famiza Zulkfli dan wakil UMNO Cheras Datuk Mahadi Abdul Shukor selepas menyampaikan sumbangan dalam Majlis Pelancaran Program One Soul One Qu’ran di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/SYEFRY MONIZ
KUALA LUMPUR 8 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, akhbar Perancis Charlie Hebdo tidak menghormati agama Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila sengaja mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan ada umat Islam yang begitu marah dan bertindak di luar dugaan.
Katanya, serangan terhadap pejabat akhbar itu semalam sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh tidak sepatutnya berlaku sekiranya tiada provokasi dilakukan oleh akhbar itu sebelum ini.
“Mereka ini tidak hormatkan agama Islam, suka membuat provokasi. Walaupun orang Islam tidak sepatutnya membunuh tetapi sudah tentu ada yang akan marah dengan tindakan provokasi yang dilakukan sebelum ini.
“Jangan sengaja menimbulkan provokasi, menghina nabi dan sebagainya. Mungkin pegangan agama mereka (yang menghina Islam) sudah tidak kuat tetapi sebagai manusia bertamadun, kita seharusnya menghormati kepercayaan dan agama orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program One Soul One Quran anjuran Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.
Turut sama Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, Ketua Pegawai Eksekutif D’Tandoor, Datuk Abdul Mailk, Pengerusi Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS), Sabariah Abdullah dan Pengarah Urusan Muslimah Manufacturing Sdn.Bhd., Famiza Zulkifli.
Dalam kejadian semalam, 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat Charlie Hebdo.
Pada November 2011 pejabat akhbar berkenaan pernah dibom selepas menerbitkan karikatur Nabi Muhammad dengan menggunakan tajuk Charia Hebdo.
Dr. Mahathir berkata, tindakan mencetuskan kemarahan sehingga menyentuh sensitiviti umat Islam malah penganut agama lain juga tidak akan mendatangkan apa-apa faedah.
“Saya tidak halalkan perbuatan membunuh ini. Bukan saya menyokong perbuatan membunuh. Tetapi kita harus ingat kalau kita sengaja provoke orang dan reaksi mereka kita tidak boleh tentu. Sepatutnya tidaklah, tetapi ada orang yang begitu marah. Inilah yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti IIS menerbitkan al-Quran ke dalam empat bahasa untuk diedarkan kepada umat Islam di negara ini melalui projek One Soul One Quran merupakan satu yang dialu-alukan dan amat baik.
Katanya, umat Islam seharusnya memahami tafsir dan setiap makna ayat di dalam al-Quran agar dapat menerapkan nilai sebenar ajaran Islam ke dalam diri masing-masing.
“Umat Islam berpecah-belah kerana tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar iaitu berlandaskan al-Quran. Maka wujud pelbagai tafsiran sendiri mengenai ajaran Islam dan itu yang menyebabkan umat Islam semakin keliru.
“Orang bukan Islam pula semakin memandang serong terhadap Islam apabila umat Islam itu sendiri telah lari dari ajaran al-Quran yang sebenar,” katanya.

Cipta budaya baharu, hina Islam

OLEH AQILAH MIOR KAMARULBAID (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 21 Oktober 2014 3:37 AM
Othman Mustapha
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjuran Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cubaan mencipta budaya baharu sekali gus membawa kepada perbuatan menghina Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, hal ini sekali gus telah menimbulkan keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas bercanggah dengan pegangan mazhab dan adat di negara ini.
Beliau berkata, Mazhab Syafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah adalah haram di sisi Islam.
“Walaupun islam meletakkan kaedah sertu (samak) apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah, namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis berkenaan secara sengaja.
“Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam yang dikatakan bagi menepis persepsi negatif orang ramai terutamanya umat Islam terhadap haiwan berkenaan sebagai haiwan peliharaan seperti kucing.
Dalam pada itu, Othman turut menegur pihak penganjur yang mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang sebab yang munasabah.
“Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada Mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi mazhab tersebut,” jelasnya.
Munurut Othman, Islam pada dasarnya tidak memandang keji kepada anjing sebagai salah satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh haiwan tersebut tanpa sebab yang secara terangan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sebaliknya, anjing wajar diberi kasih sayang. Walau bagaimanapun, Mazhab Syafie tidak membenarkan haiwan tersebut dijadikan binatang peliharaan.
“Dalam perkembangan ini, penganjur kempen tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cipta-budaya-baharu-hina-islam-1.15240#sthash.3Yb0l8l9.dpuf


Pas gesa pemimpin politik bertaubat – YANG MENYOKONG PELIWAT BILA LAGI?

Cubaan liberalkan hukum Islam – Dewan Ulama Pas Pusat

OLEH MOHD. ASRON MUSTAPHA (MOHDASRON.MUSTAPHA@UTUSAN.COM.MY) | 23 Oktober 2014 2:48 AM
Mohd. Khairuddin Aman Razal
Pas menggesa pemimpin politik Islam yang memuji dan menggalakkan penganjuran ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ supaya segera bertaubat kepada Allah kerana kempen tersebut jelas bercanggah dengan syariat serta akhlak Islam.
Ketegasan Pas yang disuarakan menerusi Dewan Ulama Pusatnya itu dibuat selepas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penganjuran berkenaan.
Nurul Izzah menerusi laman Twitternya dipetik sebagai berkata, “Islam juga adalah tentang kasih sayang. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang hadir” walaupun penganjuran berkenaan dikutuk hebat pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, penganjuran ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ jelas merupakan hakikat kepada sebahagian daripada agenda liberalisme untuk meliberalkan hukum-hakam agama Islam.
Katanya, atas sebab itu, selain pemimpin politik Islam yang bertindak memuji serta menggalakkannya, semua pihak terlibat baik penganjur mahu pun mereka yang hadir sebagai peserta perlu segera bertaubat kepada Allah.
“Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan kepada pemimpin politik Islam yang memuji dan menggalakkan penganjuran program seumpama itu agar bertaubat kepada Allah dan jangan dimulakan suatu ikutan yang tidak baik kepada masyarakat Islam.
“Percubaan untuk mempromosi syariat salah dengan dipelopori orang Islam sendiri menerusi agenda yang dilabelkan dengan label yang lunak hakikatnya adalah agenda liberalisme untuk meliberalkan hukum-hakam Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahad lalu, penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Petaling Jaya mendapat sambutan segelintir umat Islam dan ramai dalam kalangan mereka yang hadir bertindak menyentuh serta membelai haiwan tersebut sebelum memuat naik gambar di Internet.
Penganjurnya, Syed Azmi mendakwa, tujuan penganjuran kempen tersebut adalah untuk menghakis perasaan takut orang ramai terhadap anjing yang digambarkan sebagai ganas dan sering menyerang manusia.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, sebarang usaha berdalih dan mencari alasan semata-mata untuk menghalalkan atau merasionalkan sesuatu yang salah perlu ditolak sama sekali, apatah lagi jika kenyataan berkenaan dibuat oleh pemimpin politik.
“Ia hanyalah dalih untuk meliberalkan amalan syariat umat Islam. Hukum Islam tidak diamalkan berdasarkan nafsu untuk mencari yang mudah tetapi untuk mencari pendapat yang terkuat dengan dalil terkuat berdasarkan penilaian ulama muktabar,” jelasnya.
Tambah beliau, hadis-hadis sahih dengan jelas mengatakan bahawa haram hukumnya membela anjing kecuali untuk menjaga ternakan atau berburu manakala kempen pada Ahad lalu pula cuba membawa mesej kepada masyarakat mengenai anjing tanpa menghirau hukumnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-gesa-pemimpin-politik-bertaubat-1.15920#sthash.u0IzkGdu.dpuf


Kerja orang tiada otak’

Nik Abdul Aziz kecam penganjuran kempen sentuh anjing
OLEH ZAAIN ZIN (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 22 Oktober 2014 3:30 AM
NIK ABDUL AZIZ NIK MAT (kiri) dan Ahmad Yakob memegang replika buku Khalifah: Kita Pilihan Allah di Kelantan Trade Centre, Kota Bhatu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/WAHIDIN SALIM
Kerja orang tiada otak, tetapi ada ulat.” Itu kecaman keras Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, terdapat pelbagai aktiviti lain yang lebih bermanfaat boleh dilakukan umat Islam di negara ini daripada berhimpun beramai-ramai semata-mata mahu menyentuh haiwan berkenaan tanpa alasan kukuh.
“Apabila keluar berita orang ramai pegang anjing, dalam kepala tiada otak, tetapi ada ulat. Tidak munasabah orang Melayu, orang Islam sengaja berhimpun ramai-ramai dan pegang anjing.
“Apa kebaikan benda itu, ada­kah berguna di akhirat, sedangkan banyak perkara lain boleh buat yang membolehkan anak cucu kita ikut,” katanya berucap dalam majlis Sambutan Tahun Ke-24 Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kerajaan Kelantan serta pelancaran buku Khalifah: Kita Pilihan Allah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdullah Ya’kub serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ yang berlangsung di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya kelmarin mengundang kemarahan banyak pihak walaupun dikatakan bertujuan menepis persepsi negatif umat Islam terhadap haiwan berkenaan.
Dalam perkembangan berkait­an, Nik Abdul Aziz berkata, umat Islam di negara ini perlu berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang kononnya memperjuangkan fahaman Islam.
Beliau turut menyeru para ilmuwan dan pendakwah memperkemaskan kemahiran berhujah masing-masing supaya mereka dapat menjadi sumber rujukan kepada umat Islam apabila timbul sesuatu isu yang mengelirukan.
“Baru-baru ini, ada sebut fahaman liberal, ini semata-mata nak kacau (umat Islam), perkara sebegini sangat mustahak untuk kita tepis dengan cara berhujah,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-kerja-orang-tiada-otak-8217 1.15477#sthash.mwRW1la5.dpuf


Orang Melayu sudah tidak peduli dengan bangsa sendiri?


Oleh Zaini Hassan



JIKA semua Melayu bersetuju, selepas ini tiada lagi tanda ‘bangsa’ atau ras dalam mana-mana borang rasmi di negara ini. Tiada lagi kotak tanda: Melayu, Cina, India dan Lain-Lain. Sebaliknya yang ada hanya Warganegara dan Bukan Warganegara. Puncanya kerana sekarang ini mahu sebut Melayu pun orang sudah takut dan fobia. Maka itu, perkataan itu perlu dipadam.
Cadangan itu disokong sendiri oleh seorang menteri Kabinet hasil desakan oleh badan-badan hak asasi manusia. Jika dulu ada NGO yang diwujudkan untuk memansuhkan ISA (Abolish ISA), yang kemudiannya desakan mereka didengari kerajaan, tidak mustahil cadangan di atas pun akan diterima.
Lagi pun sudah ada suara-suara yang berani mempersoalkan asal-usul orang Melayu. Mereka dakwa Melayu pun kaum pendatang, mereka pun pendatang. Maka semua sama sahaja.
Betul juga, Melayu sekarang ini rata-rata nak cakap Melayu pun sudah malu. Nak baca dan kepit surat khabar Utusan Melayu pun malu. Apatah lagi anak-anak Melayu elit yang tak pernah belajar di sekolah rendah kebangsaan pun sudah ramai.
Jika Melayu bersetuju selepas ini maka kita kena akurlah juga dengan cadangan sebuah lagi NGO hak asasi manusia iaitu Comango.
Comango, Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process atau Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Difahamkan terdapat 13 usul akan dibentangkan oleh NGO Comango yang salah satunya ialah menuntut kebebasan LGBT di negara ini.
Berikut adalah di antara tuntutan Comango yang sudah pun diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ‘United Nation Human Rights Council, (UNHRC) di Geneva:
* Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Maknanya menuntut supaya negara kita menghalalkan LGBT – iaitu amalan seks songsang!
* Mereka turut memberi tekanan untuk menghapuskan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Di dalam tuntutan ini Comango turut tidak setuju pusat-pusat gay diserbu pihak berkuasa (maknanya mereka mahu gejala seperti itu berleluasa).
* Mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan mereka mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi”.
* Membuat tuntutan yang mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama seperti membawa kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi di Malaysia – untuk dibicarakan di Geneva!
* Mereka juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan orang Islam. Dan juga isu hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur (juga dijadikan isu hak asasi manusia).
Oleh itu, jika orang Melayu beragama Islam bersetuju dengan itu semua, maka negara kita akan menjadi negara Islam pertama bersetuju dengan cadangan-cadangan itu.
Lagi pun tiada kedengaran pun sebuah parti yang menggunakan nama Islam di negara ini membantah atau “sanggup berbaring di atas jalan” untuk menghalangnya. Yang bising hanyalah NGO-NGO totok Melayu yang rasis. Yang lain-lain senyap sahaja.
Jika dikaji, tuntutan demi tuntutan itu dibuat oleh pihak liberal yang banyak berhaluankan parti yang diberi nama “pakatan rakyat”.
Jika rakyat semua sudah berpakat maka tidak susahlah untuk mempersetujuinya.
Selain di atas, orang Melayu juga mungkin akan bersetuju dengan satu kumpulan pendesak meminta penghapusan dasar perlindungan kepentingan bumiputera dan tanah rizab Melayu serta kelonggaran kepada orang Islam untuk murtad.
Jika semua orang Melayu Islam bersetuju, maka Malaysia selepas ini akan dikenali sebagai negara yang paling liberal di muka bumi ini.
Tak apalah, lagipun orang Melayu di negara inilah yang sering dituduh paling rasis, paling perkauman. Orang lain tak begitu. Mereka baik. Mereka tidak pandang kaum.
Orang Melayu amat dibenci di negara ini, adakah kerana orang Melayulah yang paling banyak menguasai jawatan-jawatan penting di syarikat-syarikat milik bukan Melayu di negara ini? Atau juga kerana orang Melayulah yang menguasai kesemua gedung perniagaan di negara ini?
Adakah orang Melayu juga yang menguasai rantaian pengedaran barangan (supply chain) di negara ini? Adakah orang Melayu yang menguasai kartel dan monopoli perniagaan di negara ini? Kaum lain tak boleh masuk, kerana jika mereka masuk maka samseng-samseng akan digunakan untuk menghapuskan perniagaan mereka.
Pendek kata Melayulah yang menguasai kekayaan di negara ini. Maka itu, tidak timbul untuk mereka tidak bersetuju untuk menerima cadangan-cadangan di atas itu kerana mereka sudah senang dan mewah. Namun, adakah itu hakikatnya?
Jika bangsa Melayu masih menjadi bangsa yang asyik meminta-minta itu dan ini untuk hidup, apakah mereka sudah bersedia menerima kesemua tuntutan itu?
Yang pasti kekalutan kaum di negara ini semakin gawat. Sudah ramai orang sudah berani kurang ajar di negara ini. Yang hairannya mereka bebas bercakap apa sahaja.
Secara peribadi, saya cukup-cukup bimbang dengan perkembangan ini.
Atau mungkin orang Melayu sudah tidak peduli lagi, kerana bimbang akan dicap rasis?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140226/re_06/Orang-Melayu-sudah-tidak-peduli-dengan-bangsa-sendiri#ixzz2uPOYjTzA  © Utusan Melayu (M) Bhd