Perkasa, demokrasi dan terima kasih!

CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 12 Ogos 2015 1:38 AM
BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid, menyatakan sesuatu kepada Ibrahim Ali di rumah terbuka pemimpin Perkasa itu baru-baru ini.
KELMARIN saya menghadiri satu (daripada banyak) majlis rumah terbuka raya, antaranya BRO – Bumiputera Retailers Organisation. Di situ saya ditegur oleh seorang ahlinya.
Tak perlulah saya sebut usahawan tersohor negara itu, jika saya sebut semua orang kenal.
Katanya kepada saya “Cuit-cuit yang garang ini apa khabar, kenapa senyap saja, kenapa tak tulis pasal cerita derma-dermawan…”
Kawan-kawan beliau yang mendengar celotehnya secara spontan tergelak kuat. Saya kata “berdiam diri” lebih baik. Kadang-kadang yang tersirat dalam hati lebih baik daripada yang tersurat.
Masing-masing ketawa lagi. Namun di mana-mana majlis raya, mahupun majlis perkahwinan, ceri­tanya, topiknya adalah sama.
Tetapi dalam kekalutan yang sedang berlaku ini saya suka melihat apa yang berlaku di sekeliling kekalutan itu.
Siapa yang pandai mengambil kesempatan di sebalik kekalutan itulah yang akan berjaya.
DAP ternyata sedang menyusun strateginya secara senyap. Begitu juga Pas dan lain-lain.
****
NAMUN yang mahu saya lihat ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebuah pertubuhan Melayu ultra yang selama ini dituduh rasis kerana mempertahankan agama, bangsa dan negara kita ini. (Nota kaki: Tuduhan rasis itu sengaja direka secara gerak saraf kerana subjek itu mempunyai kekuatan yang harus dibunuh oleh musuhnya.)
Benarkah Perkasa kini sedang menyusun langkahnya?
Kepalanya, Ibrahim Ali atau Tok Him dikenali sebagai seorang yang penuh dengan strategi. Beliau dapat melihat jauh ke hadapan. Biarpun orang berkata apa sahaja terhadap­nya, Ibrahim boleh mengorak langkah, cepat dan pantas.
Rangkaian Perkasa kini tumbuh satu demi satu di serata pelosok negara, termasuk ke luar negara. Terbaharu semalam: Perasmian Persidangan Tahunan 2015 dan Perasmian Pejabat Perkasa Parlimen Langkawi Kedah.
Struktur disusun rapi. Nampaknya sekarang ia bukan lagi bergerak seperti anai-anai, tetapi sudah menjadi semut api.
Ala-ala ke arah sebuah parti politik? Ramai sungguh yang berkunjung ke rumah terbuka Tok Him di Taman Malawati malam minggu lepas. Sokongan ke atasnya bukan calang-calang.
Apakah akhirnya Perkasa akan menjadi sebuah parti politik?
Adakah ia mahu menjadi platform terbaharu untuk orang Melayu? Mahupun dengan semua kaum?
Jika ada pendapat, termasuk dalam kalangan Istana sendiri mengatakan Pas akan menjadi parti dominan orang Melayu selepas UMNO, macam mana pula Perkasa?
Ibrahim bijak membuat percaturan politik.
Sabtu 8 Ogos lalu, beliau mengambil inisiatif menganjurkan satu majlis dialog dengan sekumpulan NGO Kristian yang dikenali sebagai Christians for Peace and Harmony in Malaysia Movement (CPHM).
Apa motifnya? Beliau bijak. Inilah masa baginya untuk menyusun saf demi masa depan Perkasa. Perkasa mulai sekarang harus kelihatan lebih liberal dan terbuka daripada sebe­lumnya.
Sebelum bertemu secara rasmi dengan kumpulan kristian itu, mereka sudahpun kelihatan tandang bertandang dalam majlis-majlis anjuran Perkasa sebelum ini.
Ia adalah rakan strategik Perkasa apabila tiba masanya kelak.
Sebagai penganalisis politik, saya nampak ia akan menuju ke arah itu.
Pada 2013 Perkasa menubuhkan apa yang dikenali sebagai Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) – gabungan strategik dengan NGO India dan Cina.
Terpampang besar tajuk berita keesokan harinya: “Bukti Perkasa bukan perkauman”.
Ternyata Perkasa sudah satu tapak ke hadapan. Ketika DAP turut menggunakan taktik untuk menarik perhatian kaum belia Melayu ke dalam parti itu melalui Sekolah Demokrasi, Perkasa pun telah dan sedang melaksanakannya.
Sesungguhnya demokrasi Malaysia sungguh subur. Semua orang boleh buat apa sahaja.
Benarlah juga apa yang saya tulis dalam Prakata buku Cuit: Dilema Melayu Moden… apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah satu proses kematangan (maturing process) rakyat terhadap politik dan masa depan mereka.
Kita baharu mengenal demokrasi sekitar 58 tahun, Amerika Syarikat yang sudahpun merdeka 250 tahun baharu sahaja melantik seorang presiden berkulit hitam sebagai ke­tua negaranya.
Dan, ia memerlukan 50 tahun lagi (sekurang-kurangnya) untuk mela­yakkannya melantik seorang pre­siden bukan putih tetapi beragama Islam untuk menjadi presidennya.
Demokrasi memakan masa yang lama, bukan semalaman.
Kita pula masih mentah.
Kerja kahwin saya – Bahagian Akhir
RAMAI yang bertanya dan bercakap mengenai pengakhiran tulisan ini. Saya cakap biar saya habis lelah dahulu selepas melangsungkan kerja kahwin itu.
Ada yang berkata ia adalah maraton atau kejohanan lumba lari jauh yang memerlukan stamina dan mental.
Benar. Gabungan kedua-dua itulah yang cukup memenatkan.
Namun, syukur alhamdulillah semuanya harus bermula dengan pengalaman pertama. Ia cukup mematangkan kita untuk yang kedua kalinya.
Namun, tanpa kerjasama semua yang terbabit, mustahil saya boleh lakukan. Saya bukanlah seperti yang lain-lain yang boleh menggaji perancang perkahwinan untuk melakukannya.
Saya hanya mempunyai sahabat-sahabat handai dan saudara-mara yang 100 peratus membantu saya bagi menjayakan majlis itu.
Terima kasih semua, tanpa perlulah saya senaraikan nama kalian satu persatu di sini. Hanya Allah yang membalasnya.
Terima kasih yang teramat sa­ngat kepada semua tetamu saya yang hadir pada majlis itu. Terima kasih juga kerana memberi jawapan kehadiran RSVP kepada kami.
Yang tak dapat hadir, terima kasih kerana menghantar mesej kemaafan beserta doa yang amat kami harap­kan. Ada yang menghantar mesej terpaksa berpatah balik kerana ke­sesakan lalu lintas akibat demonstrasi anti-kerajaan dan hal-hal lain lagi.
Syukur. Yang penting majlis itu berjalan lancar dan diharapkan mendapat barakah daripada Yang Maha Esa. Kemaafan daripada saya jika ada yang tidak menggembirakan tuan tuan dan puan-puan sekian.
Maaf juga jika ada yang terlepas pandang dalam jemputan. Kami hanyalah insan yang kerdil.
Terima kasih daun keladi.

1MDB : Tuduhan WSJ tidak berasas – Perkasa

Semua pemimpin, rakyat beri sokongan kepada Najib
ABD. AZIZ ITAR | 06 Julai 2015 1:24 AM
KUALA LUMPUR 5 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa semua pemimpin dan rakyat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana perkara itu melibatkan nama baik negara.
Ibrahim Ali
Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, laporan Wall Street Journal (WSJ) kononnya terdapat penyiasat telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dideposit ke akaun dipercayai milik Najib adalah satu tuduhan tidak berasas.
Sehubungan itu katanya, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyarankan tindakan undang-undang diambil ke atas WSJ bagi membersihkan nama baik Perdana Menteri dan negara, wajar disokong semua pemimpin dan rakyat negara ini.
“Tindakan Muhyiddin yang telah mengeluarkan kenyataannya berhubung isu tersebut wajar dipuji kerana itu adalah isyarat daripada pemimpin nombor dua negara. Ia wajar diperluaskan oleh pemimpin lain di semua peringkat dan juga rakyat tanpa mengira parti politik.
“Ini kerana pendakwaan ke atas WSJ boleh membuktikan bahawa Najib tidak bersalah. Paling penting pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah itu juga boleh dikenal pasti dan didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menafikan tuduhan WSJ dengan menegaskan, beliau tidak pernah mengambil dana awam untuk kepentingan peribadi baik daripada 1MDB, SRC International atau mana-mana entiti.
Malah, menurut Najib, tuduhan terbaharu yang dilemparkan terhadap beliau menerusi media asing itu adalah sebahagian daripada kempen sabotaj yang dibuat secara terancang untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang di- pilih secara demokratik.
Dalam pada itu, Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung laporan media antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkenaan.
Beliau berkata, Perkasa memandang serius perkara tersebut kerana sebarang tuduhan yang berniat jahat terutama datang daripada anasir-anasir asing dikhuatiri mempunyai agenda sulit untuk memporak-perandakan negara ini.
“Siasatan perlu dijalankan seadil-adilnya tanpa bersifat apologetik seiring dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dengan telus dan menyeluruh.
“Jika dakwaan mereka didapati tidak benar selepas siasatan dibuat, ini adalah satu malapetaka buat rakyat yang mempercayainya. Ia bukan sahaja telah mencalarkan kredibiliti negara di mata dunia malah menunjukkan bahawa fitnah mudah bermaharajalela di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Jangan persoal agenda Melayu dalam RMK-11

02 Jun 2015 1:35 AM
KUALA LUMPUR 1 Jun – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dengan kenyataan Pengerusi Institut Hal Ehwal Ekonomi Demokrasi (Ideas), Tengku Zain Al-Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah yang mempersoalkan agenda Melayu dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
HASSAN BASRI
Ketua Penerangan Perkasa, Hassan Basri Muhammad berkata, kenyataan dua individu itu dalam satu forum anjuran Harmony Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berhubung isu tersebut disifatkan telah menyakiti hati orang Melayu.
Menurutnya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tegas mempertahankan Perlembagaan, hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan institusi raja, Perkasa menyanggah kenyataan Tengku Zain dan Saifuddin dalam forum tersebut.
“Mereka tidak memahami dan menyelami Perlembagaan yang menjelaskan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub di bawah Perkara 153 ataupun bersikap prejudis kepada orang Melayu dan agama Islam.
“Oleh itu, Perkasa mencadangkan supaya mereka atau mana-mana pihak yang mempertikaikan agenda Melayu dan bumiputera dalam pembangunan negara perlulah ‘disekolahkan’ semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hassan Basri dalam kenyataan itu berkata, Tengku Zainal Abidin yang antara lain memberi contoh kononnya tidak dinyatakan dalam Perlembagaan pengurangan 10 peratus harga pembelian rumah kepada Melayu dan bumiputera jelas memperlihatkan kedangkalan beliau.
Justeru, beliau bimbang kenyataan seperti itu akan menjadi lidah penyambung kepada perjuangan DAP dan cauvinis Cina yang antaranya mahu menghapuskan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sekiranya mereka memerintah negara.
“Kenyataan kerabat diraja ini dibimbangi boleh menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada institusi raja untuk mempertahankan agama Islam dan orang Melayu. Perkasa tidak mahu isu ini digunakan oleh pihak media untuk menangguk di air keruh.
“Perkasa yang mempunyai 500,000 ahli bertegas menentang sesiapa juga yang cuba mempertikaikan perkara berkaitan hak orang Melayu dan agama Islam seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” ujarnya.

LIWAT : Kes Anwar tak sama Mandela, Suu Kyi

Mahasiswa jangan terpengaruh dengan sentimen simpati – Perkasa
OLEH RODELIO JUNJUN TAUCAN (RODELIO.TAUCAN@UTUSAN.COM.MY) | 15 Februari 2015 12:44 AM
Ibrahim Ali (barisan depan, lima dari kanan) bersama pelajar Melayu dan Bumiputera yang menuntut di Cardiff, United Kingdom, kelmarin.
KUALA LUMPUR 14 Feb. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menasihatkan golongan muda terutama mahasiswa di luar negara agar tidak terpengaruh dengan sentimen simpati yang cuba ditimbulkan kumpulan penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kumpulan berkenaan sedang berusaha mendapatkan sokongan mahasiswa melalui pro­paganda menyamakan nasib Anwar dengan tokoh keamanan dunia dari Afrika Selatan, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi di Myanmar.
“Isu Anwar dan Mandela bagai langit dengan bumi. Ada pihak cuba samakan Anwar dengan Mandela dan Suu Kyi serta tokoh lain yang ditahan kerana berjuang demi rakyat, namun cerita Anwar lain, dia dipenjara kerana kesalahan meliwat.
“Saya menyeru pelajar-pelajar di luar negara supaya tidak terjebak dengan dakyah segelintir kumpulan Anwar kerana pentingnya negara aman iaitu apabila pulang ke tanah air, mendapat pekerjaan dan meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan selepas Maj­lis Penerangan dan Dialog Perkasa Bersama Pelajar Malaysia di Cardiff, United Kingdom, semalam.
Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari tujuh tahun lalu.
Sehari selepas itu, penyokong Anwar yang diketuai anaknya, Nurul Nuha melancarkan kempen Ber­arak Demi Kebebasan di seluruh negara untuk mendesak pembebasan bapanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, golongan mahasiswa perlu mengelak daripada terjebak dengan kempen seperti itu.
“Kita sudah lihat bagaimana negara lain terjebak dengan rusuhan dan kini ancaman turut ada di Malaysia sehingga umat Melayu berpecah dan ada pihak mencemuh Islam melalui pelbagai cara,” tegasnya.

Perkasa sifatkan Fahmi Zainol ‘dangkal’

Isu bumiputera dikecuali bayaran balik PTPTN
LILIS SURIANI OMAR | 26 November 2014 2:20 AM
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Desakan supaya mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mahu hanya pelajar bumiputera layak menerima pengecualian daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau biasiswa didakwa di bawah Akta Hasutan disifatkan sebagai ‘dang­kal’.
FAHMI ZAINOL
Tegas Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrul Akmal Saharudin, tindakan itu bukan sahaja manifestasi kedangkalan pemikiran, malah membuktikan pengaruh liberalisme yang menular dalam kalangan segelintir mahasiswa sehingga terlalu mudah memperjudikan hak serta kelebihan bumiputera seperti dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan ini bukanlah direncanakan di kedai kopi tetapi melalui musyawarah dalam kalangan pimpinan NGO Melayu Islam bahawa hak keistimewaan bumiputera perlu diperkasakan.
“Kita lihat majoriti yang mene­rima pertukaran pinjaman PTPTN kepada biasiswa ini bukanlah daripada kalangan bumiputera tetapi juga mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik bukan bumiputera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Fahmi Zainol seperti dilapor dalam sebuah portal berita propembangkang berkata, NGO-NGO yang memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera itu wajar didakwa mengikut Akta Hasutan kerana menyifatkan tindakan mereka mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Azrul Akmal berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wu­jud perancangan stra­tegik dan licik oleh sebilangan pemilik ins­titusi pengajian tinggi bukan bumiputera untuk memastikan pelajar bukan Melayu mendapat keputusan cemerlang dan mereka diberikan biasiswa.
“Ini termasuklah memberikan sistem gred double standard serta penyebaran soalan-soalan peperiksaan bocor kepada pelajar bukan bumiputera. Walau bagaimanapun perkara ini adalah maklumat yang masih dibincangkan tetapi kita perlu fahami sebaik-baiknya bahawa adil bukanlah bermaksud sama rata tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.
“Dengan pertukaran pinjaman PTPTN kepada biasiswa tanpa mengira kaum dan majoriti penerima­nya pula adalah bukan bumiputera, di manakah letaknya hak dan keistimewaan kita seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Tambah beliau, cadangan pertukaran itu bukan untuk menidakkan kepentingan kaum lain tetapi keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan bumiputera sudah termaktub dalam Artikel 153 seperti dipersetujui melalui kontrak sosial sebagai asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan.
“Janganlah berfikiran jika bumiputera diberikan biasiswa ini, mereka akan jadi kurang kompetitif serta leka kerana mekanisme masih sama yakni untuk mendapat pertukaran pinjaman PTPTN tersebut kepada biasiswa, mereka masih perlu berusaha keras untuk mendapatkan keputusan cemerlang, tetapi bukanlah gred diturunkan,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perkasa-sifatkan-fahmi-zainol-8216-dangkal-8217-1.29305#sthash.aNeog969.dpuf


Konvensyen lulus Memorandum Perpaduan Nasional

24 November 2014 2:50 AM
Ibrahim Ali (dua dari kanan) menyerahkan Laporan Memorandum dan Usul Konvensyen Perpaduan Nasional kepada bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin pada Konvensyen Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Konvensyen Perpaduan Nasional hari ini meluluskan Memorandum Perpa­duan Nasional yang berlandaskan pada status quo hak-hak pribumi, Melayu dan Islam serta bukan pribumi.
Memorandum itu diluluskan selepas dibahaskan oleh 24 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh dan ahli akademik dalam konvensyen anjuran Gabungan NGO Melayu dan Islam Penggerak Perpaduan Nasional di Pusat Islam di sini.
Ia diluluskan secara sebulat suara oleh peserta perhimpunan selepas diusulkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional, Datuk Ibrahim Ali.
Perhimpunan pertama kali disertai kira-kira 350 NGO tersebut merupakan platform terbaharu kepada mereka untuk membincangkan masalah dihadapi masyarakat masa kini, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Ibrahim berkata, memorandum berkenaan merupakan suara hati nurani NGO pribumi, Melayu dan Islam yang mengandungi 54 usul.
Beliau berkata, sejumlah 19 usul dihasilkan daripada penghujahan tentang politik, Perlembagaan, undang-undang dan keselamatan negara manakala 20 usul pula melibatkan isu-isu ekonomi.
“Sebanyak lapan usul daripada suara hati kita adalah tentang pendidikan dan bakinya perbincangan dari sudut agama,’’ katanya ketika membentangkan laporan memorandum dan usul berkenaan dalam konvensyen tersebut.
Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, keseluruhan usul itu berlatarbelakangkan suasana di negara ini sejak Pilihan Raya Umum 2008, melibatkan lapan perkara iaitu:
Keunggulan Perlembagaan Per­sekutuan yang kini dipertikaikan oleh sesetengah pihak.
Keluhuran undang-undang negara terutama untuk menjamin ketenteraman awam dan keselamatan seperti Akta Hasutan yang cuba dimansuhkan.
Kesucian Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang kebelakangan ini dijadikan bahan polemik dan cuba diperkecilkan oleh sesetengah pihak.
Kedaulatan institusi Raja-raja Melayu.
Keselamatan politik Barisan Nasional (BN) berteraskan UMNO yang sedang terhakis dan terancam.
Status pribumi, Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keselamatan ekonomi pribumi yang terumbang-ambing.
Isu-isu pendidikan yang dipersepsikan sebagai mengancam kesejahteraan pribumi dalam bidang itu.
Menurutnya, senario dan isu-isu tersebut perlu ditangani secara tegas oleh kerajaan kerana perpaduan nasional akan terjejas, sentimen perkauman boleh memuncak serta kesejahteraan rakyat boleh terancam jika dibiarkan berlarutan.
Beliau berkata, memorandum itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, raja-raja Melayu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri.
“Penyerahan kepada Najib akan cuba dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula Selasa ini,” katanya.
Katanya, penyerahan memorandum bertajuk ‘Perpaduan Rakyat Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara’ itu bertujuan membantu kerajaan dengan menjadikannya sebagai panduan untuk menangani isu-isu yang timbul.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/konvensyen-lulus-memorandum-perpaduan-nasional-1.28544#sthash.xFT0fEp5.dpuf