MH17: Misil dipercayai dilancar dari kawasan Ukraine – Duta Rusia

15 Oktober 2015 12:46 PM
RAKAMAN video animasi yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda berhubung tembakan ke atas pesawat MH17 tahun lalu.
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Pengeluar BUK, Almaz-Antey yang telah menjalankan kajiannya sendiri menunjukkan misil BUK yang dipercayai digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 tahun lalu dipercayai dilancarkan dari wilayah dikuasai pihak Ukraine.
Duta Rusia di Malaysia, Valery N Yermolov berkata, ujian menggunakan misil BUK ke atas pesawat oleh Almaz-Antey juga menunjukkan corak kerosakan yang dihasilkannya berbeza dengan kerosakan yang didapati pada serpihan MH17.
“Rusia juga menafikan mereka memiliki sistem pertahanan udara BUK kerana misil jenis itu sudah dilupuskan sejak 2011 dan tidak lagi digunakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Advertisements

Malaysia puas hati laporan siasatan DSB

16 Oktober 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Malaysia berpuas hati dengan pembentangan laporan siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.
Azharuddin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan yang dibentangkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada malam kelmarin, mengikut peraturan lampiran 13 Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Pembentangan oleh DSB mendedahkan mengenai apa yang berlaku dan memberi cadangan langkah-langkah keselamatan agar kemalangan yang serupa dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Seterusnya pihak Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bahagian jenayah pula akan meneruskan siasatan mereka yang mana saya percaya laporan DSB akan menjadi satu elemen penting untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azharuddin berkata, Malaysia sebagai negara milik pesawat MH17 akan turut bersama membantu DSB dalam penyiasatan nahas pesawat itu.
Selasa lalu, Pengerusi DSB, Tjibbe Joustra mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.
Katanya, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Hari ini, Duta Rusia di Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, kajian oleh negaranya mendapati peluru berpandu BUK 9M38M1 yang menjatuhkan pesawat MH17 merupakan peluru berpandu yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh tentera negara itu sejak 2011.
Menurut beliau, peluru BUK dari Rusia pada ketika ini tidak meninggalkan kesan serpihan ledakan bentuk ‘rama-rama’ sebagaimana yang ditemukan pada bangkai pesawat MH17.

MH 17 : Rusia pertikai laporan

KAMIL MASLIH | 16 Oktober 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Rusia menafikan laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang memutuskan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan negara tersebut dalam kejadian 17 Julai tahun lalu.
VALERY YORMOLOV
Duta Rusia ke Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, hasil kajian yang dilakukan oleh firma pengeluar peluru berpandu berkenaan, Almaz Antey, mendapati peluru berpandu BUK yang menembak jatuh MH17 adalah peluru berpandu versi lama iaitu BUK 9M38 yang tidak lagi digunakan oleh tentera Rusia sejak 2011.
Beliau memberitahu, kajian yang sama turut mendapati peluru berpandu berkenaan dilancarkan dari kawasan perkampungan Zaroschenskoye yang merupakan wilayah dikuasai tentera Ukraine dan bukannya sebagaimana teori DSB yang menyatakan peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan Snezhnoye yang dikuasai pemisah Ukraine.
Menurut Yermolov, Rusia telah memohon kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk membuka siasatan baharu terhadap nahas pesawat MH17 kerana mendapati masih banyak persoalan tidak terjawab daripada laporan akhir DSB.
“Rusia telah menamatkan perkhidmatan peluru berpandu BUK 9M38 pada tahun 2011 kerana kita kini menggunakan peluru berpandu BUK 9M38M1, tetapi kita tahu yang (tentera) Ukraine masih mempunyai kira-kira 500 peluru berpandu (jenis BUK 9M38) sehingga sekarang.
“Kita juga perlu sedar banyak negara bekas Soviet Union turut dilengkapi peluru berpandu jenis ini, selain beberapa negara NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) seperti Greece turut memilikinya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam sidang akhbar tersebut, wartawan yang hadir di Kedutaan Rusia di sini turut dipertontonkan dengan video dokumentari kajian yang dilakukan oleh Almaz Antey dan video berkenaan telah dimuat naik di laman web malaysia.mid.ru
Laporan akhir yang dibentangkan DSB kelmarin menyatakan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara jenis BUK dan kepala peledak peluru berpandu itu meletup di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Kata Yermolov, hasil kajian Almaz Antey mendapati corak serpihan letupan BUK 9M38 adalah serupa dengan kesan letupan yang diterima pesawat MH17 dan bukannya peluru berpandu BUK 9M38M1.
Menurut beliau, hasil analisis dan simulasi yang dilakukan turut mendapati percanggahan dengan laporan akhir DSB mengenai kawasan peluru berpandu berkenaan dilancarkan.
“Laporan daripada Almaz Antey ini adalah begitu penting untuk penyiasatan nahas MH17 tetapi telah diketepikan oleh DSB. Kami juga telah beberapa kali menjemput negara-negara anggota penyiasat MH17 termasuk Malaysia untuk datang ke Rusia bagi bekerjasama dalam siasatan nahas MH17 tetapi tiada siapa pun datang,” katanya.
Jelas Yermolov, Rusia sedia bekerjasama bukan sahaja dengan Malaysia tetapi negara terlibat yang lain untuk mencari dalang di sebalik nahas MH17 dan membawanya ke muka pengadilan.
“Seperti Malaysia, Rusia juga mahu mendapatkan kebenaran, ini pendirian kami. Bagaimanapun, kami agak terkejut dengan beberapa kenyataan daripada pemimpin Malaysia mengenai pesawat MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK buatan Rusia sedangkan semua sedia maklum, banyak negara bekas Soviet Union turut memiliki peluru berpandu BUK,” katanya.
Berhubung keputusan Rusia menggunakan kuasa veto untuk menolak usul penubuhan satu tribunal antarabangsa kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yermolov berkata, Rusia tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan tribunal tersebut tetapi terbuka kepada cadangan beberapa negara terlibat untuk menggunakan saluran perundangan negara masing-masing bagi mendapat keadilan.

Jangan buat keputusan melulu

Nasihat kepada 6,000 kakitangan MAS tidak terima surat tamat perkhidmatan
HAKIMI ISMAIL | 02 Jun 2015 1:36 AM
ANAK kapal MAS di KLIA bertugas seperti biasa walaupun syarikat penerbangan itu menghantar surat penamatan perkhidmatan pekerjanya mulai semalam. – Bernama
SEPANG 1 Jun – Sebanyak 6,000 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang menerima surat penamatan perkhidmatan hari ini dinasihatkan tidak membuat sebarang tindakan melulu termasuk mengadakan bantahan beramai-ramai.
Seorang pegawai kanan MAS yang mahu dikenali sebagai Man berkata, tindakan melulu hanya akan merumitkan keadaan termasuk berdepan tindakan dinafikan wang pampasan yang akan diterima selepas penamatan perkhidmatan pada 31 Ogos depan.
Beliau yang telah bekerja selama 35 tahun dengan MAS berkata, kesemua 6,000 pekerja yang diberhentikan akan menerima pampasan masing-masing, namun jumlah dan kaedah pengiraannya berbeza mengikut gaji pokok semasa dan tempoh perkhidmatan.
“Sekarang kita ada jaminan untuk mendapat wang pampasan selepas diberhentikan, jadi saya nasihatkan rakan-rakan agar tidak membuat tindakan melulu yang boleh merugikan diri sendiri.
“Saya sendiri menerima surat penamatan perkhidmatan, saya terima dengan reda dan menganggapnya sebagai ketentuan ilahi,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) yang mengambil alih MAS mengumumkan pelan 12 perkara bagi memulihkan MAS termasuk memberhentikan 6,000 daripada 20,000 pekerja pelbagai peringkat pada Julai 2015.
Khamis lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib mengumumkan kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kakitangan MAS yang diberhentikan berikutan penyusunan semula syarikat penerbangan nasional itu dan akan berusaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada mereka.
Menurut Man, terdapat juga kakitangan kanan yang sudah berkhidmat lebih 28 tahun ditawarkan untuk bekerja bersama syarikat penerbangan tersebut, namun dalam masa sama diturunkan jawatan ke pangkat yang sangat rendah, selain gaji dipotong.
Selain itu, seorang lagi kakitangan MAS yang mahu dikenali sebagai Hafiz berkata, dia tidak tahu apa yang akan dilakukannya selepas ini kerana masih terkejut selepas menerima surat penamatan perkhidmatan daripada syarikat penerbangan tersebut.
Hafiz yang sudah tujuh tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan berkenaan berkata, surat yang dipos ke rumah dibuka oleh isteri sebelum memaklumkan berita itu kepadanya yang sedang bekerja KLIA.
“Saya terpaksa mencari kerja lain sebelum 31 Ogos untuk menyara keluarga, bukan senang untuk cari kerja lain buat masa ini. Sekarang saya buntu, namun saya reda dan percaya akan ada rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja di bahagian kaunter MAS yang mahu dikenali sebagai Anjali, 30, berkata, keluarganya memaklumkan surat daripada MAS sudah dihantar ke rumah namun tidak berani untuk membukanya kerana inginkan beliau melihat sendiri butiran yang dilampirkan.
“Semua kakitangan menerima surat penamatan perkhidmatan yang diposkan di rumah dan di dalam surat yang sama juga terdapat satu lagi surat sama ada tawaran bekerja daripada MAS atau diberhentikan terus,” katanya.

MH370 : Fakta siasatan didedah

Pasukan penyiasat antarabangsa sediakan laporan interim
HUSSAINI AMRAN | 09 Mac 2015 1:19 AM
WARIS kepada keluarga mangsa MH370 menunjukkan gambar keluarga mereka yang hilang ketika hari memperingati peristiwa MH370 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYEFRY MONIZ
KUALA LUMPUR 8 Mac – Genap setahun insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac tahun lalu, Malaysia hari ini mengumumkan laporan interim yang disediakan oleh pasukan penyiasat antarabangsa yang turut dianggotai tujuh negara lain.
Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia untuk MH370 itu dianggotai wakil agensi penyiasatan nahas udara dari Australia, United Kingdom, Singapura, Perancis, China, Amerika Syarikat dan Indonesia (NTSC).
Antara penemuan signifikan pasukan penyiasat antarabangsa itu ialah rekod penyelenggaraan pesawat dan sistem penerbangan mendapati tiada sesuatu keadaan luar biasa terhadap enjin MH370 sebaliknya ia memenuhi semua piawaian.
Selain itu, tiada tingkah laku luar biasa pada semua anak kapal pesawat seperti pemencilan sosial, perubahan kelakuan atau minat dan pengabaian diri.
Ini termasuk pengesahan fakta yang diterima oleh pasukan penyiasatan bahawa tiada tanda-tanda mengaitkan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Fariq Abdul Hamid serta anak kapal dengan penyalahgunaan dadah serta alkohol.
“Pemerhatian terhadap tingkah laku kedua-dua juruterbang dibuat berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Mac 2014,” kata pasukan itu.
Laporan 578 muka surat yang dinamakan Maklumat Fakta: Penyiasatan Keselamatan untuk MH370 itu, dikeluarkan hari ini oleh pasukan berkenaan bagi memenuhi ketetapan ICAO supaya diumumkan perkembangan siasatan setiap kali ulang tahun insiden sekiranya laporan akhir belum disediakan.
Ini adalah kali pertama Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia untuk MH370 tampil membuat kenyataan.
Tujuh agensi penyiasat nahas udara yang menganggotai pasukan itu ialah Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Cawangan Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB UK), Biro Penyiasatan Nahas Udara Singapura (AAIB Singapura), Biro Penyiasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA), Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB) dan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia (NTSC).
Pasukan itu diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Kok Soo Chon itu, yang turut membuat kenyataan interim secara langsung menerusi TV1 pukul 3 petang ini.
Laporan tersebut yang boleh dimuat turun daripada laman web Kementerian Pengangkutan melalui http://mh370.mot.gov.my turut mengandungi transkrip penuh komunikasi setebal 164 muka surat antara ATC Kuala Lumpur dengan pesawat MH370 dan penerbangan lain pada 8 Mac tahun lalu, mulai pukul 1.03 pagi hingga 6.58 pagi.
Pasukan penyiasatan itu menambah, siasatan ke atas kedudukan kewangan Zaharie, Fariq dan semua anak kapal lain menunjukkan tiada yang luar biasa dari segi pendapatan bulanan kasar dan perbelanjaan tunai mereka.
“Tiada bukti menunjukkan mereka melakukan transaksi kewangan luar biasa sebelum insiden kehilangan pesawat MH370,” jelas pasukan.
Penilaian psikologi dan sosial oleh pasukan penyiasatan juga mendapati Zaharie mampu menangani tekanan di tempat kerja dan rumah serta tiada tanda apati, tekanan atau cepat marah.
“Siasatan juga mendapati tiada perubahan ketara dari segi gaya hidup, konflik peribadi atau masalah keluarga,” kata pasukan berkenaan.
Sementara itu, pasukan penyiasat melaporkan, kedua-dua juruterbang dan semua anak kapal pesawat MH370 tidak mengalami penyakit kronik yang boleh menghalang mereka daripada menjalankan tugas secara kompeten.

MH370: Kehidupan waris dibelenggu derita

05 Mac 2015 12:31 AM
ORANG ramai menurunkan tandatangan sebagai sokongan dan doa pada kain rentang yang disediakan MAS. – REUTERS
BEIJING 4 Mac – Tanggal Ahad ini, genap setahun tragedi kehilang­an pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Kebanyakan ahli keluarga mangsa menyifatkan kejadian itu sebagai ‘lubang hitam’ dalam kehidupan mereka kerana terpaksa berdepan dengan tekanan kuat dari segi emosi dan fizikal.
Seorang ahli keluarga mangsa, Li Hua, 58, yang baru sembuh sepenuhnya dari penyakit angin ahmar berkata, kehidupannya kini dibelenggu dengan rasa ‘perit’.
“Saya dapat rasakan ini satu pembunuhan, tetapi kenapa?. Saya perlu terus hidup untuk isteri saya dan berjuang mencari kebenaran,” jelasnya.
Sebahagian ahli keluarga berkenaan mengadu mengalami masalah kesukaran untuk tidur, hilang selera makan, dan ada yang mendapat serangan penyakit jantung serta darah tinggi semata-mata mahu menunggu jawapan misteri kehilangan tersebut.
“Ada yang tidak pulang ke China sejak 8 Mac lalu. Bagaimana kami mahu pulang ketika pe­rasaan kami begitu terluka,” kata Wang Rongxuan, 60, yang menolak keras dakwaan bahawa anaknya iaitu Hou Bo, 37, terkorban dalam nahas itu.

MH 17: Keluarga dibenar lihat bangkai pesawat

05 Mac 2015 12:35 AM
Waris kepada mangsa nahas pesawat MAS MH17 dan wakil media melawat pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di selatan Belanda yang menempatkan serpihan pesawat itu yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai tahun lalu. – AP
AMSTERDAM 4 Mac – Waris kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, buat pertama kali semalam dibenarkan mengunjungi Pangkalan Tentera Udara Gilze-Rijen di selatan negara ini bagi melihat sendiri serpihan bangkai pesawat itu.
Bagi kebanyakan ahli keluarga, lawatan itu diselubungi suasana pilu kerana mereka menyaksikan serpihan pesawat yang menjadi ‘tempat’ mangsa menghabiskan waktu-waktu terakhir mereka.
Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa tidak mahu bercakap kepada media yang sedia menunggu ketika lebih banyak lagi waris dijangka melawat pangkalan itu pada minggu ini dengan jumlah kesemua waris yang datang dianggarkan berjumlah 500 orang.
Serpihan pesawat yang di­letakkan di tiga buah hangar itu mengandungi sayap, roda, badan utama kapal serta ruang bagasi yang antaranya mempunyai kesan jelaga, manakala bahagian logam tebal pesawat dilihat berpintal dan pecah.
Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan melihat bahagian pesawat yang didakwa terkena hentaman objek bertenaga tinggi, lapor Mail Online.
Namun, tidak semua ahli keluarga mangsa cukup kuat untuk melihat bangkai pesawat MH17 kerana ada antara mereka enggan berbuat demikian ekoran terlalu sedih.
Jurucakap Lembaga Keselamatan Belanda, Sara Vernooij berkata, pasukan pakar akan mencantumkan semula serpihan pesawat itu bagi membantu penyiasat menilai kerosakan dan mewujudkan bukti nahas tersebut.
Katanya, laporan terakhir lembaga itu tentang nahas yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur tersebut akan dikeluarkan tahun ini juga.