25 cedera bas terbalik masuk parit

Sebuah bas dari arah Taiping ke Johor Bahru terbalik di Kilometer 19 Jalan Ayer Hitam, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 7 Nov. – Seramai 25 penumpang sebuah bas ekspres menempuh detik-detik cemas apabila kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 19 Jalan Ayer Hitam menghala ke Johor Bahru, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, bas itu yang dalam perjalanan dari Taiping, Perak, dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit.

Penumpang, D. Kanageswaran, 30, berkata, kejadian itu berlaku pantas dan dia hanya sempat melihat bas tersebut melanggar pembahagi jalan tidak lama selepas keluar dari persimpangan tol Kulaijaya.

“Selepas itu saya terus bangun dan pecahkan cermin hadapan bas untuk mengeluarkan ibu saya (P. Saraswati, 61) dan isteri (P. Kogilawani,30),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Seorang lagi penumpang, S. Parvathi, 26, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira dua minit selepas dia menghubungi adiknya untuk menjemputnya di Hentian Bas Taman Tun Aminah, di sini.

Katanya, akibat daripada kemalangan itu dia terperangkap di dalam lumpur sebelum diselamatkan seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Ketika kejadian sebahagian daripada badan saya terkeluar daripada bas. Kepala saya pula terhentak ke bahagian cermin,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supritendan Mohd. Akhir Ishak berkata, siasatan awal pihaknya percaya pemandu bas berusia 45 tahun itu hilang kawalan semasa tiba di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu itu ditahan untuk diambil keterangan dan berdasarkan siasatan, pemandu tersebut tidak memiliki rekod lampau kesalahan jalan raya.

“Tiga daripada penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan serius manakala bakinya hanya mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Helikopter terhempas ke dalam sungai

BEBERAPA anggota penyelamat melihat helikopter yang cuba diangkat daripada permukaan air di Sungai East, New York kelmarin. – Reuters

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Sebuah helikopter yang membawa lima orang dalam penerbangan persendirian terhempas ke dalam Sungai East di sini tengah hari kelmarin sejurus selepas ia berlepas di tebing sungai dengan menyebabkan seorang penumpang maut dan tiga lagi cedera.

Kejadian itu berlaku semasa helikopter tersebut disewa untuk melakukan penerbangan bagi meraikan satu sambutan hari jadi.

Polis berkata, mangsa yang terbunuh itu merupakan seorang wanita yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-40, terperangkap di dalam helikopter berkenaan semasa ia tenggelam pada kedalaman 15 meter.

Beberapa anggota penyelam Jabatan Polis New York mengeluarkan wanita tersebut sekitar 90 minit selepas helikopter jenis Bell 206 Jet Ranger itu terhempas kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan.

Dia meninggal dunia di tempat kejadian.

Petugas-petugas kecemasan yang segera tiba di lokasi kejadian mendapati helikopter itu berada dalam keadaan terbalik di dalam air dengan cuma palang pendaratannya timbul di permukaan air.

Juruterbang, Paul Dudley bersama tiga penumpang dilihat terapung-apung di sungai berkenaan manakala seorang saksi memberitahu dia melihat seorang lelaki menyelam untuk cuba menyelamat mangsa yang masih terperangkap.

Jurucakap polis, Paul Browne berkata, ketiga-tiga penumpang yang terselamat ditarik keluar dari sungai itu tidak lama selepas petugas-petugas kecemasan tiba.

Mereka dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan manakala juruterbang terbabit tidak cedera dan berenang ke tebing sungai.

Semua penumpang tersebut ialah rakan keluarga juruterbang berkenaan. – AP

Bas jadi leper selepas nahas

afp
SEORANG lelaki melihat sebuah bas sekolah yang menjadi leper di lokasi nahas di Kalar Kahar, Pakistan kelmarin.

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 31 kanak-kanak dan remaja serta empat orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas terbabas dan memasuki gaung di tenggara Islamabad, kata beberapa pegawai semalam.

Bas itu membawa pulang pelajar sebuah sekolah swasta daripada berkelah.

Ia terbabas dan jatuh ke dalam gaung di wilayah Punjab kelmarin.

“Seramai 35 mangsa termasuk 31 kanak-kanak dan empat orang dewasa terbunuh dalam kemalangan itu. Pemandu, pembantu pemandu, penolong pengetua dan guru antara yang terkorban,” kata seorang pegawai pentadbiran kanan di daerah Faisalabad, Naseem Sadiq.

“Kesemua pelajar itu berumur di antara 10 hingga 15 tahun,” kata ketua sebuah hospital, Dr. Sultan Alamgirian.

Seorang pegawai memberitahu, siasatan akan dilakukan bagi mengetahui punca kemalangan tetapi laporan awal menyatakan ia mungkin disebabkan masalah brek. – AFP

Kereta api berlanggar, 290 cedera

Pasukan menye;amat memindahkan penumpang-penumpang yang terselamat dari kereta api yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta api laluan bawah tanah di tengah Shanghai, semalam. – AFP

SHANGHAI 27 Sept. – Lebih 270 penumpang cedera dan 20 dilaporkan cedera parah, apabila dua buah kereta api laluan bawah tanah bertembung di tengah Shanghai hari ini.

Agesi berita tempatan melaporkan, kemalangan berlaku pada pukul 2.10 tengah hari waktu Malaysia berpunca daripada kegagalan memberi isyarat.

Tiada kematian dilaporkan.

“Dua buah kereta api bertembung berhampiran stesen Yu Yuan di tengah Shanghai akibat kegagalan memberi isyarat dan operasi perkhidmatan antara stesen Hongqiao dan stesen Tiantonglu ditangguhkan buat sementara waktu,” jelas kenyataan syarikat kereta api Shanghai Metro menerusi laman webnya.

Pihak keselamatan dikerah menjalankan operasi menyelamat.

Ini merupakan kemalangan kereta api kedua di negara ini selepas insiden pelanggaran kereta api di timur bandar Wenzhou pada Julai lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 penumpang yang disifatkan sebagai kemalangan kereta api paling buruk pada tahun ini. – AFP/REUTERS

Gaddafi sembunyi dalam kubu bawah tanah


TRIPOLI – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dipercayai berlindung di dalam sebuah kubu bawah tanah di luar bandar Tripoli, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Beliau dilaporkan bersembunyi semasa pertempuran sengit berlaku di pekarangan rumahnya dan ketika penduduk meraikan kejayaan tentera pemberontak memasuki bandar ini. Sebuah stesen televisyen bebas Libya turut mendakwa bahawa Gaddafi telah melarikan diri sebagai seorang yang pengecut.

Beberapa pemimpin dunia sebelum ini meminta Gaddafi yang berkuasa sejak tahun 1969 menyerahkan diri selepas para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinannya.

Namun, Gaddafi yang memerintah selepas melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan kemungkinan ditawarkan hidup dalam buangan di Angola atau Zimbabwe oleh Kesatuan Afrika.

Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) yang diiktiraf Barat sebagai badan pentadbir Libya menyatakan anak Gaddafi, Seif Al-Islam dan Al-Saadi sudah ditangkap.

Menurut TNC, seorang lagi anak Gaddafi, Muhammad dilaporkan sudah menyerahkan diri.

Ketua TNC, Mustafa Abdel Jalil memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa Seif dikawal rapi dan ditempatkan di sebuah tampat yang selamat.

Kemuncak pergolakan yang berlaku di Libya sejak Februari lalu adalah kemaraan para pemberontak di Tripoli dari bandar Misrata pada Ahad lalu menerusi laut.

Ekoran kejayaan para pemberontak menguasai Tripoli, Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan tidak lagi akan membekukan aset Libya yang berjumlah AS$20 bilion (RM59.31 bilion).

Jerman turut mengumumkan rancangan sama. Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, berkata aset Libya yang dibekukan selama ini lebih AS$10.1 bilion (RM29.95 bilion).

Itali juga telah menghantar sebuah pasukan ke Benghazi untuk membantu membina semula pengeluaran minyak dan gas asli. – Agensi

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.

TRIPOLI, Libya – Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

“Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi),” jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.

ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.

Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. – AP

Sedia guna meriam air

SEORANG perusuh berjalan di hadapan halangan jalan raya yang dibakar di kawasan Toxteth di Liverpool, kelmarin. Kira-kira 200 belia dilaporkan membaling objek ke arah polis di kawasan tersebut. – AP

LONDON 10 Ogos – Perdana Menteri David Cameron berikrar akan mengakhiri keganasan ‘jelik’ yang berlaku di negara itu dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.

“Kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,’’ katanya selepas mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) hari ini.

Beliau berkata, pelan kecemasan tersedia untuk menggunakan meriam air dengan notis 24 jam. Penggunaannya akan pertama kali di tanah air British.

‘‘Keganasan yang berlarutan ini harus dihentikan. Kita tidak akan benarkan budaya ketakutan wujud di jalan-jalan kita,’’ katanya. – dpa