Hakim terpengaruh tafsiran ala Barat

Mengabai peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam
SOFIAN BAHAROM | 29 Jun 2015 1:36 AM
KUALA LUMPUR 28 Jun – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meluahkan kekhuatiran beliau terhadap segelintir golongan hakim di negara ini yang sangat terpe­ngaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala Barat.
Abdul Hamid Mohamad
Kata beliau, tindakan itu menyebabkan mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.
Menurutnya, ha­kim-hakim itu mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.
Jelasnya, perkara itu telah mula dilihat dalam kes kontroversi melibatkan larangan dan hukuman terhadap tiga juru andam lelaki yang berpakaian seperti wanita di tempat awam di Negeri Sembilan sebelum ini.
Apa yang merisaukan beliau, katanya, adalah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 itu bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka juga memakai prinsip kemunasabahan (reasonableness) yang diketengahkan oleh Supreme Court (Mahkamah Agung) India yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable).
“Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung keputusan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) bahawa pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.
Dengan keputusan 5-4, mahkamah tertinggi di AS itu memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan, golongan gay dan lesbian boleh berkahwin di mana sahaja mereka tinggal di negara itu dan pihak berkuasa negeri tidak boleh melarang perkahwinan sejenis.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, alasan-alasan yang diberi oleh Mahkamah Rayuan dalam kes peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan, dilihat sangat luas implikasinya.
“Perkara itu berlaku apabila sesuatu hukum syarak boleh diisy­tiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal se­perti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara sekular itu apabila hukum syarak diukur de­ngan nilai liberal hak asasi ala Barat.
“Apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable) kepada seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah,” kata beliau.
Dengan menggunakan alasan-alasan yang sama, menurutnya, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu, undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat, kesalahan meminum minuman yang memabukkan, kesalahan zina serta liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tidak sah.
“Malah, penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis,” jelas beliau.

Harga ayam naik?

‘Drama ulangan’ setiap kali Aidilfitri
SITI NORHAWA MOHD. ALI | 30 Jun 2015 1:35 AM
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 29 Jun – Alasan makanan ayam mahal dan permintaan tinggi berbanding bekalan diibaratkan sebagai ‘drama ulang tayang’ oleh para penternak dalam usaha mereka menaikkan harga ayam setiap kali perayaan Aidilfitri.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, alasan-alasan tersebut sudah tidak boleh diterima kerana digunakan saban tahun oleh para penternak bagi mengaut keuntungan pada musim perayaan.
Katanya, walaupun harga ayam akan dikawal dalam tempoh pe­rayaan, namun sebelum harga si­ling ditetapkan para penternak cuba memberi tekanan supaya harga ditetapkan kelak adalah tinggi dan tetap memberi keuntungan besar kepada mereka.
“Jika benar kos makanan ternakan meningkat sejak beberapa tahun lalu, mereka sepatutnya sudah mencari jalan penyele­saian contohnya menghasilkan makanan ayam sendiri supaya tidak lagi bergantung dengan import.
“Saya berharap selepas ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempamerkan kos bersih semasa seekor ayam supaya pengguna boleh membuat perbandingan dengan harga ayam di pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan persatuan penternak ayam beberapa negeri akan menaikkan harga ayam dengan alasan makanan ayam yang diimport mengalami kenaikan harga akibat kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia di samping pe­ningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, jika di luar musim pe­rayaan Aidilfitri, para penternak boleh pula menjual dengan harga rendah tanpa mengalami kerugian.
“Namun bila dekat nak raya, mulalah macam-macam alasan diberikan, makanan ternakan naik lah dengan tahun ini nilai mata wang ringgit yang rendah dijadikan alasan mengapa makanan ternakan import mahal.
“Mereka tahu permintaan terhadap ayam akan meningkat, jadi inilah masa untuk merebut peluang mengaut keuntungan besar. Sedangkan jika bukan musim pe­rayaan, mereka boleh jual dengan harga rendah dan tidak pula mengalami kerugian besar atau tutup kedai.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) harus menyiasat persatuan penternak dan pemborong yang didakwa berpakat menaikkan harga ayam menjelang musim perayaan dan ambil tindakan sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persa­tuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan yang dilakukan harus tidak sehingga membebankan pengguna.
“Saya faham jika kos operasi semakin meningkat tetapi saya berharap peniaga tidak tamak dan menaikkan harga secara mendadak.
“Wakil-wakil daripada penternak, pemborong, peniaga malah pengguna harus mengadakan dialog dan bersedia bertolak ansur untuk menyelesaikan masalah yang tidak berpenghujung ini,” katanya.

1MDB : PDRM hantar permohonan untuk soal siasat Justo

30 Jun 2015 1:36 AM
Khalid Abu Bakar (empat dari kiri) melihat bungkusan kuih raya yang akan diagihkan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas ketika lebaran pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM 2015 di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Noor Rashid Ibrahim (empat dari kanan). UTUSAN/Farid Janudin
KUALA LUMPUR 29 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan kepada Polis Diraja Thailand (RTP) untuk menyoal siasat bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (Pe­troSaudi), Xavier Andre Justo, 49, yang ditahan di negara itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, permohonan itu dilakukan sebelum suspek yang dikaitkan dengan kebo­coran maklumat IMDB itu dihukum mengikut undang-undang negara tersebut.
“PDRM menunggu apa sahaja hasil siasatan yang diperoleh polis Thailand. Namun begitu, kita turut membuat permohonan untuk menemu bual Justo di Thailand,” katanya dalam sidang akhbar, di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, PDRM juga akan melakukan perbincangan dengan polis Thailand berhubung penahanan bekas eksekutif kanan itu sejurus wakil RTP tiba dalam satu lawatan rasmi di Bukit Aman pada 2 Julai ini.
“Ketua Polis Thailand akan berada di sini pada minggu ini dan saya akan berbincang untuk mendapatkan langkah-langkah yang akan diambil selepas ini,” katanya.
Ditanya tentang jumlah mangsa rakyat tempatan yang telah diperas ugut oleh Xavier Justo, Khalid enggan menjawab bagi menghormati siasatan yang dilakukan pihak berkuasa negara jiran.
Malah beliau juga memberitahu, senarai nama individu yang dikaitkan dengan kebocoran maklumat IMDB juga belum dihantar ke Thailand untuk membantu siasatan.
Xavier Justo ditahan sepasukan anggota Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Diraja Thailand (CSD) di sebuah rumah mewah di Ban Bang Makham, Tambon Angthong di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.
Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).
Xavier Justo dikatakan pernah menandatangani satu kontrak de­ngan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit selain dibayar pampasan berjumlah le­bih RM15 juta semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, polis mendapati Xavier Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini ke­rana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM10 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.
Sementara itu, dalam majlis penyerahan bungkusan kuih raya, Khalid berkata, sebanyak 4,500 bungkusan akan diagihkan kepada pegawai dan anggota yang ber­khidmat pada hari lebaran nanti.
Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis, Puan Sri Imran Ibrahim dan timbalannya, Datin Seri Shahriza Saad @ Mansor.

POLITIK : Tangguh pemilihan UMNO bukan daripada Najib

30 Jun 2015 1:37 AM
SEREMBAN 29 Jun – Usul penangguhan pemilihan UMNO bukan datang daripada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi di peringkat akar umbi.
Mohamad Hasan
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, beliau adalah individu yang membawa usul itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO minggu lalu dan telah dipersetujui secara bersama oleh semua ahli majlis yang hadir untuk penangguhan itu.
“Bukan Datuk Seri Najib yang usulkan. Presiden tidak masuk campur dalam usul berkenaan. Saya yang bawa usul itu dan nyatakan bahawa kita tidak perlu adakan pemilihan UMNO tahun hadapan. Usul itu kemudian disokong oleh semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO setelah mendengar suara akar umbi serta mesyuarat kepimpinan peringkat Bahagian di Janda Baik bulan lalu.
“Pandangan akar umbi itu dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO minggu lepas. Saya mahu nafikan tohmahan yang mengatakan bahawa penangguhan pemilihan UMNO tahun hadapan adalah taktik atau cara Presiden untuk raih sokongan. Itu tidak betul dan salah,” katanya di Wisma UMNO, di sini hari ini.
Mohamad bercakap kepadap pemberita selepas melancarkan program agihan kurma, air zam-zam dan kain baju Melayu sempena Ramadan al Mubarak yang turut di hadiri Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mohamad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan, jangan sekali-kali menidakkan sindrom apabila ada pemilihan akan adalah perpecahan, malah akan wujud pasukan ‘A’, ‘B’ mahupun ‘C’ sehingga menyebabkan perpecahan terus berlaku dalam parti.
“Kalau tidak dapat jawatan pula, pasti ada yang merajuk dan berdendam dengan parti. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Maka Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpendapat penangguhan itu perlu untuk parti memberikan tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya itu.
“Apabila sudah menang (PRU-14) esok, buatlah pemilihan parti. Waktu itu siapa mahu bertanding, terpulang dan siapa yang mahu pegang jawatan, peganglah,” tegas Mohamad.
Satu perkara lagi, kata Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, jika pemilihan berlaku tahun hadapan, tumpuan ahli parti pada PRU-14 akan longgar apabila masing-masing sibuk mahu berkempen untuk bertanding jawatan.
Ditanya tohmahan itu datang daripada siapa, Mohamad menegaskan, tohmahan terhadap parti dan kepimpinan boleh datang dari pelbagai sudut termasuklah pasukan tertentu, orang luar parti dan dari dalam parti sendiri.
“Saya tidak menuduh sesiapa tetapi kadangkala ada pasukan tertentu yang mempunyai agenda untuk jatuhkan UMNO, kemudian melarat sehingga menyerang pemimpin parti. Saya amat kesal kerana ada tohmahan tidak berasas seperti penundaan pemilihan UMNO ini.
“Pihak yang melakukan tohmahan itu mengambil kesempatan daripada persepsi negatif yang diada-adakan, digembar-gemburkan oleh pihak berkepentingan. Ketika ini, semua yang dilemparkan kepada kerajaan mahupun pemimpin dan parti UMNO, mudah dipercayai kerana orang lebih percaya tohmahan daripada fakta sebenar,” tegas beliau.
Justeru kata beliau, penting bagi kerajaan dan UMNO untuk menjelaskan fakta betul agar rakyat dan ahli parti faham apa sebenarnya yang berlaku.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Najib berkata, keputusan penangguhan itu dibuat Majlis Tertinggi UMNO mengikut fasal 10.16 perlembagaan parti selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk soal kepentingan bagi memperkukuhkan perpaduan parti terlebih dahulu.