Dinosaur Spielberg di layar kaca


DARI KOSMO ONLINE
28/10/2011

KOS Terra Nova yang mencecah RM219 juta mencipta sejarah sebagai produksi drama termahal pernah dihasilkan dalam industri televisyen global.


SELEPAS mengejutkan pawagam seluruh dunia dengan filem pecah panggung tentang dinosaur, Jurassic Park pada tahun 1993, sebelum disusuli sekuelnya, The Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III, penerbit dan pengarah tersohor Hollywood, Steven Spielberg kini kembali muncul dengan produksi dinosaur.

Dikenali dengan judul Terra Nova, naskhah kali ini dihasilkan khusus untuk tayangan di layar kaca.

Jika untuk Jurassic Park dan The Lost World: Jurassic Park, Spielberg bertindak sebagai pengarah, namun untuk Terra Nova seperti mana juga untuk Jurassic Park III, dia kini lebih selesa bertindak sebagai penerbit bersama.

“Mencipta sejarah drama bersiri termahal pernah dihasilkan dalam industri TV global, kos keseluruhan Terra Nova yang merupakan produksi eksklusif Fox International Channels mencecah AS$70 juta (RM219 juta) dengan episod pertama sahaja menelan kos sebanyak RM63 juta!,” ujar pegawai perhubungan media Arc PR selaku wakil Fox International Channels, Benjamin Tok.

Tambahnya, Terra Nova mengisahkan era pada tahun 2149, yang mana planet bumi ketika itu tidak lagi dapat menampung populasi manusia yang berlebihan, tumbuhan yang boleh dijadikan makanan berkurangan selain kualiti udara menjadi semakin buruk menyebabkan kehidupan manusia diancam kepupusan.

“Namun, di Chicago para saintis menemui ‘terowong masa’ yang membolehkan manusia mengembara 85 juta tahun ke belakang iaitu ke zaman prasejarah bumi yang mana ketika itu dunia dikuasai para dinosaur.

“Jim Shannon, isterinya, Elisabeth dan tiga orang anak mereka, Josh, Maddy, and Zoe menyertai kumpulan pertama manusia yang terpilih untuk memulakan hidup baharu di ‘dunia baharu’ untuk masa depan manusia yang digelar sebagai Terra Nova itu,” katanya.

JASON O’MARA (kanan) dan Stephen Lang merupakan dua teraju utama Terra Nova.


Menampilkan aktor Jason O’Mara untuk karakter Jim Shannon, barisan pelakon Terra Nova diperkuatkan oleh tenaga lakonan Stephen Lang (sebagai Komander Nathanial Taylor), Shelley Conn, Naomi Scott, Alana Mansour, Christine Adams dan Allison Miller.

Ujar Benjamin lagi, apa yang menarik khusus buat penonton di Malaysia, Terra Nova bakal disiarkan dalam dua bahasa audio iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Lima pelakon tersohor tanah air turut terpilih bagi meminjam suara untuk versi bahasa Malaysia iaitu Rosyam Noor (untuk karakter Komender Nathanial Tyalor), Aaron Aziz (Jim Shannon), Vanidah Imran (Elisabeth Shannon), Sharifah Amani (Maddy Shannon) dan Zahiril Adzim (Josh Shannon),” katanya.

Drama 13 episod yang sudahpun memulakan tayangannya di Amerika Syarikat pada 26 September lepas itu dan bakal memulakan tayangannya dengan dua episod terus menerus secara eksklusif menerusi Astro serentak di dua saluran iaitu Fox (710) dan Star World (711) pada pukul 8.55 malam menjelang esok, Sabtu, 29 Oktober ini.

Sementara episod baharu pada minggu-mingu seterusnya akan ditayangkan setiap Jumaat pada pukul 8.55 malam hanya di saluran Fox (710).

Perkasa pemangkin perpaduan

DATUK IBRAHIM ALI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
DARI UTUSAN MALAYSIA
28/10/2011

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) lahir untuk memperkasakan Perlembagaan Persekutuan – melindungi Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan Raja-Raja Melayu sebagai simbol bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah penduduk asal Tanah Melayu.

Perkasa juga bangkit untuk mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi, serta menyatupadukan bangsa Melayu dan kaum pribumi dengan seluruh rakyat jelata Malaysia yang majmuk.

Hakikat, aspirasi dan cita-cita ini adalah dalil bahawa Perkasa wujud untuk mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara, keunggulan Perlembagaan Persekutuan, di samping menjamin perpaduan rakyat, keselamatan masyarakat serta kelangsungan Malaysia.

Ringkasnya, Perkasa berjuang untuk memastikan negara dan seluruh bangsa di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman.

Ini juga bermakna Perkasa bukannya pertubuhan yang terlalu obsessed atau terlalu menumpukan matlamat dan cita-cita perjuangannya hanya kepada soal bangsa Melayu dan Bumiputera sahaja. Perkasa adalah pemangkin perpaduan bangsa Malaysia seluruhnya.

Hasrat, matlamat dan cita-cita ini juga membuktikan Perkasa bukannya pertubuhan rasis, organisasi Melayu ultra atau persatuan perkauman. Perjuangan Perkasa adalah selaras dengan falsafah Rukun Negara dan menepati Konsep 1Malaysia.

Oleh sebab itu, biarpun aktiviti dan program Perkasa selama ini tidak pernah dibiayai oleh mana-mana dana rasmi, dan walaupun Perkasa bergerak dalam serba kekurangan, kita tetap tidak akan lemah semangat, malahan terus mara dan berjuang secara konsisten.

Hakikat ini penting untuk difahami oleh seluruh rakyat Malaysia serta parti politik aliran perdana dan alternatif. Perkasa tidak lahir untuk mengambil alih atau mengatasi peranan UMNO sebagai tunggak pemerintahan Malaysia. Perkasa juga tidak lahir untuk memusuhi parti-parti pembangkang tanpa sebarang sebab.

Perkasa lahir untuk sama-sama membentengi pemerintahan negara daripada ancaman musuh yang menggugat Perlembagaan Persekutuan, keharmonian agama, perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi, ketenteraman awam, keselamatan negara dan kelangsungan Malaysia.

Perjuangan Perkasa hari ini jadi semakin relevan dengan tuntutan zamannya. Ini kerana sejak awal abad ke-21, Malaysia mula berhadapan dengan berbagai-bagai kerenah yang boleh mengancam keselamatan identiti atau jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera serta jati diri lain-lain keturunan. Karenah ini juga boleh mengancam Malaysia sebagai negara majmuk.

Perkasa amat prihatin terhadap perkembangan ini kerana matlamat akhir perjuangan Perkasa adalah untuk memastikan Malaysia selamat dan rakyat Malaysia pula terbebas daripada ganggu-gugat.

Perkasa menitikberatkan hal ini kerana keselamatan adalah hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, atau budaya. Sekali lagi saya ulangi, Perkasa adalah pemangkin perpaduan pelbagai bangsa.

Lantaran itulah Perkasa sentiasa memantau apa jua perkembangan, tindakan dan kenyataan yang menjejaskan kepentingan agama Islam serta bangsa Melayu dan Bumiputera, terutama sekali yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkasa prihatin dalam konteks ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mempunyai tiga komponen penting.

Pertama sekali, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen kontrak bangsa atau racial contract. Keduanya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen susunan nasional atau national order. Ketiganya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen prosedur pengurusan negara atau national management procedure.

Ketiga-tiga komponen ini wujud untuk menjamin perpaduan seluruh warganegara Malaysia, keselamatan tanah air, dan kemakmuran negara.

Kontrak bangsa dalam Perlembagaan Persekutuan dimanifestasikan oleh Perkara 3 (Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 14 (kewarganegaraan), Perkara 32 (Yang di-Pertuan Agong), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan) dan Perkara 153 (keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera).

Seluruh peruntukan ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan oleh kerana adanya permuafakatan, persetujuan dan penerimaan majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya, sewaktu Perlembagaan negara digubal pada tahun 1956.

Pada ketika itu, majoriti bangsa ini diwakili oleh Perikatan – UMNO mewakili majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera, MCA mewakili keturunan Cina, dan MIC mewakili keturunan India. Kesemua parti politik ini memberikan persetujuan dan menerima seluruh peruntukan dalam kontrak bangsa ini.

Mereka bersetuju berasaskan dua mandat utama yang diberikan oleh Ratu Inggeris dengan perkenan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan.

Mandat pertama adalah untuk memberikan perlindungan kepada kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Mandat kedua adalah untuk melindungi kepentingan yang sah yang dimiliki oleh lain-lain bangsa yang menjadi warganegara secara jus soli menerusi kemerdekaan Malaysia.

Mandat-mandat ini diberikan pertimbangan serius oleh Suruhanjaya Reid sebab kedua-duanya sudah termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, iaitu perlembagaan Tanah Melayu di ambang kemerdekaan.

Lebih penting lagi, kedua-dua mandat ini bukannya dicipta oleh bangsa Melayu atau diketengahkan oleh keturunan Cina dan India. Menurut rekod di arkib negara, kedua-dua mandat ini dikemukakan oleh Leftenan Duff, seorang pegawai tentera British yang kemudiannya menduduki jawatankuasa yang membentuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Kedua-dua mandat ini dirangkumkan ke dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan demi memelihara perpaduan rakyat dan negara Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan sosio-budaya dalam era merdeka.

Oleh itu, janganlah kita asyik curiga bahawa peruntukan-peruntukan strategik mengenai bangsa Melayu dan Bumiputera serta peruntukan-peruntukan strategik mengenai bangsa-bangsa lain di Malaysia di era merdeka ini adalah dibentuk dan digubal atas kehendak bangsa Melayu dan Bumiputera atau sebaliknya.

Dengan itu, marilah kita semua, baik bangsa Melayu dan Bumiputera atau keturunan Cina, India dan lain-lainnya, sama-sama berganding bahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Para sarjana purba mengenai politik, keselamatan, kenegaraan dan kemasyarakatan menegaskan bahawa permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai kumpulan masyarakat terhadap kepentingan masing-masing dalam usaha membentuk suatu masyarakat atau negara yang baru, adalah dikenali sebagai kontrak sosial.

Oleh sebab itu, persetujuan majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera serta keturunan Cina dan India terhadap seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti di atas adalah dikenali sebagai kontrak sosial.

Namun begitu, oleh kerana perkataan sosial dalam konteks Malaysia, lazimnya membawa makna yang kurang serius, inilah sebabnya saya mengistilahkan kontrak sosial ini sebagai Kontrak Bangsa.

Saya memilih istilah ini oleh kerana peruntukan-peruntukan di dalam kontrak bangsa inilah yang membolehkan 1.9 juta keturunan Cina dan India serta lain-lainnya dijadikan warganegara Malaysia secara jus soli pada 31 Ogos 1957.

Kontrak bangsa inilah juga yang menyebabkan majoriti keturunan Cina, India dan lain-lainnya menerima hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah penduduk asal di negara ini.

Pada waktu yang sama, kontrak bangsa inilah yang menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera sedia berkongsi tanah air ini dengan seluruh keturunan Cina, India dan lain-lainnya setelah mereka menjadi warganegara.

Oleh sebab itu, kontrak bangsa ini bukannya diwujudkan untuk menonjolkan ketuanan Melayu. Sebaliknya, ketuanan Melayu telah lebur apabila kontrak bangsa diwujudkan dan Malaysia pula ditransformasikan menjadi sebuah negara majmuk.

Maka, inilah sebabnya kontrak bangsa ini mesti dipelihara pada setiap masa. Sebarang ganggu-gugat terhadapnya pasti menyebabkan ancaman kepada seluruh bangsa.

Contohnya, pada 1964, apabila seluruh peruntukan Perlembagaan di bawah kategori kontrak bangsa ini dipertikaikan oleh pihak-pihak yang memperjuangkan propaganda Malaysian Malaysia, situasi keselamatan di negara kita tergugat, keharmonian seluruh bangsa kita terjejas, dan kelangsungan Malaysia turut terancam.

Lantaran inilah beberapa sarjana sejarah dan keselamatan di Malaysia dan Singapura pernah menegaskan bahawa pada ketika itu, situasi keselamatan di Malaysia Semenanjung dan juga Singapura, sangat-sangat membimbangkan.

Oleh sebab itulah Singapura disingkirkan daripada Malaysia, kerana pemerintah mahu mengelakkan pertumpahan darah yang dijangka meletus di Singapura daripada merebak ke seluruh Malaysia Semenanjung.

Maka, inilah buktinya, apabila kontrak bangsa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan diganggu-gugat pada tahun 1964-1965, pemerintah terpaksa mengorbankan sebuah daripada wilayahnya untuk dipisahkan daripada Malaysia.

Contoh kedua adalah mengenai ancaman kepada kontrak bangsa pada tahun 1969. Apabila beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dirangkumkan dalam kategori kontrak bangsa ini diganggu-gugat, termasuk oleh segolongan parti politik yang mewarisi propaganda Malaysia Malaysia, maka tercetuslah satu konflik kaum yang serius.

Oleh sebab itulah Laporan Rasmi Mageran atau Majlis Gerakan Negara yang diterbitkan pada 9 Oktober 1969, menyatakan bahawa antara punca yang menyemarakkan sentimen perkauman pada ketika itu adalah ganggu-gugat terhadap Perkara 3 mengenai Agama Islam, Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu dan Perkara 153 mengenai keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini, terbuktilah apabila Perkasa bangkit untuk menentang sesiapa sahaja yang mengancam Perlembagaan Persekutuan, niat Perkasa adalah untuk mengelakkan kontrak bangsa ini daripada dijadikan punca menyemarakkan api perkauman yang boleh membakar kita semua, waima bangsa Melayu dan Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya.

Inilah sebabnya perjuangan Perkasa adalah difokuskan ke arah memangkinkan perpaduan negara. Malangnya, pada hari ini wujud kalangan buta sejarah yang menyatakan bahawa kontrak sosial atau kontrak bangsa tidak pernah wujud di Malaysia.

Pihak yang memutarbelitkan realiti sejarah pula menegaskan, kontrak sosial atau kontrak bangsa ini tidak pernah disebut oleh Suruhanjaya Reid.

Kelompok pak turut atau burung kakak tua pula termakan dengan dakyah kononnya kontrak sosial atau kontrak bangsa ini dicipta oleh UMNO sebagai taktik untuk mendominasikan keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya.

Kepada seluruh golongan ini, perkasa tegaskan bahawa kontrak sosial atau kontrak bangsa wujud di Amerika Syarikat, wujud di Malaysia dan wujud di beberapa negara lain.

Teori dan konsep mengenai kontrak sosial atau kontrak bangsa ini pernah dikemukakan dalam karya sarjana serta ahli falsafah politik dan keselamatan seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), John Rawls (1972) serta David Gauthier (1986).

Di Malaysia, konsep ini pernah diperjelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh sebab itu, kontrak sosial atau kontrak bangsa di Malaysia adalah sesuatu yang benar dan perlu dihargai oleh seluruh bangsa Melayu dan Bumiputera serta keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya. Kontrak bangsa inilah yang memanifestasikan permuafakatan ke arah cita-cita membina sebuah negara Malaysia yang majmuk secara aman, damai, makmur dan sejahtera.

Rumusannya, seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mencerminkan kewujudan kontrak bangsa ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perbalahan kaum di Malaysia di era merdeka.

Komponen susunan nasional dimanifestasikan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 8 (kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan) serta larangan-larangannya, Perkara 11 (kebebasan beragama) serta sekatan-sekatannya, dan Perkara 149 (perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan lain-lainnya, termasuk permusuhan kaum.

Seluruh peruntukan Perlembagaan dalam kategori ini diwujudkan untuk memelihara perpaduan rakyat, ketenteraman awam serta keamanan negara. Jika peruntukan-peruntukan ini dicabar atau diprovokasikan, kesannya adalah kepada seluruh bangsa Malaysia, tanpa mengira agama atau sosio-budaya.

Maka, inilah sebabnya seluruh pemimpin bangsa Melayu dan Bumiputera serta pemimpin keturunan Cina dan India mempersetujui peruntukan-peruntukan ini supaya dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka bersetuju sebab mereka prihatin terhadap perpaduan bangsa, ketenteraman awam dan keselamatan negara Malaysia di era merdeka. Lantaran itulah susunan nasional ini sama pentingnya dengan kontrak bangsa.

Komponen ketiga, dalam Perlembagaan Persekutuan adalah prosedur pengurusan negara yang dimaktubkan untuk meregulasikan sistem pentadbiran negara serta menyelaraskan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri. Perkara-perkara ini tidak pernah dipertikaikan sebab tidak mengandungi unsur-unsur politik.

Bagaimanapun, prosedur pengurusan negara ini saling kait-mengait dengan kontrak bangsa dan susunan negara. Lantaran itu, ia juga tetap penting untuk dipelihara.

Mat Sabu dibicara 19 Dis.


Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BUTTERWORTH 27 Okt. – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 hingga 23 Disember ini untuk perbicaraan kes terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang didakwa membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin menetapkan tarikh tersebut di kamar beliau hari ini dengan kehadiran Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dan peguam Aminuddin Zulkifli yang mewakili Mohamad.

Tarikh tersebut dipilih selepas Lailawati memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5 hingga 9 Disember ditukarkan ke tarikh lain kerana pihak pendakwaan perlu menghadiri satu persidangan pada tarikh berkenaan.

Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dituduh melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Mohamad turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, Mohamad dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor ialah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Mohamad menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan meluas pihak media menyebabkan lebih seribu laporan polis dibuat termasuk oleh tiga ahli keluarga anggota polis yang terkorban iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusof.

KOMEN : PUSINGLAH KALAU BOLEH PUSING DI MAHKAMAH…

Jadikan Malaysia negara contoh


Muhyiddin Yassin dan Zambry Abd. Kadir (kanan) bermesra dengan para penerima bantuan pada perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri dengan guru-guru seluruh Perak di UTP, Seri Iskandar, Parit, semalam.


PARIT 27 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ilmuan Islam supaya berfikiran global dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dalam usaha mewujudkan negara yang seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi sekali gus menjadikan Malaysia contoh kepada dunia Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain penekanan aspek membangunkan modal insan, pembangunan iktisad yang menyentuh aspek kemakmuran ekonomi juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam kancah kemunduran.

Beliau menarik perhatian senario di negara Islam lain yang sudah mula membangun tetapi, terus dihimpit pelbagai krisis serta peperangan sehingga menyebabkan kekayaan khazanah ekonominya tidak dapat dibangunkan demi kepentingan rakyat.

‘‘Dalam perjumpaan begini, saya biasa ditanya kenapa kerajaan terlalu ghairah bercakap soal pembangunan ekonomi tetapi tidak memberi perhatian dalam soal pembangunan sosial, budaya dan agama. Saya kata (pandangan) ini tidak tepat.

‘‘Dalam soal kita membangunkan ummah atau menjadi sebuah negara Islam contoh, selain membangunkan modal insan, pembangunan iktisad juga penting supaya kita dapat membina sebuah negara yang seimbang pembangunannya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negeri Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan sumbangan kepada 24 SABK, 32 SAR dan tiga SMKA sekitar negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM15.8 juta.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak wajar mengambil iktibar daripada krisis yang dihadapi negara-negara Islam lain termasuk peperangan selama bertahun-tahun sehingga mengakibatkan kemunduran serta kesengsaraan rakyatnya.

‘‘Sebab itu dalam soal pembangunan, kita perlu mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi dan beban ini bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan tetapi juga oleh masyarakat,” jelasnya.

Muhyiddin turut menekankan cabaran besar yang bakal dihadapi dalam tempoh 10 tahun ketika kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Sambil menyifatkan ia sebagai tempoh kritikal, beliau berkata, semua pihak memikul tanggungjawab dalam melahirkan warga masa hadapan yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang tetapi juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia.

KOMEN : KATA ORANG UNTUK MEMUSNAHKAN SESUATU KEJAYAAN LEBIH MUDAH DARI MAHU MEMBINA SEMULA KEJAYAAN YANG TELAH DIMUSNAHKAN… CONTOH LIHAT AJE NEGARA-NEGARA ISLAM YANG BERTAHUN DIBANGUNKAN TAPI MUSNAH SEKELIP MATA DENGAN HASUTAN MUSUH ISLAM… APA YANG KITA MAHU ITU YANG AKAN KITA DAPAT…

Penuntut UiTM bakal cecah 10,000


Abdul Rahman Arshad menyampaikan diploma kepada graduan sambil disaksikan Dr. Jamil Hamali di Samarahan, Kuching, Sarawak, semalam.


SAMARAHAN 24 Okt. – Seramai 815 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen UiTM Ke-75 di Dewan Jubli kampus Samarahan di sini bermula hari ini.

Pada majlis yang berlangsung dalam tiga sidang itu, 547 graduan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing pada sidang pertama dan kedua manakala 268 graduan lagi menerimanya pada sidang ketiga pagi esok.

Ia melibatkan graduan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Turut terlibat ialah graduan Fakulti Sains Gunaan serta Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Kimia serta Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.

Turut menerima ijazah dan diploma masing-masing ialah graduan Fakulti Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

Hadir menyampaikan ijazah dan diploma kepada para graduan ialah Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad.

Abdul Rahman Arshad ketika berucap berkata, UiTM bakal berhadapan dengan pertambahan bilangan penuntut yang dijangka mencecah 250,000 orang di seluruh negara menjelang 2015.

“Penuntut UiTM Sarawak pula bakal bertambah sehingga 10,000 orang menerusi tiga kampusnya iaitu di Samarahan, Mukah dan Kampung Pinang.

“Cabarannya di sini adalah bagaimana kita dapat memperkemaskan strategi menghadapi pertambahan ini tanpa mengurangkan kualiti akademik sedia ada,” katanya.

Hadir sama Rektor UiTM Sarawak, Prof. Datuk Dr. Jamil Hamali.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA…

800 pelajar UiTM terima anugerah Dekan dirai


DARI UTUSAN MALAYSIA
26/10/2011


Dr. Mizan Hitam menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar cemerlang pada Majlis Penganugerahan Dekan anjuran Fakulti Perakaunan UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 25 Okt. – Seramai 800 pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bandaraya Melaka diraikan pada Majlis Penganugerahan Dekan di sini baru-baru ini.

Pelajar yang diraikan ialah daripada Diploma Pentadbiran Awam, Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan, Sarjana Muda Perniagaan, Sarjana Muda Perakaunan dan juga pelajar di peringkat Sarjana.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam.

Dr. Mizan dalam ucapannya berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi mengiktiraf pelajar yang berjaya dari segi pencapaian akademik hingga tamat pengajian di peringkat pengajian kursus masing-masing.

”Mereka ini diiktiraf bagi menghargai usaha tungkus-lumus yang telah mereka lakukan untuk mencapai darjat tertinggi dalam bidang akademik.

”Cukup jelas, pelajar kita memiliki kualiti tersendiri dan amat membanggakan apabila kira-kira 95 peratus daripada graduan mudah dilamar majikan setelah menamatkan pengajian,” katanya.

Dr. Mizan juga mahu pelajar membantu pihak universiti untuk terus memainkan peranan penting dalam mengubah destini anak bangsa sebagaimana dilakukan sejak 55 tahun penubuhan UiTM.

Sehubungan itu, beliau meminta pelajar memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan modal insan serta mempertahankan jati diri dari aspek pembangunan minda, sahsiah dan juga etika.

Katanya, dengan segala kemudahan yang disediakan termasuk dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ia wajar dihargai dan dikawal agar pelajar tidak leka, alpa dan terpesong daripada perjuangan sebenar.

”Teruskan usaha untuk meningkatkan kualiti agar modal insan UiTM berdaya saing, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab sebagai pewaris dan penerus bangsa,” katanya.

Tambahnya, graduan juga turut perlu sentiasa berusaha mengharumkan namun universiti itu.


USIM, UiTM juara Debat Piala Perdana Menteri


Hishammuddin Tun Hussein bersama johan Kategori Bahasa Melayu dari Universiti Sains Islam Malaysia pada Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 di UIAM, Gombak, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Okt. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara kali pertama Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 (PPM) pada pusingan akhir yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

USIM menjuarai Kategori Bahasa Melayu sementara UiTM pula dalam Kategori Bahasa Inggeris.

Pendebat USIM yang terdiri daripada Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd Rosseli, Mohammad Shah Izad Saleh dan Mohammad Irhamuddin Ibrahim telah berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil penyertaan.

Hadiah yang sama turut diterima oleh pendebat UiTM yang diwakili oleh Maizura Mokhsien, Mohd. Airie Rasmond Rahman, Mohd. Syafiq Ahmed Bazari dan Ain Aissa Mohammad.

Manakala naib juara Kategori Bahasa Melayu ialah UiTM dan UIAM bagi Kategori Bahasa Inggeris. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat USIM serta UiTM, Mohd. Ikhwan dan Mohd. Syafiq dipilih sebagai pendebat terbaik yang melayakkan mereka membawa pulang RM2,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua pendebat UiTM, Maizura, 21, berkata, kejayaan yang diperoleh pasukannya adalah disebabkan mereka sering menganggap perdebatan sebagai gaya hidup dan bukannya aktiviti kokurikulum.

“Oleh itu, setiap pertandingan yang kami sertai akan sentiasa ada peningkatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini, hari ini.

Debat PPM yang pertama kali dianjurkan disertai 44 institusi pengajian tinggi. Debat ini berlangsung selama lima hari bermula 20 Oktober lalu.

Sebelum ini, PPM hanya diadakan pada peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 1974. PPM 2011 adalah anjuran MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA…