GAJI BARU – TERIMA KASIH PM

 1.4 juta kakitangan awam terima gaji baru
 DARI UTUSAN MALAYSIA
26/4/2012

KUALA LUMPUR 25 April – Kira-kira 1.4 juta kakitangan kerajaan hari ini mula menikmati gaji baru mereka di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Gaji yang diterima melibatkan peningkatan di antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred masing-masing selepas pemansuhan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengundang bantahan banyak pihak, antaranya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Selain penerimaan gaji berdasarkan pelarasan yang terbaru itu, penjawat awam turut menerima tunggakan gaji sejak Januari lalu.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, gaji baru itu membuktikan kerajaan sedia ada sememangnya mendengar keluhan masyarakat dan mengambil tindakan dalam memastikan kesejahteraan mereka terbela.
“Penjawat awam diharap dapat memanfaatkan apa yang mereka nikmati kini, di samping mempertingkatkan mutu kerja selari dengan proses transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan.
“Langkah itu adalah demi menunjukkan tanda terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendengar keluhan penjawat awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung kakitangan kerajaan yang mula menerima gaji baru berdasarkan pelarasan SSM, hari ini. Katanya lagi, kakitangan kerajaan diingatkan untuk memperbaiki imej mereka di mata masyarakat dan bukannya berada di tahap lama.
“Mereka perlu membuktikan bahawa mereka layak menerima pelarasan gaji tersebut apatah lagi setelah kerajaan menunaikan janji mereka.
“Saya juga berharap dengan adanya peningkatan ini, kegiatan rasuah di kalangan penjawat awam dapat dihapuskan,” tambahnya.
KOMEN : SYUKUR ALHAMDULILLAH… AMIN…
Advertisements

Semakan gaji baru dalam laman web JPA


DARI UTUSAN MALAYSIA
2/4/2012

KUALA LUMPUR 1 April – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan mengenai jadual gaji baru penjawat awam, selaras keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pekeliling yang telah dimuat naik di laman web JPA http://www.jpa.gov.my, pada 30 Mac lalu, membolehkan penjawat awam menyemak jadual serta mengira secara automatik kadar gaji baru bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Gaji baru itu berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, Pekeliling Perkhidmatan itu bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan SSM dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

”Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus hingga sembilan peratus dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan,” katanya di dalam Pekeliling berkenaan.

Abu Bakar berkata, dengan berkuatkuasa Pekeliling itu, jadual gaji bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah SSM sebelum 1 Januari 2012 dan beberapa peruntukan Pekeliling Perkhidmatan termasuk pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) adalah dibatalkan.

Menurut beliau, prinsip kenaikan bagi gaji baru adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2011 dan ditambah dengan kadar peratusan kenaikan gaji mengikut gred.

Berdasarkan jadual gaji, kadar kenaikan gaji sehingga 13 peratus diberikan kepada pegawai kumpulan Pelaksana (Gred 1-40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41-54).

Sementara itu, kadar kenaikan tujuh peratus diberi kepada kumpulan pengurusan tertinggi (Gred Gaji VU1, VU2 dan setaraf), lapan peratus (VU3,VU4 dan setaraf) dan sembilan peratus (VU7-VU5 dan setaraf).

Pelaksanaan gaji baru itu layak diberikan kepada pegawai tetap, sementara, kontrak dan Guru Sandaran, kecuali bagi pegawai yang dikenakan hukuman tata tertib, buang kerja yang berkuatkuasa pada atau sebelum 1 Januari 2012 dan pegawai yang bersara sebelum tarikh itu.

Abu Bakar berkata, kenaikan gaji itu tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai atau elaun dan kemudahan di bawah SSM kecuali elaun yang kadar atau kelayakannya adalah berdasarkan gaji atau lingkungan gaji.

Katanya, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan itu dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing. – BERNAMA

KOMEN : ALHAMDULILLAH…AMIN…