Bangsa Melayu keturunan Orang Asli Asal

16 April 2015 2:08 AM
(Dari Kiri) Mohd. Samsudin, Zuliskandar Ramli, Wan Hashim Wan Teh, Zaharah Sulaiman, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman dan Bambang Budi Utomo dalam Seminar Asal-Usul Melayu dan Kelangsungan Kerajaan Melayu di Asia Tenggara di UKM, Bangi, semalam.
KUALA LUMPUR 15 April – Hasil penyelidikan yang dijalankan beberapa pakar sejarah mendapati pembentukan bangsa Melayu bermula daripada nenek moyang Orang Asli Asal yang berlabuh di benua Sunda lebih 60,000 tahun lalu.
Penyelidik sejarah dan penulis dari Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Zaharah Sulaiman berkata, kajian itu terbukti berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dijalankan terhadap Orang Asli dengan tulang-tulang manusia prasejarah.
Katanya, bangsa Melayu semakin berkembang apabila berlakunya aktiviti merantau dan penghijrahan yang seterusnya membentuk beberapa suku kaum etnik komposisi Melayu Proto serta Orang Asli Asia Tenggara.
“DNA Orang Asli Semenanjung pula menunjukkan pertalian dengan Austro-Asiatics selatan Burma yang membangun secara sendiri di Andaman, Siam, Kemboja dan Champa.
“Sebab itu, hari ini kita dapat melihat pelbagai etnik Melayu se­perti Melayu Siam, Melayu Kemboja, Melayu Champa, Melayu Mon-Pyu, Melayu Filipina, Melayu Madagaskar dan banyak lagi namun dari segi baka serta keturunannya kesemua etnik itu adalah sama iaitu rumpun Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Asal Usul Melayu Dalam Pelbagai Perspektif Kajian Terkini dalam Seminar Asal-Usul Melayu dan Ke­langsungan Kerajaan Melayu di Asia Tenggara di Bilik Senat Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.
Majlis perasmian seminar tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua IAAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. Yang turut hadir Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli, Dr. Mohd. Samsudin dan Bambang Budi Utomo.
Dalam kajian yang sama Zaharah memberitahu, pelbagai penyelidikan turut menunjukkan gen orang Taiwan kepada genetik populasi di Asia Tenggara agak kecil selain tiada bukti berlakunya penghijrahan petani dari negara itu.
Bagaimanapun, katanya, penyelidik sejarah percaya bahawa sebahagian besar orang Yunnan dan Taiwan berasal dari Asia Tenggara berdasarkan DNA tempoh usia mereka yang lebih muda iaitu 52,000 tahun.
“Penyelidikan khusus dan terperinci yang dijalankan di Yunnan mendapati puluhan etnik masyarakat di sana, tiada seorang pun bertutur dalam bahasa Melayu malah tidak ada satu perkara pun di situ menggunakan bahasa tersebut.
“Sekurang-kurangnya ada sisa-sisa bukti malangnya langsung tiada selain ciri-ciri fizikal orang Yunnan juga langsung tidak kelihatan menyerupai bangsa Melayu,” katanya.

Nostalgia, terbitkan rasa cinta negara

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
SEKUMPULAN kanak-kanak riang bersama gurunya, Mazlina Ibrahim (belakang kanan) dari Tadika Permatang Binjai pada majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.
PENULIS lahir selepas kemerdekaan negara, tatkala Malaysia baharu merasai nikmat kebebasan, tatkala kebanyakan universiti kita belum ada. Penulis dilahirkan di sebuah kawasan sawah padi dan dibesarkan oleh ibu bapa yang merantau di kawasan pedalaman Kedah yang sebahagian besarnya bergantung kepada kebun getah.
Di kampung ketika itu, belum ramai yang ada televisyen. Kami menonton televisyen hitam putih di satu-satunya rumah jiran di Kampung Kura dan bersekolah di Kampung Padang Cicak. Namanya pun sudah menggambarkan segala-galanya ketika itu. Untuk menonton tayangan cerita Melayu (selalunya pada hari jumaat Malam Sabtu) kami perlu bayar untuk tuan rumah membeli minyak bagi menghidupkan generatornya.
Kesusahan hidup adalah perkara biasa bagi kami. Baju sekolah bertukar semasa hari raya, itu pun bergantung kepada hasil getah torehan yang dijual ayah dari kebun milik orang. Rumah ala kadar yang berdindingkan buluh yang dianyam. Belajar dan membaca buku menggunakan lampu minyak tanah. Jika hujan mencari tempat yang tidak ditimpa air hujan dari bumbung nipah yang berlubang.
Namun sehingga kini, kehidupan di kampung tetap nostalgia indah. Terdapat juga sedikit tanah sawah yang dijadikan tempat bermain wau selepas musim menuai. Atau menahan ikan air tawar di saliran air dari paya atau tatkala padi menghijau. Sesekali bermain di saliran air jernih yang melalui pokok rumbia dan hutan di tepi sawah.
Ayah tidak mampu membeli buku untuk dibaca. Peluang menikmati buku baharu ialah apabila guru sekolah yang menjaga perpustakaan memberi peluang untuk meminjam dan membacanya segala cerita apatah ketika itu, anak-anak kampung manalah sangat minat membaca. Atau sesekali guru yang rumahnya di pekan berhampiran membeli buku Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar untuk dibaca.
Hari ini segala-galanya jauh berubah. Cerita di atas dianggap hanya dongengan kepada anak-anak hari ini. Namun kesusahan dan kesukaran itulah yang menjadikan kecintaan kepada tanah air yang satu ini amat mendalam.
Ada ketikanya tertanya-tanya, adakah kesenangan hidup dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini menjadikan ramai yang ambil mudah dan memandang remeh segala usaha yang dibuat selama ini?
Penulis masih ingat cerita seorang pakar ekologi terkemuka negara, Profesor Dr. Mashhor Mansor yang amat berterima kasih kepada kerajaan yang menghantarnya belajar di Indonesia tatkala negara menghadapi krisis besar di universiti apabila sebahagian besar tempat hanya diisi oleh sekumpulan elit masyarakat.
“Dasar-dasar yang dibangunkan dan dilaksanakan termasuk membangunkan sekolah-sekolah elit Inggeris dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada anak-anak Melayu ketika itu membolehkan ramai yang hari ini menjadi tokoh-tokoh ilmuan dan pemimpin masyarakat yang hebat,” kata Mashhor.
Adalah penting untuk anak-anak muda hari ini memahami sejarah pendidikan negara. Mereka yang banyak mengkritik dan memperlekehkan sistem pendidikan negara ini, malah melihat pencapaian negara dengan pandangan sinis seharusnya sedar diri dan melihat kembali segala susah payah yang dilalui sebelum ini.
Bukanlah salah untuk mengkritik, tetapi ramai yang hanya tahu mengkritik dan mengubah apa yang ada, sedangkan kesukaran yang dilalui selama ini tidak pernah dirasai dan dihargai.
Agak malang juga, kerana begitu ramai mereka yang menikmati kesenangan dari dasar dan usaha yang dilakukan, hari ini tidak segan silu menentang dan menyalahkan pelbagai perkara.
Sedangkan alangkah baiknya, jika setiap rakyat memainkan peranan bekerjasama, bertolak ansur, menghargai kepelbagaian dan memahami serta menghormati sejarah bangsanya yang ditunjangi oleh tokoh negarawan yang berfikiran jauh ke hadapan dan begitu teliti dalam tindakan demi memastikan kelangsungan kesejahteraan sebuah negara.
Berapa ramai yang cemburukan apa yang kita capai selama ini. Ramai rakyat di negara-negara lain yang membayar dengan harga yang mahal untuk mencapai ketenteraman dan keharmonian yang kita kecapi ini.
Lihat sahaja bumi Palestin yang terus bergolak. Bagi mereka yang selama ini menganggap nilai kebebasan termasuk kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik, di manakah suara-suara ahli akademik dunia termasuk yang sering melaungkan suara keamanan dan penindasan terhadap nasib malang anak-anak Palestin dan lebih 2,000 jiwa yang melayang termasuk apabila Islamic University of Gaza turut cuba dimusnahkan?
Begitu juga dengan apa yang berlaku di Syria, Libya, Mesir malah banyak lagi negara bergolak lain yang rakyatnya hidup dalam ketakutan.
Pernahkah kita mengucapkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita kecapi selama ini atau kita menjadi duri dalam daging merosakkan segala yang ada, dengan melaga-lagakan sesama rakyat, menghina dan menjatuhkan pelbagai institusi yang ada, menggunakan pelbagai media sosial untuk menanamkan kebencian sesama sendiri apatah lagi tidak bersikap bijaksana dalam setiap kata-kata dan tindakan yang diambil?
Kemiskinan dan kesusahan bukanlah masalah besar kepada kita. Namun kejahilan dan kejumudan pemikiran, terpengaruh dengan pelbagai hasutan, sikap ingin berkuasa dan tamak haloba, tidak berpegang kepada amanah dan tanggungjawab yang ada dan mengambil mudah terhadap masa hadapan bangsa dan negara – itulah cabaran dan masalah besar dalam memaknakan kemerdekaan negara.
Maka pada ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-57 dengan tema Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, ia menuntut kita memaknakan kecintaan yang disemai dan dizahirkan. Yang ditunjukkan melalui sikap matang dan sedia berkorban di antara kepentingan diri dengan kepentingan masyarakat dan negara.
Janganlah kekecewaan peribadi apabila gagal mencapai sesuatu menyebabkan kita menyalahkan orang lain. Atau apabila nilai kita tidak diterima, bukan bermakna kita perlu putus asa, sebaliknya membuat muhasabah diri dan terus berjuang dengan cara kita untuk memastikan negara ini akan terus sejahtera dan dapat diwariskan kepada anak cucu cicit kita nanti.
Nikmat kesenangan dan kemewahan yang dirasai hari ini harus terus dipertahankan. Hanya mereka yang pernah jatuh terluka yang tahu nilai kebahagiaan sebenar yang dinikmati.
Tanyalah ibu bapa atau datuk, nenek moyang kita yang akan terus tidak jemu bercerita tentang perjuangan dan kesusahan hidupnya tetapi tetap rasa bahagia berbanding kita yang memiliki segala-galanya, tetapi hidup resah gelisah dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Merdekakah kita?
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140829/re_01/Nostalgia-terbitkan-rasa-cinta-negara#ixzz3C7WRrXwi  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Titik penghujung benua Asia

KAWASAN di sekitar Tanjung Piai dan Kukup juga popular sebagai pusat penternakan ikan air masin dan pengusaha kelong.
TANJUNG Piai yang terletak di daerah Pontian, Johor bukan satu nama yang asing dalam menu pelancongan negara bahkan telah lama dikenali pelancong luar negara.
Jika Rusia terkenal dengan Tanjung Chelyuskin sebagai titik paling utara benua Asia, negara kita mempunyai Tanjung Piai sebagai tanah penghujung benua Asia di sebelah selatan.
Keunikan lokasi yang tidak terdapat di mana-mana tempat itu menjadikannya antara lokasi ‘wajib sampai’ bagi mereka yang gemar mengembara.
Pengalaman kru S2 menjejakkan kaki di penghujung tanah benua terbesar di dunia itu baru-baru ini turut memberi kepuasan yang sama.
Berdiri di depan arca glob yang tertera perkataan “Tahniah! Anda Kini Berada di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia” sepintas lalu memberi gambaran betapa istimewanya Tanjung Piai.
Selain memiliki rekod geografi yang diiktiraf dunia, Tanjung Piai sebenarnya menjanjikan banyak pengalaman unik bagi mereka menjejakkan kaki di situ.
Jeti di penghujung benua Asia misalnya merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang membolehkan dua negara iaitu Singapura dan Indonesia dilihat pada satu masa.
Dalam keadaan cuaca yang baik, Pulau Karimun, Indonesia boleh dilihat dengan jelas di sebelah kanan manakala pelabuhan Singapura pula berada di sebelah kiri.
Selain itu kawasan Tanjung Piai yang mengunjur ke laut turut menyajikan keindahan pemandangan matahari terbit dan terbenam.
Aset terbesar pelancongan di situ tidak lain tidak bukan adalah Taman Negara Tanjung Piai yang merangkumi kawasan seluas 947 hektar.
Mula dibuka kepada umum pada 2002, kawasan hutan paya laut itu kemudian diwartakan sebagai taman negara pada 26 Februari 2004 dan terus menjadi tumpuan selepas diisytiharkan sebagai salah satu daripada enam tapak Ramsar di negara ini.
Ramsar bermaksud senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971.



























ARCA Penghujung Benua Asia di pintu masuk pejabat Taman Negara Tanjung Piai.

Ketibaan kru S2 di Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini disambut oleh Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Khalid Zahrom di kompleks pelawat yang menempatkan pejabat taman negara, galeri dan kemudahan asas seperti surau dan tandas.
Selepas sesi penerangan mengenai kawasan taman negara, kandungan ekosistem dan kitaran hidup hutan paya laut, penulis dibawa melalui pelantar kayu yang dibina merentasi hutan bakau di situ.
Khalid berkata, selain menjadi benteng hakisan, kawasan hutan bakau tersebut menjadi habitat kepada pelbagai jenis unggas, kera dan hidupan paya laut seperti ketam nipah, kepah dan ikan tembakul.
Beliau berkata, hutan bakau Tanjung Piai juga menjadi tempat persinggahan burung-burung yang berhijrah pada setiap tahun.
Selain itu katanya, kawasan taman negara itu mempunyai satu lagi keistimewaan yang jarang dapat dilihat iaitu fenomena air pasang besar yang berlaku hanya beberapa kali setahun.
“Antara bulan Disember hingga Januari, pekarangan pejabat taman negara di sini akan bertukar menjadi ‘taman tema air’ kerana limpahan air laut.
“Fenomena ini tidak merbahaya kerana air hanya naik sehingga paras buku lali. Bagi pelawat yang datang dengan keluarga, fenomena itu dianggap sebagai satu tarikan,” katanya.
Khalid memberitahu, walaupun Tanjung Piai mengalami masalah hakisan dan pencemaran yang semakin meruncing, namun jumlah kedatangan pelancong masih mencatatkan peningkatan setiap tahun.
Katanya, jumlah pelawat pada tahun lalu direkodkan sebanyak 73,000 orang.
Sementara itu, kunjungan ke Pontian boleh dikatakan tidak lengkap tanpa meneroka keistimewaan lain yang boleh ditemui di sekitar Pontian dan Kukup.
Dari Tanjung Piai Resort yang merupakan tempat penginapan paling hampir dengan taman negara, pelawat boleh memandu kira-kira 10 kilometer untuk menikmati keenakan makanan laut di sekitar pekan Kukup.
Antara tempat makan lain yang popular adalah mi udang di Sungai Rambah dan bakso di Kampung Serkat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140222/lk_01/Titik-penghujung-benua-Asia#ixzz2uCWPj4sq  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Tujuh peringatan Sultan Azlan Shah

Raja Dr. Nazrin Shah bersama Tunku Zara (kanan), Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua dari kiri) dan Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) pada Majlis Kesyukuran Sempena 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak, semalam.
TITAH Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Sempena Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, semalam.
MAHA Suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan; yang memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki; di tangan Engkau segala kebajikan; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
Alhamdulillah, dengan rahmat dan inayat dari Allah SWT, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, hari ini genap 30 tahun bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan raja pemerintah kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.
Majlis kesyukuran yang dilangsungkan pada pagi ini, adalah atas titah baginda supaya dapat dizahirkan apresiasi baginda kepada seluruh rakyat yang telah membuktikan kesetiaan dalam tempoh 30 tahun pemerintahan baginda.
Baginda bersama Tuanku Permaisuri amat ralat tidak dapat bersama di majlis ini. Baginda berdua menyampaikan salam kepada semua hadirin dan menzahirkan terima kasih di atas perutusan ucap selamat serta doa berterusan daripada rakyat jelata ke atas kesejahteraan baginda berdua.
Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528. Sultan Muzaffar Shah bersemayam selama 21 tahun di takhta pemerintahan. Seramai 34 Sultan bersemayam di takhta pemerintahan dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak. Dengan penentuan Ilahi, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mula bersemayam di takhta pemerintahan pada 3 Februari 1984. Baginda ialah Sultan Perak kedua paling lama berada di takhta pemerintahan, selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun di antara tahun 1653 sehingga tahun 1720.
Setiap Sultan telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin. Ketika kita di majlis ini mengangkat kalimah kesyukuran kepada Ilahi, sempena genapnya 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, amatlah wajar untuk kita turut menghargai khidmat bakti yang telah diabadikan kepada negeri dan rakyat oleh 33 Sultan terdahulu.
Semoga khidmat bakti kesemua 33 Marhum yang telah kembali ke Rahmatullah, diterima sebagai amal soleh dan diberikan ganjaran sewajarnya kepada roh setiap seorang dari Marhum tersebut. Sama-samalah di Majlis ini, kita menghargai khidmat bakti Marhum-Marhum tersebut dengan membacakan Suratul Fatihah, semoga apa juga ganjaran darinya disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah.
Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirehat, namun baginda tetap mengikuti perkembangan yang sedang berlaku; malah keadaan semasa rakyat jelata senantiasa berada dalam pemikiran baginda. Sempena ulang tahun 30 pemerintahan, baginda telah menitahkan supaya dizahirkan tujuh peringatan berikut:
Pertama: Berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat-sifat tawaduk, kemanusiaan, serta kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.
Kedua: Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi; setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al An‘Aam;
“
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada mu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu”
Ketiga: Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat begitu juga akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 9 Surah Ali ‘Imran bermaksud;
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya”. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji”.
Keempat: Negeri Perak dan negara Malaysia telah dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti, menjauhi amalan-amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan.
Kelima: Perpaduan rakyat hendaklah sentiasa diutamakan dan tidak boleh dikompromikan. Perpaduan rakyat adalah asas kekuatan negara yang telah memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan. Bahawa rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
Kepelbagaian tersebut adalah aset negara jika rakyat berjaya dibimbing untuk berfikiran rasional, mengamalkan sikap saling memahami – saling menghormati, serta tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang berfikiran sempit lalu memilih untuk mengadu domba rakyat untuk berkonflik secara mensensasikan isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa. Baginda yakin majoriti rakyat bersifat rasional lagi bertanggungjawab; bahawa majoriti rakyat menghargai suasana hidup yang aman, harmoni lagi rukun.
Keenam: Mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang (rule of law). Undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil – secara saksama, malah dipastikan kelihatan dilaksanakan secara adil – secara saksama, tanpa prejudis – tanpa diskriminasi melalui amalan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan berlandaskan prinsip tanpa gentar – tanpa pilih kasih (without fear or favour).
Ketujuh: Takhta pemerintahan menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan, berfungsi sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan. Raja Pemerintah wajib mengamalkan dan mempamerkan sifat tidak memihak – tidak partisan – tidak berkepentingan demi menjamin berlakunya keadilan, membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi – berakarkan doktrin pengasingan kuasa.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Mamanda Menteri Besar, kesemua Raja Bergelar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Negeri, kakitangan perkhidmatan awam, anggota tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, guru-guru, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, para ulama, penghulu, imam dan pegawai Masjid, pihak swasta, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan sukan serta seluruh rakyat baginda yang telah melaksanakan pelbagai peranan untuk membangunkan negeri. Kepada rakyat baginda yang terdiri daripada kaum Cina, baginda bersama Tuanku Permaisuri mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu (Gong Xi Fa Cai)
Baginda menyeru agar rakyat terus bersatu, hidup dalam semangat muhibah, rukun dan harmoni, membantu membina sebuah negara Malaysia yang maju lagi makmur, rakyatnya kukuh berpadu dan cekal bersatu. Baginda mendoakan agar terbina sebuah negara dan warga yang mendapat rahmat Ilahi seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Sura Saba’ bermaksud;
“
Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka ia itu dua buah kebun di sebelah kanan dan kiri; “Makanlah oleh mu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan mu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya! (Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”
Sempena Majlis kesyukuran memperingati 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar taat setia, sedia menjunjung titah – sedia melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, berlandaskan hukum – bersendikan adat; dan akan sama-sama memelihara kemuliaan dan nama baik institusi kesultanan Melayu Perak demi memastikan tradisi negeri bersultan – rakyat beraja yang merupakan identiti sistem berkerajaan di bumi ini terus mendapat pengiktirafan dan penerimaan rakyat.
Ya-Wahid, Ya-Ghaffar, Ya-Latif, Ya-Qayyum, hamba-Mu memanjatkan doa agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah, senantiasa mendapat rahmat dan lindungan Ilahi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140204/re_01/Tujuh-peringatan-Sultan-Azlan-Shah#ixzz2sJWh0OKX  © Utusan Melayu (M) Bhd