The Sense, Credibility and Accountability: MeLIHAT kepada NASIB KAUM Melayu/BUMIPUTERA + ISLA…

The Sense, Credibility and Accountability: MeLIHAT kepada NASIB KAUM Melayu/BUMIPUTERA + ISLA…: ASSALAMUALAIKUM dan SALAM SEJAHTERA.. Kita termanggu kejap apabila memBACA beberapa BLOG yang menyiarkan KISAH keSUKARan KAUM Melay…

Advertisements

UiTM : PNB, Hamad Kama Piah, sandwich dan idea gila…

Idris Jusoh bersama-sama Hamad Kama Piah Che Othman bergambar dengan barisan anggota Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan 1 Bilion serta sebahagian kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang terdiri daripada alumni UiTM di majlis penyerahan cek untuk tabung itu di Hotel PNB Darby Park di Kuala Lumpur, kelmarin. – utusan/Riduan Rizal Ahmad
Tabung 1 Bilion Alumni UiTM melonjak…
SEBAGAI seorang wartawan kita banyak bergaul dan kenal dengan kapten-kapten industri di negara ini.
Ada yang mudah mesra, ada yang berhati-hati dan ada yang sehingga menjadi sahabat karib.
Bagi orang korporat yang bijak, orang media tidak dibuat musuh. Sebaliknya dianggap sebagai rakan strategik – yang amat diperlukan pada masa-masa tertentu yang kita tidak ketahui bila masanya.
Ketika berlaku krisis korporat, semasa isu korporat sedang panas, semasa berlaku pertikaian buruh dan sebagainya hubungan korporat-media itu cukup penting sekali.
Sesiapa yang belajar mengenai selok-belok perhubungan awam akan tahu peri pentingnya media relations itu. Ia juga membabitkan soal komunikasi strategik bagi menguruskan sesuatu perancangan korporat.
Kelmarin saya hadir dalam satu majlis anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Saya hadir atas kapasiti sebagai Presiden Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), bukan sebagai wartawan.
Hosnya ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Kami saling mengenali antara satu sama lain, secara profesional.
Namun jika sesiapa mengenali Hamad Kama Piah, beliau bukanlah seorang yang mudah ketika berunding.
Beliau dikenali sebagai seorang ahli korporat yang cukup teliti. Buah fikiran beliau mungkin tidak sama dengan kita. Namun hasilnya sering kali menyebelahi beliau.
Sebenarnya beliau mahu kita mencabar fikiran beliau. Dan fikiran kita sendiri.
“Kita harus mencari kelainan.
“Jangan ikut apa yang orang sudah buat. Be creative and use your own idea,” bisiknya kepada saya di majlis itu.
Sempat juga beliau mengingatkan saya bagi memajukan lagi persatuan alumni dan gerak-kerja kami.
Majlis itu diadakan bagi menyerahkan sumbangan PNB kepada Tabung Pendidikan 1 Bilion Alumni UiTM.
PNB mengambil inisiatif mengumpulkan kesemua kakitangan lulusan ITM dan UiTM membantu mengumpul dana untuk tabung itu. Terima kasih kepada semua termasuk yang bukan alumni kerana turut sama menyumbang.
Hasilnya sebanyak RM152,000 berjaya dikumpulkan.
“Saya sedar dari mana saya datang. Tanpa ITM tempat saya belajar dulu, mungkin saya tiada di sini hari ini,” kata beliau semasa berucap di majlis itu. Beliau ialah bekas lulusan Diploma Statistik dari Institut Teknologi MARA (ITM).
Sumbangan itu disampaikan kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan 1 Bilion, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh. Kedua-keduanya juga alumni ITM. Turut menyaksikan penyerahan itu ialah pengarah pertama Maktab Mara dan ITM yang kini Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub.
“Pastikan kutipan ini mencapai sasaran sejuta dalam masa terdekat ini,” cabarnya lagi kepada saya semasa di meja makan, sambil disampuk oleh Idris, “bukan sejuta Tan Sri tapi sebilion ringgit”.
‘Idea gila’ kutipan 1 bilion itu sebenarnya adalah ilham Idris sendiri April tahun ini. Idris mencabar alumni mengutip dana itu dalam tempoh setahun. Formulanya ialah RM2,000 seorang x 500,000 alumni = RM1 bilion.
Ternyata Hamad Kama Piah tidak lupa daratan. Beliau sedar dari mana asalnya.
Malah beliau bersetuju untuk membantu lembaga pemegang amanah mengendalikan dana itu kelak.
Katanya lagi dalam ucapan itu, pada ketika tahun-tahun 70-an, ITM telah mencabar budak-budak Melayu bumiputera untuk belajar dalam jurusan yang tidak pernah mereka kenali dan tiada di kolej-kolej lain seperti pengangkutan (transport), insurans, jurusan seni lukis, jurusan sebaran am, perakaunan, kulinari dan sebagainya.
“Itulah dia orangnya yang memperkenalkan kursus-kursus itu,” katanya sambil menunjuk ke arah Arshad yang berada di meja utama.
Tidak terlintas di fikiran kita semua untuk belajar dalam jurusan-jurusan itu.
“Kini hasilnya PNB diuruskan oleh lebih 30 peratus bekas penuntut UiTM, termasuklah di hotel milik PNB ini iaitu Darby Park.”
Mereka inilah yang menguruskan dana PNB bernilai beratus bilion ringgit.
Hamad dengan bangganya menyebut seorang demi seorang para pegawai tingginya, antaranya:
Timbalan Presiden Korporat dan Antarabangsa PNB, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid ialah alumni UiTM. Beliau amat aktif dan komited terbabit dalam persatuan alumni sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung 1 Bilion.
Ketua Pegawai Strategik PNB, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf juga adalah alumni UiTM; selain Ketua Pegawai Pelaburan PNB, Wan Roshdi Wan Musa; Naib Presiden Kanan yang juga Ketua Juruaudit Dalaman, Paisol Ahmad; Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Pemasaran PNB, Mohamad Hussin.
Juga Presiden dan CEO syarikat-syarikat kumpulan PNB seperti UMW dan Perodua turut diketuai oleh alumni UiTM yang turut hadir di majlis itu. Mereka ialah Presiden dan CEO Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir serta Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Hamad Kama Piah dengan bangga mendedahkan bahawa daripada 1,000 kakitangan PNB lebih 300 adalah lulusan ITM-UiTM.
Kemuncak majlis itu ialah acara pemakaian tali leher alumni oleh kesemua alumni serta majlis gambar beramai-ramai.
Sementara itu, Lodin juga menceritakan kisah roti sandwich, sebagai makan tengah hari yang dipaksa oleh pengarah Maktab Mara di Jalan Othman, PJ ketika itu Arshad kepada para pelajarnya.
“Walaupun kami marah dengan tindakannya melarang makan nasi, selepas itu baru kami sedar Tan Sri Arshad tidak mahu kami tidur di dalam kelas.
“Jika makan sandwich tidaklah seberat makan nasi dan kita boleh belajar di waktu petang,” katanya yang mengimbau kembali di zaman beliau belajar dalam jurusan perakaunan sekitar awal 1960-an.
Kini Lodin ialah Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan juga Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan, Boustead Holdings Berhad.
Tujuan tulisan ini dibuat bukanlah untuk berbangga-bangga diri, tetapi untuk mendedahkan kepada masyarakat terhadap kejayaan institusi itu.
Ia diwujudkan di bawah matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membawa anak-anak Melayu ini untuk berjaya dan hidup dan bersama-sama membangunkan negara ini.
Sejak akhir-akhir ini banyak mulut celupar yang merendah-rendahkan institusi ini. Mereka menuduh kualiti siswazah UiTM tidak lagi cemerlang dan sebagainya.
Ternyata apa yang dilakukan oleh PNB itu membuktikan tohmahan itu meleset.
Ia hanyalah satu propaganda liar yang cuba merosakkan imej institusi Melayu bumiputera itu.
Namun Hamad Kama Piah juga sempat mencabar Idris, selaku Menteri Pendidikan II:
“Jika dahulu sebuah institusi seperti ITM boleh diwujudkan untuk anak-anak bumiputera, apa lagi yang disediakan untuk mereka buat tahun-tahun akan datang…”
Sesungguhnya dalam geopolitik negara yang berubah dan sosioekonomi Melayu yang mencabar – satu lagi ‘idea gila’ harus dicetuskan!
Terima kasih Tan Sri Hamad. Terima kasih PNB!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140827/re_05/PNB-Hamad-Kama-Piah-isandwichi-dan-idea-gila#ixzz3BdjvSAWz  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tabung Alumni UiTM capai RM1b hujung tahun

Idris Jusoh (tiga dari kiri) dan Zaini Hassan (dua dari kiri) bersama penyumbang untuk Tabung Pendidikan Alumni UiTM di Putrajaya, semalam. – Utusan/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 14 April – Tabung Pendidikan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) optimis dapat mengutip dana RM1 bilion menjelang hujung tahun ini daripada alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia berdasarkan sambutan menggalakkan daripada alumni apabila RM150,000 sumbangan sudah dapat dikumpulkan dalam tempoh hampir dua bulan sejak penubuhan tabung itu.
Beliau yang merupakan penaung tabung pendidikan tersebut berkata, jumlah itu mungkin akan melebihi sasaran sebenar memandangkan UiTM telah melahirkan lebih 530,000 graduan.
“Ini bermakna kalau setiap orang memberi derma dengan purata RM2,000, maka jumlah yang berjaya kita kutip akan lebih daripada RM1 bilion.
“Kalau kita lihat jumlah RM1 bilion bukanlah angka besar, cuba kita lihat bagaimana universiti terkemuka Harvard mengumpul sehingga RM100 bilion untuk dana pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pendidikan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Arshad Ayub; Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan dan Presiden Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Pada majlis itu, YPC menyumbang RM50,000 dan Syarikat Swakaya Sdn. Bhd. RM5,000 kepada tabung pendidikan tersebut.
Idris berkata, dana tersebut akan digunakan untuk memajukan bidang pendidikan keseluruhan dalam bentuk biasiswa, bantuan kebajikan, menaja program penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Beliau berkata, dana berkenaan akan diberi kepada pelajar bumiputera yang memerlukan bantuan pendidikan dan tidak tertumpu kepada pelajar UiTM sahaja.
“Sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk menentukan bagaimana Lembaga Pemegang Amanah membelanjakan dana itu kelak dan bila dapat digunakan.
“Jawatankuasa ini belum ditubuhkan sepenuhnya dan masih di peringkat permulaan. Kita mahu menguar-uarkan bahawa tabung ini mempunyai tujuan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang berminat boleh menderma dengan memberi cek atas nama Persatuan Alumni UiTM Malaysia 2008.
Sementara itu, Zaini berkata, beliau bersyukur kerana tabung pendidikan tersebut mendapat sambutan baik daripada semua pihak.
Menurutnya, meskipun baharu dua bulan, pihaknya menerima sumbangan lebih RM150,000 ringgit dan kutipan tersebut secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kepada persatuan untuk bekerja keras.
“Kami yakin sasaran kutipan RM1 bilion dapat dicapai pada hujung tahun ini biarpun masih terlalu awal buat masa ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140415/ka_01/Tabung-Alumni-UiTM-capai-RM1b-hujung-tahun#ixzz2yvHXwAQY  © Utusan Melayu (M) Bhd

Mara terus jadi penggerak

Oleh ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak menekan butang merasmikan Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama Mohd. Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhammad (kiri), Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa (empat dari kiri) dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad (kanan).

KUALA LUMPUR 3 Mac – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus menjadi penggerak dan jentera utama kepada aspirasi kerajaan dalam membangunkan masyarakat bumiputera di negara ini terutamanya dalam bidang pendidikan, keusahawanan serta pelaburan.
Aspirasi tersebut bukan omongan tetapi dirangka dengan jelas menerusi Pelan Transformasi Mara 2011-2015 yang merupakan pelan strategik lima tahun badan itu bagi memastikan kesinambungan kejayaan mengangkat martabat masyarakat bumiputera terus diperkasakan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelan strategik yang digerakkan melalui pendekatan bersepadu dengan menterjemah agenda transformasi negara dilaksanakan secara integrasi bagi memaksimumkan hasil.
“Mara mahu melahirkan sekurang-kurangnya satu keluarga satu usahawan menjelang tahun 2020 kerana kita yakin mampu merubah suasana sosioekonomi dan pemikiran masyarakat bumiputera daripada menjadi pekerja kepada mencipta peluang pekerjaan.
“Kita mahu anak-anak kita pada masa akan datang bukan sahaja mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang tetapi menjadi tulang belakang kepada setiap pembangunan negara,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Menara Mara itu.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, sejak diwujudkan, Mara telah banyak menyumbang kepada kejayaan bumiputera terutama dalam aspek modal insan apabila ramai bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) kini menerajui industri terkemuka.
Jelasnya, hal yang sama juga diraih dalam sektor pelaburan apabila anak-anak syarikat Mara berjaya mencatat pendapatan sebanyak RM1.05 bilion manakala prestasi kutipan pembiayaan pula meningkat sebanyak RM786 juta, jauh melepasi sasaran awal RM550 juta.
Pada masa sama, beliau menambah, Mara kini turut memberikan fokus kepada pembangunan industri makanan halal merangkumi aktiviti penyelidikan serta pembangunan Halal Park di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Bagi tujuan ini, sebanyak RM260 juta diperuntukkan bagi penyediaan pembiayaan yang merangkumi Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM), Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) dan Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM),” ujarnya.
Mengenai perancangan pengurusan Mara pula, Mohd. Shafie berkata, organisasi itu yang memiliki 18,563 kakitangan kini agresif dalam meningkatkan keupayaan intelektual warganya melalui pelbagai program terutama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, keupayaan intelektual penting untuk memastikan Mara sentiasa bersedia menghadapi cabaran selain turut berusaha menambah baik skim perkhidmatan sedia ada agar organisasi itu berupaya menarik lebih ramai tenaga kerja yang terbaik demi kelangsungan bumiputera.
Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, Mara akan turut mewujudkan ekosistem yang mampu membuka peluang baharu kepada bumiputera melalui pembangunan projek di bawah konsep Edubizpark.
Katanya, projek Mara di bawah Edubizpark ialah Asia Aerospace City Subang yang memberi tumpuan pada pusat kejuruteraan aeroangkasa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_03/Mara-terus-jadi-penggerak#ixzz2ux40AFa4  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Usaha bantu bumiputera wajar – PM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai selepas merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu beliau menegaskan, sebarang bantuan kerajaan ke atas masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan sosial.
Katanya, berbanding pembangkang yang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, kerajaan BN di bawah kepimpinan beliau beriltizam dan berjanji akan menyokong serta membantu kaum majoriti itu.
“Api perjuangan hasil Kongres Ekonomi 1965 yang dicetuskan Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam hati sanubari saya. Yakinlah atas semangat itu, saya dan barisan Kabinet pimpinan saya akan terus memperjuangkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.
“Sebab itu apabila Mara memohon dana RM400 juta, saya bagi RM800 juta kerana saya tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera terbantut. Saya mahu kesinambungan dan kelancaran program yang dilaksanakan Mara lancar.
“Tetapi saya mahu lihat bumiputera yang dibantu ini layak secara merit iaitu mereka memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus berjaya, bukan pelobi,” katanya semasa berucap merasmikan Menara Mara di sini malam ini.
Majlis perasmian tersebut yang bersempena dengan Sambutan 48 Tahun Mara berlangsung dalam suasana yang penuh bersejarah dan gemilang selain turut diserikan dengan persembahan artis tersohor tempatan serta percikan pelbagai jenis bunga api.
Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Najib berkata, Mara adalah sebuah kisah perjuangan yang panjang hasil komitmen serta kesungguhan politik kerajaan BN dan sepanjang 48 tahun kewujudannya, agensi berkenaan telah membantu kira-kira empat juta bumiputera.
Menurutnya, jumlah tersebut adalah besar dan ramai dalam kalangan usahawan dan profesional bumiputera yang berjaya pada hari ini termasuk orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, antara produk yang dibantu Mara.
“Inilah yang saya mahu lihat. Usahawan bumiputera yang berjaya dan kemudian mengenang jasa Mara dengan menjelaskan kebaikan Mara dan kerajaan kepada rakyat dan saya mahu lebih ramai anak-anak Mara dilahirkan pada masa akan datang.
“Mereka wajar dibantu kerana sudah tentu tidak adil untuk membandingkan anak-anak yang lahir di Bukit Tunku dengan Hulu Tembeling. Kalau tidak dibantu, nasib anak-anak ini kekal seperti mana kehidupan sedia kala tanpa perubahan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Menara Mara, Najib berkata, bangunan setinggi 30 tingkat itu adalah lambang kejayaan kerajaan dan agensi berkenaan membantu serta mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain.
Beliau seterusnya berdoa Mara terus menjadi salah sebuah agensi terunggul bagi menjulang masyarakat bumiputera dalam bidang pendidikan serta keusahawanan melalui pelbagai program komprehensif yang telah dan sedang dijalankan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_01/Usaha-bantu-bumiputera-wajar—PM#ixzz2ux1Ed2YT  © Utusan Melayu (M) Bhd