POLITIK : Saifuddin umum sertai PKR

16 Oktober 2015 1:20 AM
PETALING JAYA 15 Okt. – Ura-ura mengatakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal bertukar parti menjadi realiti, apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara rasmi mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
Saifuddin
Pengumuman itu dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau (Saifuddin)…penyertaannya bertepatan dengan strategi Keadilan untuk memberi fokus kepada isu-isu masyarakat Melayu dan Bumiputera agar kebajikan mereka terbela,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.
Dalam sidang media sama, Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, keputusannya didorong oleh kemahuan untuk melihat perubahan dalam arena politik negara.
“Saya sudah berfikir panjang lebar sebelum membuat keputusan.
“Saya mahu membina negara ini melalui pembaharuan institusi…ia tidak dibincangkan secara komprehensif dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)…maka sudah sampai masa saya rasakan saya tidak lagi serasi dengan UMNO dan BN,” katanya.
Saifuddin sebelum ini dikatakan bakal menyertai PKR apabila beliau menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan pakatan pembangkang yang baharu. 
– BERNAMA

Dr. M dakwa Sosma untuk pengkritik kerajaan

13 Oktober 2015 1:30 AM
DR. MAHATHIR MOHAMAD (tiga, kiri) bersama (dari kiri) Shafie Apdal, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah, Sanusi Junid dan Ong Tee Keat dalam sidang akhbar di Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 12 Okt – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) telah dikenakan terhadap pengkritik-pengkritik kerajaan sedangkan akta tersebut seharusnya digunakan untuk menangani aktiviti keganasan.
Akibatnya beliau mendakwa, rata-rata rakyat ketika ini mula mempersoalkan tindakan kerajaan itu atas dakwaan menyalahgunakan undang-undang untuk menahan mereka yang mengkritik kerajaan.
Dr.Mahathir yang sering me­lakukan ‘serangan’ peribadi ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, sepatutnya perkara seumpama itu tidak berlaku kerana undang-undang yang dihasilkan di Parlimen adalah untuk menegakkan keadilan dan bukannya bertujuan mendiamkan pengkritik kerajaan.
“Mereka menggunakan perkataan sabotaj untuk memboleh­kan tindakan dikenakan terhadap kumpulan ini dengan menggunakan akta baharu ini (Sosma). Memang undang-undang menyekat kebebasan rakyat untuk berbuat sesuka hati tetapi dalam isu ini mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh ditakrif sebagai sabo­taj kepada kerajaan,” dakwanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Apa yang mengejutkan ia turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Turut hadir bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan vete­ran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid di lokasi sama.
Dalam sidang akhbar yang sama Muhyiddin berkata, beliau mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung komitmen kerajaan memulihkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh enam bulan.
“Saya sekarang di luar kerajaan dan untuk berlaku adil biarlah kita tunggu masa tersebut. Jika boleh diselesaikan, bagus. Jika tidak akan timbul banyak implikasi lain yang boleh membawa kesan lebih besar daripada apa yang ada sekarang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain beliau meminta setiap ahli UMNO berani menyuarakan pandangan mereka berhubung pelbagai isu yang me­landa negara ketika ini melalui platform parti termasuk Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.
Katanya, inilah masa paling sesuai untuk mereka berbuat demikian dalam konteks menjadikan UMNO parti yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat apatah lagi dengan kedudukannya sebagai tunjang dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak kata, kita menentang kepimpinan tetapi ini soal menyua­rakan isu pokok yang seharusnya ahli UMNO tidak wajar berdiam diri. Jika itu berlaku (kegagalan ber­suara) negara akan berhadapan dengan masalah lebih besar. (Justeru) Inilah masa paling sesuai untuk ahli-ahli UMNO tampil ke depan,’’ katanya lagi.
Mohd. Shafie pula berkata, kehadirannya hari ini adalah untuk memberi sokongan kepada Dr. Mahathir atas faktor membela nasib rakyat.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menggunakan undang-undang bagi menakutkan rakyat.
Tengku Razaleigh pula mendakwa, perkembangan yang berlaku itu tidak menggambarkan semangat dan tujuan SOSMA dibawa dan dilu­luskan oleh Parlimen sebelum ini.
“Ramai yang menemui saya dan meminta saya menyatakan kepada kerajaan berhubung perkara yang berlaku ini. Sebenarnya SOSMA adalah amat berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),’’ katanya.

KUASA UNDI SURVIVAL POLITIK

ZULKIFLI JALIL | 01 Oktober 2015 1:05 AM
KUASA sebagai pengundi menjadi penentu sur vival mana-mana par ti politik terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijadual berlangsung pada 2018. – GAMBAR HIASAN/BERNAMA
DALAM sibuk-sibuk berhimpun, sampai lupa ‘dunia’ realiti. ‘Dunia’ realiti yang dimaksudkan penulis adalah ‘sudahkah mendaftar sebagai pe­ngun­di buat mereka yang berhimpun sama ada dalam himpunan berpermit mahupun sekadar demonstrasi jalanan?
Berhimpun dalam situasi sekarang dalam maksud yang hampir adalah kecenderungan kepada politik, tidak kiralah memihak parti kerajaan atau pembangkang. Tiada gunanya sekumpulan besar orang berhimpun kalau nama mereka pun tidak tersenarai pengundi berdaftar.
Dalam konteks ini, izinkan penulis menggamit perhatian orang Melayu termasuk orang UMNO betapa kuasa atas kertas undi lebih bernilai dan realistik berbanding apa sahaja perlakuan berpolitik. Kuasa pengundi berada di tempat pertama berbanding perbuatan atau pe­rilaku menyuarakan sesuatu isu semasa.
Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah kerana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.
Oleh itu, selagi UMNO me­ngekalkan status quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presi­den UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri.
Namun, perlu diingatkan sekali lagi, tanpa kuasa sebagai pengundi berdaftar yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ahli UMNO, waima pemimpin kanan parti itu sekali pun tidak akan bermakna apa-apa dalam politik penentu parti memerintah.
Dan itu belum lagi yang liat untuk mendaftar, bahkan telah mendaftar pun, masih malas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini berbeza dengan kaum lain, yang akan terpacul seawal pagi lagi yang belum pun pusat pengundian dibuka – untuk berlumba-lumba membuang undi dalam usaha memenangkan calon mereka.
Orang Melayu termasuk daripada UMNO harus sedar dan mengambil iktibar hal ini. Misalnya, dalam proses pelantikan Perdana Menteri tidak ada disebutkan prasyarat mengenai bangsa atau agama. Ini bermakna bangsa bukan Melayu boleh dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa akan datang untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu selagi beliau dapat menguasai keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Hakikat bahawa ini tidak pernah berlaku sebelum ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh atau tidak akan berlaku pada masa depan terutamanya apabila keadaan politik yang berubah-ubah di Malaysia. Ini kelak memungkinkan akan timbulnya beberapa orang lain yang boleh mendapat keyakinan Dewan.
Perkataan keyakinan di sini jelas merujuk seseorang yang memimpin parti dengan bilangan ahli-ahli dalam Dewan Rakyat yang terbesar. Keyakinan pada bahagian Yang di-Pertuan Agong pula tidak boleh membawa pengertian selain itu atau dalam konteks yang dibuat walaupun terikat dengan perkataan ‘pada pendapat beliau’ yang menandakan penentuan subjektif.
Mengikut makna konteks, walaupun beliau menggunakan fakulti subjektif dalam artikel itu, aplikasi tidak terkawal mengenai niat subjektif tidak boleh digunapakai. Jika berlaku pada masa akan datang, satu keadaan apabila pemimpin dua buah parti sama popular, sama kuat serta mempunyai jumlah perwakilan yang agak sama di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong akan terperangkap dalam keduduk­an yang sukar.
Adakah baginda akan menggunakan kayu pengukur berdasarkan atas bilangan wakil-wakil untuk menyukat kekuatan dan sokongan para pemimpin parti-parti yang berkaitan? Atau mungkinkah ba­ginda akan bertitah dan menentukan bahawa ‘pada pendapatnya’ seorang pemimpin lain mendapat keyakinan Dewan – mungkin pada ciri-ciri kekuatan wataknya, baik akhlaknya dan lain-lain sifat.
Hanya masa akan menentukan kerana peruntukan ini tidak pernah diuji sebelum ini walaupun terdapat pendapat yang berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa baki untuk berbuat demikian. Dan pihak mahkamah akan menjadi pengadil sekiranya perkara ini diuji pada satu tarikh di masa akan datang.
Di mata dunia, Malaysia masih boleh dengan yakin mempertahankan bahawa ia tidak mengamalkan kecenderungan diskriminasi di bawah undang-undang pelantikan kuasa eksekutif. Ini adalah mengikut keadaan semasa kesan Perlembagaan yang ada. Namun ia, tertakluk kepada kemungkinan ia akan dipinda pada satu masa kelak.
Hakikatnya Artikel 43 bukanlah salah satu artikel-artikel yang memerlukan majoriti dua pertiga dan sokongan kedua-dua majlis Parlimen untuk diluluskan bagi maksud pindaan. Mana-mana parti politik yang mempunyai kedudukan majoriti mudah di Dewan memang boleh mencetuskan proses meminda peruntukan dalam Artikel 43 yang mana terletaknya pangsi ketua eksekutif negara.
(Perdana Menteri dilantik di bawah Artikel 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pelantikannya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum pembentukan sebenar Kabinet, iaitu yang pada pendapat beliau (baginda) dapat menguasai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan).
Kuasa sebagai pengundi menjadi penentu survival mana-mana parti terutama dalam pilihan raya umum ke-14 yang dijadual dilangsungkan pada 2018.
Sekitar 2011 telah timbul perdebatan bahawa walaupun statistik penduduk Pulau Pinang menunjukkan peratusan orang Melayu mengatasi kaum Cina, masing-masing 42.05 peratus dan 40.92 peratus, namun pengundi Cina lebih ramai daripada pengundi Melayu.
Itu belum lagi dikira pada masa ini yang jika direkodkan daripada SPR, nescaya kita akan menemukan satu data yang memeranjatkan dari segi komposisi pengundi. Jika dulu ‘mereka’ mendominasi bandar-bandar, kini ‘mereka’ berada di pinggir bandar dan tidak lama lagi pasti menerobos mendominasi luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jangan salahkan sesiapa. Pokok pangkalnya tanya diri sendiri. Siapa yang komited, rajin dan berdaya saing terutama memastikan nama tersenarai dalam daftar pengundi sahaja yang boleh survive.