HASUTAN : Polis cadang kumpulan 
SSKM dituduh di mahkamah

11 Februari 2015 1:27 AM
KOTA KINABALU 10 Feb. – Polis telah mengemukakan kertas siasatan berhubung tangkapan individu yang didakwa kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) kepada Timbalan Pendakwa Raya termasuk mencadangkan tuduhan di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.
JALALUDDIN ABDUL RAHMAN
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, cadangan itu dibuat pihaknya selepas mendapati tindakan kumpulan dan penyokong SSKM tersebut mampu mengganggu-gugat keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini.
Malah, jelas beliau, pihaknya turut mengenal pasti pemimpin mahupun parti politik yang menjadi dalang kumpulan itu bergiat aktif.
“Setakat ini kita telah menahan 14 individu, masing-masing di Tuaran dan Lahad Datu pada minggu lalu serta baru-baru ini.
“Terbaharu, tangkapan lima individu di Lahad Datu, kesemua mereka ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 1 Februari lalu, polis menahan sembilan individu termasuk tiga wanita kerana mengedar risalah dan membuat pungutan suara SSKM di pasar tamu Tuaran, dekat sini.
Sabtu lalu pula, polis menahan lima lagi individu di sekitar pekan Lahad Datu sambil merampas 200 risalah, baju dan topi yang tertera perkataan SSKM.
Jalaluddin memberitahu, pihak­nya telah memperoleh waran tangkap ke atas individu dikenali sebagai Doris Jones yang dipercayai dalang kepada aktiviti SSKM.
Setakat ini, kata beliau, pihak­nya hanya memperoleh waran tangkap terhadap individu berkenaan.
Mengulas tentang laman web SSKM, menurutnya, polis mempunyai pasukan khas untuk memantau kenyataan yang dikeluarkan berhubung SSKM termasuk laman web kumpulan itu.
“Kita ada pasukan khas. Setiap hari kita akan pantau dan buat laporan polis termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika terdapat elemen menghasut kita akan ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin memaklumkan perintah berkurung di pantai timur Sabah dilanjutkan bermula esok sehingga 26 Februari ini.
Kata beliau, lanjutan perintah berkurung itu dibuat pihaknya mengambil kira tiga aspek iaitu, jaminan kepada keselamatan dan aktiviti pelancongan di daerah-daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
“Kedua, memudahkan penguat kuasa menjalankan tugas-tugas mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta ketiga, jaminan daerah-daerah di pantai timur Sabah selamat daripada aktiviti penculikan selain cubaan menceroboh oleh penculik untuk tebusan (KFR) dan kumpulan yang mendakwa tentera Sulu,” jelasnya.

BAJET : Hadiah kepada Sabah,Sarawak

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Okt. – Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hadiah kepada penduduk Sabah dan Sarawak yang selama ini berharap kerajaan dapat memajukan keperluan infrastruktur di kedua-dua negeri itu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan sebanyak RM4.5 bilion yang disediakan termasuk RM2.5 bilion bagi menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo merentasi Sabah dan Sarawak akan turut menjadi pemacu kepada peningkatan ekonomi kedua-dua negeri khususnya masyarakat luar bandar.
“Ini adalah inisiatif yang kita alu-alukan terutama masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak yang menuntut supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan infrastruktur seperti yang ada di Semenanjung.
“Dengan usaha seperti ini kita amat yakin apa yang dipohon oleh mereka akan ditunaikan malah saya yakin Lebuh Raya Pan Borneo akan menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi penduduk,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Shafie berkata, bajet bertajuk Ekonomi Keperluan Rakyat (EKR) itu juga merupakan penyelesaian kepada masalah keperluan asas yang dialami masyarakat luar bandar di seluruh negara selama ini.
Jelasnya, ini adalah bukti kerajaan menunaikan janji bahawa pendapatan yang diperoleh hasil perkembangan pesat ekonomi negara akan diagih-agihkan kepada setiap rakyat terutama golongan yang memerlukan.
“Saya sangat gembira apabila masyarakat luar bandar diutamakan dengan peruntukan RM900 juta untuk memajukan jalan-jalan kampung, RM30 juta untuk lampu jalan di luar bandar, RM1.1 bilion bagi bekalan elektrik dan RM400 juta lagi dalam menyediakan bekalan air bersih.
“Dalam jangka masa panjang, kemajuan di luar bandar akan dapat dilihat dengan jelas terutama di Sabah dan Sarawak kerana saya yakin Pan Borneo akan meningkatkan nilai hartanah di situ,” katanya.
Sementara itu, dalam sudut ekonomi makro, katanya, pelbagai insentif pelaburan yang disediakan mampu memacu kepesatan pembangunan total negara melalui kemasukan jumlah pelaburan yang lebih tinggi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_18/Hadiah-kepada-SabahSarawak#ixzz3FziLL6Xv  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sambutan Hari Malaysia Ke-51 meriah

SEBAHAGIAN daripada ribuan pengunjung yang membanjiri sambutan Hari Malaysia di Miri, Sarawak malam tadi.

MIRI 16 Sept. – Sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dataran Kipas di sini malam ini, berlangsung dalam suasana meriah dan penuh patriotik apabila kira-kira 40,000 orang menyaksikan upacara bersejarah itu.
Orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum yang mula membanjiri lokasi sambutan sejak pukul 6 petang telah dihiburkan dengan acara pra persembahan oleh artis jemputan sementara menunggu ketibaan tetamu kenamaan.
Mereka yang memegang Jalur Gemilang termasuk ada yang membawa anak kecil kelihatan cukup ceria dan bersemangat mengibarkan bendera itu sepanjang acara berlangsung terutama semasa lagu-lagu patriotik dinyanyikan.
Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama isteri, Puan Sri Jamilah Anu tiba di Dataran Kipas pada pukul 8.30 malam.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Acara sambutan dimulakan sejurus ketibaan Abdul Taib dengan nyanyian lagu negeri Ibu Pertiwiku, diikuti persembahan lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Jabatan Penerangan.
Majlis sambutan diteruskan dengan ucapan Adenan dan tayangan video khas sebelum ucapan oleh Perdana Menteri.
Selesai acara rasmi diadakan, penonton dihiburkan dengan persembahan beberapa artis tempatan popular termasuk penyanyi Iban.
Antara artis yang membuat persembahan ialah Datuk DJ Dave, Bob (Akademi Fantasi 2), Dayang Nurfaizah, Nicole Lai, Jaclyn Victor, Jimmy Palikat, Atai (anak saudara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad) dan penyanyi Iban yang terkenal dengan lagu berjudul Bekikis Bulu Betis, Andrewson Ngalai.
Tahun ini adalah kali ke-51 negara meraikan sambutan Hari Malaysia bagi mengenang sejarah penggabungan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140917/dn_02/Sambutan-Hari-Malaysia-Ke-51-meriah#ixzz3DYSkTURc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bersama dalam satu keluarga yang besar

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Tetamu Kehormat…Abdul Taib Mahmud, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet Persekutuan dan negeri mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-51 di Dataran Kipas, Miri malam tadi. – UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
MIRI 16 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semenjak terbentuknya Malaysia 51 tahun lalu, rakyat negara ini telah menempuh pelbagai perubahan dan transformasi dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
Sehubungan itu, katanya, dalam usia melebihi setengah abad, rakyat Malaysia seharusnya sudah mempunyai jati diri kental dan semangat patriotisme yang teguh terhadap negara.
Beliau berkata, hari ini, masyarakat dapat melihat kesinambungan jasa pemimpin terdahulu yang berjuang untuk memerdekakan negara dan pengorbanan itu wajar disanjung dan terus diwarisi.
“Tuan-tuan dan puan-puan (rakyat Sarawak) yang hadir pada sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dataran Kipas Miri pada malam ini adalah penyambung warisan Sarawak merdeka dalam Malaysia.
“Apabila rakyat mengatakan bahawa Sarawak mendapat seribu satu macam rahmat merdeka dalam Malaysia, maka rakyat Sarawak menyatakan kemerdekaan Sarawak itu akan terus dipertahankan.
“Pada saya, kenyataan ini yang menyebabkan kita (orang luar) yang datang ke Sarawak, saya rasa isteri, saya rasa menteri Persekutuan bila kita turun ke Sarawak…turun ke Sabah, kita merasakan kita bersama dalam satu keluarga yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Malaysia Ke-51 Tahun 2014 di Dataran Kipas di sini malam ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Menurut Najib, dalam tempoh 51 tahun pembentukan Malaysia, rakyat negara ini telah kukuh perasaan kekeluargaan setelah berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan.
“Pasukan keselamatan kita dari Semenanjung menitiskan darahnya di Sarawak dan Sabah untuk mempertahankan kemerdekaan di kedua-dua negeri ini.
“Kita juga menghargai pejuang dari Sarawak dalam pasukan polis yang turut berkorban nyawa kerana mempertahankan kemerdekaan negara kita,” katanya.
Tambahnya, setelah ‘berjalan’ jauh selama 51 tahun, beliau percaya dalam hati sanubari sebahagian besar penduduk Sarawak dan Sabah, mereka tidak menyesal dengan keputusan menyertai Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak juga tidak akan patah semangat untuk terus pertahankan kemerdekaan negara.
“Kita akan terus pertahankan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia dan saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab dan kewajipan saya ialah kalau ada pihak cuba menggugat kedaulatan kita, keselamatan kita, maka hendaklah mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang yang ada,” tegasnya.
Dalam pada itu, Najib mengakui Malaysia ibarat sebuah keluarga yang besar dan sememangnya kadang kala akan timbul beberapa masalah berbangkit dan beliau sebagai ketua keluarga sanggup mendengar apa sahaja suara yang dinyatakan dalam keluarga.
“Kalau Ketua Menteri Sarawak minta sesuatu (mengikuti) kehendak rakyat Sarawak, kalau Ketua Menteri Sabah minta sesuatu kehendak rakyat negeri Sabah dalam Malaysia, maka menjadi tanggungjawab saya mesti mendengar dan memberi pertimbangan yang sewajarnya.
“Dalam perhimpunan malam ini, saya nak nyatakan bahawa kehendak dan suara rakyat Sarawak dari kerajaan negeri Sarawak pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya.
“Saya dengar permintaan rakyat nak tambah pendapatan Sabah dan Sarawak daripada hasil minyak. Kita bersikap terbuka, kerajaan Pusat bersedia menimbang apa yang patut untuk memberi pendapatan yang lebih kepada negeri Sarawak,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140917/dn_01/Bersama-dalam-satu-keluarga-yang-besar#ixzz3DYM6TLJS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Isu Sabah: Polis buru penghasut

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my
Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan para perwakilan yang menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, semalam. Turut kelihatan, Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Mohd. Yusof Apdal (kiri). – UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin
LAHAD DATU 12 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan operasi besar-besaran memburu individu atau kumpulan kecil yang didakwa ‘melancarkan’ kempen menghasut supaya Sabah keluar dari Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu turut melibatkan buruan ke atas kumpulan kecil atau individu yang terlibat dalam gerakan Kesultanan Sulu yang mahu merampas Sabah.
Tegas beliau, PDRM telah mengenal pasti individu terlibat termasuk mereka yang bergiat aktif menyebarkan gerakan itu melalui media sosial.
“Kita telah kesan individu yang terlibat. Ada di antara mereka berada di sini (Sabah), Malaysia dan luar negara.
“Tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini tidak berpanjangan kerana PDRM giat memburu mereka. Mereka tidak akan terlepas,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana di sini, hari ini.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, pihaknya menahan tiga individu yang dipercayai menyertai Kesultanan Sulu dan merekrut ahli-ahli baharu bagi tujuan membawa Sabah keluar daripada Malaysia dan diperintah menjalani tahanan di pusat pemulihan tidak melebihi dua tahun mengikut Seksyen 19A Akta Pencegahan Jenayah.
Jelas Khalid, ketiga-tiga individu terbabit merupakan dua rakyat Malaysia, Abu Bakar Yajari dan Zainuddin Mislani serta seorang rakyat Filipina, Kassim Ibrahim.
Sambil menganggap individu atau kumpulan kecil yang ingin membawa keluar Sabah daripada Malaysia sebagai penderhaka, Ahmad Zahid berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau undang-undang lain berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan bakal mewujudkan sebuah Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kekuatan satu batalion di daerah Kunak dalam waktu terdekat.
Jelasnya, tindakan itu mampu membantu memantapkan struktur Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menjaga keselamatan dan kedaulatan negeri ini.
Selain itu, beliau memaklumkan akan menaik taraf semua balai polis di daerah Lahad Datu, Tungku dan Kunak selain menyediakan kemudahan bersesuaian dengan senario jenayah di kawasan tersebut.
Terdahulu, beliau sempat mengadakan lawatan bagi melihat operasi Esscom di pejabat Esscom di daerah ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_07/Isu-Sabah-Polis-buru-penghasut#ixzz3DXkLqw00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK BALINGIAN – Pengundi jangan terpedaya

Oleh ANGELINA SINYANG
utusansarawak@utusan.com.my




MUHYIDDIN Yassin melawat salah sebuah inap desa pada majlis Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada dan Bunut, di Mukah, Sarawak semalam. Turut sama, Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) dan Yussibnosh Balo (kiri). – BERNAMA

MUKAH 27 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat negara ini terutama bakal pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Sabtu ini, agar tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang yang menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai parti tidak bertanggungjawab dan kejam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang ke Balingian untuk berkempen bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang beberapa hari lalu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, dalam ucapannya, Penasihat PKR itu dengan sombongnya berbangga memberitahu beliau sudah menang dalam PRK DUN Kajang.
“Anwar juga menuduh BN sebagai sebuah parti anak-beranak dan kejam seperti Firaun kerana tidak membela nasib rakyat sehingga ramai penduduk di Balingian miskin dan tertinggal dalam pembangunan.
“Tetapi saya nak tanya orang Sarawak, berapa ramai yang kebuluran tidak makan? Yang saya tahu ramai yang mati sebab makan banyak, masuk hospital kerana kencing manis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan calon BN bagi PRK DUN Balingian, Yussibnosh Balo.
Menurut Muhyiddin, walaupun Anwar berbangga dengan kemenangan PKR di Kajang, namun beliau terlupa bahawa partinya sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius membabitkan beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.
“Malah, kali ini undi diperoleh oleh isteri beliau juga merosot apabila menurun 1,445 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13. Ini bermakna beliau telah tersilap langkah,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan Anwar yang menuduh BN kejam, Muhyiddin berkata, kenyataan beliau adalah tidak berasas kerana di bawah parti tersebut, rakyat menerima pelbagai subsidi bagi beberapa jenis barangan untuk meringankan beban kehidupan.
Menurutnya, kerajaan telah menampung kos subsidi barangan berjumlah RM42 bilion setahun iaitu hampir sama dengan RM40 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan.
Namun, katanya, kerajaan berasa tidak wajar jika bantuan subsidi bagi sesetengah barangan dilaksanakan sepanjang masa lalu mengurangkan sedikit nilai bantuan tersebut.
“Tetapi ada baiknya subsidi itu dikurangkan kerana wang dikumpul hasil pengurangan subsidi boleh diberikan semula kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).
“Kerajaan sudah memberikan RM3 bilion kepada lebih 7 juta penerima BRIM di seluruh negara. Pemberian BRIM adalah lebih baik kerana ia hanya dinikmati oleh kumpulan sasaran berbanding subsidi yang turut memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi,” katanya.
Melihat kepada keadaan itu, kata Muhyiddin, rakyat jangan terpengaruh dengan pembangkang dan masyarakat Balingian diminta memberi sokongan padu kepada BN dengan mengundi Yussibnosh pada hari mengundi nanti.
Mengenai kempen pilihan raya yang tinggal dua hari lagi, beliau berpuas hati dengan sambutan diterima penduduk Balingian terhadap BN dan berharap parti itu boleh mendapat undi majoriti yang lebih tinggi pada pilihan raya kali ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140328/po_01/Pengundi-jangan-terpedaya#ixzz2xDP5MAsw  © Utusan Melayu (M) Bhd