CELAH GELEGAR: [JUAL ASET 1MDB = JUAL HARTA NEGARA] Wahid: Isu 1M…

CELAH GELEGAR: [JUAL ASET 1MDB = JUAL HARTA NEGARA] Wahid: Isu 1M…: Isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diselesaikan sebelum akhir tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ser…

Advertisements

Berpakaian, berlagak seperti wanita di tempat awam boleh didakwa

09 Oktober 2015 1:28 AM
Sebahagian daripada peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan yang terlibat dalam Bantahan Awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung Undang-undang Jenayah Syariah yang melarang lelaki berpakaian wanita, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam. UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
Penyokong komuniti transgender berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah menerima Bantahan Awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung Undan. undang Jenayah Syariah yang melarang lelaki berpakaian wanita di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam. 
PUTRAJAYA 8 Okt. – Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah sah di sisi undang-undang dan boleh terus dikuatkuasakan terhadap kaum lelaki yang memakai pakaian perempuan ataupun berlagak seperti wanita di tempat awam.
Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sewaktu mengetepikan penghakiman kontroversi Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen berkenaan, melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian ketika membenarkan bantahan awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima pihak lain berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin bagi mencabar kesahan seksyen berkenaan.
Seksyen itu disandarkan untuk pihak berkuasa agama Negeri Sembilan mendakwa Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Hakim Md. Raus ketika membacakan keputusan itu menyatakan, semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga pondan tersebut tidak mengikut prosedur kerana ia gagal mematuhi Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.
Pada hemat panel itu, Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan yang serius pada peringkat awal lagi kerana membenarkan permohonan semakan kehakiman ketiga-tiganya untuk mempersoal kesahan seksyen itu.
Ujar Hakim Md. Raus, permohonan semakan kehakiman itu sepatutnya telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengarnya.
Panel itu berpendirian, ketiga-tiga mak nyah tersebut sepatutnya memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu untuk mencabar kesahan sesyen berkenaan melalui isu-isu perlembagaan.
Jelas Hakim Md. Raus, jika kebenaran diberikan, mereka selanjutnya boleh meneruskan tindakan dengan memfailkan petisyen di mahkamah tertinggi negara untuk mendapat perisytiharan berhubung isu yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan tersebut manakala Mahkamah Rayuan turut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan mereka.
Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kaum lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.
Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain Kerajaan Negeri Sembilan, lima pihak yang lain ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah, ketua pendakwa raya syariah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Keputusan mengejutkan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga mereka.
Muhammad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol mengemukakan semakan kehakiman dengan mendakwa bahawa Seksyen 66 tidak terpakai kepada mereka sebagai penghidap kecelaruan identiti jantina (GID) yang mana penyakit itu telah disahkan oleh satu laporan kesihatan dari Hospital Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam sebelum membuat pembedahan pertukaran jantina.
Dalam prosiding tersebut, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili pemohon pertama hingga kelima manakala Datuk Sulaiman Abdullah bagi pihak pemohon keenam. Aston Paiva mewakili ketiga-tiga responden.

Saya tidak akan tunduk – Mufti Pahang

29 September 2015 12:57 AM

KUANTAN 28 Sept. – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman tidak gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa agama negeri kerana khutbah Aidiladha yang mendakwa DAP menentang Islam.

Abdul Rahman Osman
Menurut beliau, khutbah ter­sebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.
“Kita tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu jabatan ini memohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.
“Sepatutnya mereka yang me­mohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas me­ngenai tindakan DAP kelmarin yang menggesa JAIP memohon maaf ber­hubung teks khutbah Aidiladha itu.
Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi masa lima hari sehingga Rabu ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Menurut Abdul Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu dan tidak menghormati institusi Islam.
“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman ka­mi dan meminta kami memohon maaf,” katanya.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang itu, umat Islam dinasihat supaya terus bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.
Perpecahan itu kerana meng­utamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Is­lam seperti UMNO, Pas, PKR dan ditambah dengan Parti Amanah Negara (Amanah) malahan ada dalam kalangan umat Islam yang menyertai DAP secara terang-terangan menentang Islam.
Teks khutbah yang dibaca oleh Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 itu turut mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.
Abdul Rahman berkata, kan­dungan dalam khutbah berkenaan adalah benar dan bukannya ber­baur fitnah serta telah merujuk kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran.
Menurutnya, surah berkenaan menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin.
“Kandungan dalam khutbah Ai­diladha bukan hasutan seperti didakwa DAP tetapi kita hendak berdakwah dan memberitahu ke­pada orang Islam lain mengenai perkara yang sudah dinyatakan dalam al-Quran.
“Kalau kita lihat dalam beberapa isu seperti hudud sebelum ini, mereka menentangnya yang ber­makna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak pernah me­nafikan hak orang lain walaupun Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia,” katanya.