dinturtle – Blogger PARTI MELAYU: Rauf Guna Alasan Teknikal Tolak Saman Anina – Apak…

dinturtle – Blogger PARTI MELAYU: Rauf Guna Alasan Teknikal Tolak Saman Anina – Apak…: astroawani Laporan paper semalam mengesahkan Ab Rauf menggunakan alasan teknikal untuk memohon mahkamah membatalkan saman Anina yakni A…

Advertisements

Protes: Maria Chin, 7 individu lain didakwa

MARZITA ABDULLAH | 09 September 2015 12:53 AM
Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Sept. – Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan tujuh yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, awal tahun ini.
Yang turut didakwa ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang; anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib; pegawai khas ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep; ahli PKR, Lee Chean Chung dan aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.
Kesemua mereka yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Maria Chin, Mandeep, Mohd. Fariz dan Tze Tzin didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac lalu.
Mohd. Fariz sekali lagi didakwa bersama-sama Adam Adli dan beberapa individu lain yang masih bebas terhadap pertuduhan sama dengan tujuan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur, bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Anwar dibebaskan dan menjemput peserta hadir protes Kita Lawan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan Sogo dan berakhir di Esplanade KLCC antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari lalu.
Lih Kang, Rozan Azen dan Chean Chung juga didakwa dengan tuduhan dan tujuan sama termasuk menggesa Ketua Polis Negara dipecat, bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sesyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.
Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Faizal Ismail, Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris dan Majistret Mohd. Asyraf Abdul Manan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Musli Ab. Hamid mencadangkan ikat jamin setiap OKS sebanyak RM500 dengan seorang penjamin seperti yang telah dipersetujui oleh pihak pembelaan.
Mahkamah membenarkan permohonan jaminan itu dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua OKS kecuali Adam Adli dan Mohd. Fariz yang sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 19 Oktober ini.
OKS diwakili peguam-peguam, Ramkarpal Singh, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen.
Sepanjang prosiding tersebut mahkamah penuh sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong OKS termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Hakim terpengaruh tafsiran ala Barat

Mengabai peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam
SOFIAN BAHAROM | 29 Jun 2015 1:36 AM
KUALA LUMPUR 28 Jun – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meluahkan kekhuatiran beliau terhadap segelintir golongan hakim di negara ini yang sangat terpe­ngaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala Barat.
Abdul Hamid Mohamad
Kata beliau, tindakan itu menyebabkan mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.
Menurutnya, ha­kim-hakim itu mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.
Jelasnya, perkara itu telah mula dilihat dalam kes kontroversi melibatkan larangan dan hukuman terhadap tiga juru andam lelaki yang berpakaian seperti wanita di tempat awam di Negeri Sembilan sebelum ini.
Apa yang merisaukan beliau, katanya, adalah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 itu bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka juga memakai prinsip kemunasabahan (reasonableness) yang diketengahkan oleh Supreme Court (Mahkamah Agung) India yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable).
“Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung keputusan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) bahawa pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.
Dengan keputusan 5-4, mahkamah tertinggi di AS itu memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan, golongan gay dan lesbian boleh berkahwin di mana sahaja mereka tinggal di negara itu dan pihak berkuasa negeri tidak boleh melarang perkahwinan sejenis.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, alasan-alasan yang diberi oleh Mahkamah Rayuan dalam kes peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan, dilihat sangat luas implikasinya.
“Perkara itu berlaku apabila sesuatu hukum syarak boleh diisy­tiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal se­perti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara sekular itu apabila hukum syarak diukur de­ngan nilai liberal hak asasi ala Barat.
“Apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia ‘tidak munasabah’ (unreasonable) kepada seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah,” kata beliau.
Dengan menggunakan alasan-alasan yang sama, menurutnya, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu, undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat, kesalahan meminum minuman yang memabukkan, kesalahan zina serta liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tidak sah.
“Malah, penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis,” jelas beliau.

Dewan Rakyat lulus POTA selepas lebih 12 jam dibahas

SELASA, 7 APRIL 2015 @ 7:46 AM
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi ini, selepas dibahaskan lebih 12 jam.
POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).
Sebelum itu, rang undang-undang yang dibahaskan lancar di peringkat dasar, namun melalui waktu sukar di peringkat jawatankuasa apabila pelbagai pindaan dicadangkan oleh anggota Parlimen pembangkang sehingga sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat itu berlarutan sehingga awal pagi ini.
Lebih menyukarkan apabila pembangkang berkeras untuk meminda hampir kesemua 35 Fasal, memaksa lapan undi belah bahagian dilakukan bagi setiap usul pindaan yang dikemukakan sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa, sebelum undian terakhir dibuat bagi meluluskan rang undang-undang itu.
Bagaimanapun, semua undi belah bahagian berakhir dengan undian memihak kepada kerajaan, sekali gus menolak usul-usul pindaan dibawa pembangkang.
Antaranya, cadangan pindaan termasuk supaya pangkat pegawai polis dalam penangkapan suspek hendaklah tidak rendah daripada Superitendan, selain berhubung tempoh tahanan reman yang digesa tidak melebihi 14 hari berbanding cadangan rang undang-undang itu yang membolehkan suspek ditahan sehingga 21 hari.
Anggota Parlimen pembangkang turut mengusulkan supaya beberapa peruntukan termasuk di bawah Perkara 13 hingga 28 yang menyentuh mengenai perintah tahanan dan sekatan dibatalkan kerana disifatkan berniat jahat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa, berkata kerajaan tidak melihat pindaan yang diusulkan itu perlu dibuat pada masa ini.
Katanya POTA harus dilihat dengan ‘mata hati’ untuk memahami tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan undang-undang itu, selain tidak harus dibandingkan dengan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar, berkata elemen pemulihan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan POTA.
Tegas Ahmad Zahid, ini kerana POTA tidak boleh dilihat hanya dari sudut perundangan semata-mata sebaliknya ia bersifat pencegahan.
“Elemen pemulihan terhadap tahanan menjadi keutamaan. Rekod tahanan ISA setakat sehingga undang-undang itu ditiadakan iaitu daripada seramai 10,800 tahanan ISA, 90 peratus berjaya dipulihkan,” katanya.
Ahmad Zahid juga memberi jaminan POTA tidak akan disalah guna dan tiada sesiapa pun yang mempunyai perbezaan politik atau pendapat, akan ditahan di bawah undang-undang itu. – BERNAMA
RANG Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi ini, selepas dibahaskan lebih 12 jam. – Foto Astroawani


LIWAT : Mahkamah tolak semakan

SUWARNI MOKHTAR | 02 April 2015 2:17 AM
Latheefa Koya semasa hadir pada pengesahan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 1 April – Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini menolak semakan kehakiman oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sehingga 4 April ini.
Ia berikutan Anwar telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menolak petisyen rayuan yang dikemukakan kepada Ba­ginda oleh keluarga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 24 Februari lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Tuanku pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu dan berkuatkuasa serta-merta.
Hakim Datuk Asmabi Moha­mad turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM3,000 kepada semua responden di dalam semakan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh pada pendengaran semakan kehakiman tersebut dan pengesahan lanjut berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terbabit.
Amarjeet yang turut dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke memberitahu, semakan itu ditolak memandangkan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen merupakan teras kepada permohonan berkenaan.
“Beliau (Anwar) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berkuatkuasa serta-merta sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tiada asas untuk semakan kehakiman ini diteruskan,” katanya.
Dalam permohonan semakan yang difailkan pada 18 Mac lalu, Anwar menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Anwar memohon kebenaran untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 4 April ini kerana beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Hukuman yang bermula 10 Februari lalu dibuat selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.
Sementara itu, peguam Anwar, Latheefa Koya, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak pendengaran semakan tersebut.
Peguam terbabit juga dilihat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang didakwanya masih belum diterima oleh anak guamnya mahupun keluarga Anwar.
Jelasnya, tiada di dalam surat dan afidavit yang dihantar oleh Sekretariat Lembaga Pengampunan, Datuk Nursiah Arshad yang menyatakan bahawa petisyen itu ditolak.

‘Kebebasan mutlak bukan di sini’ – DUDUK DLM HUTAN PUN RIMAU PERHATI AJE…

Perdana Menteri menegaskan kepentingan Akta Hasutan dan Rang Undang-Undang Anti Keganasan adalah tepat
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 26 Mac 2015 2:27 AM
NAJIB TUN RAZAK melakukan tabik hormat dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kuala Lumpur, semalam. Di sebelah beliau ialah Khalid Abu Bakar. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kebebasan mutlak tanpa sebarang rasa bertanggungjawab yang cuba dituntut dan diinginkan pihak tertentu tiada tempat di negara ini.
Serentak dengan itu, beliau dalam nada tegas mempertahankan kepentingan Akta Hasutan, selain turut menyifatkan langkah kerajaan menggubal dan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Antikeganasan adalah tepat.
Pada masa yang sama, Najib berkata, tiada sebab untuk kerajaan apologetik dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan negara, walaupun beberapa pihak menuduh langkah tersebut sebagai tidak demokratik.
“Kerajaan mesti pastikan tidak berlaku sebarang bentuk keganasan dalam negara kita, tidak perlu apolo­getik walaupun mungkin akan ada yang kata ini tidak demokratik. Saya nak kata bahawa tiada kebebasan mutlak.
“Kebebasan mutlak tanpa rasa tanggungjawab tiada tempat di negara ini, kita akan pastikan setiap warganegara ikut lunas undang-undang,” katanya semasa berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan terbang lintas tiga buah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM), gimik pertunjukan membasmi jenayah pemerdagangan manusia oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan penyampaian Anugerah Integriti PDRM.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, untuk mentadbir dan memastikan sesebuah negara itu menjadi teguh serta kuat, terdapat empat aspek terpenting yang perlu diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan.
Menurutnya, aspek pertama adalah mempunyai struktur ekonomi yang kukuh, disusuli kestabilan politik serta perpaduan erat dalam kalangan rakyat sebelum yang ter­akhirnya ialah aman tanpa sebarang kacau bilau.
“Kalau tanya saya antara empat aspek ini, mana yang lebih penting? Mana satu yang perlu kita dahulukan? Saya boleh katakan bahawa keamanan dan keselamatan adalah aspek paling penting yang perlu dipertahankan.
“Sebab itu janganlah kita sebagai rakyat tidak hormati polis, pandang rendah dan tuturkan kata nista, hormatilah mereka kerana disebabkan polis kita dapat hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut,” katanya.

Teliti hukum hudud terlebih dahulu sebelum dilaksanakan

19 Mac 2015 2:19 AM
KUALA LUMPUR 18 Mac – Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau hukum hudud perlu diteliti dengan lebh terperinci kerana membabitkan banyak persoalan Perlembagaan yang perlu diselesaikan sebelum dapat dilaksanakan.
Shamrahayu Ab. Aziz
Pakar undang-undang perlembagaan, Prof. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, terdapat banyak cabaran memandangkan wujud ruang-ruang dari sudut perundangan yang boleh dicabar dengan mudah oleh pihak yang tidak bersetuju dengan hukum ini.
“Enakmen tersebut jelas tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Contohnya dari segi kesalahan seperti keselamatan awam iaitu membunuh, mencuri dan merompak yang termaktub kesalahannya ini di bawah kuasa Persekutuan.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mempunyai kuasa bagi kesalahan seperti murtad, minum arak dan berzina sahaja. Bagaimanapun, hukuman yang ditetapkan melampaui bidang kuasa mahkamah syariah.
“Justeru, kita bimbang situasi ini akan memberi peluang kepada individu-individu yang tidak berpuas hati untuk mencabarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan Pas Kelantan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam sidang DUN walaupun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Shamrahayu berkata, fasa seterusnya ialah untuk mendapatkan kebenaran meluaskan kuasa negeri menerusi Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar dapat mencakupi hukuman bagi kesalahan bunuh, mencuri dan merompak yang terdapat dalam enakmen berkenaan.
Katanya, satu lagi ialah meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang sekarang ini hanya memperuntukkan bidang kuasa iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.