MH17: Misil dipercayai dilancar dari kawasan Ukraine – Duta Rusia

15 Oktober 2015 12:46 PM
RAKAMAN video animasi yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda berhubung tembakan ke atas pesawat MH17 tahun lalu.
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Pengeluar BUK, Almaz-Antey yang telah menjalankan kajiannya sendiri menunjukkan misil BUK yang dipercayai digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 tahun lalu dipercayai dilancarkan dari wilayah dikuasai pihak Ukraine.
Duta Rusia di Malaysia, Valery N Yermolov berkata, ujian menggunakan misil BUK ke atas pesawat oleh Almaz-Antey juga menunjukkan corak kerosakan yang dihasilkannya berbeza dengan kerosakan yang didapati pada serpihan MH17.
“Rusia juga menafikan mereka memiliki sistem pertahanan udara BUK kerana misil jenis itu sudah dilupuskan sejak 2011 dan tidak lagi digunakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Malaysia puas hati laporan siasatan DSB

16 Oktober 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Malaysia berpuas hati dengan pembentangan laporan siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.
Azharuddin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan yang dibentangkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada malam kelmarin, mengikut peraturan lampiran 13 Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Pembentangan oleh DSB mendedahkan mengenai apa yang berlaku dan memberi cadangan langkah-langkah keselamatan agar kemalangan yang serupa dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Seterusnya pihak Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bahagian jenayah pula akan meneruskan siasatan mereka yang mana saya percaya laporan DSB akan menjadi satu elemen penting untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azharuddin berkata, Malaysia sebagai negara milik pesawat MH17 akan turut bersama membantu DSB dalam penyiasatan nahas pesawat itu.
Selasa lalu, Pengerusi DSB, Tjibbe Joustra mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.
Katanya, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Hari ini, Duta Rusia di Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, kajian oleh negaranya mendapati peluru berpandu BUK 9M38M1 yang menjatuhkan pesawat MH17 merupakan peluru berpandu yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh tentera negara itu sejak 2011.
Menurut beliau, peluru BUK dari Rusia pada ketika ini tidak meninggalkan kesan serpihan ledakan bentuk ‘rama-rama’ sebagaimana yang ditemukan pada bangkai pesawat MH17.

MH 17 : Rusia pertikai laporan

KAMIL MASLIH | 16 Oktober 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Rusia menafikan laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang memutuskan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan negara tersebut dalam kejadian 17 Julai tahun lalu.
VALERY YORMOLOV
Duta Rusia ke Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, hasil kajian yang dilakukan oleh firma pengeluar peluru berpandu berkenaan, Almaz Antey, mendapati peluru berpandu BUK yang menembak jatuh MH17 adalah peluru berpandu versi lama iaitu BUK 9M38 yang tidak lagi digunakan oleh tentera Rusia sejak 2011.
Beliau memberitahu, kajian yang sama turut mendapati peluru berpandu berkenaan dilancarkan dari kawasan perkampungan Zaroschenskoye yang merupakan wilayah dikuasai tentera Ukraine dan bukannya sebagaimana teori DSB yang menyatakan peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan Snezhnoye yang dikuasai pemisah Ukraine.
Menurut Yermolov, Rusia telah memohon kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk membuka siasatan baharu terhadap nahas pesawat MH17 kerana mendapati masih banyak persoalan tidak terjawab daripada laporan akhir DSB.
“Rusia telah menamatkan perkhidmatan peluru berpandu BUK 9M38 pada tahun 2011 kerana kita kini menggunakan peluru berpandu BUK 9M38M1, tetapi kita tahu yang (tentera) Ukraine masih mempunyai kira-kira 500 peluru berpandu (jenis BUK 9M38) sehingga sekarang.
“Kita juga perlu sedar banyak negara bekas Soviet Union turut dilengkapi peluru berpandu jenis ini, selain beberapa negara NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) seperti Greece turut memilikinya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam sidang akhbar tersebut, wartawan yang hadir di Kedutaan Rusia di sini turut dipertontonkan dengan video dokumentari kajian yang dilakukan oleh Almaz Antey dan video berkenaan telah dimuat naik di laman web malaysia.mid.ru
Laporan akhir yang dibentangkan DSB kelmarin menyatakan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu darat ke udara jenis BUK dan kepala peledak peluru berpandu itu meletup di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Kata Yermolov, hasil kajian Almaz Antey mendapati corak serpihan letupan BUK 9M38 adalah serupa dengan kesan letupan yang diterima pesawat MH17 dan bukannya peluru berpandu BUK 9M38M1.
Menurut beliau, hasil analisis dan simulasi yang dilakukan turut mendapati percanggahan dengan laporan akhir DSB mengenai kawasan peluru berpandu berkenaan dilancarkan.
“Laporan daripada Almaz Antey ini adalah begitu penting untuk penyiasatan nahas MH17 tetapi telah diketepikan oleh DSB. Kami juga telah beberapa kali menjemput negara-negara anggota penyiasat MH17 termasuk Malaysia untuk datang ke Rusia bagi bekerjasama dalam siasatan nahas MH17 tetapi tiada siapa pun datang,” katanya.
Jelas Yermolov, Rusia sedia bekerjasama bukan sahaja dengan Malaysia tetapi negara terlibat yang lain untuk mencari dalang di sebalik nahas MH17 dan membawanya ke muka pengadilan.
“Seperti Malaysia, Rusia juga mahu mendapatkan kebenaran, ini pendirian kami. Bagaimanapun, kami agak terkejut dengan beberapa kenyataan daripada pemimpin Malaysia mengenai pesawat MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK buatan Rusia sedangkan semua sedia maklum, banyak negara bekas Soviet Union turut memiliki peluru berpandu BUK,” katanya.
Berhubung keputusan Rusia menggunakan kuasa veto untuk menolak usul penubuhan satu tribunal antarabangsa kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yermolov berkata, Rusia tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan tribunal tersebut tetapi terbuka kepada cadangan beberapa negara terlibat untuk menggunakan saluran perundangan negara masing-masing bagi mendapat keadilan.

MH 17: Keluarga dibenar lihat bangkai pesawat

05 Mac 2015 12:35 AM
Waris kepada mangsa nahas pesawat MAS MH17 dan wakil media melawat pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di selatan Belanda yang menempatkan serpihan pesawat itu yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai tahun lalu. – AP
AMSTERDAM 4 Mac – Waris kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, buat pertama kali semalam dibenarkan mengunjungi Pangkalan Tentera Udara Gilze-Rijen di selatan negara ini bagi melihat sendiri serpihan bangkai pesawat itu.
Bagi kebanyakan ahli keluarga, lawatan itu diselubungi suasana pilu kerana mereka menyaksikan serpihan pesawat yang menjadi ‘tempat’ mangsa menghabiskan waktu-waktu terakhir mereka.
Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa tidak mahu bercakap kepada media yang sedia menunggu ketika lebih banyak lagi waris dijangka melawat pangkalan itu pada minggu ini dengan jumlah kesemua waris yang datang dianggarkan berjumlah 500 orang.
Serpihan pesawat yang di­letakkan di tiga buah hangar itu mengandungi sayap, roda, badan utama kapal serta ruang bagasi yang antaranya mempunyai kesan jelaga, manakala bahagian logam tebal pesawat dilihat berpintal dan pecah.
Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan melihat bahagian pesawat yang didakwa terkena hentaman objek bertenaga tinggi, lapor Mail Online.
Namun, tidak semua ahli keluarga mangsa cukup kuat untuk melihat bangkai pesawat MH17 kerana ada antara mereka enggan berbuat demikian ekoran terlalu sedih.
Jurucakap Lembaga Keselamatan Belanda, Sara Vernooij berkata, pasukan pakar akan mencantumkan semula serpihan pesawat itu bagi membantu penyiasat menilai kerosakan dan mewujudkan bukti nahas tersebut.
Katanya, laporan terakhir lembaga itu tentang nahas yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur tersebut akan dikeluarkan tahun ini juga.

Serpihan MH17 dipindahkan

17 November 2014 12:59 AM
Sebahagian anggota pasukan penyiasat Belanda, menjalankan kerja-kerja mengalihkan serpihan pesawat MH17 menggunakan kren di Kampung Grabove, timur Ukraine, semalam. – AFP
KIEV 16 Nov. – Kerja-kerja memindahkan serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mula dilaksanakan hari ini, lapor kenyataan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB).
Rangkaian berita BBC yang memetik kenyataan itu melaporkan, pengalihan serpihan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan punca sebenar pesawat MH17 itu terhempas dan kerja-kerja membina semula bahagian kapal terbang yang musnah.
Jelas laporan itu, proses terbabit dijangka memakan masa beberapa hari bergantung kepada situasi keselamatan dan faktor lain memandang­kan kawasan lokasi di timur Ukraine masih berbahaya ekoran konflik pemberontakan kumpulan pro-Rusia yang masih berlanjutan.
“Kerja mengangkut keluar serpihan akan dilakukan pada setiap hari.
“Serpihan terbabit akan dihantar ke Kharkov terlebih dahulu sebelum dibawa ke Belanda untuk tindakan lanjut,” tambah laporan berkenaan.
Bagaimanapun buat masa ini DSB tidak memberi butiran terpe­rinci jenis pengangkutan yang digunakan untuk membawa keluar serpihan pesawat MH17 dan jadual kerja proses terbabit.
Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu, menyebabkan kesemua 298 penumpang terkorban ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, tetapi pasukan penyiasat masih bertungkus-lumus mencari pihak yang bertanggungjawab ke atas tragedi terbabit.
Pihak Barat menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia terlibat dalam insiden itu, namun Moscow mendakwa tentera Ukraine me­nembak jatuh pesawat penumpang terbabit menggunakan jet tempur.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serpihan-mh17-dipindahkan-1.25494#sthash.8HplDccI.dpuf


Tragedi MH17: Rusia 
diminta serah bukti

30 Oktober 2014 1:53 AM
GAMBAR fail bertarikh 17 Julai lalu, menunjukkan seorang lelaki bersenjata meninjau lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh di kampung Grabove, timur Ukraine. – AGENSI
AMSTERDAM 29 Okt. – Pasukan penyiasat Belanda meminta Rusia menyerahkan data radar sebagai bukti yang menunjukkan sebuah pesawat pejuang Ukraine dikesan terbang pada masa dan laluan yang sama digunakan oleh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ketika pesawat penumpang itu ditembak jatuh.
Ketua pasukan penyiasat, Fred Westerbeke ketika ditemubual oleh majalah Der Spiegel berkata, pihaknya sedia membantu Rusia mendapatkan maklumat radar tersebut selepas Moscow menuduh Ukraine menghantar pesawat pejuang untuk menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.
Bagaimanapun menurut Westerbeke, siasatan yang dijalankan setakat ini menolak kemungkinan yang menunjukkan insiden tersebut sebagai satu kemalangan atau serangan pengganas.
Jelasnya, pesawat MH17 mungkin ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) atau pesawat lain ekoran laporan siasatan sebelum ini mendedahkan kesan kapal terbang komersial itu ditembusi objek berkelajuan tinggi dari luar.
“Kami juga masih menunggu imej satelit daripada Amerika Syarikat (AS) yang mungkin boleh membantu merungkai misteri tragedi MH17.
“Kami meminta semua pihak agar bersabar dengan siasatan ini yang dijangka memakan masa sehingga tahun depan atau lebih lama lagi,” katanya.
Laporan awal yang disiarkan pada bulan lalu juga tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa pesawat MH17 terhempas akibat masalah teknikal atau kesilapan manusia.
Insiden pada 17 Julai itu menyaksikan semua 298 krew dan penumpang, kebanyakannya rakyat Belanda terbunuh apabila terhempas di timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tragedi-mh17-rusia-8232-diminta-serah-bukti-1.18425#sthash.ueEaYj3Q.dpuf


Keluarga mangsa pesawat MH17 saman Ukraine – MALAYSIA BILA LAGI?

IMEJ menunjukkan serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. – Agensi
BERLIN 21 Sept. – Keluarga mangsa penumpang pesawat Malaysian Airlines MH17, warga Jerman merancang menyaman kerajaan Ukraine dan Presiden Petro Poroshenko kerana kecuaian sehingga menyebabkan 298 orang terkorban, kata peguam yang mewakili mereka.
Profesor Undang-undang Penerbangan, Elmar Giemulla yang mewakili tiga keluarga dari Jerman itu berkata, di bawah undang-undang antarabangsa, Ukraine sepatutnya menutup ruang udaranya jika tidak dapat memberi jaminan keselamatan kepada pesawat berkenaan.
“Setiap negera bertanggungjawab melindungi keselamatan ruang udara (mereka),” kata Giemulla dalam satu kenyataan yang diemel kepada Reuters.
Menurutnya, jika negara berkenaan tidak boleh berbuat demikian, ia perlu menutup ruang udaranya, tetapi Ukraine tidak bertanggungjawab dengan membiarkan kejadian itu berlaku.
Akhbar Bill am Sonntag Sunday memetik Giemulla sebagai berkata, dengan tidak menutup ruang udaranya, Ukraine bersetuju bahawa beratus-ratus orang yang tidak bersalah akan ‘dibinasakan’ dan ini adalah mencabul hak asasi kemanusiaan.
Pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 terhempas di wilayah bergolak di timur Ukraine mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal dengan dua pertiga daripada penumpang adalah rakyat Belanda, manakala empat orang adalah warga Jerman.
Giemulla merancang untuk mengemukakan kes itu ke Mahkamah Eropah mengenai Hak Asasi Manusia dalam tempoh dua minggu dengan mendakwa Ukraine dan Presiden Petro Poroshenko sebagai pembunuh kerana kecuaian, dan meminta pampasan sehingga satu juta euro (RM4.2 juta) untuk setiap mangsa.
Sehingga kini, syarikat penerbangan itu telah memberi bantuan kewangan sebanyak AS$5,000 (RM16,200) kepada setiap mangsa, tetapi ia bukan merupakan bayaran pampasan yang muktamad atau menutup hak keluarga mangsa untuk membuat tuntutan, katanya. – REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140922/lu_04/Keluarga-mangsa-pesawat-MH17-saman-Ukraine#ixzz3E5s7yTqe  © Utusan Melayu (M) Bhd